CINTA HATI SAYANG
BAB 7
“Lara... Sofea.. Mari
masuk.” Puan Sri terlebih dahulu membuka pintu untuk mereka. Pandangannya jatuh
kepada Sofea yang masih kuat memegang tangan Lara.
“Assalamualaikum” Lara bersalaman
dengan Puan Sri. Dia kemudian menyuruh Sofea bersalaman pula dengan neneknya.
Mulanya Sofea enggan berbuat demikian, tetapi bila Lara sedikit meninggikan
suaranya, cepat-cepat Sofea mencapai tangan Puan Sri dan menciumnya.
“Waalaikumussalam. Kejap lagi Uncle turun. Dia tengah mandi dekat atas
tu. Hah Zarif. Baru balik?.” Tidak Lara perasan yang Zarif sedang berdiri di
sebelahnya sehinggalah Puan Sri memandang ke arahnya.
“Aah, baru balik Ma. Zarif naik atas
dulu. Tukar baju. Nanti Zarif turun balik.” Cermin mata ditanggal. Zarif terus
menaiki tangga ke tingkat atas. Tidak langsung menoleh ke arah Lara dan Sofea
di situ. Tak kisah pun. Lega rasa hati Lara bila dia tiada di situ walaupun
sekejap sahaja.
“Sofea tengok apa tu?” Puan Sri
menghampiri Sofea yang senyap dari tadi. Dari tadi dia asyik memandang ke arah
akuarium besar. Teringin dia hendak mendengar suara satu-satunya cucu yang dia
ada sekarang. Sekarang pun baru pukul dua belas tengahari. Mereka dijemput
untuk makan tengahari di sana.
“Fea nak tengok ikan tu. Boleh tak
ibu?” Dari hari tu Sofea hendak melihat ikan-ikan yang dibela di dalam akuarium
besar milik Tan Sri. Walaupun Puan Sri yang bertanya, tetapi Sofea tetap mahu
ibunya.
“Fea kena tanya nenek. Boleh ke
tidak.” Sofea takut-takut untuk bertanya kepada Puan Sri.
“Sofea?” Lara mahu Sofea bercakap
sendiri dengan Puan Sri. Itu sebabnya
dia mendesak Sofea untuk bertanya pada Puan Sri.
“Nenek..... Fea nak tengok ikan tu
boleh?” Ala, lembutnya suara Sofea. Tangannya masih tetap memegang hujung baju
Lara dari masuk tadi.
“Boleh sayang. Pergilah.” Gembira
sungguh hati Puan Sri mendengar suara Sofea. Lara sekadar mengangguk dan
tersenyum memandang Sofea. Apa lagi. Dapat kebenaran, teruslah si Sofea berlari
anak ke sana. Tinggallah Lara dan Puan Sri yang masih berdiri di situ.
“Lara.” Suara Tan Sri tiba-tiba
mengejutkan mereka berdua yang asyik memandang Sofea.
“Uncle.” Lara bersalaman
dengan Tan Sri. Dia tidak lupa untuk mengucup tangan Tan Sri. Tanda hormat
kepada orang yang lebih tua darinya.
“Tadi saya macam dengar suara Zarif.
Mana dia?” Tan Sri bertanya pada isterinya sambil mengajak Lara duduk.
“Ada kat bilik. Nak mandi dulu katanya tadi. Tak taulah dia nak
turun ke tak nanti tu. Abang tahulah perangai dia.” Lara sekadar mendengar
mereka berbual. Hal keluarga malas Lara hendak campur tangan. Biarlah mereka.
Pandangannya dihalakan pada Sofea. Khusyuk dia melihat ikan-ikan tu.
“Oh ye Lara. Lepas makan nanti Uncle
ingat nak ajak Lara dengan Sofea keluar. Auntie ni... nak sangat belikan
mainan untuk Sofea. Kami nak beli sendiri takut Sofea tak suka. Jadi lebih baik
biar dia pilih sendiri nanti.” Sebenarnya berat hati Lara hendak bersetuju
dengan cadangan mereka. Bukannya dia biasa dengan mereka.
