My corner's visitor

Monday, March 23, 2015

E-Novel : Cinta Hati Sayang - Bab 123456

Ada yang rindu dengan Carl Zarif dan Lara Alina?......

Kita masukkan satu bab dari Cinta Hati Sayang untuk semua yang follow cerita ni. 

Selamat membaca semua. 

#Cintahatisayang #CarlZarifLaraAlina

  **********************************

“Ada barang yang hilang tak dalam beg tu?” Zarif masih sempat bertanya pada Lara. Tangannya semakin pedih dirasakan. Apa tidaknya menitis-nitis darah keluar. Takut pula Lara tengok.

            “Aaaa… apa? Barang? Ada kot… Awak tekan dengan ni dulu.” Lara bukannya periksa sangat pun isi kandungan dalam begnya. Yang penting hanya dompet dan telefon bimbit sahaja. Dia sebenarnya sibuk mencari sapu tangan kecil yang selalu disimpan dalam beg. Bukan sibuk memeriksa barang yang hilang seperti yang Zarif sangkakan.

            Sapu tangan tadi ditekap perlahan-lahan pada luka di tangan Zarif. Tangan mereka bersentuhan bila Zarif terasa sakit dek lukanya ditekan sedikit kuat oleh Lara. “Sorry.”

            Entah kenapa hati Lara tidak langsung ada perasaan marah pada Zarif. Hilang rasa geram dan marah tadi. “Kita pergi klinik. Takut ada kuman nanti.”

            “Okey.” Zarif tidak membantah. Tangan yang luka tadi masih ditekap dengan sapu tangan. Cuma sekarang ini bukan lagi tangan Lara yang menekapnya. Tangan Zarif sendiri.

            “Awak parking kereta dekat sini?” Lara sedikit terkejut bila Zarif mengajaknya ke tempat meletak kereta di tingkat bawah bangunan Sogo.

            “Kenapa, tak boleh?” Zarif rasa pelik mendengarnya. Kenapa pula tak boleh parking di sini. Ada aku buat salah ke? Zarif bertanya pada diri sendiri. Dia mengerling pada Lara dengan muka tidak puas hati.

            “Tak ada apa-apalah.” Maknanya tadi lepas Zarif turunkan Lara, dia terus ke Sogo. Dia ikut aku ke dari tadi…. Patutlah masa kejadian tadi tu dia tiba-tiba muncul entah dari mana. Tapi apa motif dia ikut aku……

            “Lara, you boleh tolong bawa kereta I?” Lara yang baru sahaja hendak membuka pintu kereta terkedu di situ. Zarif suruh aku bawa kereta kesayangan dia ni? Biar betul. Boleh dikategori orang bertuah ke aku ni?......... Baru tadi dia berangan membawa kereta macam ni. Sekarang sudah dapat peluang yang ditunggu-tunggu. Tapi masalahnya ini kereta milik Carl Zarif.

            “Lara? Boleh tak?” Tersedar Lara dari lamunan.

            “Aaaa, boleh.” Lara terpaksa berkata boleh bila dilihatnya wajah Zarif seperti menahan sakit. Sakit sangatlah tu. Kena toreh dengan pisau. Kesian pula Lara tengok. Sapu tangan sudah nampak kesan darah.

            Kunci kereta diberikan pada Lara. Zarif pula terus masuk ke dalam kereta dan duduk di sebelah pemandu. Dia menyandarkan badannya. Tangan kirinya masih memegang sapu tangan tadi. Sesekali matanya dipejam.

            Menggelabah juga Lara dibuatnya. Manalah pernah dia bawa kereta besar macam ni. Kereta mahal pulak tu. Kalau tak bawa nanti, kesian pula dengan Zarif. Takkanlah nak naik atas balik nak tahan teksi. Sapu tangan ditangan Zarif dipandang. Semakin banyak kesan darah.

            “Lara, please drive.” Suara Zarif agak perlahan. Lara menguatkan semangat. Dia menarik nafas dalam-dalam. Tenangkanlah hati ini. Pedal minyak ditekan. Kereta sudah bergerak.
           
            “Lara berhenti dekat sini.” Zarif menjadi penunjuk arah pada Lara dari tadi. Nasiblah mereka selamat sampai ke klinik berhampiran. Itu pun perlahan sahaja Lara pandu. Takut sangat bawa kereta orang. Takut terlanggar apa-apa.

