My corner's visitor

Thursday, November 13, 2014

E-Novel : Cinta Hati Sayang - Bab 22

CINTA HATI SAYANG

BAB 22

            Bro, kau okey ke tidak ni?” Badrul yang sedang duduk di tempat duduk sebelah pemandu menepuk bahu Zarif. Dilihatnya Zarif tersenyum tiba-tiba.

            “Aaaa…. Kau tanya apa?” Terhenti lamunan Zarif bila bahunya ditepuk. Jika tidak Badrul menepuk tadi, mesti dia masih sibuk mengelamun tentang Lara. Seronok pula dapat mengusik perempuan tu. Entah kenapa dirasakan hidupnya semakin ceria bila dia semakin merapatkan dirinya pada Lara. Tapi dia masih ingat tentang rancangannya. Dia tidak pernah lupa pun.

            “Ingatkan siapa ni… tersenyum sorang-sorang.” Mana mungkin Zarif akan memberitahu kawannya apa yang sedang difikirkan tadi sehingga membuatkan dia tersenyum seorang diri. Mahu kena ketawa dek Badrul nanti.

            “Takda apa-apa lah. Tiba-tiba rasa macam nak tersenyum. Salah ke?” Tiada alasan lain yang Zarif dapat fikirkan. Pandangannya masih fokus pada jalan raya di hadapan.

            “Salah tu taklah… Cuma pelik dengan kawan aku seorang ni. Kau dah nak kahwin dengan Zira ye. Tahniah bro.” Badrul pakai serkap jarang sahaja. Memang dia tahu Zarif rapat dengan Zira. Hanya dia yang keluar dengan Zarif sejak akhir-akhir ni. Mana ada perempuan lain pun.

            Zira? Sudah lama juga Zira tidak datang berjumpa dengannya. Kalau dulu boleh dikatakan hari-hari hendak berjumpa. Naik rimas Zarif dibuatnya. Mungkin dia outstation ke mana-mana.

            Zira memang ada memberitahu Zarif yang dia akan ke Indonesia untuk mencari kain untuk menghasilkan rekaan terbaru di butiknya. Macam biasalah, Zarif mana mahu dengar apa yang dikatakan Zira. Baginya tidak penting pun.

            Entah-entah dia teringatkan Lara. Perempuan yang menjadi pelakon utama dalam rancangan jahat Zarif. Badrul tidak sanggup melihat ada hati yang akan hancur nanti. Mungkin Lara dan mungkin juga Zarif sendiri. Hendak diberi nasihat takut akan dimarahi sekali lagi. Harap Zarif dapat fikir dengan baik.

            Zarif terus memandu keretanya. Dia asyik teringatkan wajah Lara. Dia perlu hilangkan perasaan suka padanya. Rosaklah rancangannya nanti kalau ada perasaan tersebut dalam hati. Fokus pada rancangan kau Zarif. Jangan ada apa-apa perasaan pada si Lara tu.

            Petang itu Zarif dan Badrul bermain tenis bersama. Sudah lama juga dia tidak mengeluarkan peluh dengan bermain tenis. Otaknya perlu cergas. Cergas memikirkan cara menambat hati Lara dengan segera. Masa itu emas baginya. Lagi cepat Lara jatuh cinta padanya lagi cepatlah rancangannya berjaya.

           
            “Sofea, jom makan sayang.” Puan Sri yang ke dapur sekejap tadi memanggil Sofea yang berada di tempat mainannya. Semakin hari semakin banyak barang mainan yang dibeli untuk cucunya. Pada siapa lagilah dia hendak belikan barang-barang tersebut. Mana dia ada cucu lain selain Sofea.

            Sofea berlari mendapatkan Puan Sri. Setiap hari Puan Sri akan menyuapkan Sofea. Dia lebih suka melihat Sofea makan dengan bersuap. Nampak lagi berselera. Ayam goreng memang kegemaran Sofea dari dulu lagi. Hari ini Mak Jah masak ayam goreng, sayur campur, sotong sambal dan telur dadar. Sejak Sofea ada, masakan di rumah tersebut sudah dikurangkan pedasnya. Takut jika Sofea tidak tahan nanti.

