My corner's visitor

Thursday, October 30, 2014

E-Novel : Cinta Hati Sayang - Bab 19

CINTA HATI SAYANG

BAB 19

            Lauk di atas meja sudah siap terhidang. Walaupun hanya beberapa lauk sahaja yang terhidang, tetapi bagi Lara itu semua sudah banyak baginya. Kalau dia seorang memang sejenis masakan sahaja yang akan dimasak. Sayang kalau tidak habis nanti.

            Jam sudah menunjukkan ke angka lapan. Bila-bila masa sahaja mereka akan sampai. Setelah siap segalanya, Lara menemani Sofea menonton rancangan kartun Princess Sofea. Itu antara kartun yang Sofea suka tonton selain Hi-5.

            Ting tong…..

            Bunyi loceng pintu ditekan seseorang. Mesti Tan Sri dan Puan Sri. Zarif, entahlah. Harap-harap dia tidak ikut sekali. Rimas dirasakan bila dia ada nanti.

            “Assalamualaikum Uncle, Auntie.” Lara bersalaman dengan mereka berdua. Matanya melilau melihat sekeliling. Zarif tiada.

            Perasaan seronok Lara rupa-rupanya hanya sementara sebelum Puan Sri menghapuskannya. “Lara, si Zarif tu dekat bawah lagi. Katanya kejap lagi dia naik.”

            Lemah terus rasa badan. Baru tadi dia hendak rasa riang menyambut ketiadaan Zarif. Kenapalah mamat ni datang sekali. Buat semak je lah. Marah Lara sendiri.

            “Lara, Auntie kan dah kata tak payah masak. Kita makan dekat luar je.” Puan Sri nampak ada beberapa mangkuk sudah siap disusun di atas meja. Pinggan dan cawan juga sudah siap terhidang. Mereka kemudiannya menghampiri meja makan. Tan Sri dan Puan Sri membalas pandangan dan tersenyum.

            “Ala, takpalah Auntie. Kita makan dekat rumah je malam ni. Cuma takut Uncle dengan Auntie tak suka lauk yang Lara masak ni. Maaflah kalau tak sedap.” Ketawa kecil mereka mendengarnya. Lara pandai benar mengambil hati mereka berdua. Tidak pernah sekali pun Lara membuat hati mereka sakit. Dia memang berbeza dengan kakaknya. Jauh bezanya.

            “Kami ni lagi suka makan dekat rumah. Selesa sikit. Lagi-lagi Lara masak. Pertama kali ni. Mesti nak rasa. Sedap atau tidak itu belakang cerita. Yang penting Uncle dah lapar ni.” Kata-kata Tan Sri itu membuatkan mereka ketawa sekali lagi. Kali ini lebih kuat dari tadi sehinggakan Sofea yang sedang duduk di ruang tamu terus berlari mendapatkan Lara. Takut ada apa-apa yang terjadi pada ibunya. Dipegang tangan ibunya.

            Ting tong…..

            Sekali lagi loceng pintu berbunyi. Siapa lagi kalau bukan si Zarif. Tiada senyuman langsung dilemparkan pada Zarif bila Lara membuka pintu. Zarif tetap mengukir senyuman untuk Lara. Dia terus melangkah masuk walaupun tidak dijemput.

            “Zarif dah ada ni, apa kata kita makan sekarang. Uncle tak sabar nak rasa masakan Lara ni.” Tan Sri mengajak Puan Sri duduk di meja makan. Zarif yang baru sahaja masuk terus menuju ke meja makan. Tidak sempat dia hendak ke ruang tamu pun.          

            Cepat-cepat Lara menyeduk nasi ke dalam pinggan masing-masing. Zarif pula membantu menuang air. Masih risau Lara jika masakannya tidak sedap. Kalau Zarif yang tidak suka tiada Lara kisah pun. Biarlah dia. Tak penting pun. Dia hanya fikirkan Tan Sri dan Puan Sri sahaja.

