My corner's visitor

Wednesday, September 24, 2014

E-Novel : Cinta Hati Sayang - Bab 10

CINTA HATI SAYANG

BAB 10

            “Lara tidur dalam bilik ni ye dengan Sofea. Mak Jah dah letak beg Lara dengan Sofea dekat dalam almari tu. Kalau ada apa-apa, Lara ketuk je pintu bilik Mak Jah dekat bawah.”  Mak Jah menunjukkan bilik tidur Lara dan Sofea.

            Cantik, kemas, teratur, gaya moden menghiasi di setiap penjuru bilik termasuklah katilnya. Semuanya nampak baru lagi.

            “Ibu…. Cantiknya bilik kita.”  Lara amat bersetuju dengan pendapat Sofea itu.  Memang dia sendiri memuji di dalam hati.

            “Sofea suka tak?” Mak Jah bertanya pada Sofea bila dilihatnya si Sofea asyik memerhati sekeliling bilik. Sofea mengangguk riang.

            “Ni bilik ibu. Bilik Sofea tak siap lagi. Lagi cantik tau.” Kata-kata Mak Jah itu memberi maksud yang mendalam pada Lara. Bilik aku? Bilik Sofea? Apa maksud semua ini?

            “Mak Jah…. Apa maksud Mak Jah bilik saya dan bilik Sofea? Ni bilik tetamu kan?” Lara sedikit keliru.

            Mak Jah terkebil-kebil di situ.  Salah dia juga kerana terlepas cakap. Sekarang ni dia terpaksa menerangkan kepada Lara. “Mak Jah tak boleh beritahu Lara perkara ni. Mak Jah minta maaf ye. Anggap sahaja yang Lara tak dengar apa yang Mak Jah cakapkan tadi ye.  Mak Jah turun dulu.”

            Laju sahaja Mak Jah meninggalkan Lara di situ. Tidak sempat untuk Lara menahannya. Lara menutup rapat pintu bilik. Dia mencari Sofea. Kelibat Sofea tidak kelihatan.

            Tup… baru dia perasan di mana Sofea berada. Sofea sudah tertidur di atas katil besar dan empuk itu. Berselimut bagai. Suasana bilik yang aman dan nyaman membuatkan mata Lara turut mengantuk. Lara menukarkan baju tidur Sofea.  Selepas dia menyelesaikan Sofea, dirinya pula yang perlu dibersihkan.

            Aduh…. Haus pula. Malas pulak nak bangun dan turun ke dapur.  Tapi dia tiada pilihan lain. Terpaksa jugalah dia menuruni katil. Wajah Sofea yang sedang nyenyak tidur diamati. Comel sangat. Dicium perlahan dahinya takut jika dia tersedar.

            Kaki melangkah menuruni tangga rumah. Lampu tangga dipasang. Takut juga sebenarnya Lara hendak turun. Bukan dia biasa dengan keadaan rumah besar ni.  Digagahkan juga untuk terus ke dapur. Tekaknya memang terlalu dahaga. Kalau di rumah, dia akan letak botol air di sebelah katil. Senang untuk dia minum jika dahaga.

            Baru sahaja Lara hendak membuka peti ais, dia dapat rasakan ada seseorang yang memerhatinya. Dekat.  Takkan hantu pulak. Seram sejuk Lara rasakan ketika itu. Pintu peti ais dibuka supaya ada cahaya yang menyinar sedikit ruang dapur.

            Bukkk… ada seseorang yang menghalang Lara untuk membuka peti ais tersebut. “Siapa ni?” Lara memberanikan diri bertanya.

            “Buat apa dekat sini?” Suara yang cukup dia kenali. Carl Zarif.

            “Saya… Saya nak minum.” Lara tidak betah berada dekat dengan Zarif. Hilang terus rasa dahaganya tadi. Rasa ingin terus naik ke bilik sekarang juga.

