My corner's visitor

Saturday, November 29, 2014

E-Novel : Cinta Hati Sayang - Bab 25

CINTA HATI SAYANG

BAB 25

            Baru kejap Lara pergi, Zira pula meminta diri hendak ke tandas juga. Hatinya sakit sebenarnya melihat Zarif memberi perhatian lebih pada Lara. Bukan dirinya yang setia duduk disebelah Zarif. Banyak kali juga Zira mengajak Zarif berbual berdua, tetapi tidak diendahkan. Dia lebih suka berbual dengan Lara dari dirinya.

            Apalah sangat yang menarik tentang perempuan ni. Bukannya bergaya pun. Cantik? Cantik lagi aku. Kaya? Sudah semestinya aku lebih kaya dari dia. Aku ada segala-galanya. Dia?....

            “Opss, sorry.” Zira sengaja melanggar Lara dari tepi. Punyalah luas dalam tandas ni, boleh pulak dia langgar aku. Merungut juga Lara dalam hati. Cuba disabarkan hatinya itu.

            “Cantik baju.” Zira yang mula-mula menegur Lara. Mereka sedang melihat wajah masing-masing di cermin besar.

            Agak terkejut juga Lara bila dipuji Zira. Entah ikhlas entah tidak dia ni. “Terima kasih.”

            “Pinjam dekat siapa? Yelah, kalau nak beli, sayang duit nanti. Membazir je.” Ada nada sindiran dalam kata-kata Zira. Hati Lara semakin membara. Tapi masih cuba dikawal kemarahannya.

            “Cik Zira… Saya nak pinjam ke, saya nak beli ke, saya nak curi sekali pun… itu semua rasanya takda kena mengenakan dengan Cik Zira. Ada saya minta duit Cik Zira ke nak belikan baju saya ni. Rasanya takda kan. Jadi rasanya tak perlulah kot Cik Zira tahu.” Lara masih cuba bersikap baik padanya. Ayat-ayat yang digunakan semuanya baik-baik sahaja. Zira tidak dapat menerima kata-kata Lara itu. Baginya tidak patut pun Lara berkata begitu padanya.

            “Aku dah tahu segala-galanya pasal keluarga kau. Kakak kau, kau dan anak saudara kau tu. Jadi tak payahlah berlakon baik depan aku ye. Kau nak rapat dengan Zarif sebab nak buat macam mana kakak kau buat dekat Naim kan. Aku tahu niat kau tu.” Lara sudah tidak tahan lagi mendengar cemuhan Zira tentang keluarganya. Ya, memang dia akui kakaknya telah mencemarkan nama keluarganya, namanya sendiri. Tetapi itu tidak bermakna perangainya sama seperti kakaknya. Mahu mengikis duit anak-anak Tan Sri. Kalau dia mahu, sudah lama dia cuba memikat Zarif. Tapi dia bukan Hana Kamila. Dia Lara Alina. Orang yang berbeza. Pemikiran juga berbeza.

            “Jangan samakan saya dengan Kak Hana. Buat pengetahuan Cik Zira, saya tidak pernah pun sesekali cuba mengurat buah hati Cik Zira tu. Saya tahu siapa saya. Dan saya sedar siapa dia. Jadi...jangan salahkan saya kalau dia tiba-tiba terminat dekat saya ye.” Lara terus berlalu keluar dengan perasaan yang sedikit berang. Dia ingat dia siapa. Senang-senang nak kutuk aku. Kalau sekali lagi dia cakap lagi perkara ni, tahulah aku balas nanti. Lara memang mahu sahaja menampar pipi si Zira. Rasa geram dengan setiap kata-kata yang keluar dari mulutnya.

            Zira pula yang geram dengan Lara. Berani dia cakap macam tu dekat aku. Dia tahu tak aku ni siapa. Aku ni…. bakal tunang Carl Zarif. Barulah padan. Sesuai bersama.

            Langkah Lara ke meja mereka tadi seperti berat sahaja. Hendak sahaja dia balik sekarang. Dirasakan dirinya tidak diperlukan di sini. Tetapi nanti kesian pula dia dengan Puan Sri dan Tan Sri. Kalau dia balik nanti, takut hilang mood semua orang. Dia mahu Puan Sri gembira malam ini. Baru sahaja tadi Puan Sri memberitahu pada semua orang yang dia berasa gembira sangat malam ini.

            Sampai sahaja di meja, dilihatnya makanan baru sahaja sampai. Lara terus duduk. Langsung tidak memandang Zarif di hadapannya. Dia menyibukkan dirinya melayan Sofea dan juga berbual dengan Mak Jah. Hatinya masih sakit lagi dengan kata-kata Zira. Masih terngiang-ngiang di telinganya.

            Zarif perasan perubahan sikap Lara selepas balik dari tandas tadi. Zarif dapat rasakan ada benda yang Zira cakap pada Lara. Membuatkan Lara berubah. Zarif tahu Lara hanya berpura-pura gembira. Senyuman palsu sahaja.

            Zira pula semakin kerap memanggilnya sayang. Tidak segan silu memegang tangan Zarif. Puan Sri dan Tan Sri tidak masuk campur tentang urusan mereka. Pak Mat dan Mak Jah juga. Mak Jah memang tidak suka si Zira tu. Kalau senyum pun terpaksa sahaja.

            Are you okay? Zira ada cakap sesuatu dekat you ke?

            Boleh pula si Zarif menghantar mesej padanya. Wajah Zarif di hadapannya dipandang. Dia masih bersikap selamba. Seperti tiada apa-apa yang berlaku. Pandai kau kan.

            Lara malas hendak membalas. Dibiarkan sahaja. Telefon dimasukkan semula ke dalam beg tangannya. Zarif tidak puas hati. Dia menghantar lagi mesej pada Lara. Mana pernah orang mengabaikan mesej yang dihantar sebelum ini. Lebih-lebih lagi dia nampak yang Lara memang sengaja tidak mahu membalas.

            Lara tahu Zarif yang menghantar padanya. Dibiarkan sahaja. Yang si Zarif ni pun satu. Takkanlah dekat sini nak berbalas-balas mesej. Lagi marah perempuan dekat sebelah tu kalau tahu. Dan dia nak sibuk tahu kenapa. Pergi layan je perempuan berlagak tu. Abaikan aku ni.

            “Ibu, telefon bunyi.” Sofea menepuk-nepuk paha Lara yang duduk di sebelahnya. Lara sebenarnya hendak membiarkan sahaja, tetapi tidak berjaya bila Puan Sri dan Tan Sri memandangnya. Hendak atau tidak, terpaksa juga Lara mengeluarkan telefonnya dan membuka mesej.

            Zarif hanya tersenyum melihat Lara. Tidak berjaya taktik tu Lara Alina. Ketawa riang Zarif dalam hati.

