My corner's visitor

Sunday, August 28, 2016

E-Novel: Jangan Ada Cinta - Bab 1

Maaf sgt2 sebab lama biarkan blog ni terbiar sepi.  Jom sama-sama ke dunia baru, MiraHakimDaniel. 

p/s: Dalam proses nak siapkan mss untuk JAC ni. Mohon dipermudahkan segalanya. Aaminnn


JANGAN ADA CINTA

Bab 1

            “Mira, aku balik dulu.” Suara Hani membuatkan Mira sedikit terkejut. Apa tidaknya, dia sedang khusyuk menyemak akaun syarikat sebelum dihantar pada ketua pengurus.

            “Okey. Jumpa esok.” Langsung tak pandang pun wajah Hani yang sedang berdiri di sebelahnya. Pandangan Mira masih tertumpu pada skrin komputer.

            “Jangan balik lambat sangat. Tak siap, sambung jelah esok.” Hani, kawan sepejabat merangkap kawan baiknya sering kali memberi nasihat. Risau juga Hani bila Mira selalu balik lewat malam. Balik seorang diri. Bukannya selamat sangat zaman sekarang ni.

            “Mana boleh. Encik Fuad tu nak by today. Takpalah, sikit je lagi ni. Actually dah siap pun, cuma nak semak balik.” Geleng kepala si Hani dengan perangai Mira. Memang dari dulu dia macam ni. Selalu akan pastikan kerja yang diberi, siap dengan betul. Lagipun Mira ni tak suka kalau kerja sambil lewa. Ada salah sana sini. Itu sebabnya dia jadi salah seorang pekerja contoh di syarikat tersebut.

            “Ikut kau lah. Take care. Apa-apa call tau.” Hani tepuk bahu Mira perlahan sebelum berlalu dari situ. Tinggallah Mira dan beberapa staf lain yang masih sibuk menyiapkan kerja masing-masing. Encik Fuad pun masih ada lagi dalam pejabatnya.

            “Siap!” Lega Mira rasa. Dokumen yang baru dicetak tadi disusun mengikut susunan. Tidak menunggu lama, dia berlalu menuju ke bilik Encik Fuad sambil membawa dokumen yang disiapkannya tadi.

            “Bagus. Rasanya semua okey ni. Takpa, nanti saya semak balik.” Encik Fuad masih meneliti hasil kerja Mira. Satu persatu diperhatikan.

            “Kalau takda apa-apa, saya balik dulu Encik Fuad. Jumpa esok ye.”

            “Okey Mira. Jumpa esok.” Terukir senyuman di bibir Mira bila kerjanya tidak dipertikaikan. Dari raut wajah Encik Fuad, jelas menunjukkan yang dia amat berpuas hati. Kaki melangkah keluar dengan hati yang gembira.


            Begitulah rutin harian Mira Sofea binti Haji Mokhtar sebagai seorang akauntan yang baru dua tahun bekerja di syarikat D&N Holdings. Mira tidak pernah memilih tempat bekerja. Baginya dia perlu menimba pengalaman berbekalkan ijazah yang dipegang dalam bidang perakaunan. Moga suatu hari nanti dia dapat bekerja di syarikat besar di ibu kota dan memegang jawatan besar.
           

            “Assalamualaikum.” Mira memberi salam sebaik kaki melangkah masuk ke dalam rumah.
            “Waalaikumussalam. Anak ibu dah makan?” Puan Faridah yang sedang menonton tv mengalihkan pandangan ke arah anak perempuannya.

            “Belum lagi. Ibu dah makan?” Mira mendekati ibunya dan mencium pipi seperti kebiasaan yang dibuat setiap kali pulang ke rumah.

            Sambil mengusap lembut pipi anaknya, Puan Faridah sekadar menggeleng. Jam baru menganjak ke angka sembilan. Memang selalunya mereka akan makan bersama melainkan bila si Mira ada temujanji.

            “Mira mandi kejap ye ibu. Lepas tu kita makan sama.” Sekali lagi pipi ibunya menjadi sasaran. Segera dia bangun dan berlalu masuk ke dalam bilik.

