My corner's visitor

Friday, November 7, 2014

E-Novel : Cinta Hati Sayang - Bab 21

CINTA HATI SAYANG

BAB 21

            “Lara….. besarnya rumah kau. Cantik sangat.” Suara Wati dari ruang tamu jelas kedengaran di telinga Lara. Dia yang sedang membancuh air teh di dapur hanya tersenyum mendengar. Terfikir juga Lara entah sampai bilalah dia dapat merasa hidup mewah di rumah ini. Mungkin esok lusa dia dihalau keluar. Dia sendiri tidak tahu nasibnya.

            “Jom minum. Aku ada buat nasi goreng sikit ni.” Lara mengajak Wati bersarapan sama. Awal pagi lagi Wati sudah sampai di situ. Mereka sudah merancang hendak  berjalan-jalan hari ini. Lagipun semalam mereka sudah mendapat gaji untuk bulan lepas.

            “Ala Wati, aku ni pun tak tahu sampai bila duduk dekat sini. Kalau tiba-tiba aku kena halau, entah manalah aku nak tinggal dengan Sofea nanti.” Ada nada sedih pada kata-kata Lara itu. Wati juga turut bersimpati. Nasib orang siapa yang tahu.

            “Takpalah Lara, kau boleh tinggal dekat rumah aku je buat sementara waktu. Aku takkan biarkan kau hidup merempat. Sekarang ni kau jangan fikir apa-apa. Kau simpan sikit-sikit duit gaji kau tu. Boleh guna untuk kecemasan nanti.” Lara mengangguk tanda setuju dengan kata-kata Wati. Dia memang ada membuat simpanan sedikit dari gaji yang dia dapat setiap bulan.

            “Ala Lara, susah-susah kau kahwin je dengan anak Tan Sri tu. Apa nama dia, Zarif? Hah, Zarif.” Kata-kata Wati membuatkan dia teringat kembali pada si Zarif. Oh tidak. Janganlah masin mulut si Wati ni. Tak mahu aku kahwin dengan dia. Duduk serumah, tidur sekatil. Erghhhh, jauhkanlah.

            Selepas bersiap, mereka keluar berjalan di Sogo dan Jalan Tunku Abdul Rahman. Itulah tempat yang mereka selalu pergi. Harga barang-barang di kawasan ini murah-murah. Harga mampu milik untuk orang-orang seperti Lara dan Wati. Kalau Zarif memang tidaklah. Mana pernah dia jejakkan kaki di situ. Itu bukan tempat dia.

            You dekat mana?

            Sedang dia membelek-belek pakaian di tingkat pakaian wanita, ada bunyi mesej masuk. Mesej dari Zarif diterima. Lara buntu. Takkanlah nak beritahu dia dekat mana aku sekarang ni. Siapa dia nak tanya ini semua.

            “Kenapa ni?” Wati perasan akan perubahan riak wajah Lara. Seperti ada sesuatu yang merungsingkan fikirannya. Telefon masih di tangannya.

            “Ni hah. Mesej dari Zarif. Aku tak fahamlah.” Telefon diangkat.

            “Aku lagi tak faham. Mesej dari Zarif kenapa? Dia ada ugut kau lagi ke?” Wati tepat memandang Lara. Dia pula yang rasa gelisah.

            Tangan Sofea masih kuat digenggam Lara. Tidak pernah dia melepaskannya. Lara mengeluh sebelum dia  bersuara. “Dia tanya aku dekat mana. Aku tak faham kenapa tiba-tiba dia baik sangat dengan aku. Macam ada sesuatu. Kalau dulu punyalah nak marah je kalau nampak aku.”

            “Entah-entah dia dah syok dekat kau tak.”

            “Apalah kau ni. Aku serius ni.” Lara sudah menarik muka. Geram bila Wati seperti tidak memahami perasaannya.

            “Aku pun. Kau mana tahu isi hati dia. Okeylah tu, dia hensem apa. Kaya pulak tu.” Bahu kawannya dipeluk. Tersenyum lebar bila Lara memandangnya.

            “Dahlah, itu semua tak menjamin kebahagiaan. Biarlah dia. Aku macam malas nak balas.” Wati tidak mahu memaksa. Ikut suka Laralah. Dibiarkan sahaja Zarif menunggu mesejnya dibalas. Lama juga Zarif menunggu sehinggalah….

