CINTA
HATI SAYANG
BAB
19
Lauk di atas meja sudah siap terhidang. Walaupun hanya beberapa lauk
sahaja yang terhidang, tetapi bagi Lara itu semua sudah banyak baginya. Kalau
dia seorang memang sejenis masakan sahaja yang akan dimasak. Sayang kalau tidak
habis nanti.
Jam sudah menunjukkan ke angka
lapan. Bila-bila masa sahaja mereka akan sampai. Setelah siap segalanya, Lara
menemani Sofea menonton rancangan kartun Princess Sofea. Itu antara
kartun yang Sofea suka tonton selain Hi-5.
Ting tong…..
Bunyi loceng pintu ditekan
seseorang. Mesti Tan Sri dan Puan Sri. Zarif, entahlah. Harap-harap dia tidak
ikut sekali. Rimas dirasakan bila dia ada nanti.
“Assalamualaikum Uncle, Auntie.” Lara bersalaman dengan mereka berdua. Matanya melilau
melihat sekeliling. Zarif tiada.
Perasaan seronok Lara rupa-rupanya
hanya sementara sebelum Puan Sri menghapuskannya. “Lara, si Zarif tu dekat
bawah lagi. Katanya kejap lagi dia naik.”
Lemah terus rasa badan. Baru tadi
dia hendak rasa riang menyambut ketiadaan Zarif. Kenapalah mamat ni datang
sekali. Buat semak je lah. Marah Lara sendiri.
“Lara, Auntie kan dah kata
tak payah masak. Kita makan dekat luar je.” Puan Sri nampak ada beberapa
mangkuk sudah siap disusun di atas meja. Pinggan dan cawan juga sudah siap
terhidang. Mereka kemudiannya menghampiri meja makan. Tan Sri dan Puan Sri
membalas pandangan dan tersenyum.
“Ala, takpalah Auntie. Kita makan dekat rumah je malam ni. Cuma takut Uncle
dengan Auntie tak suka lauk yang Lara masak ni. Maaflah kalau tak
sedap.” Ketawa kecil mereka mendengarnya. Lara pandai benar mengambil hati
mereka berdua. Tidak pernah sekali pun Lara membuat hati mereka sakit. Dia
memang berbeza dengan kakaknya. Jauh bezanya.
“Kami ni lagi suka makan dekat
rumah. Selesa sikit. Lagi-lagi Lara masak. Pertama kali ni. Mesti nak rasa.
Sedap atau tidak itu belakang cerita. Yang penting Uncle dah lapar ni.”
Kata-kata Tan Sri itu membuatkan mereka ketawa sekali lagi. Kali ini lebih kuat
dari tadi sehinggakan Sofea yang sedang duduk di ruang tamu terus berlari
mendapatkan Lara. Takut ada apa-apa yang terjadi pada ibunya. Dipegang tangan
ibunya.
Ting tong…..
Sekali lagi loceng pintu berbunyi.
Siapa lagi kalau bukan si Zarif. Tiada senyuman langsung dilemparkan pada Zarif
bila Lara membuka pintu. Zarif tetap mengukir senyuman untuk Lara. Dia terus
melangkah masuk walaupun tidak dijemput.
“Zarif dah ada ni, apa kata kita
makan sekarang. Uncle tak sabar nak
rasa masakan Lara ni.” Tan Sri mengajak Puan Sri duduk di meja makan. Zarif
yang baru sahaja masuk terus menuju ke meja makan. Tidak sempat dia hendak ke
ruang tamu pun.
Cepat-cepat Lara menyeduk nasi ke
dalam pinggan masing-masing. Zarif pula membantu menuang air. Masih risau Lara
jika masakannya tidak sedap. Kalau Zarif yang tidak suka tiada Lara kisah pun.
Biarlah dia. Tak penting pun. Dia hanya fikirkan Tan Sri dan Puan Sri sahaja.
“Rajin anak kita ni bang.” Puan Sri
memerli Zarif. Mana pernah dia mahu
menolong sebelum ini. Sanggup dia menunggu orang lain menuangkan air dalam
gelasnya. Dan selalunya Mak Jah yang akan menyiapkan semuanya. Lara mengerling
pada Zarif yang baru sahaja siap menuang semua gelas yang ada. Banggalah tu
konon dipuji depan aku. Geli Lara rasakan.
Sofea sudah duduk di sebelah Puan
Sri. Sibuk Puan Sri menyuruh Sofea duduk di sebelahnya. Dia memang suka melayan
Sofea lebih-lebih lagi pada waktu makan. Berselera sungguh si Sofea makan.