            Zira buat apa dekat you? Tell me.

            Lara membalasnya.

            Kosong. Tiada apa-apa yang ditulis. Zarif berulang kali membukanya. Takut jika dia tidak perasan.

            Lara memang tiada mood sebenarnya. Lagi-lagi melihat wajah si Zira tu. Dia ingat aku berlakon. Dia ingat aku hadap sangat dengan Zarif ni. Lara tidak langsung bercakap dengan Zarif dan Zira. Dibiarkan mereka berdua. Lara lebih banyak berbual dengan yang lain. Jika Zarif bercakap, Lara akan mendiamkan diri.

            Selepas Zarif membayar bil makanan, mereka beredar dari situ. Macam biasa, Zira akan sibuk berjalan rapat dengan Zarif. Naik menyampah pula Lara melihatnya. Dia ingat aku nak sangat ke rampas kekasih hati dia tu. Arghhhh… Tolonglah…….

            Lara tidak betah berjalan rapat dengan mereka. Dia orang yang terakhir berjalan keluar. Dibiarkan Zarif dan Zira berjalan jauh darinya. Mak Jah nampak perubahan Lara. Mesti ada sesuatu yang tidak kena tadi. Bukan boleh percaya sangat dengan Zira tu.

            “Lara okey ke tidak ni?” Mak Jah bertanya pada Lara dengan suara yang agak perlahan. Tidak mahu orang lain mendengar.

            Lara tidak menjawab. Dia hanya memandang wajah Mak Jah. Tangan Mak Jah digenggam erat. Berharap Mak Jah faham akan perasaannya sekarang ini. Mak Jah memang tidak tahu apa yang Zira telah lakukan pada Lara tetapi yang pasti Lara sedang bersedih sekarang ini. Dia sedang menahan perasaan sedihnya. Mak Jah mengusap lembut tangan Lara.

            Sampai di tempat meletak kenderaan, Lara cepat-cepat menuju ke kereta Tan Sri. Dia tahu Zira mesti akan naik bersama Zarif. Lebih baik dia tidak bersama mereka. Geram, sedih, berang…. Semuanya ada. Lengkap.

            “Lara!” Suara Zarif membuatkan semua orang memandangnya. Zira di sebelahnya cuba mengeratkan lagi pautan tangan di lengan Zarif.

            “Aaaa, you…naik kereta siapa?” Zarif tergagap-gagap bertanya. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia boleh menjerit nama Lara.


            “Saya naik kereta Tan Sri.” Lara perasan yang Tan Sri dan Puan Sri masih memandang mereka. Terpaksalah Lara menjawab lembut pada Zarif. Dia kemudiannya berpusing menuju ke kereta Tan Sri. Zarif tidak boleh berbuat apa-apa. Takkanlah dia nak heret Lara naik keretanya di hadapan papa dan mamanya. Apa pula kata mereka nanti.

            “Jomlah sayang. Dia tukar tempat dengan I. Dia nak bersama Sofea tu.” Lengan Zarif ditarik.

            “You tak faham lagi ke Zira?! I dah cakap banyak kali… jangan panggil I sayang. I hate it!.” Zarif sudah tidak dapat bertahan lagi. Bila dilihatnya Tan Sri dan Puan Sri sudah masuk ke dalam kereta, terus dikeluarkan apa yang dipendam dari tadi.

            “Habis tu, tadi okey je I panggil you sayang.” Zira masih berdegil. Dia memang dari dulu mahu memanggil Zarif sayang. Biar semua orang tahu yang Zarif adalah miliknya.

            “Wait wait…Tadi semua tu sebab mama. Sebab mama dan papa ada. I taknak bertekak depan mereka. And also kita tengah celebrate birthday dia. I don’t want to spoil her mood.” Habis semua diterangkan oleh Zarif. Zira hanya mendengar sahaja. Disangkanya Zarif sudah tidak kisah dipanggil sayang tetapi tidak sama sekali. Dia masih seperti dahulu.

            Zarif terus masuk ke dalam kereta. Dibiarkan sahaja Zira berdiri di situ. Mak Jah pula tidak mahu campur tangan akan hal mereka berdua. Awal-awal lagi Mak Jah sudah masuk ke dalam kereta. Hanya melihat mereka bertekak seperti melihat drama melayu.

            “You nak masuk ke taknak ni?” Zarif menjerit dari dalam kereta. Dia malas hendak melayan Zira yang seolah-olah merajuk. Minta dipujuk. Itu bukan Zarif. Dia tidak pernah memujuk mana-mana perempuan pun sebelum ini termasuklah Zira. Jangan berharaplah Zira.

            Zira tahu Zarif tidak akan memujuknya. Payah  betul nak ubah perangai Zarif ni. Zira tidak akan berputus asa. Dia perlu berusaha lebih kuat lagi. Terpaksalah Zira memujuk diri sendiri.

            Masing-masing senyap sahaja di dalam kereta. Hanya Zira sahaja yang bersuara. Zarif dan Mak Jah hanya diam membisu. Zarif seperti berada di dunianya sendiri. Berada bersama-sama dengan orang yang dia sayang. Mama, papa, Naim, Lissa, Mak Jah, Pak Mat… Lara dan Sofea juga ada.

            Eh, Lara dan Sofea? Apa semua ni…….

            Sampai di rumah Tan Sri, Lara segera mengambil kotak kek yang dibawanya tadi. Carrot cake memang kesukaan Puan Sri. Tan Sri ada memberitahu Lara. Itu sebabnya Lara membuat kek khas untuk Puan Sri. Dia perlu melupakan sekejap kejadian di tandas tadi. Apa yang dikatakan Zira tadi.

            Zira pula perlu segera pulang ke rumahnya. Dia perlu bangun awal keesokkan pagi. Tiket kapal terbang ke Singapura sudah dibeli semalam. Katanya dia akan menghadiri majlis perkahwinannya di sana. Ada juga dia mengajak Zarif menemaninya. Mana mahu si Zarif ikut. Lainlah Zira tu kekasih hatinya. Orang yang dia paling sayang.

            Yang pasti tiada siapa pun yang memberitahu Zira tentang kejutan kek untuk Puan Sri. Itu sebabnya dia pulang terus. Kalau dia tahu ada kejutan bagai, mahu dia masuk ke dalam rumah dan menunggu sehingga semuanya selesai walaupun terpaksa bangun awal esoknya.

            “Happy birthday to you… Happy  birthday to you…… Happy birthday to Puan Sri…. Happy birthday to you….” Semua sekali menyanyikan lagu selamat hari lahir kepada Puan Sri. Kek dibawa keluar oleh Pak Mat ketika mereka menyanyi tadi. Lampu dimalapkan.

