My corner's visitor

Sunday, November 23, 2014

E-Novel : Cinta Hati Sayang - Bab 24

CINTA HATI SAYANG

BAB 24

            Selepas habis waktu kerja, Lara cepat-cepat memandu pulang ke rumah. Dia tidak mahu terlambat ke rumah Tan Sri nanti. Lara sudah memberitahu Tan Sri dan Puan Sri yang dia mahu bersiap di rumahnya. Menukar baju dan bersolek ala kadar. Tidak mahu pula nampak pucat sangat nanti.

            Lagipun Mak Jah ada memberitahunya semalam supaya pakai cantik-cantik. Selalunya mereka akan dibawa ke tempat-tempat eksklusif. Malam itu Lara mengenakan dress panjang berwarna cream. Dihiasi reben kecil di bahagian hadapan pinggangnya. Dari jauh dilihat seperti dia memakai tali pinggang kecil. Dress yang sedikit mengikut tubuh badannya. Wajahnya disolek sedikit. Kebanyakkan dia menggunakan warna pink. Ala-ala Barbie doll sedikit bila melihat Lara. Bertambah cantik.

            Okey ke tidak ni. Berulang kali Lara melihat dirinya di cermin. Ah, takpalah…. Nanti suruh Mak Jah tengok dan beri pendapat. Lara membawa sekali set alat soleknya ke rumah Tan Sri. Biar Mak Jah tolong betulkan. Segan pulak dia kalau nampak keterlaluan nanti.

            Sampai di rumah Tan Sri, Lara terus mengunci pintu kereta dan berlari anak menuju ke pintu rumah. Dia mahu berjumpa dengan Mak Jah dahulu sebelum orang lain nampak. Rasa segan pula dia memakai baju begini. Harap-harap semua orang masih dalam bilik masing-masing. Lagipun baru pukul berapa ni. Takkanlah diorang dah siap awal.

            “Assa…….” Belum sempat Lara memberi salam, pintu sudah dibuka dari dalam.

            Masing-masing terkedu. Zarif dan Lara. Zarif tidak menyangka Lara akan berpakaian sebegini. Cantik dan comel sangat. Ala princess Barbie. Lara pula terleka melihat Zarif yang kelihatan kacak dengan kemeja lengan panjang yang dilipat sedikit digayakan dengan seluar slack hitam. Persis model kacak.

            “Lara.” Zarif menyedarkan Lara dari lamunannya. Dia boleh terleka sampai begini. Sedar Lara oi.. Itu Carl Zarif. Bukan model seperti yang kau bayangkan.

            Lara terus masuk selepas melemparkan senyuman tawar dan menuju ke bilik Mak Jah. Dia mahu segera berjumpa dengannya. Mahu bertanya pendapatnya. Jika tidak sesuai mahu dia menukar baju lain. Sempat lagi ni.

            “Mak Jah… tengoklah Lara. Okey ke ni. Macam tak okey je. Over ke?” Buka sahaja pintu, Mak Jah juga seperti Zarif tadi. Diam tidak berkata apa-apa. Risau juga Lara. Aku solek tebal sangat ke. Dah macam nampak hantu je diorang ni.

            “Mak Jah!” Lara perlu cepat. Dia takut nanti semua orang sudah siap, dia sahaja yang belum lagi. Dia masih menunggu pendapat Mak Jah tentang penampilannya hari ini. Beg pakaian sudah dibawa bersama sekali dengan alat soleknya.

            Tiada kata apa-apa. Mak Jah cuma menunjukkan ibu jarinya pada Lara. Thumbs up!

            “Betul ke okey? Mak Jah jangan main-main.” Lara masih was-was. Jangan-jangan Mak Jah nak jaga hati aku ni…..

            “Okey sangat. Tip top. Comel sangat Lara malam ni. Jangan usik apa-apa lagi. Semuanya cukup sempurna. Ala Lara…. Nasiblah Mak Jah takda anak. Kalau ada, mahu Mak Jah ambil Lara jadi menantu.” Ketawa Lara mendengarnya. Pujian dari Mak Jah membuatkan Lara sedikit lega. Walaupun begitu, dia masih melihat dirinya di cermin yang digantung di dalam bilik Mak Jah. Hatinya masih rasa gelisah.
           