“Kari ayam. Not bad.” Zarif
tiba-tiba bersuara selepas menyuap nasi yang sudah diletakkan kari ayam dalam
pinggannya. Lara buat-buat tidak dengar. Malas dia hendak berbual dengan Zarif.
Sudahlah tadi entah macam mana dia terpaksa sekali lagi duduk di sebelah Zarif.
Kalau boleh dia hendak duduk jauh…. Terlalu jauh dari Zarif ni.
“Sedap Lara masak ni. Kalau macam ni
bolehlah lain kali kami datang sini lagi. Makan dekat sini.” Tan Sri memuji
masakan Lara membuatkan Lara tersipu malu. Puan Sri juga menganguk. Setuju
dengan kata-kata suaminya itu. Ikan masak tiga rasa pun sedap dimasak. Boleh
kata semua lauk pauk yang ada memang sedaplah. Memang kena dengan selera
mereka.
“Boleh Uncle, Auntie. Lain
kali Lara masak menu lain pulak.” Suka Lara bila melihat Tan Sri makan bertambah.
Sedap betul ke ni? Bertambah suka Lara bila Puan Sri juga bertambah.
“I nak nasi sayang.” Tersedak Lara
dibuatnya. Hendak sahaja ditampar mamat sebelahnya itu. Memang tak betullah dia
ni. Rasanya Tan Sri dan Puan Sri tidak dengar kata-kata Zarif tadi. Hanya dia
yang mendengarnya. Lebih-lebih lagi kata terakhir dia tu. Sayang? Oh tidak…….
Nasi dikaut dan diletakkan dalam
pinggan Zarif. Mesti dia sedang tersenyum ni. Itu sebabnya Lara cuba tidak
memandang wajahnya. Nanti macam kerang busuk pulak muka dia. Pandangannya
dihalakan pada Tan Sri, Puan Sri dan juga Sofea tetapi bukan Zarif.
“Eh, takpalah Auntie. Lara boleh buat. Auntie
duduk je dekat depan. Bukan banyak pun. Kejap je ni.” Lara sudah biasa membuat
kerja-kerja dapur seorang diri. Laju sahaja tangannya mengemas.
“Auntie….. Biar je. Lara
boleh buat.” Puan Sri masih berdegil. Kesian pula dia hendak membiarkan Lara
seorang diri mengemas. Yang Lara pula rasa janggal bila Puan Sri membantunya
mengemas. Selama dia duduk dengan mereka, tidak pernah sekali pun dia melihat Puan Sri mengemas meja makan.
Semuanya dibuat oleh Mak Jah.
“Takpa ma. Biar Zarif tolong.”
Sudah…… dah datang dah dia ni… Zarif memaksa mamanya ke depan supaya dia boleh
menolong Lara. Memang inilah peluang yang dicari. Terus Lara mengangkat mangkuk
lauk tadi untuk diletakkan di dapur. Dibiarkan Zarif memujuk Puan Sri.
“Come I tolong.” Zarif
mengambil mangkuk dari tangan Lara. Tangan mereka bersentuhan. Iskh dia ni kan.
Geram je Lara pada Zarif ni. Ambil kesempatan betul.
Lara mahu cepat siap. Tan Sri dan
Puan Sri masih ada di ruang tamu. Kesian nanti tinggalkan tetamu sendirian.
Pinggan di dapur terus dibasuh. Selepas mengangkat mangkuk-mangkuk tadi, Zarif
mengelap meja pula. Kalau ada sesiapa yang nampak Zarif sekarang ni, mesti nak
jadikan Zarif menantu mereka. Rajin sungguh. Rajin ada maknanya tu……
“Ouch!” Sekali lagi mereka
berlanggar. Terkejut dibuatnya. Kebetulan Lara hendak memusingkan badannya untuk mengambil gelas-gelas yang diletakkan
di tepi dapur. Zarif pula memang sengaja berdiri di belakang Lara.
“Tak payahlah berdiri dekat sini.
Pergi depanlah.” Marah Lara pada Zarif. Entah kali berapa mereka berlanggar.
Yang dia sibuk berdiri dekat belakang aku ni kenapa? Marah Lara dalam hati.
“Oh ye. Nak tanya ni. Mana awak
dapat nombor telefon saya? Awak mintak Tan Sri ye?” Dari tadi Lara hendak
bertanya pada Zarif tetapi keadaan tidak mengizinkan. Dan inilah peluang yang
ada. Terus ditanya.
“Adalah.” Jawapan yang buat Lara
semakin geram. Orang tanya betul-betul, dia boleh jawab main-main. Wajah
selamba Zarif membuatkan hati Lara semakin membara. Lara masih cuba bertanya
walaupun dia tahu yang dia tidak akan mendapat jawapan dari mulut Zarif. Susah
betul kalau bertanya dengan lelaki seperti Zarif ni.
