CINTA
HATI SAYANG
BAB
29
Telefon berdering. Memainkan lagu Jodoh Pasti Bertemu
nyanyian Afgan. Dari dulu dia memang meminati suara Afgan. Bagi Lara
lagu-lagunya semua menyentuh jiwanya. Memang Lara suka menghayati setiap
bibit-bibit kata pada lirik lagu yang dinyanyikan.
Sofea sudah tertidur di ruang tamu. Lara memasang cerita
kartun dari tadi. Biar Sofea cepat sikit lelap. Lagipun siang tadi langsung dia
tidak mahu tidur. Penat bermain baru terasa di malam hari. Begitulah Sofea.
Kalau siang dia sibuk bermain dan tidak tidur langsung, pasti malam dia akan
tidur lebih awal.
“Wei…. Kau kena tolong aku ni.” Angkat sahaja telefon
terus Wati menjerit padanya. Salam apa pun tidak. Nasiblah Lara sempat melihat siapa yang
menelefonnya. Kalau tidak, mahu dia terus letak telefon. Perempuan gila mana
nak cakap jerit-jerit ni.
“Apa dia? Cuba beri salam dulu. Ini tidak.” Lara sedikit
memarahi kawannya itu. Tangannya yang sedang mengusap rambut Sofea dialih.
Hendak direhatkan sekejap.
Wati menarik nafas panjang. Dihembusnya. Kini barulah dia
rasa tenang sedikit. Lara pula yang tidak sabar-sabar menunggu Wati
menceritakan masalahnya. Seperti besar sangat pula masalahnya.
“Eh, Sofea mana. Dia dah tidur ke?” Selalunya dia pasti
mendengar suara Sofea di belakang. Kali ini tiada langsung.
“Dia dah tidur ni. Penat sangat siang tadi. Hah,
ceritalah. Aku dah sedia nak dengar ni.” Suara TV diperlahankan sedikit. Tidak
mahu Sofea terjaga nanti. Telinganya masih bersabar menunggu cerita Wati.
“Macam ni…… Khairul, lelaki yang pernah aku cerita dekat
kau dulu. Ingat tak?” Lara cepat-cepat mengingati semula nama tersebut. Dia
memang pernah mendengar nama tersebut sebelum ini.
“Khairul mana ni?” Puas Lara cuba ingat namun masih tidak
berjaya.
“Ala, kau ni. Khairul Azrin. Senior kita dulu tu. Itulah
kau, makan semut banyak sangat. Kan dah lupa.” Marah Wati bila Lara masih tidak
dapat ingat siapa Khairul yang dimaksudkan.
“Owhhhhh… Okey. Aku dah ingat dah sekarang. Khairul
Azrin. Ketua pengawas sekolah kita tu kan. Orangnya tinggi, kulit sawo matang,
aktif sukan bola sepak,……” Panjang lebar Lara menggambarkan lelaki bernama
Khairul.
“Dah… sudah…. Itu aku pun tahu. Kau tak payah beritahu
aku. Ni yang aku nak beritahu kau ni jangan kau terperanjat lak.” Wati sudah
merebahkan badannya di atas katil. Tidak pernah dia berasa gembira begini.
Ikutkan hati hendak sahaja dia ke rumah Lara tadi, tetapi memandang hari sudah
lewat, terpaksalah Wati sekadar bercakap dengan Lara di telefon sahaja. Yang
penting dia dapat berkongsi kegembiraan tersebut dengan Lara.
“Aku jumpa dia tadi masa aku nak beli barang dekat
kedai.” Lara sedikit menegakkan badannya
yang tadi lemah tersandar di sofa. Patutlah kawan aku ni gembira sangat. Dapat
jumpa dengan lelaki yang dia minat sejak di bangku sekolah lagi.
“Okey, kau tegur dia tak?” Lara dapat membayangkan
perasaan Wati ketika itu. Kalau dia di tempat Wati, mesti seronoklah. Nasiblah
dia tidak meminati sesiapa pun di sekolah dulu. Tidak berminat Lara pada benda
ni semua.