            Puan Sri yang kebetulan hendak menaiki tangga bersama Tan Sri terpaku.   Ini kali pertama mereka membuat kejutan sebegini. Selalunya Puan Sri akan diminta memotong kek ketika mereka makan bersama. Tahun ini berlainan sedikit. Patutlah tadi langsung tiada kek pun.

            “Nenek…. Tiuplah.” Sofea menjerit menyuruh Puan Sri meniup lilin di atas kek tersebut.

            “Kita tiup sama-sama okey.” Puan Sri mengajak Sofea untuk meniup bersama-samanya. Dia mendukung Sofea dan apa lagi… terus mereka meniup semua lilin yang ada. Masing-masing menepuk tangan.

            “Kek ni Lara yang buat.” Tan Sri memberitahu semua. Semua mata tertumpu padanya termasuklah Zarif. Segan pula Lara bila semua yang ada memandangnya. Tersenyum simpul dia.

            “Harap Auntie suka ye. Selamat hari lahir Auntie.” Lara mencium pipi Puan Sri. Pipi Lara diusap lembut oleh Puan Sri. Rindunya Lara pada belaian seorang emak. Dari kecil Lara tidak pernah merasa belaian begitu. Cukuplah jika dapat menumpang sedikit kasih sayang dari Puan Sri yang sudah dianggap seperti emaknya sendiri.

            “Happy birthday mama. I love you so much.” Giliran Zarif pula mengucap selamat pada Puan Sri. Dipeluknya erat mamanya. Kasih sayangnya pada mama tidak pernah kurang. Itu sebabnya apa yang Puan Sri arahkan dia akan turuti tanpa bantahan.

            Sofea dan yang lain juga turut mengucap selamat pada Puan Sri. Lara terus mencapai pisau kek dan memotongnya.


            “Jom, Mak Jah tolong.” Baru sahaja Mak Jah hendak mengambil piring di tepi meja, dia dihalang seseorang.

            “Eh takpa Mak Jah. Biar Zarif tolong.” Mak Jah ditolak perlahan ke tepi. Zarif mengambil piring tersebut dan menghulurkan pada Lara yang sibuk memotong kek. Dia tidak perasan pun bukan Mak Jah yang membantunya tetapi Zarif.

            “Opss!.. Eh!.. mana Mak Jah?” Lara baru sedar bila tangan mereka bersentuhan semasa menghulurkan piring. Seperti ada magnet menolak sentuhan tersebut. Pandangannya sibuk mencari kelibat Mak Jah.

            “Mak Jah tengah makan tu. Tak salah rasanya I tolong.” Dilinatnya Mak Jah sedang berbual-bual dengan Puan Sri sambil menyuap kek ke dalam mulut. Naik rimas Lara rasakan bila Zarif semakin berdiri hampir padanya.

            “Memanglah tak salah, tapi saya tak suka. Nanti ada orang cemburu.” Kalau boleh Lara tidak mahu Zarif rapat dengannya. Dia masih mahu ada dinding antara mereka. Dia mahu Zarif yang dulu. Tidak pernah bercakap baik dengannya. Itu yang dia mahukan dari Zarif. Biar semua orang gembira terutamanya si Zira tu.

            “Siapa? Zira? She’s not my girlfriend. Suka hati I lah nak rapat dengan siapa.” Itu yang Lara malas hendak berbincang dengan Zarif. Dia memang suka ikut kepala dia sahaja. Dah nampak yang Zira tu memang minat sangat dekat dia. Terima sahajalah. Kan senang. Sama cantik sama padan.

            “Sedap kek ni. Pandai Lara buat.” Wajah Zarif dipandang. Dia tidak tahu kenapa Zarif boleh berubah seperti ini. Kalau dulu langsung dia tidak suka dekat aku. Nak makan sama pun tak mahu. Ini nak puji-puji pulak. Ke memang betul sangkaan aku. Yang Zarif ni memang dah minat dekat aku…

            Zarif asyik memandang Lara dari tadi. Dia tidak tahu kenapa wajah Lara yang sentiasa mahu dipandang. Perasaan ingin mendekatinya semakin mendalam. Tapi Zarif sentiasa mengingatkan diri sendiri. Dia mahu membalas dendam. Rancangannya perlu berjaya. Jika tidak hatinya tidak akan senang. Dia sentiasa menepis perasaan suka pada Lara jauh-jauh. Dia tidak mahu rancangannya gagal disebabkan perasaannya sendiri.


            Kau hanya perlu berlakon Zarif. Hanya berlakon semata-mata. Jangan sesekali terjatuh cinta pada Lara Alina. 

Sunday, November 23, 2014

E-Novel : Cinta Hati Sayang - Bab 24

CINTA HATI SAYANG

BAB 24

            Selepas habis waktu kerja, Lara cepat-cepat memandu pulang ke rumah. Dia tidak mahu terlambat ke rumah Tan Sri nanti. Lara sudah memberitahu Tan Sri dan Puan Sri yang dia mahu bersiap di rumahnya. Menukar baju dan bersolek ala kadar. Tidak mahu pula nampak pucat sangat nanti.

            Lagipun Mak Jah ada memberitahunya semalam supaya pakai cantik-cantik. Selalunya mereka akan dibawa ke tempat-tempat eksklusif. Malam itu Lara mengenakan dress panjang berwarna cream. Dihiasi reben kecil di bahagian hadapan pinggangnya. Dari jauh dilihat seperti dia memakai tali pinggang kecil. Dress yang sedikit mengikut tubuh badannya. Wajahnya disolek sedikit. Kebanyakkan dia menggunakan warna pink. Ala-ala Barbie doll sedikit bila melihat Lara. Bertambah cantik.

            Okey ke tidak ni. Berulang kali Lara melihat dirinya di cermin. Ah, takpalah…. Nanti suruh Mak Jah tengok dan beri pendapat. Lara membawa sekali set alat soleknya ke rumah Tan Sri. Biar Mak Jah tolong betulkan. Segan pulak dia kalau nampak keterlaluan nanti.

            Sampai di rumah Tan Sri, Lara terus mengunci pintu kereta dan berlari anak menuju ke pintu rumah. Dia mahu berjumpa dengan Mak Jah dahulu sebelum orang lain nampak. Rasa segan pula dia memakai baju begini. Harap-harap semua orang masih dalam bilik masing-masing. Lagipun baru pukul berapa ni. Takkanlah diorang dah siap awal.

            “Assa…….” Belum sempat Lara memberi salam, pintu sudah dibuka dari dalam.

            Masing-masing terkedu. Zarif dan Lara. Zarif tidak menyangka Lara akan berpakaian sebegini. Cantik dan comel sangat. Ala princess Barbie. Lara pula terleka melihat Zarif yang kelihatan kacak dengan kemeja lengan panjang yang dilipat sedikit digayakan dengan seluar slack hitam. Persis model kacak.

