My corner's visitor

Monday, September 29, 2014

E- Novel : Cinta Hati Sayang - Bab 12

CINTA HATI SAYANG

BAB 12

            “Berapa ye pakcik?” Lara mengambil bungkusan nasi lemak dari tangan pakcik tersebut. Sudah lama juga pakcik tersebut berniaga nasi lemak dan kuih muih di situ. Gerainya dekat juga dengan bangunan tempat Zarif bekerja. Selalu juga Lara dan Wati membeli sarapan di situ.

            Bukannya Lara tidak perasan bangunan Kalam Holdings yang megah tu berhampiran dengan gerai pakcik. Dan sudah semestinya dia tahu siapa yang bekerja di situ. Biarlah. Takkanlah disebabkan seorang lelaki, dia terpaksa menyekat kehidupannya. Sini tak boleh, sana tak boleh. Terbatas langkahnya. Kalau jumpa pun, buat bodoh sahajalah. Apa susah.

            “Empat ringgit je.” Kata pakcik. Segera Lara menghulurkan duit kertas lima ringgit kepadanya. Ramai juga pelanggan gerai pakcik ni. Kalau lambat sikit, ada sahaja kuih yang sudah habis dijual.

            Sementara menunggu duit baki dikembalikan, Lara ketepi sedikit memberi ruang kepada orang lain untuk membeli.

            “Ni bakinya ye. Terima kasih nak.” Duit satu ringgit dihulur.

            “Terima kasih pakcik.” Disimpannya duit tadi ke dalam beg.

            Dia lagi……

            Bila sahaja Lara memusingkan badannya, dia ternampak Zarif sedang berdiri di depan bangunan Kalam Holdings. Pandangannya tepat dihalakan pada Lara. Berdiri kaku Lara di situ seperti seorang pesalah.

            Biarlah dia. Aku bukan buat salah pun. Suka hati aku lah nak pergi mana, nak beli apa sekali pun. Lara sempat membalas pandangan Zarif padanya sebelum dia beredar dari situ. Tak kuasa dia hendak berada di situ lama. Tiada langsung senyuman dilemparkan. Sama jugalah dengan Zarif. Wajah tidak puas hati dihadiahkan pada Lara dari tadi.

            “Oi, kau pandang apa dari tadi?” Badrul menepuk bahu Zarif sambil sibuk juga memandang ke arah sama dipandang Zarif.

            “Aaa.. takda apa-apalah. Jom teman aku breakfast. Lapar ni.” Zarif tidak perasan langsung kehadiran Badrul di situ. Tiba-tiba sahaja berdiri di sebelah. Ini semua gara-gara si Lara. Yang aku ni pun satu. Sibuk tengok dia tu kenapa. Biarlah dia. Bukannya dia kacau aku pun. Iskh mata ni…….Marah Zarif pada dirinya sendiri.

            “Nah nasi lemak kau.” Lara meletakkan nasi lemak di atas meja. Dibelinya untuk Wati sekali tadi.

            “Terima kasihlah kawan aku sorang ni. Aku tak sempat nak beli tadi. Sorry ye. Nanti aku pergi pulak.” Sepatutnya giliran Wati membeli sarapan untuk mereka hari ini. Disebabkan dia terbangun lambat tadi, dimintanya Lara membeli. SMS dihantar pagi tadi sebaik sahaja dia terjaga.

            “Hah yelah. Sebabkan kaulah aku nampak si mamat tu lagi tahu tak.” Sambil membuka bungkusan nasi lemak tadi, Lara mengadu nasib.

            “Yeke?. Dia buat kau lagi ke?” Wati sudah menyuap nasi lemak ke dalam mulutnya. Lapar sungguh perutnya.

            “Takdalah dia buat aku. Cuma dia pandang aku dari jauh. Macam nak makan orang je aku tengok. Aku ni dah macam pesalah masuk dalam kawasan dia. Boleh gitu?” Geram bila difikir-fikirkan balik. Apa salah dia pun tak tahulah.

            “Kesian kau kan. Aku rasa dia tak puas hati dengan kau lagi tu.” Anggapan Wati terhadap Zarif jika disimpulkan dari cerita-cerita Lara.

            “Tak puas hati?. Habis tu dia nak aku buat apa?” Lara buntu. Apa yang patut dia buat sekarang ni. Wati sendiri pun tiada jawapannya. Hanya Zarif sahaja yang tahu.
           
            Tiga hari selepas itu, Lara membawa Sofea ke rumah besar milik atuk dan nenek Sofea. Tan Sri ada memberitahunya yang dia ada perkara yang hendak dibincangkan dengan Lara. Risau juga Lara bila mendengarnya. Takut jika semua itu nanti ada berkaitan dengan Sofea. Untuk memisahkan mereka.