            “Rajin anak kita ni bang.” Puan Sri memerli Zarif. Mana pernah  dia mahu menolong sebelum ini. Sanggup dia menunggu orang lain menuangkan air dalam gelasnya. Dan selalunya Mak Jah yang akan menyiapkan semuanya. Lara mengerling pada Zarif yang baru sahaja siap menuang semua gelas yang ada. Banggalah tu konon dipuji depan aku. Geli Lara rasakan.

            Sofea sudah duduk di sebelah Puan Sri. Sibuk Puan Sri menyuruh Sofea duduk di sebelahnya. Dia memang suka melayan Sofea lebih-lebih lagi pada waktu makan. Berselera sungguh si Sofea makan.

            “Kari ayam. Not bad.” Zarif tiba-tiba bersuara selepas menyuap nasi yang sudah diletakkan kari ayam dalam pinggannya. Lara buat-buat tidak dengar. Malas dia hendak berbual dengan Zarif. Sudahlah tadi entah macam mana dia terpaksa sekali lagi duduk di sebelah Zarif. Kalau boleh dia hendak duduk jauh…. Terlalu jauh dari Zarif ni.

            “Sedap Lara masak ni. Kalau macam ni bolehlah lain kali kami datang sini lagi. Makan dekat sini.” Tan Sri memuji masakan Lara membuatkan Lara tersipu malu. Puan Sri juga menganguk. Setuju dengan kata-kata suaminya itu. Ikan masak tiga rasa pun sedap dimasak. Boleh kata semua lauk pauk yang ada memang sedaplah. Memang kena dengan selera mereka.

            “Boleh Uncle, Auntie. Lain kali Lara masak menu lain pulak.” Suka Lara bila melihat Tan Sri makan bertambah. Sedap betul ke ni? Bertambah suka Lara bila Puan Sri juga bertambah.

            “I nak nasi sayang.” Tersedak Lara dibuatnya. Hendak sahaja ditampar mamat sebelahnya itu. Memang tak betullah dia ni. Rasanya Tan Sri dan Puan Sri tidak dengar kata-kata Zarif tadi. Hanya dia yang mendengarnya. Lebih-lebih lagi kata terakhir dia tu. Sayang? Oh tidak…….

            Nasi dikaut dan diletakkan dalam pinggan Zarif. Mesti dia sedang tersenyum ni. Itu sebabnya Lara cuba tidak memandang wajahnya. Nanti macam kerang busuk pulak muka dia. Pandangannya dihalakan pada Tan Sri, Puan Sri dan juga Sofea tetapi bukan Zarif.
           
            “Eh, takpalah Auntie. Lara boleh buat. Auntie duduk je dekat depan. Bukan banyak pun. Kejap je ni.” Lara sudah biasa membuat kerja-kerja dapur seorang diri. Laju sahaja tangannya mengemas.

            “Auntie….. Biar je. Lara boleh buat.” Puan Sri masih berdegil. Kesian pula dia hendak membiarkan Lara seorang diri mengemas. Yang Lara pula rasa janggal bila Puan Sri membantunya mengemas. Selama dia duduk dengan mereka, tidak pernah sekali pun dia  melihat Puan Sri mengemas meja makan. Semuanya dibuat oleh Mak Jah.

            “Takpa ma. Biar Zarif tolong.” Sudah…… dah datang dah dia ni… Zarif memaksa mamanya ke depan supaya dia boleh menolong Lara. Memang inilah peluang yang dicari. Terus Lara mengangkat mangkuk lauk tadi untuk diletakkan di dapur. Dibiarkan Zarif memujuk Puan Sri.

            “Come I tolong.” Zarif mengambil mangkuk dari tangan Lara. Tangan mereka bersentuhan. Iskh dia ni kan. Geram je Lara pada Zarif ni. Ambil kesempatan betul.

            Lara mahu cepat siap. Tan Sri dan Puan Sri masih ada di ruang tamu. Kesian nanti tinggalkan tetamu sendirian. Pinggan di dapur terus dibasuh. Selepas mengangkat mangkuk-mangkuk tadi, Zarif mengelap meja pula. Kalau ada sesiapa yang nampak Zarif sekarang ni, mesti nak jadikan Zarif menantu mereka. Rajin sungguh. Rajin ada maknanya tu……

            “Ouch!” Sekali lagi mereka berlanggar. Terkejut dibuatnya. Kebetulan Lara hendak memusingkan badannya  untuk mengambil gelas-gelas yang diletakkan di tepi dapur. Zarif pula memang sengaja berdiri di belakang Lara.