            “Lara.” Zarif menyedarkan Lara dari lamunannya. Dia boleh terleka sampai begini. Sedar Lara oi.. Itu Carl Zarif. Bukan model seperti yang kau bayangkan.

            Lara terus masuk selepas melemparkan senyuman tawar dan menuju ke bilik Mak Jah. Dia mahu segera berjumpa dengannya. Mahu bertanya pendapatnya. Jika tidak sesuai mahu dia menukar baju lain. Sempat lagi ni.

            “Mak Jah… tengoklah Lara. Okey ke ni. Macam tak okey je. Over ke?” Buka sahaja pintu, Mak Jah juga seperti Zarif tadi. Diam tidak berkata apa-apa. Risau juga Lara. Aku solek tebal sangat ke. Dah macam nampak hantu je diorang ni.

            “Mak Jah!” Lara perlu cepat. Dia takut nanti semua orang sudah siap, dia sahaja yang belum lagi. Dia masih menunggu pendapat Mak Jah tentang penampilannya hari ini. Beg pakaian sudah dibawa bersama sekali dengan alat soleknya.

            Tiada kata apa-apa. Mak Jah cuma menunjukkan ibu jarinya pada Lara. Thumbs up!

            “Betul ke okey? Mak Jah jangan main-main.” Lara masih was-was. Jangan-jangan Mak Jah nak jaga hati aku ni…..

            “Okey sangat. Tip top. Comel sangat Lara malam ni. Jangan usik apa-apa lagi. Semuanya cukup sempurna. Ala Lara…. Nasiblah Mak Jah takda anak. Kalau ada, mahu Mak Jah ambil Lara jadi menantu.” Ketawa Lara mendengarnya. Pujian dari Mak Jah membuatkan Lara sedikit lega. Walaupun begitu, dia masih melihat dirinya di cermin yang digantung di dalam bilik Mak Jah. Hatinya masih rasa gelisah.
           

            “Ibu cantik sangat.” Lara sedikit malu bila Sofea dengan selamba memuji Lara di hadapan mereka semua. Ketika itu mereka sudah berada di dalam kereta. Zarif yang duduk di sebelah pemandu sempat mengerling pada Lara. Lara perasan Zarif asyik memandangnya dari tadi. Pandangan yang Lara tidak mengerti.

            Puan Sri dan Tan Sri juga memuji kecantikan Lara  ketika mula-mula berjumpa tadi. Kini Lara sudah tidak berasa janggal sangat. Dilihatnya masing-masing memang berpakaian cantik dan bergaya terutamanya Mak Jah. Mana pernah dia melihat Mak Jah berpakaian seperti malam ini. Baju kurung dengan labuci bertaburan. Bergaya habis Mak Jah. Puan Sri seperti biasa. Dia memang sentiasa kelihatan anggun dan menawan walaupun dengan usianya itu. Pak Mat juga berpakaian kemas. Seluar slack yang digayakan dengan kemeja batik.

            “Zira ikut ke tidak ni mama?” Zarif sedikit marah bila terpaksa menunggu seorang lagi tetamu yang akan mengikut mereka. Lara tidak tahu pula yang Zira, kekasih hati Zarif akan turut serta. Zarif juga sebenarnya baru sahaja tahu tadi. Itu pun Tan Sri yang memberitahunya. Kononnya Puan Sri hendak membuat kejutan pada Zarif. Tetapi lain pula yang jadi. Zarif tidak mahu merosakkan mood mamanya. Diikutkan sahajalah rancangan mama tu.

            “Dia dah on the way tu. Kejap lagi sampailah tu. Hah, tu dia.” Masing-masing memandang ke sebelah kanan. Kereta Mini Cooper milik Zira memasuki perkarangan rumah. Diparkirnya di hadapan kereta BMW milik Tan Sri.  

            “Seksinya dia ni.” Mak Jah berbisik pada Lara. Mak Jah sebenarnya tidak berapa berkenan dengan si Zira ni. Tapi siapalah dia hendak membenci seseorang lebih-lebih lagi orang yang rapat dengan keluarga Tan Sri.

            Lara memerhatikan Zira. Gaya jalan lenggoknya seperti seorang model. Siapa yang tidak terpikat perempuan cantik seperti Zira. Tubuh badan yang mengiurkan. Patutlah Zarif nakkan dia. Sesuai sangatlah mereka berdua. Itu pendapat Lara. Pendapat Zarif tidak sama sekali. Hatinya tidak langsung terbuka buat Zira. Mungkin hatinya untuk orang lain.

            “Sorry semua. Ada accident tadi. Kesian semua kena tunggu Zira.” Zira masuk ke dalam kereta dan duduk di sebelah Lara. Macamlah Lara tidak nampak tadi. Sempat Zira menyentuh lembut bahu Zarif semasa hendak masuk ke dalam. Dia duduk tengah-tengah pulak. Bosannya aku. Macam mana nak berbual dengan Mak Jah ni.

            “Kita bawa dua keretalah Pa. Macam sempit. I will drive mine.” Zarif tiba-tiba memberi cadangan. Matanya asyik hendak melihat Lara. Bukan Zira. Bila sahaja dia melihat Tan Sri menganggukkan kepalanya, cepat sahaja Zarif membuka pintu kereta dan berlalu keluar.

            “Mat, bawa kereta BMW saya.” Tan Sri mengarahkan Pak Mat membawa kereta lain. Kereta BMW 7series miliknya.

            Masing-masing keluar dari kereta tersebut untuk menukar kereta. Zira memandang Lara seperti tidak berpuas hati. Apa masalah dengan perempuan ni. Lantaklah. Ada aku kisah.

            Sekarang ini ada dua kereta yang akan ke sana. Kereta Zarif dan kereta Tan Sri. Lara sudah berkira-kira hendak mengikut Puan Sri. Takkanlah dia hendak menaiki kereta Zarif pula. Dia akan duduk di sebelah Pak Mat. Lagi selesa dirasakan.

            “Come with me.” Lara tidak perasan bila masa si Zarif keluar dari keretanya. Dia sudah mencapai tangan Lara. Digenggamnya erat. Tidak sempat Lara berkata apa-apa bila Zarif terus membuka pintu kereta dan mengarahkan Lara masuk.

            Sofea sudah selamat masuk ke dalam kereta bersama Puan Sri dan Tan Sri. Zira sedang mengalihkan keretanya. Tadi keretanya menghalang kereta BMW milik Tan Sri. Mak Jah? Mana dia.

            “Mak Jah dekat sini.” Terkejut Lara dibuatnya. Diurut dadanya. Tiba-tiba sahaja suara Mak Jah kedengaran dari tempat duduk belakang. Macam tahu-tahu je Lara tengah mencarinya.