            “Kejap.” Lara segera keluar dari kereta selepas mematikan enjin. Dia bergegas mendapatkan Zarif. Pintu kereta dibuka dari luar. Lara terlupa yang setiap gerak gerinya diperhatikan sahaja oleh Zarif. Rasa tersentuh pula melihat keprihatinan Lara terhadap dirinya.

            Zarif masuk berjumpa dengan doktor. Seorang diri sahaja. Lara pula menunggu di luar. Lama juga Zarif berada di dalam. Mungkin doktor sedang mencuci lukanya. Takut ada jangkitan kuman pada luka tersebut. Bahaya.

            Lara tidak menyangka langsung yang Zarif akan melindunginya tadi. Kenapa dia perlu bersusah payah untuk membantu aku tadi. Kalau betullah dia  benci dekat aku, kan lebih bagus dia lepaskan sahaja beg tadi. Buat apa nak susah payah berebut dengan peragut tadi. Tengok apa yang sudah terjadi. Tangan luka yang dia dapat.

            “Okey, I dah cuci luka tu. Insyaallah takda apa-apa.” Doktor melayu yang sedikit berusia merawat Zarif. Tangan Zarif sudah berbalut. Tidak mahu terdedah pada kuman.

            “Thank you doc.” Zarif keluar dari bilik doktor. Pintu bilik dibuka. Wajah Lara yang dipandang dahulu. Lara juga membalas pandangannya. Kali pertama mereka berpandangan sambil mengukir sedikit senyuman.

            “Okey?” Lara masih memandang tangan Zarif yang sudah berbalut. Mesti pedih semasa dibersihkan luka tadi. Itu sebabnya Lara tidak masuk tadi. Dia akan rasa ngeri nanti seolah-olah dia yang mendapat luka tersebut.

            “I’m okay. You okey tak ni?” Kini giliran Zarif bertanya pada Lara. Dia nampak kerisauan di wajah Lara.

            “Saya okey. Tak sakit ke kena bersihkan luka tadi?” Lara masih mahu bertanya walaupun dia tahu jawapannya. Pandangannya masih dituju pada balutan di tangan Zarif. Dia masih sedar tangan siapa yang dilihat itu. Takkanlah sesuka hati hendak pegang. Nanti apa pula kata Zarif. Ambil kesempatan atas dirinya.

            “Sakit sangat. Ni pun rasa pedih lagi ni.” Zarif sengaja menakutkan Lara. Bukannya dia sakit sangat pun. Dari tadi dia sengaja berbuat begitu untuk meraih simpati dari Lara. Disentuh perlahan-lahan balutan tersebut. Berpura-pura sahaja.

            “Awaklah. Kenapa tak lepaskan je beg saya tu. Nasib kena dekat tangan, kalau kena dekat perut.”

            “Kalau kena dekat perut….you hantar I ke hospital teruslah.” Zarif merapatkan wajahnya pada Lara. Tidak sampai seinci pun jarak antara mereka. Mereka berpandangan antara satu sama lain. Masing-masing terdiam.

            “Carl Zarif.” Nama Zarif dipanggil. Lara yang mengalihkan pandangannya ke tempat lain dahulu. Zarif pula masih memandang tepat pada Lara.

            “Awak!. Diorang panggil tu ambil ubat.” Lara memetik jari untuk menyedarkan lamunan Zarif. Barulah Zarif sedar. Dia terus bangun dan berjalan ke kaunter untuk mengambil ubat.

            Kenapa dengan aku ni? Kenapa beria-ia sangat nak selamatkan Lara tadi? Kenapa aku rasa aku perlu lindungi dia tadi? Kenapa ada perasaan gelisah bila berada dekat dengannya? Kenapa jantung ini berdegup kencang setiap kali dia memandang pada aku? Zarif buntu. Semua persoalan tersebut tidak dapat dijawab.

            “Awak boleh bawak kereta tak? Saya takut nak bawak kereta awak ni. Besar sangat.” Lara memang tidak berani hendak membawa kereta Zarif lagi. Mana tahu dia terlanggar sesuatu, habis nanti dimarahi Zarif. Tadi pun bersyukur panjang Lara kerana selamat sampai. Rasa menggigil sepanjang perjalanan ke klinik tadi. Seram sejuk dirasakan.