            “Ibu cantik sangat.” Lara sedikit malu bila Sofea dengan selamba memuji Lara di hadapan mereka semua. Ketika itu mereka sudah berada di dalam kereta. Zarif yang duduk di sebelah pemandu sempat mengerling pada Lara. Lara perasan Zarif asyik memandangnya dari tadi. Pandangan yang Lara tidak mengerti.

            Puan Sri dan Tan Sri juga memuji kecantikan Lara  ketika mula-mula berjumpa tadi. Kini Lara sudah tidak berasa janggal sangat. Dilihatnya masing-masing memang berpakaian cantik dan bergaya terutamanya Mak Jah. Mana pernah dia melihat Mak Jah berpakaian seperti malam ini. Baju kurung dengan labuci bertaburan. Bergaya habis Mak Jah. Puan Sri seperti biasa. Dia memang sentiasa kelihatan anggun dan menawan walaupun dengan usianya itu. Pak Mat juga berpakaian kemas. Seluar slack yang digayakan dengan kemeja batik.

            “Zira ikut ke tidak ni mama?” Zarif sedikit marah bila terpaksa menunggu seorang lagi tetamu yang akan mengikut mereka. Lara tidak tahu pula yang Zira, kekasih hati Zarif akan turut serta. Zarif juga sebenarnya baru sahaja tahu tadi. Itu pun Tan Sri yang memberitahunya. Kononnya Puan Sri hendak membuat kejutan pada Zarif. Tetapi lain pula yang jadi. Zarif tidak mahu merosakkan mood mamanya. Diikutkan sahajalah rancangan mama tu.

            “Dia dah on the way tu. Kejap lagi sampailah tu. Hah, tu dia.” Masing-masing memandang ke sebelah kanan. Kereta Mini Cooper milik Zira memasuki perkarangan rumah. Diparkirnya di hadapan kereta BMW milik Tan Sri.  

            “Seksinya dia ni.” Mak Jah berbisik pada Lara. Mak Jah sebenarnya tidak berapa berkenan dengan si Zira ni. Tapi siapalah dia hendak membenci seseorang lebih-lebih lagi orang yang rapat dengan keluarga Tan Sri.

            Lara memerhatikan Zira. Gaya jalan lenggoknya seperti seorang model. Siapa yang tidak terpikat perempuan cantik seperti Zira. Tubuh badan yang mengiurkan. Patutlah Zarif nakkan dia. Sesuai sangatlah mereka berdua. Itu pendapat Lara. Pendapat Zarif tidak sama sekali. Hatinya tidak langsung terbuka buat Zira. Mungkin hatinya untuk orang lain.

            “Sorry semua. Ada accident tadi. Kesian semua kena tunggu Zira.” Zira masuk ke dalam kereta dan duduk di sebelah Lara. Macamlah Lara tidak nampak tadi. Sempat Zira menyentuh lembut bahu Zarif semasa hendak masuk ke dalam. Dia duduk tengah-tengah pulak. Bosannya aku. Macam mana nak berbual dengan Mak Jah ni.

            “Kita bawa dua keretalah Pa. Macam sempit. I will drive mine.” Zarif tiba-tiba memberi cadangan. Matanya asyik hendak melihat Lara. Bukan Zira. Bila sahaja dia melihat Tan Sri menganggukkan kepalanya, cepat sahaja Zarif membuka pintu kereta dan berlalu keluar.

            “Mat, bawa kereta BMW saya.” Tan Sri mengarahkan Pak Mat membawa kereta lain. Kereta BMW 7series miliknya.

            Masing-masing keluar dari kereta tersebut untuk menukar kereta. Zira memandang Lara seperti tidak berpuas hati. Apa masalah dengan perempuan ni. Lantaklah. Ada aku kisah.

            Sekarang ini ada dua kereta yang akan ke sana. Kereta Zarif dan kereta Tan Sri. Lara sudah berkira-kira hendak mengikut Puan Sri. Takkanlah dia hendak menaiki kereta Zarif pula. Dia akan duduk di sebelah Pak Mat. Lagi selesa dirasakan.