            “Maksud aku, apa kau buat dekat rumah aku ni. Malam-malam buta ni?” Lara tersalah faham. Dia ingatkan Zarif bertanya apa dia buat sekarang ni dekat dapur. Rupa-rupanya tidak.

            Lengan Lara dicengkam. Wajah Lara dipandang walaupun dalam samar-samar.

            “Uncle dengan Auntie yang ajak tidur sini.” Lara masih cuba melepaskan cengkaman Zarif pada lengannya. Bukannya perlahan dia mencengkam. Kuat.

            “Owh, Uncle dengan Auntie…. Sejak bila pula diorang jadi Uncle dengan Auntie kau ni.” Zarif sudah mula cuba menaikkan marah Lara.

            “Eh, apa-apa jelah. Tan Sri ke, Uncle ke, Puan Sri ke, Auntie ke, orang yang sama jugak. Diorang yang ajak saya dengan Sofea tidur sinilah. Ingat saya suka-suka nak tidur sini. Lagi-lagi kalau awak ada. Tak aman hidup saya, tau tak?!”

            Lampu terpasang. Kedengaran suara Mak Jah. “Encik Zarif?.. Lara?...”

            Zarif masih tetap memandang Lara. Hanya Lara sahaja yang sudah mengalihkan pandangannya kepada Mak Jah. Tangan Zarif ditolak kasar dari terus berada di lengannya.

            “Saya naik dulu Mak Jah.” Lara meninggalkan Zarif dan Mak Jah. Masih ada lagi perasaan marahnya pada Zarif. Tak sayang mulut langsung mamat tu. Merungut Lara sepanjang perjalanannya ke bilik.

            “Encik Zarif nak apa-apa ke? Mak Jah tolong ambilkan.” Zarif sekadar menggeleng kepalanya. Dia juga turut sama menaiki tangga untuk ke biliknya. Meninggalkan Mak Jah keseorangan tertanya-tanya. Apa sebenarnya yang terjadi tadi antara mereka tadi.

            Dia sebenarnya tahu mamanya ada mengajak Lara dan Sofea bermalam di rumah mereka. Cuma dia sengaja berpura-pura tidak tahu. Sengaja hendak menyakitkan hati Lara. Rasa seronok bila dapat buat dia marah.
           

            “Lara, tak payahlah tolong Mak Jah. Nanti apa pulak kata Tan Sri dengan Puan Sri bila nampak nanti.” Mak Jah menghalang Lara dari membantunya menyediakan sarapan.

            “Kalau diorang tanya, saya cakaplah yang saya sendiri nak tolong. Bukan Mak Jah yang suruh. Jangan takutlah Mak Jah. Ni mihun ni nak letak dekat mangkuk mana?” Lara masih tetap mahu menolong. Hendak atau tidak terpaksalah juga Mak Jah menghulurkan mangkuk untuk diisi mihun goreng yang masih di dalam kuali.

            “Ehem.” Laju mereka menoleh ke belakang bila terdengar seseorang berdehem.

            “Selamat pagi Encik Zarif. Sarapan belum siap lagi. Encik Zarif nak minum apa-apa ke? Mak Jah buatkan.” Mak Jah yang sibuk melayan Zarif. Lara pula menarik muka. Malas dia hendak memandang wajah Zarif. Buat sakit hati lagi adalah. Hal malam tadi pun masih segar di ingatannya. Mihun yang sudah dikaut diletakkan di atas meja yang sama Zarif duduk. Wajah Zarif langsung tidak dipandangnya.

            “Siapa yang masak mihun ni?” tanya Zarif sambil mengangkat mangkuk tersebut.

            “Mak Jah yang masak. Kenapa Encik Zarif tanya?” Pelik pula perangai Zarif ni. Tiba-tiba pula sibuk di dapur. Kalau tidak memang jarang dia masuk ke dapur bila orang tengah masak.