Sempat Zarif melemparkan senyuman
pada Lara sebelum dia meninggalkan Lara seorang diri di dapur. Zarif pula rasa
senang hati bila berlanggar dengan Lara tadi. Selalunya dia akan rasa marah,
tetapi kali ini tidak. Adakah aku sudah…… Oh no, please…..
“Kami pulang dulu Lara. Kalau ada
apa-apa, Lara telefon je Uncle atau Auntie.” Berulang kali Puan
Sri berpesan pada Lara. Dan berulang kali juga dia mencium Sofea. Puan Sri ni
pun satu. Macamlah esok tak boleh jumpa lagi dengan Sofea ni. Lara sudah
berjanji pun akan menghantar Sofea ke rumah sana.
“Insyaallah Auntie. Janganlah
risau.” Semasa bersalaman dengan Tan Sri dan Puan Sri, Lara perasan yang Zarif
asyik memandangnya. Entah apa yang dia tidak puas hati lagi agaknya tu.
Dari tadi asyik pandang, geram Lara.
Akhirnya Lara membalas pandangannya. Biar sama-sama pandang. Dia ingat aku
takut ke dengan pandangannya tu.
Lama juga mereka berpandangan
sebelum Tan Sri menepuk bahu Zarif. Zarif yang mengalihkan pandangannya dulu.
Itulah, ingat aku tak berani pandang kau ke? Membebel Lara sendiri. Biar dia
tahu siapa Lara Alina.
Selepas menidurkan Sofea, Lara
kembali mengemas dapurnya yang ditinggalkan tadi. Teringat Lara pada Tan Sri
dan Puan Sri tadi. Bertambah mereka makan. Tersenyum sendiri Lara di situ
sambil mengelap meja makan sekali lagi. Fikirannya langsung tidak teringatkan
Zarif. Zarif pula?.....
Selepas menghantar Sofea ke rumah
neneknya, Lara terus memandu kereta barunya ke tempat kerja. Semasa dia
menghantar Sofea tadi, dia ternampak Zarif baru sahaja menuruni tangga. Tidak
langsung di tegur. Cepat-cepat Lara beredar dari situ. Ada juga Puan Sri
mengajak Lara bersarapan sama tetapi ditolak lembut. Dia mahu segera sampai ke
tempat kerja. Takut terlewat pula nanti. Almaklumlah hari ini hari pertama dia
membawa kereta. Kalau tidak selalunya dia akan menaiki teksi atau bas sahaja.
“Wah, kereta baru. Honda pulak tu.”
Wati sibuk melihat ke dalam kereta. Terus dia masuk ke dalam. Tangannya sibuk
menyentuh sana sini.
“Lara, macam tak percayalah kau
bawak kereta ni. Eh salah, kau dapat kereta ni. Ini kereta kau tau tak.” Wati
cuba menyedarkan Lara sekali lagi. Ini bukan mimpi, ini realiti. Kenyataan yang
perlu Lara terima.
“Aku pun tak percaya Wati. Ini
kereta, rumah lagi.” Bukan Wati sahaja yang tidak percaya, Lara sendiri pun.
Semuanya berlaku dengan cepat sekali.
“Haaaa, kereta ni, rumah lagi. Kau
ni Lara. Best tau jadi kau.” Wati sedikit cemburu dengan kawannya itu.
Dia sendiri pun masih belum dapat membeli kereta. Apakan lagi rumah. Tapi
cemburu hanya pada kata-kata. Di hatinya dia tetap gembira untuk kawannya itu.
Dia tahu betapa susahnya beberapa tahun lepas untuk Lara membesarkan Sofea
seorang diri tanpa apa-apa bantuan dari sesiapa pun. Sebatang kara dia dulu
membesarkan Sofea.
“Aku ni tumpang tuah Sofea je. Kalau
Sofea takda, mana aku nak rasa semua ni.”
Tangan Lara dicapai. Dia tidak tahu
bagaimana hendak menyangkal kata-kata Lara tadi. Memang bila difikirkan balik,
Sofealah punca segala-galanya. Tetapi ini semua rezeki masing-masing. Lara
berhak mendapat semua ini.
“Hari ni ada banyak tempahan jugak
ni. Sempat ke siap?” Lara menyemak buku tempahan untuk hari ini. Sejak
akhir-akhir ini banyak juga mereka menerima tempahan. Lebihlah sikit keuntungan
untuk bulan ini.
“Kau ada mesti sempat punya. Kau kan
terror buat semua ni.” Lara dipuji.
Kembang sekejap dirasakan.