            “Tak payahlah berdiri dekat sini. Pergi depanlah.” Marah Lara pada Zarif. Entah kali berapa mereka berlanggar. Yang dia sibuk berdiri dekat belakang aku ni kenapa? Marah Lara dalam hati.

            “Oh ye. Nak tanya ni. Mana awak dapat nombor telefon saya? Awak mintak Tan Sri ye?” Dari tadi Lara hendak bertanya pada Zarif tetapi keadaan tidak mengizinkan. Dan inilah peluang yang ada. Terus ditanya.

            “Adalah.” Jawapan yang buat Lara semakin geram. Orang tanya betul-betul, dia boleh jawab main-main. Wajah selamba Zarif membuatkan hati Lara semakin membara. Lara masih cuba bertanya walaupun dia tahu yang dia tidak akan mendapat jawapan dari mulut Zarif. Susah betul kalau bertanya dengan lelaki seperti Zarif ni.

            Sempat Zarif melemparkan senyuman pada Lara sebelum dia meninggalkan Lara seorang diri di dapur. Zarif pula rasa senang hati bila berlanggar dengan Lara tadi. Selalunya dia akan rasa marah, tetapi kali ini tidak. Adakah aku sudah…… Oh no, please…..

            “Kami pulang dulu Lara. Kalau ada apa-apa, Lara telefon je Uncle atau Auntie.” Berulang kali Puan Sri berpesan pada Lara. Dan berulang kali juga dia mencium Sofea. Puan Sri ni pun satu. Macamlah esok tak boleh jumpa lagi dengan Sofea ni. Lara sudah berjanji pun akan menghantar Sofea ke rumah sana.

            “Insyaallah Auntie. Janganlah risau.” Semasa bersalaman dengan Tan Sri dan Puan Sri, Lara perasan yang Zarif asyik memandangnya. Entah apa yang dia tidak puas hati lagi agaknya tu.
            Dari tadi asyik pandang, geram Lara. Akhirnya Lara membalas pandangannya. Biar sama-sama pandang. Dia ingat aku takut ke dengan pandangannya tu.

            Lama juga mereka berpandangan sebelum Tan Sri menepuk bahu Zarif. Zarif yang mengalihkan pandangannya dulu. Itulah, ingat aku tak berani pandang kau ke? Membebel Lara sendiri. Biar dia tahu siapa Lara Alina.

            Selepas menidurkan Sofea, Lara kembali mengemas dapurnya yang ditinggalkan tadi. Teringat Lara pada Tan Sri dan Puan Sri tadi. Bertambah mereka makan. Tersenyum sendiri Lara di situ sambil mengelap meja makan sekali lagi. Fikirannya langsung tidak teringatkan Zarif. Zarif pula?.....


            Selepas menghantar Sofea ke rumah neneknya, Lara terus memandu kereta barunya ke tempat kerja. Semasa dia menghantar Sofea tadi, dia ternampak Zarif baru sahaja menuruni tangga. Tidak langsung di tegur. Cepat-cepat Lara beredar dari situ. Ada juga Puan Sri mengajak Lara bersarapan sama tetapi ditolak lembut. Dia mahu segera sampai ke tempat kerja. Takut terlewat pula nanti. Almaklumlah hari ini hari pertama dia membawa kereta. Kalau tidak selalunya dia akan menaiki teksi atau bas sahaja.

            “Wah, kereta baru. Honda pulak tu.” Wati sibuk melihat ke dalam kereta. Terus dia masuk ke dalam. Tangannya sibuk menyentuh sana sini.

            “Lara, macam tak percayalah kau bawak kereta ni. Eh salah, kau dapat kereta ni. Ini kereta kau tau tak.” Wati cuba menyedarkan Lara sekali lagi. Ini bukan mimpi, ini realiti. Kenyataan yang perlu Lara terima.