            “Nasib Mak Jah yang masak. Kalau orang tu masak, taknak saya makan.” Selamba sahaja wajah Zarif. Dia mengerling pada Lara yang masih membelakanginya. Mak Jah terdiam. Tidak tahu apa yang perlu dia buat. Sesekali dipandangnya wajah Lara yang sudah berubah.

            “Mak Jah, saya naik atas dulu. Nak tengok Sofea dalam bilik.” Lara menahan sabar. Kalau ikutkan hati, hendak sahaja dicekik-cekik si Zarif ni.

            Dia nekad. Selepas sarapan nanti, dia akan balik ke rumahnya. Tidak mahu tinggal di sini lama-lama. Buat sakit hati je.

            Selepas memandikan Sofea, mereka turun ke bawah. Tan Sri dan Puan Sri sedang menunggu mereka di meja makan. Mana Zarif? Tidak nampak pun dia.

            “Selamat pagi Lara. Selamat pagi comel Nenek ni. Sofea dah mandi?” Puan Sri mencium pipi Sofea. Tangannya masih menyentuh lembut pipi comel Sofea.

            “Selamat pagi Nenek.. Selamat pagi Atuk.” Kini giliran Tan Sri pula yang mencium dan memeluk Sofea. Sukalah Sofea. Ada orang yang sayang padanya.
            Mereka bersarapan bersama. Zarif pula entah ke mana. Tenang sikit rasa hati bila lelaki tu tiada sama. Tersenyum sendiri Lara.

            “Kenapa tak tunggu sampai tengahari? Makan sini dulu.” Tan Sri cuba memujuk Lara. Memang dia hendak balik ke rumahnya. Malas jika terserempak lagi dengan si Zarif tu. Tidak senang duduk dibuatnya.
            “Lara ada kerja nak buat dekat rumah tu. Nanti lain kali Lara bawa Sofea datang sini lagi ye.” Diusap rambut Sofea yang duduk disebelahnya.

            “Lara tunggulah Pak Mat balik. Dia pergi pasar kejap.” Puan Sri pula yang cuba menghalang Lara. Memang tadi ada dia dengar Mak Jah memberi senarai barang-barang yang perlu dibeli. Rasanya macam lama lagi je. Sebab macam panjang senarai tu.

            “Takpalah Auntie. Lara boleh naik teksi je. Lagipun jalan pagi-pagi ni elok untuk kesihatan.”

            “No, kejap Auntie telefon teksi.” Baru sahaja Puan Sri mahu mengambil telefon di atas meja, dilihatnya Zarif sedang menuruni tangga. Sudah bersiap untuk keluar nampaknya.

            “Hah, Zarif…. Nak keluar ke?” Puan Sri mendekati Zarif.

            “Yes Ma. Zarif nak keluar kejap. Kenapa?” pandangan Zarif terus jatuh pada wajah Lara di sebalik pintu. Kenapalah mata ni asyik nak tengok dia je. Arghhh…

            “Zarif hantar Lara dengan Sofea balik boleh? Pak Mat pergi pasar ni. Takut balik lambat. Dia nak tunggu teksi dekat bawah sana, tapi mama tak bagi. Boleh tak Zarif?” Zarif tidak menunggu lama untuk mengangguk. Lega hati Puan Sri. Ingatkan susah nak pujuk anak bujangnya ni, rupa-rupanya mudah sungguh.

            “Lara, Zarif hantarkan ye. Dia pun nak keluar ni.” Rasa terhenti nafasnya. Biar betul dia ni. Sebab dialah aku nak balik cepat. Taknak jumpa dengan dia. Sekarang ni pulak, dia yang akan hantar aku balik. Macam mana ni…….

            “Eh, takpalah Auntie. Lara boleh balik sendiri. Lagipun Zarif mesti nak cepat tu. Takpa. Lara boleh balik sendiri.” Nak naik kereta dia ni. Mahu keras aku dalam kereta tu nanti. Gerak sikit je nanti mesti ada yang tak kena.