            Zarif tidak menunggu lama. Masuk sahaja ke dalam kereta, terus dia menekan minyak. Dia tidak mahu Zira menaiki keretanya. Itu sebabnya dia menyuruh Mak Jah naik bersama Lara.

            Di dalam kereta Zarif masih mengerling pada Lara yang duduk di sebelahnya. Cantik sangat dia malam ni. Itu sebabnya mata Zarif sukar untuk memandang ke tempat lain.

            Geram juga Lara. Sepatutnya dia yang duduk di kereta lagi satu. Bersama-sama Tan Sri, Puan Sri, Pak Mat dan Sofea. Bukan Zira.  Sekarang ni dia pula yang kena duduk bersama Zarif dalam satu kereta. Nasiblah Mak Jah ada bersama mereka.

            Kereta meluncur laju meninggalkan kereta yang dipandu Pak Mat.

            Turun sahaja dari kereta, Zira tidak puas hati langsung. Dia nampak Zarif menarik Lara masuk ke dalam keretanya tadi. Dia memang mahu menaiki kereta bersama Zarif tadi tetapi bila dia sedang berjalan ke kereta Zarif, dia ditinggalkan. Zarif sudah memandu kereta laju keluar dari perkarangan rumah.

            Zira terus mendekatkan diri pada Zarif. Dia mahu sentiasa berada di sebelah Zarif malam ini. Lara tidak kisah langsung pun. Lagi bagus rasanya. Bolehlah dia bersama Mak Jah dan yang lain-lain.

            Dari bawah hingga ke tingkat atas, Zira sibuk hendak berkepit dengan Zarif. Zarif pula yang naik rimas. Dia terpaksa bersabar. Dia tidak mahu merosakkan majlis mamanya. Majlis hari lahir mamanya setahun sekali sahaja.

            Marini 57. Nama restoran yang telah ditempah Tan Sri untuk menyambut hari lahir Puan Sri. Sebuah restoran yang menyediakan pelbagai makanan dari negara Itali. Terletak di tingkat lima puluh tujuh Menara Petronas. Semua pengunjung di situ berpakaian kemas dan formal termasuklah mereka semua.

            Bukan sahaja Lara yang terpegun, Mak Jah dan Pak Mat juga. Sofea sibuk memandang ke semua tempat. Manalah pernah mereka masuk ke tempat-tempat begini. Mak Jah dan Pak Mat pula sekadar mengikut kemana Tan Sri bawa mereka keluar makan. Tetapi ke sini, inilah kali pertama untuk mereka.

            “Cantik tak?” Telinganya cepat menangkap suara Zarif. Ditoleh ke kanan. Memang Zarif sedang berdiri di sebelahnya. Rapat pula tu. Lara yang terpaksa menjauhi sedikit dari Zarif. Dahlah tadi Zira tidak bertegur sapa dengannya selepas turun dari kereta, kalau ini dia nampak juga nanti, mahu sampai kesudah tidak ditegur. Tapi apa nak hairan sangat. Memang orang macam Zira tu jenis sombong. Mana ada nak tegur-tegur ni.

            “Cantik sangat.” Lara menjawab pada Zarif. Dia juga tidak mahu menghilangkan mood orang lain. Terpaksalah juga dia bersabar dengan perangai Zarif. Takkanlah dekat sini nak bertekak pula.

            “But… Lara lagi cantik dari semua ni.” Terkaku Lara seketika. Pujian yang tidak pernah disangka-sangka. Lara buat-buat tidak mendengar kata-kata Zarif tadi. Kembang jugalah dirasakan bila dipuji seorang lelaki. Pandangan mereka bersatu walaupun hanya sekejap.

            Mereka dibawa ke meja yang telah disediakan untuk mereka oleh seorang pelayan wanita. Lara memperlahankan langkahnya mengikuti Mak Jah. Zarif pula dilihatnya berjalan beriringan dengan Zira di belakang Tan Sri dan Puan Sri.

            Meja sudah tersedia. Tan Sri dan Puan Sri yang terlebih dahulu mengambil tempat duduk mereka. Mereka duduk berhadapan manakala Sofea diajak duduk di sebelah Puan Sri. Lara perasan Zarif dari tadi memandangnya. Rimas pula bila diperhatikan seseorang. Mana lagi Lara hendak duduk kalau bukan di sebelah Sofea.

            Sangkanya Zarif akan duduk di sebelah Tan Sri tetapi tidak. Zarif menarik kerusi yang ada di hadapan Lara. Dia memang mahu duduk berhadapan dengan Lara. Biar sepanjang malam dapat melihat wajahnya. Yang paling gembira tentulah Zira. Dia dapat duduk bersebelahan dengan Zarif. Memang itu yang dia inginkan. Mak Jah dan Pak Mat seperti biasa akan duduk di hujung meja.

            Dekat rumah kena makan depan dia, dekat sini pun kena makan depan dia juga. Aduh….

            Selalunya Zarif atau Lissa yang akan membantu Mak Jah dan Pak Mat memilih makanan. Manalah mereka tahu nama-nama makanan yang ada di dalam menu. Kali ini Zarif yang menolong mereka.

            “Lara nak makan apa?” Lara masih terkebil-kebil melihat menu di hadapannya. Nak sebut pun berbelit lidah. Zarif seperti penyelamat Lara malam ini. Suaranya tidak seperti biasa. Lembut sahaja didengari.

            “I tolong pilihkan.” Zarif melemparkan senyuman pada Lara. Dia tahu Lara juga seperti Mak Jah dan Pak Mat. Zira di sebelah memerhati sahaja mereka berdua. Zarif nampaknya seperti semakin rapat dengan Lara. Ada rasa cemburu dalam hati Zira. Mana boleh. Zarif sepatutnya melayan dia seorang sahaja.

            “You dah order ke sayang?” Zira sengaja menguatkan perkataan sayang. Biar semua orang dengar termasuklah Lara. Zarif pula hanya tersenyum. Mengerling pada Lara.

            Lara bukannya kisah pun. Dia lagi suka kalau benar-benar mereka bercinta. Senang hidup aku. Takda si Zarif ganggu aku lagi. Boleh aku hidup dengan aman damai.

            “Mama happy sangat malam ni. Sebab semua ada kecuali my two kids. Bersyukur sangat dapat sekali lagi meraikan hari lahir bersama-sama. Moga tahun depan bertambah meriah lagi. Ada penambahan ahli mungkin.” Puan Sri memandang Zira dan Zarif. Semua orang tahu yang Puan Sri memang mahu menjodohkan mereka berdua. Cuma Zarif yang masih tidak mahu. Tidak bersedia adalah alasan yang diberikan pada mamanya.

