CINTA HATI SAYANG
BAB 12
“Berapa ye pakcik?” Lara mengambil
bungkusan nasi lemak dari tangan pakcik tersebut. Sudah lama juga pakcik
tersebut berniaga nasi lemak dan kuih muih di situ. Gerainya dekat juga dengan
bangunan tempat Zarif bekerja. Selalu juga Lara dan Wati membeli sarapan di
situ.
Bukannya Lara tidak perasan bangunan
Kalam Holdings yang megah tu berhampiran dengan gerai pakcik. Dan sudah
semestinya dia tahu siapa yang bekerja di situ. Biarlah. Takkanlah disebabkan
seorang lelaki, dia terpaksa menyekat kehidupannya. Sini tak boleh, sana tak
boleh. Terbatas langkahnya. Kalau jumpa pun, buat bodoh sahajalah. Apa susah.
“Empat ringgit je.” Kata pakcik.
Segera Lara menghulurkan duit kertas lima ringgit kepadanya. Ramai juga
pelanggan gerai pakcik ni. Kalau lambat sikit, ada sahaja kuih yang sudah habis
dijual.
Sementara menunggu duit baki
dikembalikan, Lara ketepi sedikit memberi ruang kepada orang lain untuk
membeli.
“Ni bakinya ye. Terima kasih nak.”
Duit satu ringgit dihulur.
“Terima kasih pakcik.” Disimpannya
duit tadi ke dalam beg.
Dia lagi……
Bila sahaja Lara memusingkan
badannya, dia ternampak Zarif sedang berdiri di depan bangunan Kalam Holdings.
Pandangannya tepat dihalakan pada Lara. Berdiri kaku Lara di situ seperti
seorang pesalah.
Biarlah dia. Aku bukan buat salah
pun. Suka hati aku lah nak pergi mana, nak beli apa sekali pun. Lara sempat
membalas pandangan Zarif padanya sebelum dia beredar dari situ. Tak kuasa dia
hendak berada di situ lama. Tiada langsung senyuman dilemparkan. Sama jugalah
dengan Zarif. Wajah tidak puas hati dihadiahkan pada Lara dari tadi.
“Oi, kau pandang apa dari tadi?”
Badrul menepuk bahu Zarif sambil sibuk juga memandang ke arah sama dipandang
Zarif.
“Aaa.. takda apa-apalah. Jom teman
aku breakfast. Lapar ni.” Zarif tidak
perasan langsung kehadiran Badrul di situ. Tiba-tiba sahaja berdiri di sebelah.
Ini semua gara-gara si Lara. Yang aku ni pun satu. Sibuk tengok dia tu kenapa.
Biarlah dia. Bukannya dia kacau aku pun. Iskh mata ni…….Marah Zarif pada dirinya
sendiri.
“Nah nasi lemak kau.” Lara
meletakkan nasi lemak di atas meja. Dibelinya untuk Wati sekali tadi.
“Terima kasihlah kawan aku sorang
ni. Aku tak sempat nak beli tadi. Sorry
ye. Nanti aku pergi pulak.” Sepatutnya giliran Wati membeli sarapan untuk
mereka hari ini. Disebabkan dia terbangun lambat tadi, dimintanya Lara membeli.
SMS dihantar pagi tadi sebaik sahaja dia terjaga.
“Hah yelah. Sebabkan kaulah aku
nampak si mamat tu lagi tahu tak.” Sambil membuka bungkusan nasi lemak tadi,
Lara mengadu nasib.
“Yeke?. Dia buat kau lagi ke?” Wati
sudah menyuap nasi lemak ke dalam mulutnya. Lapar sungguh perutnya.
“Takdalah dia buat aku. Cuma dia
pandang aku dari jauh. Macam nak makan orang je aku tengok. Aku ni dah macam
pesalah masuk dalam kawasan dia. Boleh gitu?” Geram bila difikir-fikirkan
balik. Apa salah dia pun tak tahulah.
“Kesian kau kan. Aku rasa dia tak
puas hati dengan kau lagi tu.” Anggapan Wati terhadap Zarif jika disimpulkan
dari cerita-cerita Lara.
“Tak puas hati?. Habis tu dia nak
aku buat apa?” Lara buntu. Apa yang patut dia buat sekarang ni. Wati sendiri
pun tiada jawapannya. Hanya Zarif sahaja yang tahu.
Tiga hari selepas itu, Lara membawa
Sofea ke rumah besar milik atuk dan nenek Sofea. Tan Sri ada memberitahunya
yang dia ada perkara yang hendak dibincangkan dengan Lara. Risau juga Lara bila
mendengarnya. Takut jika semua itu nanti ada berkaitan dengan Sofea. Untuk
memisahkan mereka.