“Boleh ye Lara?” Puan Sri masih
menunggu jawapan dari Lara. Berharap sangat yang Lara akan bersetuju.
“Okey Auntie.” Tidak sampai
hati hendak menghampakan harapan Puan Sri. Lagipun Lara sedar yang Sofea tu
cucu mereka. Mestilah mereka nak manjakan si Sofea tu.
“Terima kasih Lara.” Gembira Puan
Sri mendengarnya. Wajah Tan Sri dipandang ceria.
“Kalau tak keberatan, Uncle
nak tanya sikit. Lara dah lama ke duduk dekat flat tu?” Banyak sebenarnya yang
Tan Sri hendak tanya. Tetapi dia perlu bersabar. Tidak mahu tergopoh gapah
memaksa Lara menceritakan segalanya.
“Semenjak mak Sofea meninggal. Saya
tak cukup duit nak tinggal dekat rumah lama. Itu sebab saya terpaksa bawa Sofea
pindah dekat rumah yang lebih murah sewanya.” Lara memberitahu perkara sebenar
kepada mereka. Tidak mahu berselindung lagi. Bukannya Lara hendak meminta
simpati atau apa, tetapi dia mahu mereka tahu kebenarannya. Bukan senang
baginya hendak membesarkan seorang bayi seorang diri.
Tan Sri dapat mengagak yang Lara
kesempitan wang ketika membesarkan Sofea. Tiada siapa yang menghulurkan bantuan
kepadanya walaupun saudara sendiri. Dipandangnya wajah Sofea. Cucunya sendiri
dibiarkan.
“Tan Sri... Encik Naim mengamuk
dekat dalam bilik tu.” Tiba-tiba Mak Jah menghampiri Tan Sri dan berbisik
padanya. Walaupun berbisik, telinga Lara masih dapat menangkap suara perlahan
Mak Jah itu.
Naim? Ayah Sofea ke? Dia ada dekat sini? Dia tak sihat ke? Lara
berpura-pura tidak mendengar. Dia perasan yang Tan Sri mencuit tangan Puan Sri
sambil menunjuk ke arah atas. Anggukan dari Puan Sri membuatkan Tan Sri bangun
dan meminta diri sebentar.
Puan Sri cuba mengalihkan perhatian
Lara dengan mengajaknya bercerita tentang Sofea. Dia mahu mengenali Sofea
dengan lebih rapat. Walaupun begitu, hakikatnya hati Puan Sri amatlah risau.
Dia risaukan keadaan Naim. Semakin teruk pula dirasakan.
“Naim!. Look at me!” Zarif
yang terlebih dahulu berada di situ sebelum Tan Sri. Habis nasi bertaburan di
atas lantai. Kata Mak Jah, Naim mengamuk tidak mahu makan. Habis dibalingnya
pinggang yang berisi nasi goreng ke lantai.
Bahu Naim dipegang erat. Zarif masih
mencari anak mata Naim untuk dipandang.
“Enough Naim!. Cukuplah. Look
at yourself. Makin teruk. You know what!. Hana Kamila dah takda. She’s
dead.” Tidak sempat Tan Sri menghalang Zarif memberitahu Naim perkara
sebenar. Dia masih menunggu masa yang sesuai untuk memberitahu Naim. Dan
sekarang Naim sudah tahu.
“What?! Apa abang cakap ni?! She
supposed to take care of me. Dia yang buat Naim jadi macam ni.” Kini
giliran Naim pula yang memegang erat bahu abangnya. Dia masih tidak pasti
samada benar atau tidak Hana sudah tiada.
“Ya Naim. Dia dah kembali ke
rahmatullah. Dah lama Naim. Dah hampir tiga tahun.” Tan Sri terus merapati
mereka berdua. Wajah Naim berubah. Dia tidak tahu apa perasaan yang muncul
sekarang ni. Sedih?. Suka?. Keliru?.....
“Its time for you to move on.
Lupakan kisah lama Naim. Tak guna pun kita simpan marah padanya. Dia dah
takda.” Kata-kata Tan Sri membuatkan Naim sedih. Memang betul pun apa kata
papanya. Dia perlu memandang ke depan.