            “Saya hantarkan. Jom.” Lembut sahaja suara Zarif. Lara tak percaya dia dah berubah. Mesti dia berlakon sahaja depan Tan Sri dan Puan Sri. Baru pagi tadi dia kutuk aku. Cepat sangat dia jadi baik. Tipulah semua ni. Lakonan semata-mata.

            “Ibu, jomlah.” Agaknya Sofea pun malas nak lihat aku berdolak dalik. Lama sangat.

            “Okey Sofea, nanti datang sini lagi tau. Nenek dengan atuk rindu nanti dekat Sofea.” Puan Sri memeluk Sofea lama.

            “Fea pun sayang nenek ngan atuk.” Fea membalas pelukan Puan Sri. Dan selepas itu memeluk Tan Sri pula. Kasih nenek dan atuk pada cucunya.

            Lara sekadar memerhatikan mereka. Begitu juga dengan Zarif.

            “Lara, nanti datang lagi tau. Jangan segan-segan. Datang je.” Tan Sri menepuk perlahan bahu Lara selepas bersalaman. Dia cuma boleh tersenyum hambar. Apa tidaknya, dirasakan gerak gerinya sekarang ini diperhatikan Zarif.

            Di dalam kereta masing-masing diam membisu. Hanya kedengaran muzik yang dipasang sejak tadi. Empuknya kereta si Zarif ni. Besar pulak tu. Seronoknya badan kalau dapat kereta macam ni. Semuanya masih cantik lagi. Berkilat.

             “Ni mama yang suruh hantar. Ikut hati memang taknak. Where’s your house. Cepatlah.” Sudah Lara agak. Mesti dia tidak ikhlas menghantar balik. Mesti Puan Sri yang mendesaknya.

            “Berhenti dekat sini.” Suara Lara agak tegas. Hatinya sudah tidak tahan lagi mendengar nada suara Zarif.  Tadinya nyaman dirasakan kini sudah tidak lagi. Panas. Semakin membara.

            “Mana rumahnya?” Zarif mencari-cari rumah Lara. Tiada rumah di situ. Hanya deretan kedai. Takkanlah dia tinggal dekat rumah kedai begini.

            “Berhenti jelah. Kalau tak ikhlas, tak payah hantar. Saya boleh balik sendiri.” Wajah Zarif dipandangnya. Dia tahu Zarif bukan kisah pun pasal dia dan Sofea. Selamat atau tidak.

            “As you wish.” Kereta berhenti di bahu jalan. Cepat-cepat Lara membuka pintu kereta dan keluar. Sambil mendukung Sofea, Lara berjalan laju menjauhi kereta Zarif. Tiada langsung kata-kata yang keluar dari mulutnya. Tidak lama selepas itu, dilihatnya kereta Zarif meluncur laju meninggalkan mereka. Sudah dia agak pun. Zarif hati batu. Mana ada perasaan simpati pun.

            Lara sebenarnya hampir menangis diperlakukan sebegini. Kalau dia tak kesian dekat aku ni takpa, tapi tolonglah kesiankan si Sofea ni. Dia budak kecil lagi. Aku benci kau Carl Zarif.

            Dia balik naik apa?. Sunyi ke kawasan tadi? Sebenarnya terbit juga rasa kesian bila melihat Lara mendukung Sofea keluar dari kereta tadi.  Tapi itu semua salah dia. Dia yang buat hati aku ni panas. Siapa suruh.  

            Akhirnya Zarif tidak sampai hati. Dia berpatah balik ke tempat dia menurunkan Lara tadi. Berharap yang Lara masih ada di situ.

            Sampai sahaja di situ, Zarif mencari-cari kelibat Lara. Tiada. Mana pula dia pergi ni. Puas juga si Zarif mencarinya. Ah, biarlah dia. Buat apa aku nak cari dia sangat ni. Zarif memarahi dirinya sendiri. Kereta BMW miliknya terus meninggalkan tempat itu untuk ke destinasi seterusnya.