            “Sedap tak?” Dilihatnya Sofea makan sungguh berselera. Seronok budak-budak jika makan bersuap. Lagipun sambil makan sambil dia bermain dengan anak patungnya.

            “Sedap sangat. Nanti nenek buat daging kicap boleh? Hari tu uncle makan kat rumah kita. Ibu masak daging, uncle makan bertambah. Uncle kata sedappppp.” Puan Sri masih tidak dapat menangkap siapa uncle yang dimaksudkan Sofea. Kawan Lara ke.. Siapa pulak… Sampai datang rumah tu..

            “Uncle mana sayang? Kawan ibu ke?” Puan Sri mahu mengorek rahsia. Dia mahu tahu siapa Lara berkawan sekarang. Disangkanya Lara sudah ada teman lelaki. Orang mana, kerja apa, tinggal mana… semuanya Puan Sri ingin tahu.

            “Bukanlah nenek. Uncle yang tinggal dekat sini tu. Anak nenek.” Hampir terjatuh pinggan yang dipegang. Terkejut punya pasal. Takkanlah…..

            “Sofea…. Betul ke uncle Zarif yang datang rumah Sofea hari tu?” Sofea mengangguk tanpa  menunggu lagi. Memang dia yakin Zarif yang datang ke rumah mereka malam itu. Lagipun ingatan budak lebih kuat berbanding orang dewasa.

            Puan Sri tidak tahu langsung yang anak sulungnya itu pernah ke rumah Lara tanpa kehadiran mereka berdua. Tanpa diberitahu langsung. Buat apa pula Zarif datang ke sana? Ada hal penting ke? Puan Sri takut jika Zarif mengapa-apakan Lara.

            “Uncle buat apa dekat sana sayang?” Masih tidak berpuas hati. Selagi boleh ditanya pada Sofea, selagi itulah dia akan bertanya. Nasi di tangan di suap ke dalam mulut Sofea.

            Habis sahaja nasi di dalam mulut Sofea, barulah dia menjawab. “Uncle datang nak makan malam dengan kita. Lepas makan dia balik.”

            Makan malam dekat sana? Eh si Zarif ni…. Dia nak apa dengan Lara ni. Takkanlah dia dah ada hati dengan Lara. Mana pulak nak letak si Zira, kekasih hatinya tu.

            “Uncle suka kacau ibu. Kesian ibu.” Kata-kata Sofea itu memang diakui Puan Sri. Dia memang perasan Zarif suka menyakitkan hati Lara. Dia tahu anaknya masih ada perasaan benci pada keluarga Hana. Sebab itulah Puan Sri rasa musykil Zarif boleh datang ke rumah Lara. Makan malam bersama. Ada apa-apa yang mereka tidak beritahu pada aku ke? Puan Sri terus bertanya sendiri.
           

            Lagi dua hari mereka akan menyambut hari lahir Puan Sri. Memang setiap tahun keluarga Tan Sri akan menyambut bersama. Selalunya mereka akan makan malam di mana-mana hotel atau restoran terkemuka di ibu kota. Tahun ini anak bongsu Tan Sri, Carlissa tidak dapat menyambut bersama-sama. Dia sedang menduduki peperiksaan semester. Dia sudah berjanji sebaik sahaja habis kertas terakhir, dia akan balik ke Malaysia. Menyambut hari lahir mamanya lewat sedikit. Setiap tahun Zarif, Lissa, Mak Jah dan Pak Mat akan menyambut bersama Tan Sri dan Puan Sri. Naim pula sudah lama tidak mengikut mereka keluar. Semenjak perangainya tidak menentu, mereka takut untuk membawanya keluar dari rumah. Takut mereka tidak dapat mengawalnya.

