My corner's visitor

Wednesday, September 10, 2014

E-Novel : Cinta Hati Sayang - Bab 5

CINTA HATI SAYANG

BAB 5
            “Ini Cik Lara Alina ke?” suara seorang wanita di talian. Nombor yang tidak pernah dia nampak sebelum ini. Nak suruh datang temuduga ke. Bagusnya kalau begitu.

            “Ya saya.”  Lara masih berharap yang panggilan tersebut adalah berkaitan dengan kerja. Siapa lagi pula yang hendak menelefonnya dengan gaya formal. Terlalu formal. Mesti dari pejabat besar ni. Semakin gembira rasa hati.

            “Saya wakil dari Tan Sri Roslan. Sebenarnya cik, Tan Sri nak menjemput cik Lara dan Sofea datang ke rumahnya hari sabtu ni. Makan malam di rumah Tan Sri.” Jelas dan terang segala percakapan wanita tersebut. Satu persatu dipertuturkan.

            Tan Sri Roslan?. Macam pernah aku dengar nama tu. Tapi di mana ye? Lara masih memikirkannya. Rasanya dia orang ternama juga di Malaysia ni. Berapa kerat sahaja Tan Sri yang ada di Kuala Lumpur ni.

            “Pelik. Kenapa tiba-tiba nak jemput saya. Macam mana cik boleh tahu pasal Sofea?” Lara masih ragu-ragu dengan mereka. Mana tidaknya tiba-tiba pulak Tan Sri jemput dia datang rumah. Glamour sangat ke aku ni. Dah rasa macam artis popular pulak.  Memang pelik pun. Takda angin, tiba-tiba pokok bergoyang.

            “Begini cik Lara.. Tan Sri dan keluarga menunggu kedatangan Cik Lara dan Sofea. Kedua-duanya.” Lembut sahaja suara wanita itu.

            “Menunggu kedatangan saya dan Sofea?. Ini ada apa-apa kaitan dengan Sofea ke?” Kenapa pula nama Sofea ditekan. Siapa pula yang hendak merampas Sofea dari tangan aku ni.

            “ Saya tak  boleh beritahu apa-apa pada cik Lara. Biar Tan Sri yang beritahu cik Lara nanti ya. Nanti hari sabtu, driver Tan Sri akan ambil Cik Lara dekat rumah pukul lapan malam.”

            “Betul ke ni?” Lara masih waswas. Kalau melibatkan dia sendiri takpa, ini melibatkan Sofea sekali. Membuatkan hati Lara tidak tenang.

            “Betul Cik Lara. Saya tak tipu. Takkanlah saya nak tipu hal yang berkaitan dengan Tan Sri Roslan. Kalau Cik Lara tak percaya lagi, Cik Lara boleh suruh sesiapa ikut Cik Lara nanti.” Tenang sahaja wanita tersebut berbicara. Ini sedikit sebanyak membuatkan Lara juga kembali tenang.

            “Jangan lupa Cik Lara. Hari Sabtu ni pukul lapan malam. Jangan hampakan Tan Sri sekeluarga. Harap Cik Lara tidak berubah fikiran. Terima kasih. Assalamualaikum.” Macam tahu-tahu je aku nak ubah fikiran. Tapi betul juga katanya. Tidak elok hampakan harapan orang. Musykil Lara. Tan Sri Roslan?. Siapa dia?.

            “Kenapa Lara? Berkerut je dahi tu.” Wati perasan perubahan wajah Lara selepas mendapat panggilan tadi. Dia masih terus menyusun kek-kek untuk diletakkan di dalam tempat yang disediakan.

            “Ni hah. Aku baru dapat jemputan makan malam kat rumah Tan Sri. Mesti kau tak percayakan?. Aku ni lagilah. Macam... betul ke ni?” Lara masih berdiri memegang telefon di tangannya. Pandangannya kini dihalakan tepat ke arah Wati.

            “Tan Sri ajak kau makan malam. Biar betul kau ni? Dia usha kau dari jauh kot?”