            “Dan tahun ni juga mama gembira sebab ada Sofea dan Lara. Moga tahun hadapan dapat sambut lagi bersama Sofea dan Lara ye.” Dicium dahi Sofea dan diusap lembut pula pipi Lara. Zira masih tersenyum. Dia bukannya tersenyum gembira melihat Lara dan Sofea, tetapi masih gembira dengan kata-kata Puan Sri tadi. Ada harapan aku nak jadi menantu mereka. Sekarang ni hati Zarif yang perlu ditambat.

            Rancak juga mereka berbual sementara menunggu makanan sampai. Zira pula asyik merapatkan dirinya pada Zarif. Berbual-bual manja dengan Zarif. Cuma Zarif yang tidak berapa selesa. Dia mana suka kalau Zira rapat sangat dengannya. Sebenarnya bukan Zira sahaja, tetapi mana-mana wanita pun sebelum ini. Dia tidak suka. Sesak nafas dirasakannya.

            Zarif tidak melayan sangat si Zira. Dia lebih banyak berbual dengan orang lain. Dia lebih suka berbual dengan Pak Mat, Mak Jah dan paling utama Lara. Rasa seronok mendengar mereka berbual.

            Zarif banyak kali mengerling pada Lara. Dia cuba memandang ke tempat lain tetapi matanya masih berdegil. Zira nampak perbezaan pada Zarif. Dia banyak menumpukan perhatiannya pada Lara dari dirinya. Takkanlah mereka ada apa-apa hubungan pula. Oh tidak….

            “Auntie, saya nak ke tandas kejap.” Lara berbisik pada Puan Sri. Dia mahu melihat cermin sebenarnya. Takut ada apa-apa kotoran pada wajahnya. Si Zarif ni asyik memandangnya. Rimas pula Lara rasakan.

            “Lara nak kemana?” Tiba-tiba Zarif pula yang bertanya. Dia sendiri tidak tahu kenapa secara spontan sahaja mulutnya terus terbuka untuk bertanya. Zira di sebelah juga terperanjat. Kenapa pula dia hendak sibuk kemana Lara hendak pergi. Biarlah dia kemana pun.

            “Tandas.” Dijawabnya dengan nada biasa. Kalau Puan Sri dan Tan Sri tidak ada di situ, mananya si Lara hendak menjawab dengan baik pada Zarif. Sibuk hendak tahu kenapa. Nak ikut ke? Semua itu hanya dapat diluahkan dalam hati.

            Jangan rosakkan mood malam ini Lara. Zarif… kau abaikan sahaja dulu…..
           
           
           
           
           

           


Monday, November 17, 2014

E-Novel : Cinta Hati Sayang - Bab 23

CINTA HATI SAYANG

BAB 23

                “Lara, masuk.” Lara masih berdegil di situ. Dia tidak mahu masuk ke dalam kereta selagi tidak tahu kemana mereka hendak pergi.

            “Beritahu dulu kita nak pergi mana ni.” Lara sudah bertanya tadi pada Zaris semasa mereka berjalan ke kereta. Tetapi masih tidak dijawab. Sekali lagi Lara bertanya. Wajah Zarif dipandang. Pandangan mereka bersatu.

            “Okey, kita nak pergi The Gardens. I nak belikan mama hadiah. Puas hati?” Wajah Lara masih lagi dipandang. Tangannya masih memegang pintu kereta. Hanya menunggu Lara masuk sahaja.

            “Saya tak fahamlah. Kenapa nak ajak saya pergi beli hadiah Puan Sri? Tak boleh pergi sorang ke? Tak pun ajaklah girlfriend awak tu.”  Zarif sudah tersenyum lebar. Lara pula terpinga-pinga di situ. Orang tanya dia boleh pulak senyum-senyum.

            “You mean Zira?. I nak keluar dengan you bukan dengan dia.” Zarif masih menunggu Lara masuk ke dalam kereta.

            “Saya nak baliklah. Saya nak kena ambil Sofea ni.” belum sempat Lara melangkah pergi, Zarif sudah memaut pinggangnya.

            “I dah beritahu mama. Now, get in Lara.” Lara cuba menolak tangan sasa Zarif dari menyentuh pinggangnya. Tetapi kudrat lelaki lebih kuat dari perempuan. Akhirnya Lara masuk juga ke dalam kereta bila dilihat ada beberapa orang di situ memandang mereka.

            Pintu kereta ditutup. Zarif tersenyum sendiri bila berjaya membawa Lara keluar. Mereka terus menuju ke tempat yang sudah dijanjikan. Lara diam membisu sepanjang perjalanan. Tiada langsung kata-kata keluar dari mulutnya. Zarif sesekali mengerling pada Lara yang duduk di sebelahnya.

            Sampai di The Gardens, Zarif memakirkan keretanya di tempat meletak kenderaan. Mereka berjalan beriringan. Sesekali tangan mereka bersentuhan bila Zarif merapatkan dirinya pada Lara. Bagai ada tolakan magnet, Lara terus menjarakkan dirinya. Berjalan sedikit lambat dari Zarif. Biar mereka tidak seiringan.

            “Jom sayang, ke sana.” Berdesing telinga Lara mendengar Zarif memanggilnya sayang. Zarif cuba mencapai tangan Lara tetapi asyik tidak kesampaian. Lara lebih cepat mengelak.

            “Encik Zarif… Tak payah pegang-pegang boleh tak? Dan lagi satu, tak payahlah panggil saya sayang-sayang. Saya tak sukalah.” Aku bukannya tak suka. Aku tak suka kalau kau yang panggil aku sayang. Kalau kekasih hati takpalah. Sayang, baby, honey, dinda…. Semuanya boleh sahaja. Semuanya nampak indah belaka. Faham? Bebelan Lara hanya dalam hati.

            Zarif sekadar mendengar. Dia bukannya peduli dengan tegahan Lara. Memang lancar sahaja mulutnya memanggil Lara dengan panggilan sayang. Itu salah satu cara untuk merapatkan lagi hubungan mereka.

            “Kata tadi nak pergi beli hadiah Puan Sri, kenapa ke sini pulak.” Zarif membawa Lara ke tempat makan. Restoran berkonsepkan kebaratan. Makanan-makanan ala barat sahaja yang ditawarkan di sini. Orang-orang yang masuk makan di sini pun bukan sembarangan orang.

            “Kita makan dulu. I lapar ni.” Iskh dia ni kan. Dia ingat aku suka sangat ke keluar dengan dia lama-lama. Nak makan pulak. Jam di tangan dikerling. Sudah pukul enam lebih. Pukul berapa pula nak balik nanti. Buang masa betullah dia ni.

            “Lara nak makan apa?” Menu di tangan masih diperhatikan. Western food only. Lama juga Lara merenung menu yang ada. Entah apa-apalah makanan dekat sini.