            Selepas makan malam, Lara diajak ke ruang tamu untuk membincangkan sesuatu. Nampak serius sahaja bunyinya bila diberitahu tadi. Zarif juga turut makan bersama mereka tadi. Langsung Lara tidak memandang Zarif. Seboleh-bolehnya dia hendak mengelak dari bertentang mata dengannya. Buat sakit hati sahaja kalau pandang dia ni. Cubalah sekali sekala bagi senyuman sikit dekat aku ni.  

            “Lara… kami berdua ada perkara penting yang nak dibincangkan dengan Lara ni.” Kembali gelisah perasaan Lara selepas mendengar. Penting apa ni. Sudah tidak senang duduk Lara dibuatnya. Semenjak di meja makan lagi pandangan mata Zarif banyak ditumpukan pada Lara. Susah betul nak kawal mata sendiri. Asyik sibuk nak tengok si perempuan ni.  Dan kini Zarif nampak kegelisahan di wajah Lara.

            “Uncle dengan auntie dah berbincang. Kami nak Lara dan Sofea tinggal di rumah kami. Penthouse dekat area sini sahaja. Pindah dari rumah lama tu. Tak sampai hati uncle dengan auntie lihat kamu berdua tinggal di situ.”  Tan Sri menerangkan satu persatu pada Lara. Zarif juga sibuk mendengar. Sengaja dia memilih duduk berhadapan dengan Lara. Senang baginya melihat wajah Lara.

            Zarif sendiri pun tidak tahu akan rancangan papanya itu. Itu sebabnya dia mahu mendengar juga. Rasa seperti ada perkara mustahak hendak diberitahu malam ini. Ya, penthouse milik papanya. Dulu pernah Tan Sri menyuruh Zarif pindah ke situ. Tetapi dengan syarat dia perlu berkahwin dahulu. Dan ketika itulah Puan Sri asyik cuba merapatkan hubungan dia dengan Zira. Sehingga ke hari ini masih tidak berjaya menyatukan mereka.

            “Tapi UncleAuntie…”

            “No tapi-tapi Lara. Lara kena bawa Sofea tinggal dekat situ. Selesa sikit. Cuma sekarang ni rumah tu tengah renovation. Dah nak habis pun. Jadi, buat sementara waktu ni, Lara dengan Sofea tinggal dekat sini dulu ye.” Tinggal dekat sini? Dengan si Zarif ni. Macam mana ni……

            “Aaaaa….tapi….” Lara tidak dapat memikirkan alasan yang boleh diberikan. Buntu. Kosong. Sempat lagi Lara mengerling pada Zarif yang sedang duduk dihadapannya. Dari tadi asyik memandangnya. Eeee…. Payah betul nak fikirlah. Nampak muka dia lagilah…..

            “Uncle dengan Auntie nak kamu berdua hidup selesa. Kami ikhlas. Tiada niat lain pun Lara.” Wajah Puan Sri penuh pengharapan. Kesian pula Lara melihat mereka beria-ia hendak melihat kami berdua hidup selesa. Nampaknya ibu tumpang tuah Sofea lah ni. Dipandangnya wajah anak kecil yang sedang bermain dengan anak patung di suatu sudut.

            Senyuman dihadiahkan kepada Tan Sri dan Puan Sri. Tentunya mereka faham maksud senyuman itu. Tanda setuju. Lega hati mereka. Selepas mereka melihat sendiri keadaan tempat tinggal Lara dan Sofea, memang mereka nekad dengan rancangan mereka.

            “Oh ye, lagi satu Lara. Kalau uncle offer kerja pejabat dekat Lara, Lara nak tak?” Bukan Lara sahaja yang terkejut, Zarif juga. Kenapa pula tiba-tiba ditawarkan kerja pada Lara ni. Kerja pejabat pulak tu. Pandai ke dia ni. Bahagian mana pulak yang papa nak letak dia ni. Zarif pula yang tidak senang duduk sekarang ni.

            “Terima kasih banyak-banyak uncle, tapi bagi Lara fikir dulu boleh? Sebab Lara takda langsung pengalaman kerja dekat pejabat ni.” Lara terpaksa bekerja di pasaraya selepas kematian kakaknya. Terpaksa melupakan hasrat untuk menghabiskan pengajiannya. Dia perlu menjaga anak buahnya yang masih kecil. Selepas itu, barulah Lara bekerja pula di kedai kek milik keluarga Wati. Sehinggalah ke hari ini.