            “Come with me.” Lara tidak perasan bila masa si Zarif keluar dari keretanya. Dia sudah mencapai tangan Lara. Digenggamnya erat. Tidak sempat Lara berkata apa-apa bila Zarif terus membuka pintu kereta dan mengarahkan Lara masuk.

            Sofea sudah selamat masuk ke dalam kereta bersama Puan Sri dan Tan Sri. Zira sedang mengalihkan keretanya. Tadi keretanya menghalang kereta BMW milik Tan Sri. Mak Jah? Mana dia.

            “Mak Jah dekat sini.” Terkejut Lara dibuatnya. Diurut dadanya. Tiba-tiba sahaja suara Mak Jah kedengaran dari tempat duduk belakang. Macam tahu-tahu je Lara tengah mencarinya.

            Zarif tidak menunggu lama. Masuk sahaja ke dalam kereta, terus dia menekan minyak. Dia tidak mahu Zira menaiki keretanya. Itu sebabnya dia menyuruh Mak Jah naik bersama Lara.

            Di dalam kereta Zarif masih mengerling pada Lara yang duduk di sebelahnya. Cantik sangat dia malam ni. Itu sebabnya mata Zarif sukar untuk memandang ke tempat lain.

            Geram juga Lara. Sepatutnya dia yang duduk di kereta lagi satu. Bersama-sama Tan Sri, Puan Sri, Pak Mat dan Sofea. Bukan Zira.  Sekarang ni dia pula yang kena duduk bersama Zarif dalam satu kereta. Nasiblah Mak Jah ada bersama mereka.

            Kereta meluncur laju meninggalkan kereta yang dipandu Pak Mat.

            Turun sahaja dari kereta, Zira tidak puas hati langsung. Dia nampak Zarif menarik Lara masuk ke dalam keretanya tadi. Dia memang mahu menaiki kereta bersama Zarif tadi tetapi bila dia sedang berjalan ke kereta Zarif, dia ditinggalkan. Zarif sudah memandu kereta laju keluar dari perkarangan rumah.

            Zira terus mendekatkan diri pada Zarif. Dia mahu sentiasa berada di sebelah Zarif malam ini. Lara tidak kisah langsung pun. Lagi bagus rasanya. Bolehlah dia bersama Mak Jah dan yang lain-lain.

            Dari bawah hingga ke tingkat atas, Zira sibuk hendak berkepit dengan Zarif. Zarif pula yang naik rimas. Dia terpaksa bersabar. Dia tidak mahu merosakkan majlis mamanya. Majlis hari lahir mamanya setahun sekali sahaja.

            Marini 57. Nama restoran yang telah ditempah Tan Sri untuk menyambut hari lahir Puan Sri. Sebuah restoran yang menyediakan pelbagai makanan dari negara Itali. Terletak di tingkat lima puluh tujuh Menara Petronas. Semua pengunjung di situ berpakaian kemas dan formal termasuklah mereka semua.

            Bukan sahaja Lara yang terpegun, Mak Jah dan Pak Mat juga. Sofea sibuk memandang ke semua tempat. Manalah pernah mereka masuk ke tempat-tempat begini. Mak Jah dan Pak Mat pula sekadar mengikut kemana Tan Sri bawa mereka keluar makan. Tetapi ke sini, inilah kali pertama untuk mereka.

            “Cantik tak?” Telinganya cepat menangkap suara Zarif. Ditoleh ke kanan. Memang Zarif sedang berdiri di sebelahnya. Rapat pula tu. Lara yang terpaksa menjauhi sedikit dari Zarif. Dahlah tadi Zira tidak bertegur sapa dengannya selepas turun dari kereta, kalau ini dia nampak juga nanti, mahu sampai kesudah tidak ditegur. Tapi apa nak hairan sangat. Memang orang macam Zira tu jenis sombong. Mana ada nak tegur-tegur ni.

            “Cantik sangat.” Lara menjawab pada Zarif. Dia juga tidak mahu menghilangkan mood orang lain. Terpaksalah juga dia bersabar dengan perangai Zarif. Takkanlah dekat sini nak bertekak pula.