            “Hello, you tak dapat ke mesej dari I tadi?” Suara garau Zarif jelas kedengaran. Langsung tidak memberi peluang untuk Lara bersuara pun.

            “Dapat.” Salah Lara juga. Sebenarnya dia tidak mahu menjawab panggilan Zarif tadi. Tapi jarinya tertekan pula butang jawab. Apa lagi, terpaksalah Lara menjawab panggilan tersebut. Mendengar suara Zarif yang semakin hari semakin kerap menerjah ke telinganya.

            “Dapat…. Habis tu, kenapa tak balas?” Suara Zarif seperti tadi. Masih tidak berubah. Teruk sangat ke aku buat dekat dia? Tak balas mesej je pun.

            “Tak…takda kredit nak balas.” Itu sahaja yang dapat difikirkan ketika itu. Dia tiada alasan lain untuk diberikan. Harap-harap alasan tersebut diterima. Ada logiknya juga alasan tersebut.

            “Oh, okey. Dekat mana ni?” Lega Lara. Alasan diterima. Suara Zarif sudah tidak segarau tadi. Ada sedikit lembut. Wati disebelah sibuk melayan Sofea yang sedang memakan ais krim. Sesekali dia mengerling pada Lara.

            “Dekat Sogo.” Lara tidak perasan yang dia sedang menjawab segala pertanyaan Zarif tanpa banyak soal. Selalunya dia tidak akan menjawab apa-apa yang ditanya Zarif.

            “I nak ajak you keluar malam ni. Dinner with me.” Zarif perlu mengambil satu langkah lagi. Dia tidak boleh berlengah lagi. Hati Lara perlu ditawan segera.

            “Apa? Dinner? Eh, takda-takda. Saya ada hal lain malam ni.” Lara baru sedar yang dia sedang bercakap dengan lelaki yang pernah menyakitkan hatinya. Mana mahu aku nak keluar berdua dengan dia. Sesak nafas aku nanti.

            “Okeylah, saya nak sambung jalan ni. Assalamualaikum.” Terus diputuskan panggilan tersebut. Pelik Lara. Macam manalah dia boleh melayan si Zarif tadi. Bangun Lara. Kau dah kenapa…….

            “Waalaikumussalam.” Zarif menjawab salam Lara walaupun Lara sudah memutuskannya. Zarif tidak berjaya. Tapi itu tak bermaksud dia sudah putus asa. Ada masa lagi untuk dia lembutkan hati Lara. Dia perlu berusaha lebih lagi.

            Lara tidak mahu memikirkan tentang Zarif lagi. Dia cuba sibukkan diri dengan melayan Sofea. Wati juga diajak berbual tentang banyak perkara. Dengan cara itu dia dapat melupakan apa yang dikatakan Zarif tadi. Kusut fikirannya kalau difikir-fikirkan.

            Penat juga kakinya dirasakan. Apa tidaknya dari pagi sehingga petang mereka asyik berjalan. Nasiblah ada si Sofea. Terfikirlah juga untuk berehat. Kesian pula dengan Sofea kalau mereka terus berjalan sahaja.

            Selepas habis membeli-belah, mereka pulang ke rumah. Wati sudah membawa pakaian untuk tidur di rumah Lara malam ini. Sudah lama mereka tidak tidur bersama. Berbual sehingga ke pagi. Lara rindu untuk itu semua.

            “Lara, tu bukan Zarif ke?” Lara memandu keretanya memasuki ke petak parkir yang telah disediakan. Tajam benar mata si Wati ni. Dari jauh sudah nampak wajah lelaki yang sedang bersandar di tepi kereta BMW berwarna putih. Dengan mengenakan t-shirt berkolar jenama Ralph Lauren dan seluar jeans berwarna biru cair, Zarif memang kelihatan kacak dan bergaya. Itu dari mata Wati tetapi bukan Lara. Bagi Lara tiada apa pun yang menarik perhatiannya. Disebabkan mereka pernah bergaduh, hilang terus kehenseman Zarif di mata Lara.

