My corner's visitor

Tuesday, September 2, 2014

E-Novel : Cinta Hati Sayang - Bab 1

As salam and Hi semua.... KTM masih dalam penilaian pihak KaryaSeni ye. Moga-moga diterima hendaknya. Aminnnn....

Jom follow cerita baru ye.

CINTA HATI SAYANG

Carl Zarif bin Tan Sri Roslan vs Lara Alina binti Abd Majid


CINTA HATI SAYANG

Bab 1

            Jam sudah menunjukkan ke angka sepuluh. Carl Zarif masih berada di pejabat menyiapkan kerja yang tertangguh. Menimbun kerja-kerja yang perlu disemak. Sebagai pengurus syarikat dan salah seorang pemegang saham terbesar di syarikat Kalam Holdings, Zarif perlu memantau kerja-kerja pekerjanya. Dari dulu lagi dia tidak pernah memberikan sepenuhnya kepercayaan kepada mereka. Dia sendiri perlu sesekali memerhatikan kerja mereka.

            Fikirannya sudah tidak dapat ditumpukan pada komputer di hadapan. Itu bermakna sudah cukuplah kerja untuk hari ini. Esok sahaja akan dia sambung kerja yang masih banyak menunggu untuk disemak. Dia amat teliti dalam menyemak dokumen-dokumen terutamanya yang melibat wang syarikat. Tidak mahu terjadi sebarang penipuan.

            Komputer ditutup. Fail-fail disusun rapi di tepi meja. Dia akan pastikan mejanya kemas dan tersusun setiap kali sebelum pulang. Itulah perangai Zarif yang membuatkan semua pekerja di situ terikut sepertinya. Zarif mengambil beg kerja yang diletakkan di tepi. Tiada seorang pun pekerjanya yang masih berada di situ. Semuanya sudah selamat balik ke rumah masing-masing. Lampu bilik dipadam dan pintu dikunci.

            Itulah rutin harian Carl Zarif bin Tan Sri Roslan. Setiap hari dia akan pulang lewat. Kalau balik awal pun, tiada apa yang menunggunya di rumah. Lebih baik dia di pejabat. Cuba menghabiskan kerja-kerjanya.

            “Zarif…. Dah makan ke?” Buka sahaja pintu rumah, kedengaran suara Puan Sri Zainab dari ruang tamu rumahnya. Dihalakan langkah menghampiri mama kesayangannya.

            “Kenyang lagi Ma. Nanti kalau lapar pandailah Zarif cari makan kat dapur tu. Mama seorang je?. Papa mana? Naim? Dia okey tak hari ni?” Zarif menyandarkan badan di sofa empuk sambil melunjurkan kaki. Lenguh pula dirasakan kakinya hari ini. Mungkin sebab tadi dia keluar ke tapak projek. Mana tidaknya dari pagi hingga petang asyik berjalan sahaja.

            Tangan mamanya diusap. Sudah lama Zarif tidak bermanja dengan Puan Sri. Jika dia pulang selalunya Puan Sri sudah masuk tidur. Jarang dia dapat berjumpa dengan mamanya kecuali waktu bersarapan. Itupun jika dia sempat bersarapan di rumah. Selalunya dia bersarapan di pejabat sahaja. Masa amat penting buat Carl Zarif.

            “Naim. Mama tak tahu nak buat apa lagi dengan dia. Suruh makan dia tak mahu. Asyik terperuk dalam bilik tu je.” Pandangan Zarif dihala ke tingkat atas. Itu sebenarnya yang merungsingkan Puan Sri. Anak lelaki keduanya.

            “Zarif naik atas dulu Ma. Zarif tengokkan dia ye. Mama jangan risau sangat. Jaga kesihatan tu. Papa mana?” Sejak dari tadi Zarif tidak nampak kelibat Tan Sri. Selalunya waktu-waktu begini Zarif akan terserempak dengannya.Kadang-kadang waktu malam begini sempat lagi Tan Sri dan Zarif berbincang tentang kerja. Ada sahaja benda yang hendak dibincangkan kalau melibatkan syarikat.