            “Aku pun tak percaya Wati. Ini kereta, rumah lagi.” Bukan Wati sahaja yang tidak percaya, Lara sendiri pun. Semuanya berlaku dengan cepat sekali.

            “Haaaa, kereta ni, rumah lagi. Kau ni Lara. Best tau jadi kau.” Wati sedikit cemburu dengan kawannya itu. Dia sendiri pun masih belum dapat membeli kereta. Apakan lagi rumah. Tapi cemburu hanya pada kata-kata. Di hatinya dia tetap gembira untuk kawannya itu. Dia tahu betapa susahnya beberapa tahun lepas untuk Lara membesarkan Sofea seorang diri tanpa apa-apa bantuan dari sesiapa pun. Sebatang kara dia dulu membesarkan Sofea.

            “Aku ni tumpang tuah Sofea je. Kalau Sofea takda, mana aku nak rasa semua ni.”

            Tangan Lara dicapai. Dia tidak tahu bagaimana hendak menyangkal kata-kata Lara tadi. Memang bila difikirkan balik, Sofealah punca segala-galanya. Tetapi ini semua rezeki masing-masing. Lara berhak mendapat semua ini.

            “Hari ni ada banyak tempahan jugak ni. Sempat ke siap?” Lara menyemak buku tempahan untuk hari ini. Sejak akhir-akhir ini banyak juga mereka menerima tempahan. Lebihlah sikit keuntungan untuk bulan ini.

            “Kau ada mesti sempat punya. Kau kan terror buat semua ni.” Lara dipuji. Kembang sekejap dirasakan.

            “Banyaklah kau punya terror Wati oi. Dah, jom kita start. Nanti tak siap pulak. Oh ye, muffin ada lagi ke dekat depan tu? Aku rasa macam kena tambah.” Wati terus bangun dan memberi tabik kepada Lara persis seorang tentera. Ketawa Lara melihat gelagat kawannya itu. Macam-macamlah si Wati ni. Lara sedar, Wati seorang sahaja kawan yang dia ada. Dialah sahabat yang paling akrab dan memahami dirinya.

            “Lara, jom kita pergi makan. Dah lama kan kita tak makan sama dekat luar.” Wati mengajak Lara makan di luar. Di kedai yang mereka selalu makan dulu.

            Lara baru lepas menyusun kek-kek yang telah siap dibuat. “Makan kat luar? Kedai siapa nak jaga?”

            “Itulah, bila aku cakap kau ni dah tua, kau marah. Tapi tulah lupa lagi ye. Kau tak ingat ke kita ada adik baru.” Lara menepuk dahi selepas mendengar kata-kata Wati. Dia terlupa. Langsung terlupa yang mereka telah mengambil seorang pekerja untuk membantu mereka. Ayah Wati yang mahu seorang lagi pekerja. Dia kesian melihat mereka berdua sahaja yang membuat semuanya.

            “Didi!” Serentak mereka memanggil namanya. Tergopoh gapah si Didi berlari mendapatkan mereka.

            “Kenapa jerit nama Didi ni?” Lelaki lembut. Itulah yang boleh digambarkan lelaki bernama Didi. Dia pernah bekerja di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Entah kenapa dia mahu berhenti. Tidak tahan dengan tekanan di tempat kerja. Itu sebabnya dia mahu bekerja di kedai biasa sahaja. Mahu menimba pengalaman di tempat begini pula. Katanya kurang sedikit tekanan berbanding tempat kerja lama. Baru tiga hari dia bekerja di kedai tersebut namun mereka seperti sudah lama kenal.

            “Didi, kami nak keluar makan ni. Nanti kitorang bungkuskan makan untuk kau ye. Kau jaga kedai kejap tau. Apa-apa call aku.” Wati mencapai telefon yang diletakkan di atas meja kaunter. Lara hanya tersenyum di sebelah. Dilambai tangannya kepada Didi sambil membuat muka sedih. Sengaja membuat Didi sakit hati. Jahat si Lara ni. Menjeling Didi pada Lara. Macam budak-budak mereka ni.