Selepas makan malam, Lara diajak ke
ruang tamu untuk membincangkan sesuatu. Nampak serius sahaja bunyinya bila
diberitahu tadi. Zarif juga turut makan bersama mereka tadi. Langsung Lara
tidak memandang Zarif. Seboleh-bolehnya dia hendak mengelak dari bertentang
mata dengannya. Buat sakit hati sahaja kalau pandang dia ni. Cubalah sekali
sekala bagi senyuman sikit dekat aku ni.
“Lara… kami berdua ada perkara
penting yang nak dibincangkan dengan Lara ni.” Kembali gelisah perasaan Lara
selepas mendengar. Penting apa ni. Sudah tidak senang duduk Lara dibuatnya. Semenjak
di meja makan lagi pandangan mata Zarif banyak ditumpukan pada Lara. Susah
betul nak kawal mata sendiri. Asyik sibuk nak tengok si perempuan ni. Dan kini Zarif nampak kegelisahan di wajah
Lara.
“Uncle
dengan auntie dah berbincang. Kami
nak Lara dan Sofea tinggal di rumah kami. Penthouse
dekat area sini sahaja. Pindah dari rumah lama tu. Tak sampai hati uncle dengan auntie lihat kamu berdua tinggal di situ.” Tan Sri menerangkan satu persatu pada Lara.
Zarif juga sibuk mendengar. Sengaja dia memilih duduk berhadapan dengan Lara. Senang
baginya melihat wajah Lara.
Zarif sendiri pun tidak tahu akan
rancangan papanya itu. Itu sebabnya dia mahu mendengar juga. Rasa seperti ada
perkara mustahak hendak diberitahu malam ini. Ya, penthouse milik papanya. Dulu pernah Tan Sri menyuruh Zarif pindah ke
situ. Tetapi dengan syarat dia perlu berkahwin dahulu. Dan ketika itulah Puan
Sri asyik cuba merapatkan hubungan dia dengan Zira. Sehingga ke hari ini masih
tidak berjaya menyatukan mereka.
“Tapi Uncle… Auntie…”
“No
tapi-tapi Lara. Lara kena bawa Sofea tinggal dekat situ. Selesa sikit. Cuma
sekarang ni rumah tu tengah renovation.
Dah nak habis pun. Jadi, buat sementara waktu ni, Lara dengan Sofea tinggal
dekat sini dulu ye.” Tinggal dekat sini? Dengan si Zarif ni. Macam mana ni……
“Aaaaa….tapi….” Lara tidak dapat
memikirkan alasan yang boleh diberikan. Buntu. Kosong. Sempat lagi Lara
mengerling pada Zarif yang sedang duduk dihadapannya. Dari tadi asyik
memandangnya. Eeee…. Payah betul nak fikirlah. Nampak muka dia lagilah…..
“Uncle
dengan Auntie nak kamu berdua hidup
selesa. Kami ikhlas. Tiada niat lain pun Lara.” Wajah Puan Sri penuh
pengharapan. Kesian pula Lara melihat mereka beria-ia hendak melihat kami
berdua hidup selesa. Nampaknya ibu tumpang tuah Sofea lah ni. Dipandangnya
wajah anak kecil yang sedang bermain dengan anak patung di suatu sudut.
Senyuman dihadiahkan kepada Tan Sri
dan Puan Sri. Tentunya mereka faham maksud senyuman itu. Tanda setuju. Lega
hati mereka. Selepas mereka melihat sendiri keadaan tempat tinggal Lara dan
Sofea, memang mereka nekad dengan rancangan mereka.
“Oh ye, lagi satu Lara. Kalau uncle offer kerja pejabat dekat
Lara, Lara nak tak?” Bukan Lara sahaja yang terkejut, Zarif juga. Kenapa pula
tiba-tiba ditawarkan kerja pada Lara ni. Kerja pejabat pulak tu. Pandai ke dia
ni. Bahagian mana pulak yang papa nak letak dia ni. Zarif pula yang tidak
senang duduk sekarang ni.
“Terima kasih banyak-banyak uncle, tapi bagi Lara fikir dulu boleh?
Sebab Lara takda langsung pengalaman kerja dekat pejabat ni.” Lara terpaksa
bekerja di pasaraya selepas kematian kakaknya. Terpaksa melupakan hasrat untuk
menghabiskan pengajiannya. Dia perlu menjaga anak buahnya yang masih kecil.