No papa. Marah Zarif padanya
masih ada lagi. Walaupun dia sudah tiada, tetapi keluarganya masih ada.
Adiknya... Satu-satunya adik yang arwah ada. Dan dia kini berada di tingkat
bawah bersama-sama mama.
Mak Jah membersihkan nasi yang
bertaburan tadi. Zarif pula masih menemani Naim di situ bila Tan Sri meminta diri
untuk ke bawah semula.
“I can’t believe she....” Naim masih tidak percaya. Zarif sebenarnya
terlepas cakap. Dia tahu Tan Sri masih belum bersedia untuk memberitahu perkara
sebenar kepada Naim. Terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata... inilah
akibatnya. Zarif tidak mahu adiknya sengsara lagi. Mengharap seseorang yang
sudah lama meninggalkannya, kembali suatu hari nanti padanya. Ini semua tidak
akan terjadi. Harapan Naim musnah.
Walaupun Naim sering kali
memberitahu dia benci pada Hana. Tetapi jauh di sudut hatinya, dia tetap
sayangkan dia. Jika tidak takkanlah dia mengajak Hana kahwin. Tidak disangka
pula yang Hana cuma mempermainkan dia. Hati orang siapa yang tahu.
“Semua okey ke?” perlahan sahaja
suara Puan Sri bertanya pada Tan Sri sebaik sahaja dia kembali duduk bersama
mereka.
“Semua okey. Zarif dekat atas dengan
dia.”
“Jomlah makan. Makanan dah tersedia
tu. Sofea..... Jom makan sayang.” Puan Sri memanggil Sofea yang masih setia
melihat ikan-ikan tersebut. Bahu Sofea disentuh lembut oleh Tan Sri.
Mengajaknya ke ruang makan dahulu. Biar Puan Sri yang menunggu Sofea.
“Ayah Sofea tak sihat ke?”
Pertanyaan Lara itu mengejutkan Tan Sri. Maknanya dia dengar apa yang Mak Jah beritahu
tadi. Lara tidak memandang langsung wajah Tan Sri. Dia tahu mungkin Tan Sri
tidak bersedia untuk memberitahunya. Dia sendiri pun tidak bersedia untuk
mendengar jawapan Tan Sri.
“Dia tak berapa sihat Lara. Ada
dekat bilik. Nanti Uncle ceritakan. Sekarang ni tak sesuai masanya.
Sofea ada.” Satu lagi kejutan buat Lara.
Memang ayah Sofea masih ada lagi. Dia yang lagi berhak terhadap Sofea. Cuma
sekarang ni dia tidak sihat.
Sofea yang sudah berjalan di
sebelahnya tersenyum riang. Diusapnya rambut Sofea dengan penuh kasih sayang.
Sehingga mereka habis makan, Zarif
masih tidak turun-turun. Lega Lara bila Zarif tiada bersama-sama mereka. Rasa
tenang sedikit hatinya. Kalau setiap kali datang, dia tiada alangkah bagusnya
rasa hati.
“Mak Jah... bawa Lara dan Sofea ke
bilik tetamu. Mereka nak berehat kejap.”
“Eh takpalah Auntie. Kami tunggu
dekat sini je.” Puan Sri hendak bersiap sebelum keluar. Kesian pula dia melihat
Lara dan Sofea duduk di situ menunggu dia nanti. Lebih baik jika mereka berehat
di dalam bilik.
“Betul ni Lara? Kalau tak masuk
bilik dulu. Bilik tu kosong.” Tan Sri pula yang bersuara.
“Betul. Takpa, Lara tunggu dekat
sini je. Tv pun ada ni.” Lara memang malas hendak ke bilik. Bukan dia hendak
tukar baju pun. Tambah lipstik di bibir je. Sekejap je pun.
Tan Sri dan Puan Sri meninggalkan
mereka berdua untuk ke bilik. Alat kawalan TV diambil. Ditukar-tukar siarannya.
Akhirnya rancangan kartun yang dipasang. Semuanya sebab Sofea yang mahu.
Terpaksalah dia mengalah.