            Bila Lara membuka pintu keretanya, Zarif sudah dilihat berjalan menghampirinya. Wajah kacak Zarif sebenarnya sudah memikat hati Wati, bukannya Lara. Dia sebenarnya mana pernah melihat Zarif dari dekat. Asyik dari jauh sahaja. Memang tidak dinafikan Zarif memang kacak.

            “Nak apa?” Lara terus bertanya bila melihat Zarif memandangnya tanpa sepatah kata. Beg plastik di tempat duduk belakang dicapai. Sofea sudah dibawa turun oleh Wati.

            “I nak dinner with you.” Langkah Lara terhenti. Dia baru sahaja hendak melangkah menuju ke lif.

            Zarif masih menayangkan wajah selamba. Bibirnya diukirkan senyuman membuatkan Lara semakin tidak puas hati. “Tadi kan saya dah cakap saya tak mahu keluar dinner dengan awak. Tak faham ke?”

            Lara masih cuba menjaga air muka Zarif. Suaranya diperlahankan supaya hanya mereka berdua sahaja yang dengar. Dikerling pada Wati yang sedang menunggunya di tepi bersama Sofea. Wajah Sofea jelas kelihatan penat. Di dalam kereta tadi sampai tertidur si Sofea akibat keletihan.

            “I still nak dinner with you. Kita dinner together dekat atas. Sekali dengan Sofea and your friend tu.” Zarif memuncungkan bibirnya ke arah Wati. Lara sibuk memikirkan alasan untuk membuatkan Zarif tidak jadi makan malam bersama mereka.

            “Tak payah nak cari alasan lagi, jom.” Lengan Lara sudah dipegang. Lara terpaksa mengikut langkah Zarif bila dia terus melangkah ke arah Wati. Lara menarik lengannya dari terus disentuh Zarif. Ikut suka dia je nak sentuh aku. Mana boleh. Marah Lara dalam hati.

            “Hai, I Carl Zarif. You?” Semasa menunggu lif, Zarif sempat berkenalan dengan Wati. Tangan dihulurkan tanda perkenalan. Apa lagi, memang tidak dilepaskan peluang yang ada. Cepat-cepat Wati menghulurkan tangannya. “Saya Wati.”

            Sofea pula sekadar memandang mereka. Memang dia begitu kalau dikejutkan dari tidur. Tiada mood untuk bercakap langsung.

            “I nak makan malam sama both of you malam ni. I tak ganggu kan?” Lembutnya suara Zarif. Dipandangnya wajah kedua-dua wanita di sebelahnya.

            “Takdalah. Okey je.” Wati seorang sahaja yang rajin melayan si Zarif ni. Lara pula langsung tidak bercakap. Kalau dia cakap tidak boleh pun, bukannya si Zarif akan dengar. Lagi-lagi dia sudah sampai di situ. Layanlah kau Wati.

            “Lara, macam mana ni? Malam ni kan kita dah plan nak masak simple je. Dia okey ke?” Dari tadi si Wati ni sibuk risaukan Zarif.

            “Biarlah dia. Ada aku kisah. Eh, ni kira baik tau aku ajak dia makan sekali. Kalau ikut hati aku yang jahat ni, nasi putih je aku hidang kat dia tau tak. Dahlah, aku nak pergi mandi jap. Lepas tu baru masak. Kau tolong tengok-tengokkan si mamat tu.” Tersengih-sengih Wati dibuatnya. Lara terus masuk ke dalam bilik. Sudah tidak tahan lagi rasa lekit di badannya.

            Zarif dari tadi duduk berehat di ruang tamu. Bersandar di sofa empuk sambil menonton perlawanan bola. Sofea pula tidak dapat menahan matanya lagi. Selepas dia minum susu yang dibuat Lara sebaik sahaja mereka masuk ke dalam rumah tadi terus dia tertidur.

            “Wati dah kenal lama ke dengan Lara?” Tiba-tiba Zarif bertanya pada Wati semasa mereka sedang duduk bersama menonton TV. Zarif sempat mengintai pintu bilik Lara. Masih tertutup rapat.

            “Lama jugak. Kami satu sekolah dulu. Tapi tak rapat pun masa tu. Lepas kakak Lara meninggal, baru kami jadi rapat. Kesian hidup Lara masa tu.” Zarif semakin tertarik dengan kisah hidup Lara. Dia mahu tahu segalanya tentang Lara Alina.