“Banyaklah kau punya terror Wati oi. Dah, jom kita start. Nanti tak siap pulak. Oh ye, muffin ada lagi ke dekat depan tu? Aku
rasa macam kena tambah.” Wati terus bangun dan memberi tabik kepada Lara persis
seorang tentera. Ketawa Lara melihat gelagat kawannya itu. Macam-macamlah si
Wati ni. Lara sedar, Wati seorang sahaja kawan yang dia ada. Dialah sahabat
yang paling akrab dan memahami dirinya.
“Lara, jom kita pergi makan. Dah
lama kan kita tak makan sama dekat luar.” Wati mengajak Lara makan di luar. Di
kedai yang mereka selalu makan dulu.
Lara baru lepas menyusun kek-kek
yang telah siap dibuat. “Makan kat luar? Kedai siapa nak jaga?”
“Itulah, bila aku cakap kau ni dah
tua, kau marah. Tapi tulah lupa lagi ye. Kau tak ingat ke kita ada adik baru.”
Lara menepuk dahi selepas mendengar kata-kata Wati. Dia terlupa. Langsung
terlupa yang mereka telah mengambil seorang pekerja untuk membantu mereka. Ayah
Wati yang mahu seorang lagi pekerja. Dia kesian melihat mereka berdua sahaja
yang membuat semuanya.
“Didi!” Serentak mereka memanggil
namanya. Tergopoh gapah si Didi berlari mendapatkan mereka.
“Kenapa jerit nama Didi ni?” Lelaki
lembut. Itulah yang boleh digambarkan lelaki bernama Didi. Dia pernah bekerja
di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Entah kenapa dia mahu berhenti. Tidak tahan
dengan tekanan di tempat kerja. Itu sebabnya dia mahu bekerja di kedai biasa
sahaja. Mahu menimba pengalaman di tempat begini pula. Katanya kurang sedikit
tekanan berbanding tempat kerja lama. Baru tiga hari dia bekerja di kedai
tersebut namun mereka seperti sudah lama kenal.
“Didi, kami nak keluar makan ni.
Nanti kitorang bungkuskan makan untuk kau ye. Kau jaga kedai kejap tau. Apa-apa
call aku.” Wati mencapai telefon yang diletakkan di atas meja kaunter. Lara
hanya tersenyum di sebelah. Dilambai tangannya kepada Didi sambil membuat muka
sedih. Sengaja membuat Didi sakit hati. Jahat si Lara ni. Menjeling Didi pada
Lara. Macam budak-budak mereka ni.
“Kita nak makan kedai biasa tu kan.
Kita pergi beli suratkhabar dulu boleh. Aku terlupa nak beli pagi tadi.” Lara
memang biasanya membeli suratkhabar setiap hari untuk dibaca. Itulah cara dia
mengetahui isu-isu semasa di dunia ni. Kalau di rumah dia sudah tiada masa
melihat TV. Lagilah kalau si kecil Sofea tu ada. Memanjang rancangan kartun.
Dari pagi hingga ke malam.
Wati menunggu Lara di luar kedai.
Lara pula ke dalam untuk membayar suratkhabar yang sedang dipegang. Baru sahaja
Lara hendak melangkah keluar selepas membuat bayaran, dia berselisih dengan
Zarif dan Badrul.
Apa lagi, Lara buat-buat tidak
nampak. Lain pula dengan Zarif. Ditegurnya Lara. “Hai Lara.”
Terpaksalah juga Lara memandang
Zarif. “Hai Zarif.” Itu sahaja.
Lara terus berjalan tanpa memandang
ke belakang pun. Dia terus menarik lengan Wati untuk mengikutnya. Dia tahu
Zarif dan Badrul masih memandangnya. Nasiblah Wati juga perasan akan kehadiran
Zarif di situ. Memang patut pun Lara beredar dari situ segera.
“Wait.
Kau dah kenapa bro? Hai Lara…. Macam
pelik je.” Badrul memang tidak menyangka yang Zarif akan menegur Lara.
Selalunya dialah orang yang paling marah kalau terjumpa si Lara tu. Kali ini
pula lain. Boleh pula ditegur Lara terlebih dahulu.
“Yes,
apa masalahnya. Aku tegur dia.” Zarif
masih memandang Lara walaupun mereka sudah semakin jauh meninggalkan mereka.
“Memanglah tak salah kau tegur dia,
tapi…. Come on, Lara tu. Perempuan
yang kau tak suka dulu kan.” Badrul masih tidak faham apa sebenarnya yang
terjadi dengan kawannya seorang ini.
“Relax
bro. Aku ada agenda aku sendiri. Jom aku cerita dekat kau masa makan
nanti.” Sambil berjalan sesekali matanya mencari-cari Lara.