            “Kunci mana?” Terkial-kial Lara mengeluarkan kunci kereta dari dalam beg dan dihulurkan pada Zarif.

            “Jom, I drive.” Lara mengangguk sebelum dia masuk ke dalam kereta. Bukan di tempat duduk pemandu tetapi disebelahnya.

            Sesekali Zarif memegang balutan tersebut. Wajah dikerut sambil mengusap lembut tangannya seolah-olah sedang menahan sakit. Rasa bersalah pula dalam diri Lara. Yelah, sebabkan dia Zarif jadi begitu.

            “Awak, sorry.”

            “Apa dia?” Zarif pura-pura tidak mendengar padahal jelas benar suara Lara di telinganya. Radio pun belum terpasang lagi.

            “Sorry, sebab saya awak jadi macam ni.” Kalau dia tak dengar juga ni, jangan harap aku nak ulang balik apa aku cakap. Sekali sahaja okey. Siaran langsung. Tiada siaran ulangan.

            “Okey.” Telefon Zarif berdering semasa kereta membelok ke kiri. Sempat Lara mengintai nama yang tertera di skrin telefon. Zira. Buah hati Zarif. Jadi penyibuk pula Lara kali ini.  

            Zarif memandang Lara sebelum dia menjawab panggilan telefon tersebut. “I’m busy now Zira. Bye.”

            Zarif memutuskan panggilan tersebut. Lara di sebelah berpura-pura tidak mendengar. Busy? Busy apanya. Tengah drive je pun. Ini mesti tak mahu aku dengar dia berbual dengan kekasih hati dia tu. Malulah tu. Tersenyum Lara.

            “Kenapa tiba-tiba senyum? Tengah fikir pasal I ke?” Wajah Lara dipandang. Kebetulan kereta sedang berhenti di lampu isyarat merah.

            “Ya…. Eh! Tak tak.” Aduh Lara…. Kantoi.

            Nasiblah Zarif hanya tersenyum. Tidak memanjangkan lagi perkara tersebut. Kereta terus bergerak bila lampu isyarat bertukar hijau. Lega Lara rasakan. Kalau tak apalah alasan nak diberikan nanti. Hendak sahaja ditepuk dahi sendiri.

            Mereka singgah di kedai kek untuk mengambil kek yang Lara siapkan tadi. Berhenti sahaja kereta, terus Lara turun dan membuka pintu kedai. Dia mahu segera sampai ke rumah. Takut nanti lambat pula.

            “Nah, kek untuk Mak Jah.” Lara meletakkan bungkusan kek tersebut di tempat duduk belakang. Dia menutup kembali pintu tanpa menunggu apa-apa kata dari Zarif.

            Tapi baru sahaja Lara melangkah setapak, hon kereta dibunyikan. Terpaksa jugalah Lara berpusing semula. Tingkap kereta sudah diturunkan. Kini wajah Zarif jelas kelihatan dari luar.

            “Apa dia?” Cepatlah Zarif. Dia tahu tak yang kita ni dah lambat. Nak kata tak pakai jam, rasanya dia pakai tadi.

            “You jalan dulu, I ikut belakang.” Ingatkan apa tadi. Penat patah balik je. Dia ni kan.

            Lara memandu keretanya. Cermin pandang belakang asyik dipandang sahaja dari tadi. Memang Zarif setia memandu di belakangnya. Kenapa pula dengan dia ni. Macamlah aku tak pernah balik seorang diri. Hari-hari lalu jalan yang sama ni. Ermmm, biarlah dia. Janji dia bahagia.

            Zarif tersenyum seorang diri. Dia masih mengekori kereta Lara. Balutan di tangan dipegang. Entah kenapa perasaan Zarif berbeza bila mendapat perhatian dari Lara. Berjaya juga lakonannya tadi.


            “Zarif, kenapa tangan tu?” Masuk sahaja ke dalam rumah, Puan Sri terus bertanya pada Zarif. Tangan Zarif dibelek. Risau Puan Sri dibuatnya. Lara yang baru masuk ke dalam rumah hanya berdiam diri.

            “Zarif jatuh tadi. Luka sikit.” Lara masih mendiamkan diri. Dia perasan yang Zarif mengerling padanya. Mungkin ada sebab dia tak mahu beritahu perkara sebenar. Kalau itu yang dia katakan, terpaksalah juga Lara mengikut sahaja.