            “Awak order untuk saya je lah. Saya ….” Malu pula Lara rasa ketika itu. Suaranya yang tadi agak kuat kini beransur perlahan. Seorang pelayan lelaki dari tadi berdiri di tepi meja mereka. Menunggu untuk mengambil pesanan. Hanya tersenyum melihat mereka berdua.

            “Okey sayang.” Sekali lagi panggilan sayang yang keluar. Lara terpaksa bersabar. Zarif pula seperti memahami keadaan Lara. Terus dia yang memesan untuk Lara.

            “So, esok Lara ikut sekali kan?” Air masak di dalam gelas di hadapannya diteguk. Menghilangkan rasa gelisahnya. Tiba-tiba pulak rasa lain macam. Lara mengangguk. Wajah masih tiada senyuman dari tadi.

            “Awak nak apa sebenarnya ni?” Zarif masih memandang ke dalam anak mata Lara. Seboleh-boleh Lara hendak tahu apa yang Zarif hendak darinya.

            “I taknak apa-apa. I just nak kawan dengan you. Nak kenal lebih rapat dengan you. Itu sebabnya I ajak you keluar sama. We can know each other better.” Lara tidak percaya langsung. Mesti ada muslihat di sebalik sikap baik Zarif padanya.

            “Susahlah saya nak percaya kata-kata awak tu.”  Ada sedikit sindiran dari kata-kata Lara itu. Zarif masih bertenang. Dia perlu berusaha lebih kuat lagi. Kepercayaan Lara padanya amat penting. Jika tidak rosaklah rancangannya nanti.

            Pertama kalinya mereka makan berdua sahaja tanpa ditemani sesiapa. Walaupun Lara tidak berapa selesa makan berhadapan dengan Zarif, dia terpaksa menyembunyikan perasaan tersebut. Dia tidak mahu Zarif nampak kegelisahannya. Mujurlah makanan yang dipesan Zarif sedap sangat. Memang kena dengan tekaknya. Kalau hari-hari makan macam ni mahu gemuk aku. Monolog Lara sendiri.

            “Jomlah. Hadiah Puan Sri tak beli lagi ni.” Sudah lama juga mereka duduk makan di situ. Satu-satu yang Zarif pesan. Sampai pencuci mulut pun ada. Memanglah sedap makanan di situ. Lagi sedap kalau dia dapat makan dengan orang tersayang. Lagi seronok.

            “Okey, kejap. I bayar dulu.” Zarif mengangkat tangan pada seorang pelayan yang sedang berdiri tidak jauh dari meja mereka. Dimintanya bil pada pelayan tersebut.

            Lara memerhatikan Zarif dari tadi. Gaya orang kaya memang terserlah padanya. Cara duduk, cara pandang, cara cakap, semuanyalah. Walaupun memakai kemeja dengan tangan berlipat, Zarif masih kelihatan bergaya. Orang kalau sudah dibesarkan dalam golongan kaya, macam ni lah. Ada cara tersendiri membezakan mereka dengan orang biasa.

            “Jom.” Zarif menyentuh lembut tangan Lara. Mengelamun pulak aku. Malu sendiri Lara. Dia mengekori Zarif keluar.

            “Ada apa-apa Lara nak beli ke?” Terhenti langkah Lara bila mendengarnya. Zarif turut serta terhenti. Dia memandang ke belakang. Ke lantai. Takut ada benda yang tercicir.

            “Cepatlah. Kata nak belikan hadiah untuk Puan Sri. Awak nak beli apa. Jomlah cepat.” Lara semakin tidak sabar. Tujuan utama mereka keluar adalah membeli hadiah untuk Puan Sri. Tetapi tengoklah ni. Zarif banyak membuang masa Lara ke sana sini. Boleh pulak si Zarif tanya pada Lara jika ada benda yang hendak dibeli.

            “Dekat sana.” Zarif masih berdiri tegak. Lara pula tidak sabar-sabar hendak ke sana. Baru dua langkah, Lara berpusing semula mendekati Zarif.

            “Cepatlah. Saya nak balik ni.” Lengan Zarif dipaut dan ditarik untuk bergerak. Dia sudah tidak kisah siapa Zarif. Dia mahu cepat pulang. Kalau tidak ditarik, mahu lama lagi mereka di situ. Mengikut langkah Zarif yang memang seperti tidak mengejar masa langsung.

            Mereka menuju ke butik Hugo Boss. Lara rasa pelik. Takkanlah nak beli hadiah Puan Sri dekat sini. Barang apa dia nak beli pun. Tetapi Lara sekadar mendiamkan diri sahaja. Dia tidak mahu mendapat malu pula nanti. Bukannya dia tahu sangat pasal barang berjenama ni semua. Mungkin ada barang yang bersesuaian dengan Puan Sri di sini. Zarif lebih arif tentang ini semua kalau hendak dibandingkan dengan dirinya.

            Lara masih mengekori Zarif ke sana sini. Semakin tidak selesa Lara rasakan. Semuanya pakaian lelaki. Mana ada pakaian wanita pun. Terus dia berbisik pada Zarif. “Nak cari apa untuk Puan Sri dekat sini? Ada ke?.”

            Wajah Lara yang sedikit pelik jelas kelihatan. Hampir ketawa Zarif melihatnya. Wajah tidak memahami apa-apa lagi.

            “I nak beli barang I kejap. Hadiah mama dah ada. Semalam I pergi beli.”  Tiada rasa bersalah pun. Wajah selamba sahaja. Lara pula yang semakin sakit hati. Dia boleh tipu aku macam ni. Terus wajah Lara berubah. Hendak sahaja dia letuskan kemarahan sekarang juga. Di sini. Di dalam butik tersebut. Di hadapan orang ramai. Biar semua orang tahu perasaannya.

            “Iskh!. Mengada-ngadalah. Cakaplah betul-betul tadi. Erghhhh…” Lara menolak dada Zarif membuatkan dia ke belakang sedikit. Geram sangat. Tanpa menoleh ke belakang, Lara terus berjalan keluar. Dia sebenarnya tidak tahu hendak kemana. Ya, dia perlu ke tempat menunggu teksi. Langkahnya dipercepatkan. Dia mencari-cari kaunter pertanyaan. Mana dia tahu di mana hendak menunggu teksi di sini.

            “Lara! Wait.” Zarif mengejar Lara yang laju berjalan tanpa mengendahkan jeritan Zarif. Biarlah dia. Dia yang malu pun nanti kalau orang ramai tengok. Aku? Bukannya ada orang kisah pun.

            “Lara!” Tangan Lara sudah dicapai. Terpusing Lara ke belakang.

            “Saya nak balik. Lepaslah.” Lara masih cuba melepaskan tangannya dari genggaman Zarif. Erat genggaman tangan Zarif padanya. Mereka juga berdiri hampir antara satu sama lain.