            “Jumaat ni, Lara dengan Sofea ikut kami ye. Tahukan hari lahir Auntie jumaat ni. Kita makan dekat luar semua sekali. Mak Jah dengan Pak Mat pun ikut sama.” Lara menerima panggilan telefon dari Tan Sri pagi tadi. Dia tidak tahu langsung bila hari lahir Puan Sri mahupun Tan Sri. Bila diberitahu barulah dia tahu. Nasiblah ada dua hari lagi. Kalau esok mahu Lara datang sehelai sepinggang. Tanpa hadiah langsung.

            “Wati… kau kena tolong aku.” Mereka sedang makan tengahari bersama di kedai makan berhampiran tempat kerjanya. Lara terlupa pagi tadi hendak memberitahu Wati tentang sambutan hari lahir Puan Sri. Dia risau memikirkan tentang hadiah Puan Sri.

            “Tolong apa? Cuba cerita kat aku.” Wati menyuap nasi ke dalam mulutnya sementara menunggu cerita dari Lara.

            “Ni… aku tak tahu nak bagi apa dekat Puan Sri. Birthday dia jumaat ni. Lagi dua hari je.” Lara tidak berselera bila memikirkan masalah yang sedang dihadapi sekarang ini. Dia berharap sangat yang Wati akan membantunya. Moga-moga dia ada sesuatu yang menarik.

            “Ermmmm… ingatkan apa tadi. Okey, macam ni. Kau tak perlu beli benda mahal-mahal untuk dia. Lagipun dia tahukan kau macam mana. Maksud aku kau bukannya orang kaya. Ada duit banyak. Cukup-cukup makan je tiap-tiap bulan. Dia fahamlah.” Wajah Lara dipandang.

            “Itu aku tahulah. Masalahnya aku tak tahu nak bagi dia apa. Memanglah aku takkan beli barang-barang mahal ni semua. Manalah aku ada duit sangat. Yang memeningkan aku sekarang ni….. nak bagi a….pa…” Lara buntu. Tiada idea.

            “Dia pakai tudung tak?” Lara mengangguk menjawab pertanyaan Wati.

            “Habis cerita. Kau belikan dia tudung. Ala, tak semestinya kena jenis mahal. Kau beli yang biasa je janji nampak eksklusif.” Idea Wati diterima baik oleh Lara. Tersenyum semula bila masalahnya hampir selesai.

            Petang itu Lara keluar bersama Wati. Dia ada memberitahu Puan Sri yang dia akan mengambil Sofea lewat sedikit. Ada hal di luar. Memang Puan Sri tidak kisah langsung. Lagipun bolehlah dia bersama Sofea lebih lama.

            Mereka berjalan di Jalan Tunku Abdul Rahman. Di situ memang banyak menjual tudung. Semua jenis tudung boleh didapati di situ. Harga pun tidaklah mahal sangat.

            “Yang ni okey tak?” Lara menunjukkan sehelai selendang pada Wati. Baginya corak selendang tersebut sangat cantik. Wati mengangguk.

            “Cantik. Nampak mahal tu.” Senang hati Lara bila dapat mencari selendang yang diinginkan. Harganya tidaklah mahal sangat, tetapi bagi Lara ianya dikira mahal. Takpalah, untuk Puan Sri pun. Takkanlah nak belikan tudung yang harga sepuluh ringgit pulak. Mana sesuai dengan dia.

            Suka Lara. Selesai masalahnya. Kini dia hanya perlu menunggu hari Jumaat untuk menyambutnya. Harap-harap Puan Sri suka dengan hadiah pemberiannya ini.


            Malam itu Lara mendapat mesej dari siapa lagi kalau bukan si Zarif. Entah apalah yang dia hendak lagi ni. Ngomel Lara seorang diri.

            Esok petang temankan I beli hadiah mama.

            Sudah….. perangai pelik dia dah datang ni……. Lara masih memandang skrin telefonnya. Berulang kali dia membaca mesej tersebut. Okey Lara…. Dia salah hantar tu. Bukan dekat kau, tapi…. dekat si perempuan berlagak tu. Diva konon.

            Baru sahaja dia hendak meletakkan telefonnya di tepi katil, sekali lagi bunyi mesej masuk.