            “Papa ke Singapura tengahari tadi. Projek dekat sana ada masalah sikit. Dua tiga hari dekat sana.” Zarif sekadar mengangguk. Dia tahu perangai Tan Sri. Sama sepertinya. Tidak akan rasa tenang jika tidak pergi melihat sendiri masalah yang timbul. Susah untuk mempercayai orang lain. Projek melibatkan berjuta-juta ringgit.

            Selepas mencium pipi Puan Sri, Zarif melangkah menaiki tangga ke atas. Walaupun badannya terasa amat letih, tetapi digagahkan juga. Terus dia menuju ke bilik Naim. Zarif cuma ada dua orang adik sahaja. Carl Naim dan Carlissa Laila. Kini hanya Naim yang tinggal bersama mereka. Lissa pula sedang menyambung pelajaran di Perth, Australia. Baru setahun dia di sana. Mengambil jurusan perniagaan.

             Berkali-kali pintu diketuk. Tiada bunyi suara pun dari dalam bilik. Sekali lagi pintu diketuk. Zarif nekad untuk membuka sahaja pintu bilik adiknya. Hatinya sedikit resah bila adiknya tidak menjawab. Selalunya kalau dia tidur pun, mesti terjaga bila ada orang mengetuk pintu bilik.

            “Get out!” Zarif dihalau sebaik sahaja kakinya melangkah masuk. Lampu tidak dipasang. Gelap sungguh bilik Naim. Tiada cahaya yang masuk. Langsir ditutup rapat. Zarif tidak peduli dengan arahan adiknya itu. Suis lampu ditekan.

            “Naim!.. What are you doing?” Bagi balik pisau tu?! Jangan jadi bodoh!.” Buka sahaja lampu bilik, kelihatan Naim sedang memegang sebilah pisau Dari mana dia mendapat pisau tersebut masih menjadi tanda tanya. Arghhhh.. Yang penting sekarang bagaimana hendak merampas pisau tersebut dari tangan adiknya. Nyawa adiknya lagi penting sekarang ni.

            “Ya Allah Naim….. Sudahlah sayang. Ingat Allah sayang.” Laju Puan Sri mendapatkan mereka bila suara Zarif kuat kedengaran. Tahulah Puan Sri mesti ada yang tidak kena dengan anak keduanya itu. Cemas dan takut masing-masing.

            “Naim….bagi abang pisau tu. Ingat Allah Naim. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Naim jangan ambil tindakan macam ni. Mengucap Naim.” Zarif perasan air mata Naim sudah mengalir keluar. Dapat dilihat matanya sedikit merah bila sahaja lampu dibuka tadi. Zarif masih cuba memujuk adiknya untuk menyerahkan pisau tersebut. Puan Sri di sebelah sudah menangis ketakutan. Emak mana yang sanggup melihat anaknya tertekan begini.

            Akhirnya setelah puas dipujuk, Naim melepaskan pisau tersebut dari tangannya. Jatuh ke lantai. Naim masih duduk terdiam di atas kerusi roda. Cepat-cepat Zarif mengambil pisau tadi dan memberikan kepada Mak Jah, orang gaji di rumah tersebut.

            Puan Sri terus mendapatkan Naim dan memeluknya. Anak keduanya yang ditimpa kemalangan jalan raya dua tahun lepas. Sudah dua tahun Naim begini. Sudah banyak kali Tan Sri membawa Naim berjumpa dengan doktor pakar. Tiada perubahan. Dia suka menyendiri di dalam bilik. Tekanan perasaan. Sehingga sekarang Tan Sri masih tidak memaafkan orang yang telah menyebabkan anaknya jadi begini. Dendam padanya masih tidak hilang.

            Zarif buntu. Dia tidak tahu bagaimana caranya dia boleh mengubati adiknya. Naim bukan begini dulu. Dia sudah banyak berubah. Jauh bezanya dengan dulu.

            “Naim dah tak boleh jalan. You faham tak abang?” Sekali lagi Zarif diajukan soalan yang sama. Soalan yang selalu dilemparkan adiknya setiap kali dia tertekan.