Selepas itu, barulah Lara bekerja pula di kedai kek milik keluarga Wati.
Sehinggalah ke hari ini.
“Takpa Lara. Lara fikir dulu, kalau
Lara dah bersedia, Lara bagitahu uncle.” Dia mengangguk seraya tersenyum
kepada Tan Sri. Zarif tidak puas hati. Mana tempat yang papa nak letak dia ni.
Bahagian dia sudah penuh. Takkanlah nak jadi setiausaha Badrul pulak. Memang
masih kosong jawatan tersebut kalau diikutkan. Tapi layakkah perempuan bernama
Lara ni pegang jawatan tersebut.
Lara yang masih setia duduk di
hadapannya dipandang. Tajam. Lepas ni apa pulak lagi. Semua benda nak. Marah
Zarif pada Lara. Disangkanya Lara yang mahu segala-galanya. Tetapi tidak sama
sekali. Tan Sri yang mahu melihat kehidupan Lara lebih terjamin. Sampai bila
dia mahu bekerja di kedai kek tersebut dengan gaji rendah. Tan Sri boleh nampak
yang Lara seorang yang cerdik. Cuma mungkin keadaan yang membuatkan dia tidak
dapat meneruskan pengajiannya.
“Sukalah tu.” Perli Zarif bila dia
melintasi Lara untuk naik ke bilik. Cuba bersabar Lara dengan perangai Zarif.
Dia tidak mahu bergaduh dengan Zarif. Lagipun dia sedar ini rumah keluarganya.
Bila-bila masa sahaja dia boleh menghalau Lara keluar. Tapi…. Kalau dekat luar
dia buat perangai macam ni, memang nak cari pasal dengan aku. Akan dibalasnya
balik. Dia ingat aku takut dengan dia kot. Sorry
sikit.
Malam itu Lara dan Sofea tidur di
bilik yang telah disediakan. Selepas ini, dia kena mengemaskan barang-barang di
rumah lamanya. Pindah di sini dulu buat sementara waktu. Berdoa Lara supaya
cepat siap rumah yang sepatutnya mereka duduk. Malas Lara hendak berjumpa
dengan si Zarif setiap hari. Mesti ada sahaja benda yang tak kena dimatanya.
Tadi ada juga Tan Sri memberitahu
yang mereka mahu menghantar Sofea ke tadika yang lebih bagus. Lara sekadar
mengikut sahaja. Kalau hendak menunggu duitnya, memang tidaklah. Sebulan pun
dah berapa bayaran dikenakan nanti. Lara tidak mahu membantah. Baginya Tan Sri
dan Puan Sri juga ada hak ke atas Sofea, cucunya. Cuma ke hari ini, Lara tidak
tahu kenapa Tan Sri dan Puan Sri tidak boleh menerima kakaknya sebagai menantu.
Dulu semasa mereka berkahwin pun,
tiada langsung majlis diadakan sebelah lelaki. Ketika nikah itu pun cuma ada
ahli keluarga terdekat sahaja. Sekarang ni baru dia teringat yang Zarif juga
turut hadir ketika itu. Cuma Lara tidak sempat beramah mesra pun dengan mereka.
Habis sahaja upacara membatalkan air sembahyang, keluarga pihak lelaki terus
beredar dari situ. Orang cakap keluarga lelaki tidak mahu bermenantukan
kakaknya. Cuma abang Naim yang tetap sayangkan kakak.
Abang Naim? Bilalah Lara dapat jumpa
dengannya. Dia sudah bersedia, cuma Sofea sahaja yang mungkin belum bersedia.
Sofea perlu juga bertemu dengan ayah kandungnya. Dia perlu tahu siapa ayah dan
ibu kandungnya yang sebenar. Lara takut jika Sofea tidak dapat menerima semua
ini. Dia masih kecil lagi. Tidak berapa faham dengan situasi yang berlaku padanya.
“Ibu… kita nak pindah mana ni?”
Sofea sibuk bertanya bila dilihat ibunya sibuk memasukkan pakaian mereka ke
dalam beg. Dress kesayangan Sofea
masih kuat dipegang. Takut jika Lara memberikannya kepada orang lain.
“Fea… kita nak pindah dekat rumah
baru. Tapi sementara ni kita duduk dekat rumah besar tu. Fea suka tak?” Lara
tahu memang Sofea suka pergi ke rumah tersebut. Apa tidaknya, mereka sudah
menyediakan satu ruang khas untuk meletakkan barang mainan Sofea. Semakin lama
semakin banyak mainan yang diletakkan di situ. Ini semua mesti dari Puan Sri
untuk Sofea.