            “But… Lara lagi cantik dari semua ni.” Terkaku Lara seketika. Pujian yang tidak pernah disangka-sangka. Lara buat-buat tidak mendengar kata-kata Zarif tadi. Kembang jugalah dirasakan bila dipuji seorang lelaki. Pandangan mereka bersatu walaupun hanya sekejap.

            Mereka dibawa ke meja yang telah disediakan untuk mereka oleh seorang pelayan wanita. Lara memperlahankan langkahnya mengikuti Mak Jah. Zarif pula dilihatnya berjalan beriringan dengan Zira di belakang Tan Sri dan Puan Sri.

            Meja sudah tersedia. Tan Sri dan Puan Sri yang terlebih dahulu mengambil tempat duduk mereka. Mereka duduk berhadapan manakala Sofea diajak duduk di sebelah Puan Sri. Lara perasan Zarif dari tadi memandangnya. Rimas pula bila diperhatikan seseorang. Mana lagi Lara hendak duduk kalau bukan di sebelah Sofea.

            Sangkanya Zarif akan duduk di sebelah Tan Sri tetapi tidak. Zarif menarik kerusi yang ada di hadapan Lara. Dia memang mahu duduk berhadapan dengan Lara. Biar sepanjang malam dapat melihat wajahnya. Yang paling gembira tentulah Zira. Dia dapat duduk bersebelahan dengan Zarif. Memang itu yang dia inginkan. Mak Jah dan Pak Mat seperti biasa akan duduk di hujung meja.

            Dekat rumah kena makan depan dia, dekat sini pun kena makan depan dia juga. Aduh….

            Selalunya Zarif atau Lissa yang akan membantu Mak Jah dan Pak Mat memilih makanan. Manalah mereka tahu nama-nama makanan yang ada di dalam menu. Kali ini Zarif yang menolong mereka.

            “Lara nak makan apa?” Lara masih terkebil-kebil melihat menu di hadapannya. Nak sebut pun berbelit lidah. Zarif seperti penyelamat Lara malam ini. Suaranya tidak seperti biasa. Lembut sahaja didengari.

            “I tolong pilihkan.” Zarif melemparkan senyuman pada Lara. Dia tahu Lara juga seperti Mak Jah dan Pak Mat. Zira di sebelah memerhati sahaja mereka berdua. Zarif nampaknya seperti semakin rapat dengan Lara. Ada rasa cemburu dalam hati Zira. Mana boleh. Zarif sepatutnya melayan dia seorang sahaja.

            “You dah order ke sayang?” Zira sengaja menguatkan perkataan sayang. Biar semua orang dengar termasuklah Lara. Zarif pula hanya tersenyum. Mengerling pada Lara.

            Lara bukannya kisah pun. Dia lagi suka kalau benar-benar mereka bercinta. Senang hidup aku. Takda si Zarif ganggu aku lagi. Boleh aku hidup dengan aman damai.

            “Mama happy sangat malam ni. Sebab semua ada kecuali my two kids. Bersyukur sangat dapat sekali lagi meraikan hari lahir bersama-sama. Moga tahun depan bertambah meriah lagi. Ada penambahan ahli mungkin.” Puan Sri memandang Zira dan Zarif. Semua orang tahu yang Puan Sri memang mahu menjodohkan mereka berdua. Cuma Zarif yang masih tidak mahu. Tidak bersedia adalah alasan yang diberikan pada mamanya.

            “Dan tahun ni juga mama gembira sebab ada Sofea dan Lara. Moga tahun hadapan dapat sambut lagi bersama Sofea dan Lara ye.” Dicium dahi Sofea dan diusap lembut pula pipi Lara. Zira masih tersenyum. Dia bukannya tersenyum gembira melihat Lara dan Sofea, tetapi masih gembira dengan kata-kata Puan Sri tadi. Ada harapan aku nak jadi menantu mereka. Sekarang ni hati Zarif yang perlu ditambat.

            Rancak juga mereka berbual sementara menunggu makanan sampai. Zira pula asyik merapatkan dirinya pada Zarif. Berbual-bual manja dengan Zarif. Cuma Zarif yang tidak berapa selesa. Dia mana suka kalau Zira rapat sangat dengannya. Sebenarnya bukan Zira sahaja, tetapi mana-mana wanita pun sebelum ini. Dia tidak suka. Sesak nafas dirasakannya.