            “Ya abang faham. Semua orang faham. But please Naim. Bukan cara ni nak selesaikan masalah tu. You need to be strong Naim. You can. I know you can.” Zarif cuba memujuk adiknya. Bahu adiknya ditepuk berulang kali. Walaupun sudah berapa kali Zarif menyedarkan Naim, tetapi dia tidak pernah berputus asa. Mungkin suatu hari nanti Naim akan menerima nasihatnya. Bersyukur sangat jika itu yang terjadi.

            “Hana jahat. Dia yang sebabkan Naim jadi macam ni. I hate her.” Hana… Seseorang yang pernah bersama-sama keluarga mereka dulu. Kini tiada lagi. Dia pergi meninggalkan semuanya tanpa sebarang pesanan.

            Hana Kamila binti Abdul Majid.

            Nama yang akan diingat sampai bila-bila. Dialah punca semuanya.


            “Berapa ye bang?” Perempuan di hadapan Zarif sedang mengeluarkan duit dari dalam begnya.

            “Sembilan belas ringgit.”  Zarif sekadar memerhatikan sahaja perempuan tersebut yang masih sibuk mencari-cari sesuatu dari dalam begnya.

            “Aaa…. Saya tak jadi belilah. Maaf ye.” Wajah juruwang tersebut sudah berubah. Sedikit berang kelihatan. Dia masih mencari lagi. Mungkin mencari beg duitnya.

            “Takpalah saya bayarkan. Sekali dengan yang ni.” Zarif sekadar membeli air mineral yang cuma berharga dua ringgit sahaja. Pantas perempuan tersebut memandang Zarif. Tidak disangka pula ada lagi lelaki yang baik hati di dunia ini. Sanggup membayarkan untuknya.

            “Eh takpa encik. Banyak ni.” Segan pula dia dengan Zarif. Kalau setakat dua tiga ringgit dia sendiri pun tak kisah. Ni sampai sembilan belas ringgit.

            “Kira je dik.” Zarif sebenarnya hendak cepat. Dia tidak kisah pun hendak membayarkan barang-barang tersebut. Berapalah sangat pun. Kesian pula dia melihat wajah perempuan tersebut. Entah mana perginya beg duit. Tercicir atau memang sengaja hendak meminta simpati. Ah, biarlah dia.

            Pantas betul Zarif menghulurkan duit kertas lima puluh kepada juruwang tersebut. Bakinya dipulangkan.

            “Encik, terima kasih banyak-banyak. Rasanya beg duit saya tertinggal dekat rumah. Encik bagi nombor telefon, nanti saya pulangkan balik duit tadi.” Zarif menghulurkan beg plastik yang mengandungi barang miliknya. Dia terus berjalan menuju ke kereta BMW X5 berwarna hitam yang elok terparkir di seberang jalan.

            “Encik?” Kuat sedikit suaranya memanggil. Pekak ke dia ni?. Dia masih mengejar Zarif hingga ke kereta. Tidak puas hati selagi tidak mendengar suara lelaki tersebut.

            “Tak perlu. Saya belanja.” Zarif terus masuk ke dalam kereta. Sempat Zarif mengerling pada baju yang dipakai. Ada nametag tersemat di baju. Lara. Cantik nama tu.

            Lara… Macam familiar pula nama tu. Tapi tidak dia ingat di mana. Ah, biarlah. Malas Zarif hendak cuba mengingatnya.

            Lara berlari anak pulang ke rumah. Dia perlu mengambil Sofea dari taska. Jika lambat dia perlu membayar overtime kepada taska tersebut. Dia bukannya banyak duit pun untuk dihabiskan ke situ. Banyak lagi benda yang lebih memerlukan duitnya.

            “Sofea!....” Lara menjerit memanggil budak kecil yang diberi nama Sofea Elena. Memang kebiasaan setiap petang bila Lara datang mengambil Sofea, dia akan menjerit memanggil Sofea.

            “Fea nakal tak hari ni?” dipeluk cium si Sofea yang baru berumur tiga tahun.

            “Fea tak nakal hari ni ibu. Fea baik. Betul tak Kak Mie?” keletah si Sofea sentiasa mencuit hati Lara. Ketawa si Hasmi, pekerja di situ yang sangat rapat dengan Sofea.