Sedang dia asyik melayan Sofea
sambil menonton rancangan Hi-5, dirasakan ada seseorang yang berdiri
hampir dengannya. Terus dia menoleh ke belakang.
“Seronok nampak.” Aduh.... dia
lagi...... Mulut dia ni kan. Ada je nak sakitkan hati aku. Geram Lara dengan
perangai lelaki seorang ni.
Zarif sedang berdiri berpeluk tubuh.
Pandangannya dituju pada TV yang terpasang. Malas Lara hendak menjawab. Lagipun
ini rumah dia.
“Best ye tengok TV besar, sofa
empuk....” Kata-kata Zarif terhenti.
“Zarif.... nak ikut ke? Mama dan
papa nak pergi beli barang untuk Sofea. Lara pun ikut sekali.” Puan Sri
tiba-tiba muncul di belakangnya. Menepuk bahu Zarif. Lara pula sedang menahan
marah. Nasiblah dia sedar dia berada di mana sekarang ni. Kalau tak, mahu
sahaja dibalas balik kata-kata lelaki biadab ni.
“Boleh jugak. Lagipun Zarif takda
buat apa-apa.” Oh tidak!. Jawapan yang membuatkan dada Lara seperti ditumbuk.
Dia ikut sekali? Aduh.. macam mana ni. Bosanlah macam ni.
“Kita nak pergi mana ibu?” Sofea
bertanya.
“Kita nak pergi jalan-jalan.” Lara
perlu bertenang. Sempat dia menjeling Zarif yang sedang memandangnya. Biarlah
dia. Aku bukan ada hutang apa-apa pun dengan dia. Duit yang aku pinjam dulu pun
dah bayar balik. Siap ada duit lebih lagi.
“Seronoknya.” Suka mereka melihat
Sofea gembira. Puan Sri mengusap lembut pipi Sofea.
“I drive.” Zarif mempelawa
diri untuk memandu. Tak payahlah Pak Mat ikut mereka. Kereta Porsche Cayenne
yang menjadi pilihan Zarif. Ni kereta dia juga ke. Ke kereta Tan Sri. Kalau
kereta dia, kena samak aku balik ni nanti. Harap-harap bukan kereta dia.
Okey ke pakaian aku ni?. Fikir Lara sendiri.
Dikerlingnya pakaian mereka yang lain. Ringkas tetapi tetap nampak bergaya. Dah
nama pun orang kaya. Dah biasa berpakaian seperti itu. Si mamat ni tak
habis-habis dengan kaca mata hitam dia. Bukannya silau sangat pun. Konon hensem
la tu. Tak terpikat langsung aku.
Terkejut Lara tiba-tiba. Dilihatnya
Zarif sedang memandangnya. Dah kenapa pula dia ni?
“Taknak masuk ke?” Laa, patutlah.
Tinggal dia je seorang yang masih tidak masuk ke dalam kereta. Sofea pun dah
elok duduk di dalam kereta.
“Nak masuklah ni.” Sempat lagi Lara
menjawab. Sebaik sahaja pintu di tutup, kereta terus meluncur laju menuju
ke pusat membeli belah.
Kereta memasuki kawasan valet.
Diserahkan kunci kepada pekerja di situ. Senangnya hidup kalau ada duit banyak
ni. Kereta pun orang parkirkan. Tak payah nak tercari-cari parking ni.
Pusat membeli belah One Utama. Sudah
lama Lara tidak ke sini. Kali terakhir semasa dia masih belajar dulu. Bersama
kawan-kawannya menonton wayang di sini. Banyak juga perubahan di dalam. Ada
beberapa kedai yang sudah tidak ada lagi. Sudah bertukar.
Kedai Toys R Us menjadi
tempat persinggahan pertama mereka. Sofea sudah tidak dapat duduk diam. Geram
dia melihat mainan-mainan yang ada. Suka benar Sofea. Habis disentuh semua
benda ketika melaluinya.
“Sofea nak apa?. Nenek dengan Atuk
belikan. Pilihlah sayang.” Makin tersenyum lebar Sofea. Tetapi dia tidak lupa.
Wajah Lara dipandang.