            I will fetch you at your shop at six.

            Eeeeee…… dia ni kenapa.. Apa masalah dia ni….. kenapalah nak ganggu aku je ni……

            Menjerit Lara sambil menutup mukanya. Takut jika jeritannya didengari Sofea yang sedang tidur di sebelahnya. Lara terpaksa menenangkan perasaannya. Semakin bercelaru hidupnya bila Zarif semakin kerap muncul dalam hidupnya.
           

            “Jangan lupa petang ni. Our first date.” Suara Zarif masih terngiang-ngiang di telinga Lara dari tadi. Benci Lara.

            Pagi tadi semasa Lara menghantar Sofea di rumah Tan Sri, Zarif juga ada sama. Kebetulan mereka sedang bersarapan, jadi diajaknya Lara untuk makan bersama mereka. Terpaksalah juga Lara masuk ke dalam rumah dan duduk makan bersama. Yang membuatkan dia hilang selera bila Zarif asyik mengerling padanya. Hendak sahaja dicungkil biji matanya. Biar terkeluar.

            “Sikit je Lara makan.” Tan Sri perasan sedikit sahaja Lara makan. Tidak seperti biasa.

            “Kenyang Uncle. Lara pergi dulu ye Uncle, Auntie. Bye sayang.” Lara memeluk Sofea dan mencium pipi serta dahinya. Kemudiannya dia bersalaman dengan Tan Sri dan Puan Sri.

            “Zarif pergi dulu.” Tiba-tiba sahaja Zarif turut bersalaman dengan mereka. Sibuk betullah dia ni. Tunggulah aku pergi dulu. Nak juga menyemak sama. Marah Lara dalam hati sahaja.

            Mereka keluar bersama-sama dari rumah. Dari dalam kereta Lara perasan yang Zarif asyik tersenyum memandangnya. Mananya Lara membalas. Wajah tidak puas hati sekali lagi dilemparkan sebelum menekan minyak kereta.

            “Benci benci benci……” Sampai sahaja ke dalam kedai, Lara terus menjerit benci. Dia perlu mengeluarkan perasaan marahnya yang dari tadi dipendam. Dia perlu meluahkan pada seseorang.

            Kebetulan Didi dan Wati sudah sampai di kedai sebelum Lara. Masing-masing sibuk datang menghampiri Lara bila mendengar suaranya.

            “Kau benci siapa Lara?” Didi yang sibuk bertanya. Wati pula sekadar melabuhkan punggungnya di sebelah Lara. Cuba mententeramkan dia.

            “Aku benci dekat mamat tu. Kenapalah dia sibuk kacau hidup aku ni. Arghhhhh… tak sukanya.” Wati sudah dapat mengagak siapa yang dimaksudkan. Hanya Didi sahaja yang masih tidak tahu. Tertanya-tanya lagi.

            “Sabarlah Lara. Aku pun tak tahu nak beri nasihat apa. Lagipun kau memang rapat dengan keluarga dia kan. Lari mana pun kau, tetap kena jumpa dengan dia. Lainlah kau lari dari seluruh keluarga dia tu.” Wajah Wati dipandang. Dia mengerti maksud Wati itu. Selagi dia rapat dengan Puan Sri dan Tan Sri, selagi itulah Zarif akan sentiasa ada. Masalahnya dia tidak faham kenapa Zarif semakin mengganggunya. Mana pergi perempuan berlagak tu. Kan lebih bagus kalau dia layan teman wanita dia tu. Biarkan aku sorang-sorang dekat sini.

            “Hensem sangat ke dia tu. Meh aku ajar dia.” Masing-masing terdiam bila Didi bersuara. Ketawa terbahak-bahak mereka berdua bila Didi menunjukkan buku lima pada mereka. Dengan penuh gaya seorang lelaki lembut. Kalau berjumpa dengan Zarif, memang pasti kalah teruk. Lelaki lembut berjumpa dengan lelaki tegap seperti Zarif sudah pastilah tahu siapa pemenangnya.