            “Takpa Lara. Lara fikir dulu, kalau Lara dah bersedia, Lara bagitahu uncle.” Dia mengangguk seraya tersenyum kepada Tan Sri. Zarif tidak puas hati. Mana tempat yang papa nak letak dia ni. Bahagian dia sudah penuh. Takkanlah nak jadi setiausaha Badrul pulak. Memang masih kosong jawatan tersebut kalau diikutkan. Tapi layakkah perempuan bernama Lara ni pegang jawatan tersebut.

            Lara yang masih setia duduk di hadapannya dipandang. Tajam. Lepas ni apa pulak lagi. Semua benda nak. Marah Zarif pada Lara. Disangkanya Lara yang mahu segala-galanya. Tetapi tidak sama sekali. Tan Sri yang mahu melihat kehidupan Lara lebih terjamin. Sampai bila dia mahu bekerja di kedai kek tersebut dengan gaji rendah. Tan Sri boleh nampak yang Lara seorang yang cerdik. Cuma mungkin keadaan yang membuatkan dia tidak dapat meneruskan pengajiannya.

            “Sukalah tu.” Perli Zarif bila dia melintasi Lara untuk naik ke bilik. Cuba bersabar Lara dengan perangai Zarif. Dia tidak mahu bergaduh dengan Zarif. Lagipun dia sedar ini rumah keluarganya. Bila-bila masa sahaja dia boleh menghalau Lara keluar. Tapi…. Kalau dekat luar dia buat perangai macam ni, memang nak cari pasal dengan aku. Akan dibalasnya balik. Dia ingat aku takut dengan dia kot. Sorry sikit.

            Malam itu Lara dan Sofea tidur di bilik yang telah disediakan. Selepas ini, dia kena mengemaskan barang-barang di rumah lamanya. Pindah di sini dulu buat sementara waktu. Berdoa Lara supaya cepat siap rumah yang sepatutnya mereka duduk. Malas Lara hendak berjumpa dengan si Zarif setiap hari. Mesti ada sahaja benda yang tak kena dimatanya.

            Tadi ada juga Tan Sri memberitahu yang mereka mahu menghantar Sofea ke tadika yang lebih bagus. Lara sekadar mengikut sahaja. Kalau hendak menunggu duitnya, memang tidaklah. Sebulan pun dah berapa bayaran dikenakan nanti. Lara tidak mahu membantah. Baginya Tan Sri dan Puan Sri juga ada hak ke atas Sofea, cucunya. Cuma ke hari ini, Lara tidak tahu kenapa Tan Sri dan Puan Sri tidak boleh menerima kakaknya sebagai menantu.

            Dulu semasa mereka berkahwin pun, tiada langsung majlis diadakan sebelah lelaki. Ketika nikah itu pun cuma ada ahli keluarga terdekat sahaja. Sekarang ni baru dia teringat yang Zarif juga turut hadir ketika itu. Cuma Lara tidak sempat beramah mesra pun dengan mereka. Habis sahaja upacara membatalkan air sembahyang, keluarga pihak lelaki terus beredar dari situ. Orang cakap keluarga lelaki tidak mahu bermenantukan kakaknya. Cuma abang Naim yang tetap sayangkan kakak.

            Abang Naim? Bilalah Lara dapat jumpa dengannya. Dia sudah bersedia, cuma Sofea sahaja yang mungkin belum bersedia. Sofea perlu juga bertemu dengan ayah kandungnya. Dia perlu tahu siapa ayah dan ibu kandungnya yang sebenar. Lara takut jika Sofea tidak dapat menerima semua ini. Dia masih kecil lagi. Tidak berapa faham dengan situasi yang berlaku padanya.

           
            “Ibu… kita nak pindah mana ni?” Sofea sibuk bertanya bila dilihat ibunya sibuk memasukkan pakaian mereka ke dalam beg. Dress kesayangan Sofea masih kuat dipegang. Takut jika Lara memberikannya kepada orang lain.

            “Fea… kita nak pindah dekat rumah baru. Tapi sementara ni kita duduk dekat rumah besar tu. Fea suka tak?” Lara tahu memang Sofea suka pergi ke rumah tersebut. Apa tidaknya, mereka sudah menyediakan satu ruang khas untuk meletakkan barang mainan Sofea. Semakin lama semakin banyak mainan yang diletakkan di situ. Ini semua mesti dari Puan Sri untuk Sofea.

            “Suka! Fea suka. Nanti boleh hari-hari Fea main kat situ.” Diusap lembut kepala Sofea. Sayangnya pada Sofea tidak pernah kurang. Malah semakin bertambah. Siapa lagi yang dia ada di dunia ini selain Sofea.
           