            “Okey tak ni?” Emak mana yang tak risau melihat anak begitu. Walaupun sikit, tetap kerisauan terbit di hati.

            “Okey ma. Takda apa-apa. Sikit je ni. Janganlah risau.” Zarif memeluk bahu Puan Sri. Tidak mahu Puan Sri risau akan keadaannya. Bukannya teruk sangat pun. Sikit je.

            “Mana semua orang ma?” Hanya ada Puan Sri sahaja di rumah. Yang lain tiada. Sunyi sepi keadaan rumah.

            “Papa bawa Mak Jah keluar kejap dengan Pak Mat. Sofea pun ikut sekali.” Puan Sri kini memandang Lara yang senyap berdiri di tepi.

            “Lara, pegang apa tu?” Lara hampir terlupa tentang kek yang dipegangnya.

            “Oh, kek untuk Mak Jah ni auntie. Lara letak dekat dapur ye.” Lebih baik dia meninggalkan dua beranak di situ. Biarlah dia ke dapur. Tengok apa-apa yang patut.

            Kek diletakkan di atas meja di dapur. Ada bekas sudah tersedia di atas meja. Makanan juga sudah siap terhidang. Banyak juga makanan untuk menyambut hari lahir Mak Jah. Untungnya Mak Jah. Ada orang sambut hari lahirnya. Lara tidak pernah merasa semua ini. Paling ramai pun dia sambut bersama keluarga Wati sahaja. Itu pun cuma ada kek sahaja.

            “Cik Lara…. Letak sahaja kek tu di situ. Nanti saya bukakan.” Tidak perasan Lara yang Sulasti, pembantu Mak Jah ada di dapur. Sedang membersihkan bahagian dapur basah.

            “Cik Lara, bajunya mahu ditukar. Saya masuk bilik sebentar.” Sulasti mahu masuk ke bilik dahulu untuk menukar pakaian. Dia mahu membersihkan diri sebelum mereka yang lain balik.

            “Pergilah, saya ada dekat sini.” Lara sedikit menghalau Sulasti untuk segera masuk ke dalam bilik. Makanan di atas meja diperhatikan. Lara tidak tahu mahu mengemas apa lagi. Nasiblah dia terpandang ke dalam sinki. Ada beberapa pinggan kotor di situ yang belum dibasuh. Mungkin Sulasti lupa tadi. Bagus juga. Adalah juga kerja yang aku boleh buat.

            Lara perlahan-lahan membasuh pinggan yang ada. Dia mahu membuang masa sedikit. Sedang dia ralit membasuh pinggan, dirasakan ada seseorang berdiri di belakangnya. Terus dia menoleh untuk melihat.

            “Aduh!” Lara terlanggar seseorang. Siapa lagi kalau bukan Zarif. Wajah Lara tepat terkena pada dada bidangnya. Lara dapat rasakan tangan Zarif menyentuh lembut pinggangnya.

            Sambil mengurut dahinya, Lara menjauhi dirinya dari Zarif. Dia bergerak ke belakang sedikit. Takkanlah dia hendak biarkan Zarif sesuka hati memegangnya walaupun berlapik.

            “Jangan buat macam tu lagi boleh tak? Terkejut tau.” Lara seolah-olah sedang memarahi Zarif. Dia tidak mahu Zarif berbuat begitu lagi padanya. Memang dia terkejut. Disangkanya ada benda lain yang berdiri di belakangnya. Rupa-rupanya hantu si Zarif ni. Mahu kena sakit jantung aku ni kalau selalu terkejut macam ni. Lara merungut di dalam hati.

            Zarif tersenyum lebar bila berjaya membuat Lara terkejut. Memang dari dulu lagi dia suka berbuat begitu pada Lara. Hatinya akan rasa gembira setiap kali melihat wajah terkejut Lara. Wajah yang semakin mendapat tempat di hati Zarif dalam diam tanpa Zarif sedari.

            “Buat apa?” Sibuk betullah dia ni. Sibuk nak tahu sangat. Tadi elok je aku tinggalkan dia dengan Puan Sri. Alih-alih dia masuk juga ke dapur ni. Buat penat je aku basuh lambat-lambat pinggan ni semua.

            “Rasanya luka dekat tangan, bukan dekat mata kan. Tak nampak ke? Tengah basuh pinggan, Encik Zarif.” Kata-kata Lara itu membuatkan Zarif nekad.