            Akhirnya Didi juga ketawa bersama mereka. Terlupa sekejap Lara tentang masalah barunya. Masalah dia dengan Zarif petang ini. Dia perlu mencari jalan untuk tidak keluar bersama Zarif.

            “Wati, aku balik dulu ye. Aku taknak bertembung dengan mamat tu. Kalau dia datang nanti, kau pandai-pandailah beri alasan.” Lara mengambil beg tangannya. Dia mahu cepat beredar dari situ sebelum Zarif sampai. Dia sudah berjanji akan datang mengambil Lara dalam pukul enam. Sekarang ini baru pukul lima setengah.

            “Baik-baik drive tu.” Wati menjerit pada Lara yang sudah pun berada di pintu kedai. Sempat Lara tersenyum pada Wati. Terima kasih Wati. Kaulah sahabat aku selamanya.

            Lara memandang sekeliling takut kalau-kalau ternampak kelibat Zarif. Tiada. Lega hati Lara. Cepat-cepat dia berjalan menuju ke kereta yang diparkir di tepi kedai dengan perasaan gembira.

            “Awal balik Cik Lara.” Terkejut Lara bila seseorang menyapanya dari belakang.

            Zarif……..Wajah Lara terus berubah. Kegembiraannya singgah sekejap sahaja tadi. Hilang sudah semuanya.

            “Aaa… saya…..” Lara sudah tidak dapat berkata-kata. Hendak diberitahu apa pada Zarif. Tidak pula dia fikirkan alasan tadi.

            “Takpa Lara. I tak mahu dengar apa-apa alasan. Sekarang ni jom ikut I. Kereta I dekat sana.” Zarif sudah mencapai tangan Lara. Tidak sempat Lara berkata apa-apa. Kakinya terpaksa mengikut langkah Zarif. Wati dan Didi hanya mampu melihat Lara dan Zarif berjalan. Apa kuasa mereka untuk menghalang Zarif membawa Lara.

            “Dia tu yang selalu kacau Lara?” Didi masih sibuk melihat ke luar.

            “Yelah, dia tulah. Kenapa? Hensem ke?” Mesti si Didi ni pun dah terpikat dengan Zarif. Tak berkelip matanya memandang Zarif tadi.

            “Korang ni kan…. Sampai hati tak beritahu aku rupa mamat tu. Hensem betul dia tu. Kacak habis. Oh, kalau akulah jadi Lara, alangkah bahagianya. Aku rela diganggu lelaki macam tu. Tidur lena aku tahu tak.” Dia sudah membayangkan Zarif dengan dirinya.

            “Sudah…. Kau ni kan Didi, berangan je tahu. Untuk pengetahuan kau, aku pun minat dekat dia. Jadi jangan harap kau nak dapat dia. Aku dulu.” Wati juga tidak mahu mengalah. Kelakar melihat gelagat mereka berdua seolah-olah berebutkan lelaki yang sama. Gelak ketawa memenuhi ruang kedai petang itu.

            Lara pula…….
           
           
           

            

11 comments:

  1. Yeayyy..saya org pertama..terima kasij hairynn..

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe... Sama2.. Tq juga ye kerana follow cerita ni... :)

      Delete
  2. Terima kasih. Ada part keluar air mata ni. Memang best..

    ReplyDelete
  3. Iisskk..makin saspen nih..
    bior zariff rsa penangan cinta yang x disambut olh lara..bru best..kononnya nknlara jatuh chenta..tapi terbalik..hahahha (gelak kahat nih)

    ReplyDelete
  4. Si zarif ni memang dah jatuh cinta kat lara..
    lara mesti terus2an jual mahal..

    ReplyDelete
  5. TQ Sis...nanti buat zarif betul2 jatuh cinta dgn lara tp lara tak layannn...than naim & bad sukakan lara.baru la zarif ada saingan....but plzzz lara jgn percayakan zarif. biar zarif gilakan lara je.....hahahaha!!!!padan muka zarif.

    ReplyDelete