            “Iskh kau ni. Ada-ada je. Tan Sri sekeluargalah. Tapi aku rasakan, ni mesti ada kaitan dengan Sofea. Sebab dia suruh aku bawa sekali Sofea.” Kakinya melangkah menghampiri Wati.

            “Habis tu kau pergi ke tak ni?” mereka berpandangan antara satu sama lain sehinggalh Lara bersuara.

            “Aku rasa aku pergi. Aku nak tahu kenapa dia ajak aku dengan Sofea. Kalau aku tak pergi, aku tak tahu nanti.” Ada betul juga cakap Lara tu. Wati juga mengangguk. Memang itu pun yang dia ingin cadangkan. Nasiblah apa yang difikirkan Lara sama dengannya.

            Lusa sudah hari Sabtu. Lara masih buntu dengan pakaiannya. Dia tidak tahu pakaian apa yang sesuai untuk ke sana. Nanti pakai seluar jeans dengan tshirt macam tak hormat majlis. Senang cerita aku pakai baju kurung je lah. Baju kurung di dalam almari dikeluarkan.

            “Fea... okey tak ibu pakai ni?” Fea pusing keliling Lara sambil tersenyum. Wajah comel Sofea terserlah.

            “Cantik sangat. Ibu Fea cantik.” Ikhlas dari hati Sofea. Memang ibunya cantik. Terus dia mendapatkan Lara dan dipaut lehernya. Ciuman hinggap di pipi Lara dari si comel Sofea.

            “Kau okey ke ni?. Nak aku temankan?” Suara Wati siang tadi masih terngiang-ngiang di telinganya. Dia ada menawarkan diri untuk menemani Lara ke sana. Tetapi bagi Lara dia tidak mahu menyusahkan sesiapa. Biarlah dia uruskan sendiri. Insyaallah tiada apa-apa yang terjadi. Lagipun Lara sudah memberikan alamat rumah Tan Sri kepada Wati tadi. Takut jika ada apa-apa yang terjadi padanya atau Sofea.

            Selepas solat maghrib, Lara terus menyiapkan diri. Baju kurung plain berwarna merah jambu yang dihiasi sedikit sulaman di bahagian tangan dan bawah baju disarung ke badan. Solekan nipis disapu ke wajah. Kulitnya yang licin dan bersih membuatkan solekan menjadi mudah dan senang. Rambutnya yang sedikit berikal dibahagian hujung dilepaskan. Walaupun ringkas, tetapi tetap membuatkan Lara kelihatan cantik.

            Sofea pula mengenakan baju kurung cotton berwarna merah jambu juga. Corak yang comel secomel Sofea. Sama warnanya dengan Lara. Rambut ikalnya diikat satu. Biar nampak lagi kemas.

            Mereka sudah bersiap dan sedang menunggu seseorang mengambil mereka. Jam sudah menunjukkan ke angka lapan. Bila-bila masa sahaja telefonnya akan berbunyi.

            Seorang lelaki menghubungi Lara. Katanya pemandu peribadi Tan Sri Roslan. Dia sudah sampai di bawah flat. Menunggu Lara dan Sofea turun.

            Kecut perut juga Lara bila terlihat kereta BMW 7series berwarna hitam sedang menantinya.  Besarnya kereta. Pertama kali dapat naik kereta mahal ni.

            “Ibu... kita naik kereta siapa ni?” Sofea sibuk bertanya bila mereka sudah masuk ke dalam kereta. Pemandu tersebut yang sedikit berumur memperkenalkan dirinya tadi. Sekadar menyuruh Lara memanggilnya Pak Mat.

            “Kereta orang Fea. Kita tumpang kejap. Nak pergi makan dekat rumah dia. Fea jangan nakal-nakal tau nanti.” Lara cuba menenangkan hatinya. Semakin gemuruh dirasakan.

            “Cik Lara jangan takut. Mereka baik-baik orangnya lagi-lagi Puan Sri.” Pak Mat cuba mengurangkan rasa gelisah Lara. Dia tahu Lara tidak senang duduk. Gelisah semacam dari tadi.