“Suka! Fea suka. Nanti boleh
hari-hari Fea main kat situ.” Diusap lembut kepala Sofea. Sayangnya pada Sofea
tidak pernah kurang. Malah semakin bertambah. Siapa lagi yang dia ada di dunia
ini selain Sofea.
“Kau betul ke ni nak pindah sana?
Kau dah fikir masak-masak?” Wati terperanjat bila diberitahu Lara yang dia akan
berpindah ke rumah Tan Sri.
“Betullah. Aku dah fikir dah. Ini
semua untuk kebaikan Sofea jugak. Aku memang nak dia hidup selesa, tapi aku tak
mampu. Aku tak mahu lepaskan satu-satunya peluang yang ada ni. Aku buat semua
ni pun sebabkan Sofea. Dia berhak dapat segala-galanya ni.” Kalau bukan kerana
Sofea, memang Lara tidak mahu tinggal di situ. Dia lebih rela tinggal di rumah
lama dari tinggal bersama dengan si Zarif tu. Alangkah bagusnya kalau mereka
tiada anak seperti Zarif tu. Kenapalah mamat tu pulak yang jadi anak mereka.
Nasib kau lah Lara.
“Aku harap ini yang terbaik buat kau
dengan Sofea. Tapi kau tak tinggal selama-lamanya dekat situ kan?” Risau pula
Wati bila teringat yang Lara akan duduk bersama dengan Zarif di bawah satu
rumah.
“Tak mahu aku. Kalau lelaki tu takda
kat rumah tu, lainlah cerita. Sekejap je aku tinggal kat situ, lepas rumah tu
siap, aku pindah ke sana. Eh, nanti kau bolehlah datang tidur sana. Teman aku
sekali sekala.” Wati selalu juga menemani Lara di rumah lamanya. Wati ni lah
sahabat yang paling rapat dengannya. Susah senang bersama. Semua masalah Lara
diceritakan pada Wati. Tempat luahan perasaan Lara. Wati lah orangnya.
“Kau kenapa pulak ni? Ada masalah
lagi ke?” Badrul nampak Zarif seperti ada masalah. Dia dapat rasakan ini mesti
ada kaitan dengan Lara, perempuan yang tiba-tiba muncul dalam diari hidup
mereka.
“Lara?” Badrul cuba meneka bila
dilihatnya Zarif masih lagi berdiam diri. Nasi goreng dipinggan dikuis-kuis
dari tadi.
“Papa ajak dia duduk sekali buat
sementara waktu ni. Lepas tu dia kena duduk dekat penthouse besar papa tu.”
“Dia duduk sekali dengan kau?! I mean your family.” Badrul terus
bertanya.
“Yup. Dekat rumah tu. Ni yang buat
aku malas nak balik rumah ni.” Zarif bercadang hendak tinggal di rumah Badrul
buat sementara waktu ni. Sehinggalah Lara berpindah ke rumah baru.
“Macam tu pulak. Kalau aku,
tiap-tiap hari aku nak balik awal tengok muka dia. Hah, apa kata kita tukar
tempat. Aku tinggal dekat sana, kau tinggal dekat rumah aku. Bahagia tu
tiap-tiap hari nampak dia.”
Buppp…Bahu Badrul ditampar.
“Kau ni dah kenapa? Cantik sangat ke
dia tu. Aku tengok biasa je. Eh bosanlah, kalau hari-hari nampak muka dia. Buat
hilang selera makan aku je.” Egonya Zarif berkata-kata. Dia sebenarnya tidak
pun bermaksud begitu. Tidak pernah pula Lara tu menghilangkan selera makannya
selama ini. Cuma setiap kali Lara berada hampir dengannya, dadanya berdegup
kencang. Laju. Semakin laju jika mereka bertentangan mata. Tapi itu jarang
sekali berlaku. Boleh dikira berapa kali sahaja Lara memandangnya.
“Cantiklah dia. Kau je yang tak
nampak. Dahlah cepat habiskan makanan tu. Aku nak blah ni. Kejap lagi
aku nak keluar. Ada appointment
dengan pihak bank.” Badrul menghirup air limau ais sambil menunggu Zarif
menghabiskan makanannya.
Cantik? Cantik apanya perempuan tu. Buta
agaknya si Badrul ni. Aku ingat lagi macam mana dia campak duit dua puluh ringgit
dekat muka aku ni. Berani betul dia tu. Sehingga sekarang aku masih ingat cara
dia pandang aku sambil mencampakkan duit ke muka aku ni. Aku akan ingat itu
semua Lara Alina.