            “Kau betul ke ni nak pindah sana? Kau dah fikir masak-masak?” Wati terperanjat bila diberitahu Lara yang dia akan berpindah ke rumah Tan Sri.

            “Betullah. Aku dah fikir dah. Ini semua untuk kebaikan Sofea jugak. Aku memang nak dia hidup selesa, tapi aku tak mampu. Aku tak mahu lepaskan satu-satunya peluang yang ada ni. Aku buat semua ni pun sebabkan Sofea. Dia berhak dapat segala-galanya ni.” Kalau bukan kerana Sofea, memang Lara tidak mahu tinggal di situ. Dia lebih rela tinggal di rumah lama dari tinggal bersama dengan si Zarif tu. Alangkah bagusnya kalau mereka tiada anak seperti Zarif tu. Kenapalah mamat tu pulak yang jadi anak mereka. Nasib kau lah Lara.

            “Aku harap ini yang terbaik buat kau dengan Sofea. Tapi kau tak tinggal selama-lamanya dekat situ kan?” Risau pula Wati bila teringat yang Lara akan duduk bersama dengan Zarif di bawah satu rumah.

            “Tak mahu aku. Kalau lelaki tu takda kat rumah tu, lainlah cerita. Sekejap je aku tinggal kat situ, lepas rumah tu siap, aku pindah ke sana. Eh, nanti kau bolehlah datang tidur sana. Teman aku sekali sekala.” Wati selalu juga menemani Lara di rumah lamanya. Wati ni lah sahabat yang paling rapat dengannya. Susah senang bersama. Semua masalah Lara diceritakan pada Wati. Tempat luahan perasaan Lara. Wati lah orangnya.

           
            “Kau kenapa pulak ni? Ada masalah lagi ke?” Badrul nampak Zarif seperti ada masalah. Dia dapat rasakan ini mesti ada kaitan dengan Lara, perempuan yang tiba-tiba muncul dalam diari hidup mereka.

            “Lara?” Badrul cuba meneka bila dilihatnya Zarif masih lagi berdiam diri. Nasi goreng dipinggan dikuis-kuis dari tadi.

            “Papa ajak dia duduk sekali buat sementara waktu ni. Lepas tu dia kena duduk dekat penthouse besar papa tu.”

            “Dia duduk sekali dengan kau?! I mean your family.” Badrul terus bertanya.

            “Yup. Dekat rumah tu. Ni yang buat aku malas nak balik rumah ni.” Zarif bercadang hendak tinggal di rumah Badrul buat sementara waktu ni. Sehinggalah Lara berpindah ke rumah baru.

            “Macam tu pulak. Kalau aku, tiap-tiap hari aku nak balik awal tengok muka dia. Hah, apa kata kita tukar tempat. Aku tinggal dekat sana, kau tinggal dekat rumah aku. Bahagia tu tiap-tiap hari nampak dia.”

            Buppp…Bahu Badrul ditampar.

            “Kau ni dah kenapa? Cantik sangat ke dia tu. Aku tengok biasa je. Eh bosanlah, kalau hari-hari nampak muka dia. Buat hilang selera makan aku je.” Egonya Zarif berkata-kata. Dia sebenarnya tidak pun bermaksud begitu. Tidak pernah pula Lara tu menghilangkan selera makannya selama ini. Cuma setiap kali Lara berada hampir dengannya, dadanya berdegup kencang. Laju. Semakin laju jika mereka bertentangan mata. Tapi itu jarang sekali berlaku. Boleh dikira berapa kali sahaja Lara memandangnya.

            “Cantiklah dia. Kau je yang tak nampak. Dahlah cepat habiskan makanan tu. Aku nak blah ni. Kejap lagi aku nak keluar. Ada appointment dengan pihak bank.” Badrul menghirup air limau ais sambil menunggu Zarif menghabiskan makanannya.

            Cantik? Cantik apanya perempuan tu. Buta agaknya si Badrul ni. Aku ingat lagi macam mana dia campak duit dua puluh ringgit dekat muka aku ni. Berani betul dia tu. Sehingga sekarang aku masih ingat cara dia pandang aku sambil mencampakkan duit ke muka aku ni. Aku akan ingat itu semua Lara Alina.      
           
           


6 comments:

  1. Zarif cemburu xhengat tp ego melangit...

    ReplyDelete
  2. Bestnyaaa.... Sambng lagi ye sis :)
    xsbr nak tnggu Nvl sis kluar ^_^

    ReplyDelete
  3. best best...tak sabar nak tggu bila Lara pindah rumah Zarif...Bila Lara nak pindah keluar mesti Zarif rasa kehilangan....Haha....Next entry sis.

    ReplyDelete