“Ibu... boleh?” Lara mengangguk
sambil tersenyum. “Fea pilihlah dengan nenek. Fea tunjuk nenek mana Fea suka
okey.”
“Jom tunjuk nenek mana Sofea nak.”
Tangan Sofea sudah dicapai. Puan Sri membawa Sofea berjalan di setiap lorong
dalam kedai tersebut. Rambang mata si Sofea dibuatnya.
“Saya pergi sana kejap ye Uncle.”
Lara menunjukkan kedai Watson. Dia mahu membeli pencuci muka dan sedikit barang
sementara menunggu Sofea dan Puan Sri habis memilih.
Tan Sri sekadar mengangguk. Zarif
pula seperti tidak kisah langsung pasalnya. Sibuk dengan Iphone nya dari
tadi. Baik takpayah ikut kalau macam ni. Buat penat badan je. Apalah dia ni.
Baik biar Pak Mat yang ikut. Lagi seronok.
Sedang Lara sibuk mengambil syampu,
dia ternampak seseorang. Zarif. Apa dia buat dekat sini. Tadi bukan dia dengan
Tan Sri ke. Eeeee... menyemak betullah dia ni.
Nak taknak Lara terpaksa juga
melalui tempat Zarif berdiri untuk ke kaunter bayaran. Iskh dia ni. Dah tahu
aku nak lalu, ketepilah sikit. Sengaja Zarif menghalang jalan Lara.
“Encik Zarif... Sila tepi sikit.”
Lara masih memegang barang-barang yang hendak dibeli. Zarif langsung tidak
bergerak. Dia pekak ke apa ni. Suara aku takdalah perlahan pun.
“Tepi sikitlah.” Geram pula rasanya.
Terus Lara menolak sedikit badan Zarif ke tepi.
“Cuba cakap elok-elok sikit. Ni
tak..” Aik... nak elok macam mana lagi mamat ni. Punyalah baik aku bahasakan
diri dia encik lagi. Tipulah sangat kalau tak dengar tadi. Dia memang cari
pasal je kan. Sabar Lara sabar.
Diam lagi elok dari bersuara. Malas
Lara hendak bertekak dengan dia. Nanti pun dia kena balik sekali juga. Tak
pasal-pasal nanti kena tinggal tepi jalan. Bukan betul dia ni. Otak mereng
sikit.
Selepas membayar, segera Lara
kembali mendapatkan Tan Sri yang sedang duduk sambil bercakap di telefon. Baru
sahaja sampai, Zarif pun sama. Dikerling tangannya. Kosong. Habis tu apa dia
beli tadi. Sibuk kat sana buat apa.
“Ibu.....” berlari anak Sofea
mendapatkan Lara. Puan Sri dilihatnya sedang menjinjing sebuah beg kertas
besar. Banyak sangat ke yang Sofea beli ni. Fikir Lara.
“Ibu, nenek belikan banyak mainan
untuk Fea. Cantik-cantik.” Fea sibuk memberitahu padanya. Nampak betul-betul
ceria dia. Lama juga di dalam tadi. Mesti penat Puan Sri melayan kerenah Sofea.
apa lg agenda si zarif lps ni .. waiting next n3
ReplyDeleteYeaayyy...new n3..thanks
ReplyDeletetak sabar rasa nya nak tahu..apa perasaan naim bila dia tahu yang dia ada anak....cant wait......ggrrr geram plak si sengal zariff ni kan...kata benci kata marah kat lara tp yg dia tu asyik menempek je kat lara tu buat apa....saje je nk sakitkan hati lara....lara jgn layan si zariff tu...skrg ni sapa yg terhegeh2...hihihihi...cpt sambungggggg...tak sabar nya nk baca lg...
ReplyDeletebest 3x.
ReplyDeleteegoooo....nanti tersuka padan muka.
ReplyDeleteNanti Naim suka Lara melepas Zarif. Tapi rasanya Lara suka Zarif. Jgn Zarif berkorban untuk Naim....Oh noooo.....
ReplyDeleteKena terus follow cerita ni ye utk tahu apa akan terjadi pada Lara dan Zarif ye.. Dan terima kasih semua atas komen2 positif.
ReplyDelete