            “Kesian? Kenapa? Dia hidup susah ke? Bukan kakak dia kaya ke?” Zarif tahu sudah banyak duit Naim dikebas Hana. Mustahil satu sen pun tiada dalam simpanannya. Takkanlah Lara tidak tahu langsung perangai kakaknya itu.

            “Wati.” Suara Lara mengejutkan mereka. Zarif mahu tahu segala-galanya mengenai Lara. Dia kena menunggu masa yang sesuai.  Wajah Lara dipandang. Tiada langsung senyuman dari wajahnya.

            “Kejap ye.” Wati meminta diri untuk membantu Lara di dapur. Seronok pula berbual dengan Zarif. Tetapi dia ni asyik tanya pasal Lara je. Kan aku dah cakap, dia memang minat dekat Lara ni. Bisik Wati sendiri.

            “Kau borak apa dengan dia. Seronok nampak.” Lara mahu tahu apa yang dibualkan mereka. Rasa tidak sedap hati pula membenarkan Zarif masuk ke rumah tadi. Takut ada benda yang dia hendak tahu.

            “Borak kosong jelah. Takda apa-apa pun. Jealous ye.” Lara terus menarik muka.

            “Iskh, tak kuasa aku. Kau nak dia ambillah. Aku tak mahu pun.” Lara mengangkat tangannya tanda tidak mahu. Tergelak Wati dibuatnya. Zarif yang berada di ruang tamu sempat mengintai mereka berdua. Wajah Lara yang dia nampak. Memang Lara cantik orangnya, cuma Zarif menafikan sekeras-kerasnya. Dia tidak mahu mengakui hakikat yang Lara mempunyai rupa paras yang menawan.

            “Masak apa?” Terkejut Lara. Tiba-tiba sahaja Zarif sudah berdiri di belakangnya. Nasiblah dia tidak melatah. Wajah tidak puas hati yang ditunjukkan Lara pada Zarif.

            “Masak daging kicap, ikan tiga rasa dan sayur campur.” Teruja betul si Wati menjawab. Kalau Lara memang tidaklah. Buang air liur je menjawab.

            “Lara masak apa?” Zarif seboleh-boleh hendak Lara yang menjawab. Didekatkan dirinya pada Lara yang sedang memasak sesuatu di atas dapur.

            “Daging kicap. Tepi sikit boleh tak?” Rimas dirasakan bila Zarif berada di dapur bersama mereka. Wati pura-pura tidak mendengar perbualan mereka padahal dari tadi dia memasang telinga.

            “I nak tengok you masak. Tak boleh ke?” Lara sudah tidak dapat bersabar. Wajah Zarif dipandang tepat. Hanya dengan pandangan mata sahaja Zarif sudah tahu apa yang Lara mahukan.

            “I pergi depan dulu ye. Jangan marah sayang.” Berderau darah Lara bila sekali lagi Zarif memanggilnya sayang. Ini kali kedua dia dipanggil dengan panggilan tersebut. Meremang bulu romanya. Wati di tepi sudah tersengih lebar. Kalau dia ditempat Lara mahu pengsan dibuatnya.

            “Ibu…… Ibu……” Suara Sofea memanggil Lara. Dia sudah berjalan sehingga ke dapur.

            “Dah bangun sayang ibu. Jom, ibu mandikan. Lepas tu kita boleh ma…kan.” Nasiblah daging dan ikan sudah selamat dimasak. Hanya tinggal sayur sahaja. Diserahkan pada Wati untuk memasaknya pula. Lara mendukung Sofea sehingga ke bilik air.

            Zarif yang berada di ruang tamu disangkanya sedang khusyuk menonton TV tetapi tidak sama sekali. Dia sebenarnya memerhatikan mereka terutamanya Lara. Dia mahu mengetahui lebih dekat kehidupan Lara bersama Sofea.

            Ketika Lara menyiapkan Sofea, Wati yang sudah selesai memasak sayur terus menyiapkan meja makan. Lauk-lauk yang dimasak tadi disusun di atas meja. Zarif juga turut membantu. Ringan tulang pula si Zarif malam ini. Dituang air dan disenduknya nasi ke dalam pinggan.  