            Zarif tidak melayan sangat si Zira. Dia lebih banyak berbual dengan orang lain. Dia lebih suka berbual dengan Pak Mat, Mak Jah dan paling utama Lara. Rasa seronok mendengar mereka berbual.

            Zarif banyak kali mengerling pada Lara. Dia cuba memandang ke tempat lain tetapi matanya masih berdegil. Zira nampak perbezaan pada Zarif. Dia banyak menumpukan perhatiannya pada Lara dari dirinya. Takkanlah mereka ada apa-apa hubungan pula. Oh tidak….

            “Auntie, saya nak ke tandas kejap.” Lara berbisik pada Puan Sri. Dia mahu melihat cermin sebenarnya. Takut ada apa-apa kotoran pada wajahnya. Si Zarif ni asyik memandangnya. Rimas pula Lara rasakan.

            “Lara nak kemana?” Tiba-tiba Zarif pula yang bertanya. Dia sendiri tidak tahu kenapa secara spontan sahaja mulutnya terus terbuka untuk bertanya. Zira di sebelah juga terperanjat. Kenapa pula dia hendak sibuk kemana Lara hendak pergi. Biarlah dia kemana pun.

            “Tandas.” Dijawabnya dengan nada biasa. Kalau Puan Sri dan Tan Sri tidak ada di situ, mananya si Lara hendak menjawab dengan baik pada Zarif. Sibuk hendak tahu kenapa. Nak ikut ke? Semua itu hanya dapat diluahkan dalam hati.

            Jangan rosakkan mood malam ini Lara. Zarif… kau abaikan sahaja dulu…..
           
           
           
           
           

           


16 comments:

  1. Best..best.. Tapi.. Ee gedik betul la zira ni..

    ReplyDelete
  2. Ish2.. serabut je langau tu.. zarif ni pn lara nak p toilet je.. hehehe

    ReplyDelete
  3. haha TQ sis....Langau..aduyai!!!!Best sangat sis.

    ReplyDelete
  4. Yeay, finally.. Thanks sis. Mungkinkah hati Zarif hanya untuk Lara? Ecewahh.. :D

    ReplyDelete
  5. Sian pulak tgk si zira..menggedikkan diri sampai org lagi meluat..mesti budget cute lettewww..semuga lara kuatkan hati jgn terpedaya dgn zarif..

    ReplyDelete
  6. Si zarif ni memang dah meroyan agak nye..
    Masih x sedar lg ke..
    Diri sendiri dah jatuh cinta...

    ReplyDelete
  7. Makin bdebor rsanya..konflict hati bmula..heheheh

    ReplyDelete
  8. Zarif ni kunun2 nak goda lara sampai jatuh cinta..padahal dia yg dah tergolek dog jatuh cinta dgn lara..

    ReplyDelete
  9. sepatutnya Lara jawap nak g tandas nape? nak ikut ke???? hahaha....apa la si zarif ni org nak g toilet pun sibuk tanya. zarif ni nak kenakan Lara tapi dia yg terkena....hahaha...

    ReplyDelete
  10. Best2...zarif dh start angau....siap sedia lara.....tq hairynn....

    ReplyDelete
  11. Best2, kesian hidup Lara....
    and saya rindu sngat2 dkt Haris and Arina, bilalah nk kluar nvl tu sis? ♥

    ReplyDelete
  12. Psssttt....rindulah dgn Haris n Arina...ape cite...ada news x.jgn lupe bg th yer..

    ReplyDelete
  13. Ye la sis ramai rindu haris-arina ni. zarif-lara bila nak sambung????next entry plzzzzz.....

    ReplyDelete
  14. Tq semua yang membaca cerita ni. Terus follow ye.

    Untuk Haris dan Arina..... Belum ada news lagi. Doa2kan diterima ye. Kalau ada good news akan diberitahu. Insyaallah.

    p/s: Saya pun rindu dekat Haris dan Arina..... ;(

    ReplyDelete