            “Cakap sekali lagi.” Zarif sudah merapatkan dirinya pada Lara. Lengan Lara dipegang erat dengan sebelah tangan untuk mendekatkan mereka. Kini mereka memang sangat rapat sehinggakan Lara dapat rasa hembusan nafas Zarif di pipinya.

            “Iskh….” Lara cuba melepaskan diri. Nasiblah Sulasti keluar dari bilik. Pegangan tangan Zarif tiba-tiba menjadi longgar. Mungkin dia juga terkejut mendengar bunyi pintu. Apa lagi, peluang yang ada tidak dilepaskan. Lara segera melangkah menjauhi Zarif.

            Zarif sempat mencuit hidung Lara sebelum dia melangkah keluar dari ruang dapur. Apa ni? Tak sukanya. Dia ingat hidung patung ke nak sentuh-sentuh. Marah Lara sendiri.

            “Cik Lara okey?” Sulasti tahu mesti ada sesuatu yang tuannya buat pada Lara. Kalau tidak takkanlah wajah Lara berkerut.

            “Saya…. Saya okey. Ni Sulasti, makanan yang ni je ke? Ada lagi yang nak letak?” Lara mengubah topik. Dia tidak mahu mengingati apa yang Zarif cuba buat padanya tadi. Jantungnya masih berdegup kencang. Kehangatan badan Zarif masih dirasakan. Tidak. Lara kena buang perasaan tu. Jangan bagi perasaan itu menghantui dirimu.

            Lara terus membantu Sulasti sehinggalah Puan Sri masuk ke dapur mendapatkan mereka berdua. “Diorang dah nak balik. Makanan tu boleh letak dekat meja depan.”

            Puan Sri mengarahkan Sulasti untuk meletakkan semua hidangan tersebut termasuklah kek yang Lara buat. Bukan sahaja Sulasti tetapi Lara juga turut membantu. Puan Sri pula sekadar mengangkat yang ringan sahaja.

            “Memang tiap-tiap tahun sambut macam ni ke auntie?” Ditanyanya Puan Sri sementara menunggu Tan Sri dan yang lain tiba.

            “Memang tiap-tiap tahun kami sambut birthday semua orang dalam rumah ni termasuklah Mak Jah dan Pak Mat. Oh ye, birthday Lara bila?”

            Lara tidak menjawab. Dia hanya tersenyum. Baginya dia tidak cukup layak untuk menyambut hari lahirnya bersama keluarga ini. Keluarga yang baru beberapa bulan sahaja dia kenali.


            Zarif yang duduk di tepi piano mendengar segala perbualan antara mamanya dan Lara. Hari lahir Lara………


*** Kalau suka click dekat SUKA SANGAT ye. TQ

16 comments:

  1. Suke sgt2....best2....tq Hairynn....rindu Lara dan Zarif terubat..hehe

    ReplyDelete
  2. Suka sgt2..nak lg..tiba2 jd tamak plk kita..hehe..

    ReplyDelete
  3. Suka sangat..
    Bagaimana lara kenal dgn zarif..

    ReplyDelete
  4. nak lg...plsssss....
    sweet sgt diorng ni....

    ReplyDelete
  5. ribndduuunnyyaaaa...xpuas baca..plliisss nk laaggiii

    ReplyDelete
  6. TQ Hairynnn...Sweet sgt! Hilang rindu.Dah hantar untuk penilaian. Tak sabar tggu novel keluar ni.

    ReplyDelete
  7. Best. Hilang rindu kat both of them. Sweet and caring betul si Zariff nie... hehe..

    ReplyDelete
  8. Akak nak teaser haris dan arina ade anak boleh..??
    Dah banyak kali ulang baca novel KTM ,,,
    Memang best cerita dia

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Dhira sbb sudi baca novel KTM ni. Insyaallah nanti kita buat teaser sambungan KTM ye. tapi nak habiskan CHS ni dulu. Tunggu tau Dhira. ;)

      Delete
  9. Salam sis, best sgt lar....Terubat rindu dgn Lara dan Zariff.

    ReplyDelete
  10. Terima kasih semua atas kesudian membaca dan follow cerita CHS ni. ;)

    ReplyDelete
  11. Hairynn cepaylah habiskan 2 buku tu

    ReplyDelete