            “Pak Mat tahu ke kenapa Tan Sri ajak saya dengan Sofea datang ke rumah malam ni?” Lara sengaja bertanya. Manalah tahu jika Pak Mat tahu akan sebabnya. Dia mencuba nasib.

            Pak Mat sekadar menggeleng. “Pak Mat tak tahu. Pagi tadi baru je diorang beritahu Pak Mat suruh ambil Cik Lara dengan Sofea dekat rumah. Alamat pun baru petang tadi Pak Mat dapat.”

            Hampa dirasakan. Ingatkan Pak Mat tahu sikit-sikit sebab dia dijemput. Masih menjadi teka-teki baginya. Sofea dari tadi asyik memandang ke luar. Mungkin dah lama tak berjalan malam. Pemandangan waktu malam membuatkan Sofea leka. Seronok Lara melihat Sofea gembira.

            Kereta memasuki kawasan perumahan di Damansara. Kiri kanan terdapat rumah banglo. Cantik dan besar. Kereta yang terparkir entah berapa banyak. Semuanya kereta import mahal. Pak Mat masih terus memandu sehingga tiba-tiba memasuki perkarangan sebuah rumah. Dipandang keluar. Rumah banglo besar dengan rekabentuk moden. Terpegun sekejap Lara. Belum lagi bila dia melihat kereta-kereta yang terparkir elok di situ. Ada lebih kurang enam kereta semuanya. Semuanya kereta import.

            Lamunan terhenti bila pintu kereta dibuka dari luar. Dilemparkan senyuman pada Pak Mat yang sedang memandangnya. “Takpa. Pak Mat pun sampai sekarang masih terpegun bila tengok rumah ni.”

            Malunya Lara rasakan. Cepat-cepat dia mengajak Sofea keluar dari kereta. Tangan Sofea dipimpin erat. Beratnya kaki Lara untuk melangkah. Terasa seperti ada batu yang menghimpap kakinya. Lara pula masih sibuk memandang ke sana sini.

            “Cik Lara.. Jom. Pak Mat temankan. Jangan takut Cik Lara.”

            “Pak Mat ni. Tak payahlah ber cik dengan saya. Tadi kan saya dah beritahu. Panggil Lara je Pak Mat.” Tadi Lara ada memberitahu Pak Mat supaya tidak memanggil namanya dengan gelaran Cik. Rasa janggal pula dipanggil begitu.

            “Pak Mat lupa. Jom Lara. Pak Mat teman ke dalam.” Kembali gemuruh perasaannya. Rasa macam hendak patah balik masuk ke dalam kereta. Rasa menyesal pulak datang. Kan bagus kalau tak datang tadi. Takdalah perasaan gemuruh macam ni. Aduh....

            Kakinya terpaksa juga melangkah mengikut Pak Mat yang laju berjalan ke depan. Pak Mat ni tak tahu ke aku tengah takut ni. Dia boleh pulak jalan laju macam kena kejar hantu.

            Ketika Lara berjalan menuju ke pintu rumah, pandangannya tertacap pada sebuah kereta BMW X5 berwarna putih. Macam kereta yang pernah melanggarnya dulu. Ala Lara, kereta macam tu bukannya dia seorang je yang pakai. Ramai lagi. Dibiarkan sahaja. Kereta sama la tu, tapi tuan milik orang lain.

            Pintu dibuka. Pak Mat mengajak Lara masuk. Sebaik sahaja kakinya melangkah masuk, kelihatan seorang lelaki yang berumur menghampirinya. Pandangannya jatuh pada Sofea. Rambutnya sudah beruban. Gaya orang kaya memang ada. Ini ke Tan Sri Roslan? Dia ke yang ajak aku makan malam kat sini?