            “Betul. Fea tak nakal hari ni. Fea budak baik hari ni.” Hasmi mengusap lembut kepala Sofea yang sedang dipeluk Lara. Semakin sayang Lara pada Sofea. Hilang segala penat bekerja bila melihat wajah comel si kecil Sofea.

            “Terima kasih Kak Mi. Jumpa esok ye. Assalamualaikum. Jom Fea. Kita balik.” Beg baju Sofea diambil. Disangkut di bahu kanannya. Sofea berjalan sendiri. Tangan kecilnya kuat menggenggam tangan ibunya.

            Taska Sofea tidak jauh dari rumahnya. Hanya berjalan kaki sahaja. Jimat katanya. Sudah bertahun-tahun lagipun Sofea dihantar di situ. Itu sebabnya Hasmi memang rapat dengan Sofea. Pekerja yang paling lama bertahan. Yang lain kebanyakkannya sudah berhenti kerja.

            Mereka tinggal di rumah flat di tingkat satu. Itu sahaja yang Lara mampu. Cukuplah bagi Lara. Dapat tempat tinggal yang sempurna baginya sudah bagus. Tidak kisahlah kecik atau besar. Yang penting Sofea bersama-samanya.

            Plastik yang dibawa tadi diletakkan di atas meja. Terus Lara teringat akan wajah lelaki tadi. Macam pernah dia lihat sebelum ini. Tapi di mana ye. Mungkin pernah berselisih semasa berjalan kot. Mungkinlah. Wajah kacak lelaki tadi. Tidak sempat Lara bertanyakan namanya. Ala Lara oi, entah jumpa lagi entah tak mamat ni. Entah-entah suami orang. Iskh… selisih empat puluh empat malaikat jauhkan.

            Takpalah, dah dia taknak duit ganti. Biarlah. Anggaplah rezeki aku ye. Beg duit dicium. Jimat hari ni.

            “Ibu masak sup ayam ye malam ni. Fea nak tak?”

        Sofea yang sedang menonton rancangan kesukaannya, Upin Ipin langsung tidak mengendahkan pertanyaan Lara. Khusyuk benar dia duduk di depan TV. Memang Lara akan mengalih rancangan kartun untuk Sofea. Biar dia duduk diam di situ. Senang bagi Lara mengemas rumah. Tiada gangguan.

            Selepas menyuapkan Sofea makan, Lara pula yang menyambung makan. Malas Lara hendak memberi Sofea makan sendiri. Habis terabur satu rumah nanti. Lebih baik dia yang suap. Banyak sikit si Sofea ni makan kalau orang suapkan.

            “Ibu, Fea ngantuklah. Fea nak tidur.” Lara yang sedang mengemas dapur kembali ke depan. Dilihatnya Sofea sudah terbaring di atas sofa.

            “Sofea tidur kat atas tu dulu ye. Lepas kemas dapur ibu dukung Fea masuk bilik. Ibu tutup lampu.” Lampu yang menyinari ruang tamu sudah ditutup. Hanya lampu dapur terbuka.  Lara kembali mengemas dapur.

            Wajah Sofea ditatap lama. Wajah anak kecil yang tidak tahu apa-apa. Sayu setiap kali melihat wajah Sofea. Dicium berkali-kali pipi lembut Sofea. Selepas meletakkan Sofea di atas katil, Lara cepat-cepat pergi mengambil wuduk dan bersembahyang Isyak. Dia juga mahu memeluk Sofea tidur. Sayangnya pada Sofea tidak terhingga.

            Malam itu Lara tidak tahu bagaimana wajah lelaki tadi masuk dalam mimpinya. Mimpi indah. Mimpikan dirinya dengan lelaki tersebut. Dikelilingi beberapa orang kanak-kanak. Terpancar jelas wajah gembira lelaki tersebut.

            Astaghfirullahalazim. Beristighfar Arina selepas terjaga dari tidurnya. Mimpi ni mainan tidur. Dilihatnya jam baru pukul tiga pagi. Sofea di sebelah dipandang. Nyenyak betul si Sofea tidur sambil memeluk pinggang Lara. Lara kembali melelapkan matanya. Berharap dia tidak akan bermimpikan lelaki itu lagi.