            “Kita nak makan kedai biasa tu kan. Kita pergi beli suratkhabar dulu boleh. Aku terlupa nak beli pagi tadi.” Lara memang biasanya membeli suratkhabar setiap hari untuk dibaca. Itulah cara dia mengetahui isu-isu semasa di dunia ni. Kalau di rumah dia sudah tiada masa melihat TV. Lagilah kalau si kecil Sofea tu ada. Memanjang rancangan kartun. Dari pagi hingga ke malam.
         
            Wati menunggu Lara di luar kedai. Lara pula ke dalam untuk membayar suratkhabar yang sedang dipegang. Baru sahaja Lara hendak melangkah keluar selepas membuat bayaran, dia berselisih dengan Zarif dan Badrul.

            Apa lagi, Lara buat-buat tidak nampak. Lain pula dengan Zarif. Ditegurnya Lara. “Hai Lara.”      
            Terpaksalah juga Lara memandang Zarif. “Hai Zarif.” Itu sahaja.

            Lara terus berjalan tanpa memandang ke belakang pun. Dia terus menarik lengan Wati untuk mengikutnya. Dia tahu Zarif dan Badrul masih memandangnya. Nasiblah Wati juga perasan akan kehadiran Zarif di situ. Memang patut pun Lara beredar dari situ segera.

            “Wait. Kau dah kenapa bro? Hai Lara…. Macam pelik je.” Badrul memang tidak menyangka yang Zarif akan menegur Lara. Selalunya dialah orang yang paling marah kalau terjumpa si Lara tu. Kali ini pula lain. Boleh pula ditegur Lara terlebih dahulu.

            “Yes, apa masalahnya. Aku tegur dia.”  Zarif masih memandang Lara walaupun mereka sudah semakin jauh meninggalkan mereka.

            “Memanglah tak salah kau tegur dia, tapi…. Come on, Lara tu. Perempuan yang kau tak suka dulu kan.” Badrul masih tidak faham apa sebenarnya yang terjadi dengan kawannya seorang ini.

            “Relax bro. Aku ada agenda aku sendiri. Jom aku cerita dekat kau masa makan nanti.” Sambil berjalan sesekali matanya mencari-cari Lara.
           
           
           


           


22 comments:

  1. Zarif yg akan terperangkap dgn jerat yg dipasang sendiri.. Tq kerana letsk n3 baru.. Tnggu Lara di n3 deterusnya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. You are most welcome. Terus follow cerita ni ye.... ;)

      Delete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. aduh hairynn what happen next.. hehe

    ReplyDelete
  4. Iiissshh...makin xsabar rsanya..gud writen sis..

    ReplyDelete
  5. adoiii zarif...... hati dah jatuh suka pun tak sedar.....

    ReplyDelete
  6. Ape lh zarif ni..
    Hati dah suka tu cakap je lh dah suka..
    jangan menyesal nanti sudah

    ReplyDelete
  7. aduyai....zarif kena perangkap sendiri. TQ hairynn....best sangat.gelak membacanya.....lara pls jgn cpt percayakan zarif. buat dia angau.baru padan muka tak sabar nak tgk zarif sengal tu terjatuh hati.

    ReplyDelete
  8. Best2....hairynn plzz bg zarif skt hati sesgt....lara bt keras kepala xsudah...kihkihkih..terbaeklah n3 ni....nk lg....

    ReplyDelete
  9. bestt...hope lara x mudh tpedaya eaa..ajr ckt zarif tu..biar sedr..
    ara

    ReplyDelete
  10. Best sgt2 cerita niii... Sambung lagi ye? Tq :))

    ReplyDelete
  11. Sis Hairynn, bila nk continue? Hehe setiap hari saya bukak page ni. What happen next? Curious.. XD

    ReplyDelete
  12. ye la sis....nak next entry plzzzz.huhuhu

    ReplyDelete
  13. Sis Hairynn...next entry plzzzz....huhuhuhu.....

    ReplyDelete