            “Jom, I hantar.” Zarif menarik tangan Lara tetapi entah macam mana Lara lagi kuat menarik tangannya sendiri. Terlepas genggaman tersebut. Terkejut juga Zarif dibuatnya.

            “Tak payah Encik Zarif. Saya boleh balik sendiri.” Tegas suara Lara.  Dia terus berjalan tanpa menoleh langsung ke belakang. Nasib Lara baik malam itu. Sekejap sahaja dia menunggu teksi di situ. Tidak ramai pun orang yang menunggu.

            Sampai sahaja di kedai kek, Lara terus berjalan ke keretanya. Dia hanya mahu mengambil Sofea segera dan pulang ke rumah. Dia memang masih marah dengan apa yang baru terjadi tadi. Sanggup Zarif menipunya hanya semata-mata hendak keluar bersama. Menyesal sungguh dia mengikut Zarif tadi.

            Semasa memandu, Lara perasan ada sebuah kereta mengekorinya dari tadi. Dia tidak perasan kereta apa. Lampu kereta menutup mata Lara untuk melihatnya. Lara terus memandu laju menuju ke rumah Tan Sri. Risau juga dia jika benar dia diekori. Dia akan rasa selamat jika sudah berada dalam kawasan rumah Tan Sri.

            Aduh, kereta ni masuk sekali dalam kawasan rumah Tan Sri. Siapa pula yang berani betul ekorinya sampai ke dalam rumah. Lara tidak terus keluar. Dia masih menunggu di dalam kereta. Takut jika ada penjahat mahu mengapa-apakan dia.

            Kereta melintasi keretanya. Lampu dipadam. Kereta tersebut memasuki tempat meletak kereta Zarif. Baru Lara tahu sekarang. Zarif rupa-rupanya yang mengekorinya dari tadi. Kenapalah aku tak terfikir pasal si mamat ni.

            Tanpa berlengah lagi, Lara keluar segera dari kereta dan menuju ke pintu rumah. Dia tidak mahu bertembung dengan Zarif. Dia tidak perasan yang Zarif juga turut melangkah menghampirinya. Wajah Lara masih dipandang dari tadi. Dia tahu Lara masih marahkan dia.

            “Lara…” Suara Zarif kedengaran di telinga Lara.

            “Assalamualaikum.” Lara memberi salam tanpa menghiraukan Zarif. Langsung tidak memandang Zarif di sebelahnya. Dia hanya mahu beredar dari situ secepat mungkin. Hatinya masih sakit lagi. Seboleh-boleh dia tidak mahu melihat wajah Zarif.

            “Waalaikumussalam Lara. Jom masuk. Sofea dekat atas dengan Uncle. Kejap ye, Auntie panggilkan. Eh, Zarif. Balik sekali dengan Lara ke?” Puan Sri bertanya bila dilihatnya Zarif melangkah masuk bersama-sama Lara.

            “Kebetulan je mama.” Biar dia yang jawab. Aku memang malas nak jawab. Buat sakit hati je. Lara masih terusan memandang ke tempat lain. Zarif disebelahnya tidak dikerling sedikit pun.

            “Lara… Zarif… dah makan ke? Kalau belum jomlah makan sama.” Pelawaan Puan Sri seakan-akan mencekik lehernya. Tidak kuasa dia hendak makan berhadapan dengan Zarif untuk kali kedua. Cukuplah sekali tadi.

            “Eh takpalah Auntie. Lara dah makan petang tadi. Kenyang lagi. Lara kejap je ni. Nak balik terus. Rasa penat sangat hari ni.” Memang Lara penat. Penat melayan orang gila tu. Lara terpaksa berpura-pura senyum. Tidak mahu Puan Sri mengesyaki apa-apa.

            “Auntie naik panggil Sofea kejap ye.” Lara sekadar mengangguk. Dia perasan yang Zarif masih berdiri di tepi pintu. Lebih baik dia menjauhi si Zarif ni. Langkah diatur menuju ke dapur. Berharap Mak Jah ada di sana.

            “Lara, please.” Lengan Lara dipaut semasa dia hendak melintasi Zarif untuk ke dapur. Ditarik segera lengannya dari terus disentuh Zarif.

            “Tolonglah Zarif. Jangan kacau saya lagi.” Lara sedikit merayu pada Zarif. Dia berharap sangat Zarif tidak akan mengganggu hidupnya lagi. Dia tidak tahu samada Zarif ikhlas atau tidak berkawan dengannya. Itu tidak penting sekarang. Yang penting sekarang Zarif tidak lagi mencarinya. Tidak lagi cuba rapat dengannya. Perbezaan yang jauh antara mereka berdua.

            Lara mempercepatkan langkahnya ke dapur. Mujur Mak Jah ada. Dia sedang membancuh air untuk dihidangkan semasa makan nanti. Walaupun dia sedang berbual dengan Mak Jah, fikirannya melayang memikirkan sesuatu. Kenapa dia asyik teringatkan si Zarif sahaja. Teruk sangat ke apa yang aku dah buat dekat dia tadi. Tapi memang salah dia apa. Dia yang tipu aku pasal nak keluar tadi. Nak beli hadiah Puan Sri konon. Semua tu taktik dia je.

            “Lara, esok jangan lupa ye. Kek memang Lara nak buat ke? Kalau tak sempat takpa, Uncle tempah je dekat tempat biasa.” Tan Sri berdiri dekat dengan Lara. Tidak mahu Puan Sri mendengar perbualan mereka.

            “Tahun ni biar Lara buat kek untuk Auntie. Jangan risau, sempat. Okey Uncle, Lara minta diri dulu.” Seperti biasa Lara akan bersalaman dengan mereka berdua sebelum pulang. Tiada kelibat Zarif pun di situ. Kau ni Lara… macam tak biasa. Si Zarif tu mana pernah kisah kau nak balik ke apa. Dia dah naik masuk biliklah tu. Monolog Lara sendiri.

            Lara tidak tahu. Zarif sedang memerhatikannya dari tingkap atas. Tingkap di ruang kosong di tengah-tengah yang hanya diletakkan sofa dan rak buku.

            Susah juga nak pikat perempuan bernama Lara Alina. Keras sungguh hatinya. Zarif kena fikir cara lain untuk tambat hatinya. Zarif dapat lihat yang Lara Alina seorang yang susah untuk menerima cinta dari seseorang. Tetapi jika dia sudah memberikan hatinya pada seseorang, seluruh jiwa dan raganya diserahkan juga. Zarif tersenyum sendiri. Dia memang mahu menjadi lelaki tersebut. Biar Lara Alina menyayanginya sepenuh hati. Dan selepas itu barulah dia akan bertindak.

            Lara Alina…….. You will be mine soon…..