            “Lara!.. kakak kau…..” Lara yang baru keluar dari dewan kuliah di tarik ketepi oleh kawannya. Berpeluh-peluh si Johan berlari mencari Lara dari tadi. Telefon tidak diangkatnya.

            “Cuba tenang sikit beb. Kenapa ni? Kakak aku kenapa?” Walaupun Lara menyuruh Johan bertenang, tetapi hatinya sendiri yang gelisah. Gelisah selagi tidak tahu apa yang terjadi pada kakaknya. Mesti ada perkara yang tidak baik berlaku.

            “Dia…. Dia accident kat depan tu. Baik kau pergi cepat ke hospital. Parah jugak kakak kau Lara. Sabar ye. Jom aku hantarkan.” Hampir terduduk Lara mendengarnya. Setiap perkataan yang keluar dari mulut Johan terasa sangat pedih. Lara tidak dapat berfikir apa-apa. Dirasakan kakinya tidak jejak ke tanah semasa melangkah mengikut Johan ke keretanya. Laju langkahnya.

            Dalam perjalanan ke hospital, mereka melalui kawasan kemalangan tadi. Ambulans sedang menuju ke hospital. Lemah seluruh badan dirasakan bila melihat betapa remuknya kereta milik kakak tunggalnya itu. Kereta Myvi putih hancur remuk di bahagian hadapan. Cermin hadapan pecah berderai. Ada darah berlumuran di situ. Kuatkan semangat aku. Berdoa terus Lara. Bukan dia tidak perasan yang tangannya sudah menggigil ketakutan. Terlalu cemas.

Sampai di hospital, Lara bergegas ke wad kecemasan. Ditanya pada jururawat yang berada di situ. Mangsa masih berada di dalam. Tidak tahu bagaimana keadaan kakaknya sekarang ini. Johan masih setia menemani Lara. Lama mereka menanti berita dari doktor. Tidak senang duduk Lara dibuatnya. Kejap duduk, kejap berdiri. Nasiblah Johan ada. Boleh juga menjadi teman berbual sementara menunggu.

“Keluarga mangsa ke?” Lara terus mendapatkan doktor yang baru keluar dari bilik bedah.

“Bagaimana keadaan kakak saya doktor?” Doktor lelaki yang sedikit berumur terdiam sebentar sebelum dia bersuara. Lara masih tetap setia menunggu.

“Harap Cik bersabar banyak-banyak ye. Kami dah cuba sedaya upaya. Tapi Allah lebih sayangkan dia. Maafkan kami.” Ya Allah…. Dugaan apa kau berikan padaku ini. Lara rasakan separuh dari nyawanya hilang. Hilang bersama-sama dengan kakaknya. Hampir pitam Lara mendengarnya. Nasiblah Johan sempat menyambut Lara dari jatuh ke lantai. Lemah selemahnya Lara rasakan.

Lara rindu kakak……….. Jangan tinggalkan Lara kak…………
           



10 comments:

  1. yeh!!first comment for your new novel.permulaan yg baik...mcm best je..waiting for next entry

    ReplyDelete
    Replies
    1. As salam Hasnah. Novel ni more to percintaan dalam keluarga.. Ada unsur-unsur kekeluargaan sikit, insyaallah....

      Delete
  2. waa.... ada citer baru ye?

    bole bagi sinopsis tak hairynn?

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  4. Alamak.. tak perasan. tulah, kena tukar mood KTM ke CHS ni... hehe... Enjoy reading u all....

    ReplyDelete
  5. TQ Sis ceriakan kami...Kami tetap tunggu novel KTM....

    ReplyDelete
  6. cam dejavu bila baca,mgkn saya pernah baca kot...coz saya dok mengikuti cite kau tetap milikku..gogo chayok...best

    ReplyDelete
  7. Tq so much Aminatuuz Zahrah, Ejan Suzani & Zamzarina Shawal Hamid.... Bertambah semangat nak tulis bila baca komen2 positif dari semua...

    ReplyDelete