            “Lara, semua dah siap terhidang. Tunggu kau dengan Sofea je ni.” Nampak sahaja Lara dan Sofea keluar dari bilik, Wati mengajak mereka makan.

            “Ibu…. Apa uncle buat dekat sini?” Sofea bertanya pada Lara bila mereka sedang membasuh tangan di dapur. Jauh dari Wati dan Zarif.

            “Uncle nak makan dekat sini dengan kita. Boleh tak sayang?” Sengaja Lara bertanya pada Sofea. Dia juga perlu tahu samada Sofea suka atau tidak.

            “Boleh, tapi Uncle tak suka Fea.” Ringkas sahaja jawapan Sofea tetapi sudah cukup membuatkan Lara tahu yang Sofea juga dapat rasa bahawa Zarif tidak suka padanya.

            Lara hilang kata-kata. Dia tidak tahu apa yang perlu dikatakan pada Sofea. Baginya memang itulah yang sebenar-benarnya. Carlf Zarif memang tidak sukakan Sofea. Dan Lara tidak tahu kenapa perubahan sikap Zarif padanya terlalu mendadak. Adakah kerana Tan Sri yang membuatkan dia berubah, atau Puan Sri mungkin.

            Di meja makan, Lara lebih banyak melayan si Sofea dari berbual dengan Zarif. Hanya Wati sahajalah yang setia melayan Zarif. Apa yang Zarif tanya, laju sahaja Wati menjawab. Pandangan Zarif banyak dihabiskan pada Lara. Tetapi dia langsung tidak mengendahkan Zarif.

            “I balik dulu. Thank you for the dinner. Sedap Lara masak. Next time boleh masak lagi.” Lara sedikit mencebikkan bibirnya. Dia tahu Zarif tidak ikhlas pun memuji masakannya. Ini mesti kes terpaksa layan aku baik ni. Entah-entah nanti tutup je pintu, habis satu bakul sumpah seranah dilemparkan dekat aku.

            “Next time? Tak kot. Terima kasih sebab puji masakan saya.” Lara tidak mahu dikatakan biadab pada tetamu. Terpaksalah juga dia menghantar Zarif sehingga ke pintu.Takkanlah nak suruh Wati pulak.

            “I ikhlas ni. Okey, I need to go. Assalamualaikum sayang.” Baru sahaja Zarif  melangkah dua tapak, lengannya ditarik.

            “Jangan panggil saya sayang boleh tak? Saya bukan sayang awak pun. Eeee, bencilah.” Lara meninggalkan Zarif di situ. Hanya kedengaran bunyi pintu ditutup rapat. Zarif hanya tersenyum.

            Lara Alina….. sayang?.....  Zarif tersenyum sendiri.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                          


15 comments:

  1. TQ Hairynn...memang nak kena zarif ni....ishhhh jgn la Lara sukakan dia.Plzzz Hairynn.....biar zarif gilakan Lara.Be strong girl!!!!

    ReplyDelete
  2. Replies
    1. pas baca novel sis hairynn mesti cari komen baby mio

      Delete
  3. Zarif sound so romantik.. tapi ada agenda lain.

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  5. Yeay, finally! Thanks sis. Zarif, jgn jahat sgt please.. Sebenarnya awk dh ada hati dgn si Lara kan? Eleh.. Hahaha xP

    ReplyDelete
  6. Best2....tq hairynn....nk lg....xsbr nk tgk sape yg terjatuh....hihihi

    ReplyDelete
  7. Makin xsabor nk bca crite nih...huu..miss writer...ppliisss..aodet n3 cepat2 tau..hihii

    ReplyDelete
  8. Nak tembak zarif dengan senapan gajah boleh tak kak..?
    geraaaaammmmm btul ngan zarif ni

    ReplyDelete
  9. apa kata pn writer bg zarif cemburu dgn kemunculan jejaka lain dlm hidup lara...hahahaha (gelak jahat)....

    ReplyDelete
  10. Sis hairynn bila nak sambung...sis buat zarif gilakan lara tapi lara tak layan...hahaha!!!biar zarif frust tergolek.

    ReplyDelete
  11. Sis....bila nk smbung... :'(

    ReplyDelete