            Mira cuma ada seorang adik  lelaki yang masih belajar di asrama penuh di Seremban. Hanya pada hujung minggu atau pun cuti sekolah sahaja mereka berjumpa. Tinggallah Mira dan ibunya sahaja di rumah dua tingkat yang ditinggalkan oleh arwah Haji Mokhtar.

 Sudah lima tahun arwah meninggalkan mereka semua selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kereta Honda yang dipandu Haji Mokhtar bertembung dengan sebuah kereta Proton Perdana dari arah bertentangan. Kedua-dua pemandu meninggal dunia di tempat kejadian. Hanya seorang mangsa terselamat. Anak kepada pemandu tersebut. Nasibnya memang baik. Dia hanya cedera ringan di tangan dan kepala. Mengikut laporan polis, kereta Proton Perdana tersebut yang salah. Memotong di tempat yang tidak sepatutnya.

 Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Hendak atau tidak, mereka sekeluarga terpaksa redha dengan takdir yang menimpa mereka. Kehilangan Haji Mokhtar dengan tiba-tiba membuatkan kehidupan mereka berubah terus. Puan Faridah selalu termenung teringatkan arwah. Faris pula yang dulunya seorang yang periang, kini menjadi pendiam. Tidak banyak bercakap selepas kejadian tersebut. Mira yang banyak memberi kekuatan dan semangat kepada adik dan ibunya. Dan kini mereka berdua sudah dapat menerima hakikat sebenarnya. Semua yang hidup di dunia ini pasti akan mati suatu hari nanti. Puan Faridah juga semakin hari semakin sibuk dengan perniagaannya. Sibuk menyiapkan tempahan kek dan biskut pelanggan yang menempah darinya.

           
            Selepas makan malam bersama tadi, mereka masuk ke dalam bilik tidur masing-masing. Puan Faridah memang begitu. Selepas menunaikan sembahyang Isyak, memang katillah tempat yang akan dituju. Mira pula selalunya akan menonton tv, tetapi malam ni badannya agak letih. Mungkin terlalu kuat bekerja beberapa hari ni. Kurang rehat.

            Sambil berbaring di atas katil, telefon bimbit kesayangannya dicapai. Dibuka satu persatu whatsapp yang belum dibaca. Salah satunya sudah tentu dari orang tersayang. Whatsapp yang memang ditunggu-tunggu setiap malam.

            My baby, dah makan?

            Laju sahaja jari jemari Mira membalasnya.

            Baru lepas makan dengan ibu. You dah makan? Macam mana dekat sana?

            Mohd Daniel Imran….. Orang pertama yang berjaya mengetuk pintu hati Mira untuk menerima cinta dari seorang lelaki. Pertemuan yang tak disangka antara mereka dulu membuatkan hati dan perasaan mereka tertarik antara satu sama lain. Dari hari ke hari, hubungan mereka semakin akrab dan akhirnya luahan perasaan terhambur juga dari mulut Daniel. Dan dia tidak bertepuk sebelah tangan. Begitu juga Mira. Perasaannya terhadap Daniel semakin hari semakin mendalam. Hatinya semakin berbunga-bunga semenjak berkenalan rapat dengan Daniel.

            I dah makan tadi. Semuanya okey. Cuma I rindu dengan orang tu. Lama tak jumpa.

            Datanglah mengada-ngada si Daniel pada buah hatinya ni. Apa tidaknya, sudah tiga hari dia ke Osaka, Jepun. Menghadiri kursus dan mesyuarat bersama orang-orang di sana. Ini semua ada kaitan dengan hal syarikat milik keluarganya. Teguh Maju Holdings Berhad.

            Mengada-ngada.

            Sambil menaipnya, sambil tersenyum seorang diri. Siapa yang tak suka kalau diri dirindui seseorang. Lebih-lebih lagi dengan orang yang kita sayang.

            Lagi dua hari sahaja Daniel berada di sana. Dia akan pulang ke Malaysia lusa hari. Semakin tidak sabar dia hendak berjumpa dengan Mira. Memang begitulah kebiasaannya. Kerap kali juga Daniel ke sana sini untuk beberapa hari. Lagipun mereka jarang juga berjumpa. Masing-masing sibuk dengan kerja di pejabat. Kalau berjumpa pun sekadar makan malam sahaja.