            “Assalamualaikum.” Lara memberi salam bila masing-masing diam membisu. Pak Mat di sebelah turut sama berdiri kaku. Sofea di sebelah masih memegang erat tangan Lara. Tidak langsung dilepaskan dari tadi. Tahulah Lara yang Sofea sebenarnya sedikit takut. Rumah asing. Mana pernah dia jejak kaki ke sini. Lagilah dengan pandangan orang asing padanya.

            “Waalaikumussallam. Lara Alina? Sofea Yasmin?” Tiba-tiba seorang wanita pula datang menghampiri mereka. Semakin rapat si Sofea pada Lara. Takut si Sofea bila melihat orang yang tidak dikenali hampir dengannya.

            “Ye. Saya Lara Alina. Yang ni Sofea Yasmin.” Lara menjawab pertanyaan wanita tersebut. Rasanya dia ni Puan Sri. Tapi takut pula Lara hendak memanggilnya dengan gelaran itu. Takut salah orang pula nanti.

            Puan Sri masih menundukkan badannya merapati Sofea. Wajah Sofea dipandang lama. Entah tiba-tiba ada air mata yang mengalir di pipinya. Cepat-cepat disapu dengan tangan. Kenapa pula dia menangis ni. Hatinya memberontak untuk bertanya. Apa sebenarnya semua ini?

            Lara memandang Pak Mat. Dia berharap agar Pak Mat faham dengan apa yang hendak ditanyakan. “Tan Sri dan Puan Sri.” Lara sekadar mengangguk sedikit.

            Barulah Lara tahu mereka inilah orang kaya di dalam rumah ini. Merekalah yang beria-ia mengajak Lara ke sini. Pak Mat kemudiannya beredar dari situ. Meninggalkan Lara bersama-sama mereka sahaja.

            “Jom duduk Lara.” Lara mengikut sahaja ajakan Puan Sri untuk ke ruang tamu. Ada sofa empuk diletakkan di situ. Cantiknya hiasan di dalam rumah. Sempat lagi Lara mengerling sekeliling. Dilihatnya Tan Sri juga sudah melabuhkan punggungnya di sebelah Puan Sri.

            “Puan Sri...”

            “No, panggil Auntie je.” Dia memotong kata Lara. Dia tidak mahu ada jurang antara mereka jika Lara memanggilnya dengan gelaran. Dia dapat membayangkan perhubungan mereka akan menjadi bertambah erat nanti.

            “Auntie... kalau boleh saya nak tahu sebabnya saya dijemput ke sini oleh Tan Sri.” Lara perlu tahu segera. Dia tidak betah duduk lama di situ dengan tidak tahu sebab utama dia dijemput.

            “Again. Not Tan Sri. Panggil Uncle je.” Lara semakin tidak senang duduk. Kenapa pula ni. Sofea di sebelah dikerling. Dia masih duduk diam tanpa sepatah kata. Tangan Lara diusap perlahan supaya kurang rasa takutnya.

            “Lara.. Sofea ni memang anak saudara kamu ke?” Tan Sri bertanya dengan suara yang sedikit tegas. Masing-masing memandang Sofea serentak.

            “Ni ibu Fea!.” Sofea yang terlebih dahulu bersuara. Dia memaut lengan Lara kuat. Tidak mahu melepaskannya. Lara tidak menjawab. Cuma menggelengkan kepalanya kepada Tan Sri. Tidak mahu Sofea perasan. Dan dia juga tidak tahu kenapa dia mahu bercakap benar dengan mereka mengenai hubungan dia dan Sofea.

            “Tan Sri.. Puan Sri.. Jemput makan. Makan malam dah siap.” Mak Jah memanggil mereka bila makanan sudah tersedia hidang di atas meja. Mak Jah melemparkan senyuman kepada Lara sebelum berlalu pergi.

            “Jom Lara..Sofea. Kita makan dulu.” Tan Sri mengajak mereka ke ruang makan untuk menikmati makan malam yang telah terhidang.

            “Fea anak ibu kan?” Tersentak Lara mendengar pertanyaan anak kecil itu. Tangan Lara digenggam erat.