            Lain kali kau jangan percaya cakap dia tu. Memang dah agak yang dia tidak pernah ikhlas dengan kau. Ada sahaja yang tidak kena di matanya. Dia memang benci kau Lara Alina.  Lara cuba bertenang.

            Lara dan Sofea sudah selamat sampai ke rumah mereka. Nasiblah ada teksi yang lalu tadi. Terus membawa mereka pulang.
           

            Sudah hampir dua minggu Lara tidak datang ke rumah besar milik Tan Sri Roslan. Setiap kali Puan Sri menelefon dan mengajak Lara ke rumahnya, setiap kali itu jugalah Lara akan memberi seribu satu alasan. Mereka hanya berhubung melalui telefon sahaja. Berbual dengan Sofea untuk menghilangkan kerinduan pada satu-satunya cucu yang dia ada.

            Lara tidak mahu kehadirannya di rumah tersebut tidak disukai. Biarlah dia yang mengalah. Memang sakit hati bila teringatkan kata- kata pedas yang keluar dari mulut Zarif. Tetapi memang betul pun. Dia memang berhak ke atas rumah tersebut.

            “Abang.. Apa kata kita pergi rumah Lara? Dah lama saya tak jumpa dengan mereka berdua.” Puan Sri cuba memberi cadangan. Harap-harap suaminya setuju dengannya.

            “Bagus juga macam tu. Kita pergi rumah dia. Nanti minta Pak Mat hantarkan. Dia tahu mana Lara tinggal.” Suka Puan Sri mendengarnya.

            “Pergi mana Pa…Ma..” Zarif bertanya pada kedua ibu bapanya.  Dia baru turun dari bilik selepas membersihkan diri.

            “Mama ni… Dia rindu sangat dekat Sofea dengan Lara. Nak ajak Papa pergi rumah mereka.” Tan Sri menyentuh lembut bahu Puan Sri.

            Lara… Dia tidak mendengar langsung berita tentangnya. Sama juga Sofea. Rasanya mereka tidak lagi datang ke sini selepas kejadian tempoh hari. Marah benar si Lara pada Zarif.

            “Kalau Zarif ikut boleh ke Pa.. Ma?” Zarif sendiri tidak tahu kenapa dia mahu mengikut. Dia sendiri tidak faham dengan perasaannya sendiri.

            Puan Sri yang mula-mula berubah wajah. Dipandangnya wajah Zarif. “Anak mama ni betul ke? Betul ke nak ikut ni?”

            “Aah Zarif. Betul ke kamu nak ikut ni?” Tan Sri pula yang mencelah.

            “Yes, I am.” Zarif tidak mahu memanjangkan lagi perkara tersebut. Dia mahu melihat sendiri rumah sewa Lara. Tempat berteduh Lara selama ini.
           

           
           
           


8 comments:

  1. ngok la si zariff ni..... tak tau ujung pangkal terus berdendam.... main percaya jer....

    ReplyDelete
  2. betul2 xsabar tunggu next entry laa...hari2 tgk blog...cepat2 sambung yaaa...nk tau kisah Lara n Zariff ni...

    ReplyDelete
  3. Semangat nak sambung cerita ni bila terima komen2 yang macam ni. Tq suma.. Terus follow ye. Nanti ada part sedih sangat untuk Lara.

    ReplyDelete
  4. Biarlah Lara rapat dgn adik Zarif utk mengubati lukanya... Rasanya kakak Lara bukan org jahat tapi dianiayai...oleh org lain. Kemalangan mereka pasti sebab dendam.

    ReplyDelete
  5. Ish geram pulak dgn zarif ni....rasa nk luku je kepala dia....cian lara...emo jap...hahaha....
    Best sgt hairynn cite ni....nk lg...lg...lg

    ReplyDelete