            See you in two days sayang. Love you. Muahhhhhh

            Berulang kali whatsapp terakhir dari Daniel dibaca. Dan kini Mira pula yang menanggung rindu. Siapa yang terlebih mengada-ngada ni……..

           
            “Ibu, malam ni Mira makan dekat luar ye.” Sambil menyuap mi goreng yang dimasak Puan Faridah tadi.

            “Makan dengan Daniel ke?” Mira sudah tersenyum dengan pertanyaan ibunya itu. Anggukan kepala mengiringi senyuman.

            “Dia dah balik dari Jepun ke? Hari tu kata dia takda sini.” Mi goreng di pinggan dikuis sedikit sebelum menyuap ke mulut sendiri.

            “Tengahari ni sampailah. Lima hari je dia dekat sana. Hari ni balik, esok dah mula kerja balik. Mesti penat tu.” Simpati pula si Mira pada Daniel. Kalau outstation ni memang memenatkan. Lebih-lebih lagi kalau ke tempat jauh.

            “Terpaksalah Mira. Kerja. Lagipun bukan syarikat orang lain. Syarikat ayah Daniel juga kan. Nak taknak dia kena kerja kuatlah sikit. Risau lebihlah anak ibu ni. Daniel dah biasa kan outstation ni semua. Dah sebati tu.”

            Kata-kata Puan Faridah menenangkan sedikit perasaan gelisah Mira terhadap Daniel. Mira risau jika Daniel tak cukup rehat nanti. Kesihatan juga perlu dijaga. Itu yang selalu Mira tekankan pada Daniel. Tapi pada diri sendiri, Mira terlupa tentang itu. Kesihatan sendiri diabaikan.

            “Ibu, Mira pergi dulu. Nanti lambat pulak sampai office.” Laju sahaja Mira hirup air Nescafe di dalam cawan sehingga habis. Beg laptop dan beg tangan di tepi kerusi dicapai. Selepas bersalaman dan mencium pipi Puan Faridah, segera Mira berlalu pergi. Biasalah, kalau lambat sikit, sah-sah kena hadap kesesakan lalu lintas. Mahu terlambat masuk office nanti.

            “Baik-baik Mira.” Sempat Puan Faridah menjerit pada anaknya. Entah dengar entah tidak si Mira tu.


            Mulalah rutin harian Puan Faridah di rumah seorang diri. Mengemas rumah dan membersihkan apa yang patut. Dia memang sudah berhenti kerja beberapa tahun yang lepas. Duduk di rumah sambil menjalankan bisnes membuat kek dan biskut secara online. Ramai juga yang menempah darinya. Ada juga tempahan yang terpaksa ditolak dek kesuntukan masa untuk menyiapkannya. Sesekali ada juga si Mira hulurkan bantuan  untuk menyiapkannya. Tapi boleh dikira berapa kali. Yelah, dia sendiri pun sibuk dengan kerjayanya sendiri. Balik rumah pun dah pukul berapa.


(Jom LIKE kalau suka ye......)

6 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Ternanti2 nukilan dari u...thx

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaaAllah malam ni saya akan cuba update blog ni ye.. Maaf buat semua tertunggu-tunggu. Terima kasih Hainihamudi sebab follow cerita dalam blog ni. ;)

      Delete
  3. cite baru ya. Dah lama sunyi sepi.... Rindu cite baru...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cite baru sis.. dalam proses nak siapkan ni. Lagi sikit je nak sampai garisan penamat. Doakan ye sis.. InshaaAllah lepas ni nak siapkan DPH pulak. Dah lama terbiar tu...

      Delete

  4. Thanks for sharing, nice post! Post really provice useful information!

    Giaonhan247 chuyên dịch vụ vận chuyển hàng đi mỹ cũng như dịch vụ ship hàng mỹ từ dịch vụ nhận mua hộ hàng mỹ từ trang ebay vn cùng với dịch vụ mua hàng amazon về VN uy tín, giá rẻ.

    ReplyDelete