            “Ye sayang. Fea anak ibu.” Pipi Lara dicium. Senyuman kembali terukir di bibir Sofea. Lara tidak perasan semua yang berlaku tadi sebenarnya telah disaksikan oleh Tan Sri dan Puan Sri. Betapa sayangnya Sofea pada Lara.

            “Sofea suka makan udang ke?” Sofea terus mengangguk menjawab pertanyaan Puan Sri. Kini hatinya tidak resah seperti tadi. Dia kembali ceria seperti biasa. Cuma rasa takut kerana masih berada di rumah asing.

            “Ibu kopekkan untuk Fea?” Kini giliran Lara pula yang mengangguk. Mereka membalas senyuman.

            “Lara... jom makan. Ambil je udang tu untuk Sofea ni.” Tan Sri menghulurkan mangkuk yang berisi udang kepada Lara. Diambil dan dikopeknya udang tersebut lalu disusun di pinggan Sofea.

            Lauk punyalah banyak. Yang makan berapa orang je. Membazir je. Pada mulanya Lara malu-malu untuk mengambil lauk yang ada, tetapi Puan Sri asyik menghulur mangkuk yang berisi lauk kepadanya. Dia tahu Lara masih segan dengan mereka. Bukan dia tidak perasan. Mana lauk yang dekat dengan Lara, itulah yang diambil. Yang jauh tidak langsung diusik.

            Berselera Sofea makan. Banyak juga udang yang dimakan. Sofea ni memang hantu udang. Pantang jumpa udang. Selalunya Lara akan masak udang yang bersaiz kecil sahaja. Mahal sekarang ni. Tu sebab tak boleh selalu dia masak udang. Bukan seperti udang yang dihidangkan ni. Besar-besar udangnya. Jauh bezalah dengan udang yang selalu dibeli.

            “Zarif mana?” Tan Sri tiba-tiba bersuara. Zarif? Siapa pula Zarif. Anak mereka mungkin.

            “Aahlah bang. Tadi dah suruh Kak Jah panggilkan dia dekat dalam bilik.” Puan Sri menyuruh Mak Jah sekali lagi memanggil Zarif turun. Makan bersama-sama dengan tetamu.

            “Sorry. Zarif tertidur tadi. Penat sangat.” Suara macam kenal. Lara masih tidak dapat melihat wajah lelaki tersebut. Zarif masih berdiri di belakangnya. Dia memerhatikan Sofea dari belakang. Inilah Sofea. Anak Naim. Anak saudaranya.

            “Come Zarif. Join us. Ni mama kenalkan. Lara, ni anak sulung Auntie, Zarif.” Hampir tersembur nasi yang ada di dalam mulutnya. Nasiblah dia sempat menahan. Jika tidak, naya aku. Terpaksalah Lara melemparkan senyuman tawar kepada Zarif bila Zarif tersenyum padanya.

            Dia lagi..... Kenapalah dunia ni kecil sangat. Asyik mamat ni je yang aku jumpa. Jodoh aku dengan dia ke. Oh tidak.....

            Perempuan ni lagi. Apa dia buat dekat sini?. Jangan kata dia yang papa maksudkan tempoh hari. Dia nilah Lara Alina. Kenapa asyik dia je yang aku jumpa. Jodoh aku ke?. No.. not her.

           
           

           
           


8 comments:

  1. alahaiiii sudah jatuh cinta dgn kisah lara sofe n zarif ni...cpt sambung..

    ReplyDelete
  2. Tunggu esok ada entry baru...bertambah semangat nak sambung bila baca komen-komen dari Nira Md.Jaffar, balqiz Zainol & baby mio. TQ semua.

    ReplyDelete
  3. Sis punya buah tangan memang best.Saya mengikuti semua online novel sis. Hope sis berjaya....

    ReplyDelete
  4. Tq abby sha, Aminatuuz Zahrah & Amie Ahmad...... Suka rasanya kalau ada orang yang follow karya saya.. Tq u all...

    ReplyDelete