“Tak, tapi……. Dia yang tegur aku dulu. Lara…. Kau tahu
tak macam mana perasaan aku masa tu. Aku rasa nak pengsan tahu tak.” Lara
hampir menjerit gembira. Nasiblah dia sempat menekup mulutnya sendiri. Kalau
tidak, mahu bangun si kecil Sofea dari tidurnya nanti. Terlompat riang Lara dapat
berkongsi kegembiraan kawannya itu.
“Dan…. Kau tahu tak….. dia….. mintak nombor telefon aku.”
Dari suara Wati sudah jelas membayangkan betapa gembiranya dia. Hendak sahaja
Lara memeluk Wati waktu itu juga. Sudah lama sebenarnya Wati menunggu saat ini.
Kalau dulu manalah pernah si Khairul ni berbual dengan Wati. Kalau bertembung
pun sekadar melemparkan senyuman sahaja. Tidak lebih dari itu pun.
“Kau jangan kata kau tak bagi nombor telefon kau dekat
dia.” Lara akan menjerit kuat sekiranya Wati tidak memberikan nombor telefonnya
pada Khairul. Inilah saat yang ditunggu selama ini. Peluang sudah ada di depan
mata.
“Kau gila. Mestilah bagi.” Ketawa Lara mendengarnya. Begitu juga Wati. Nasiblah
keadaan tidak mengizinkan mereka untuk ketawa sekuat hati. Kalaulah mereka
berada di luar sekarang ini, mahu orang sekeliling sakit telinga mendengar
mereka menjerit.
“Dia ada call
tak?” Lara terus bertanya.
“Takda pun.” Nada suara Wati semakin lemah. Tidak ceria
seperti tadi. Salah tanyalah aku ni. Marah Lara pada diri sendiri.
“Takpalah. Mungkin esok lusa dia telefon. Yang pasti,
esok kau kena cerita dekat aku dari A hingga Z macam mana kau jumpa dia.” Lara
cuba memujuk. Dia tidak mahu Wati tertunggu-tunggu. Mungkin betul katanya.
Mungkin esok atau lusa sahaja Khairul akan menghubungi Wati.
Selepas mereka mengucapkan selamat malam semua, panggilan
mereka diputuskan. Lara masih memegang telefonnya. Dia berharap sangat yang
Khairul akan menghubungi Wati. Bukan sahaja Wati akan berasa gembira tetapi
Lara juga. Hubungan rapat antara mereka berdua
yang membuatkan Lara dapat rasakan apa yang Wati rasakan sekarang ini.
Perasaan gembira dengan diselangi perasaan penuh harapan. Berharap akan
menerima panggilan dari seseorang.
Wajah tenang Sofea yang sedang tidur diamati. Tenang
sungguh hatinya bila melihat wajah Sofea. Jam di dinding dikerling. Jarum sudah
hampir ke angka sebelas. Badannya pun sudah terasa letih. Hendak berehat di
dalam bilik. Di atas katil empuknya.
Lara mendukung Sofea dan merebahkannya di atas katil di
biliknya. Malam ini Lara mahu tidur bersama dengan Sofea. Rasa lagi tenang
tidurnya bila Sofea ada di sebelah.
Semenjak Wati terserempak dengan Khairul tempoh hari,
boleh dikatakan setiap hari mereka akan bersembang pasal lelaki tersebut.
Kesian juga Lara melihat Wati. Asyik menunggu panggilan dari Khairul. Dari hari
ke hari, masih tiada lagi panggilan yang diharap-harapkan.
“Dia takda call
lagi ke?” Hanya gelengan kepala dari Wati menjawab pertanyaan Lara itu.
Walaupun wajahnya muram, tetapi Lara tahu Wati masih berharap ada sinar cahaya
menyinari hidupnya nanti.
Selama tiga hari ini juga Lara tidak langsung nampak
kelibat Zarif. Keretanya masih elok terparkir setiap kali dia ke rumah Tan Sri
untuk menghantar dan mengambil Sofea. Mungkin dia pandu kereta lain. Mana kau
tahu Lara. Orang kaya macam dia mana puas dengan sebuah kereta sahaja. Paling
kurang pun dua buah.
“Hai Lara, cari Zarif ke?” Tiba-tiba Mak Jah menyergah
Lara dari belakang bila dilihatnya Lara seperti sedang mencari-cari.
“Iskh Mak Jah ni. Buat terkejut Lara je. Nak buat apa
cari dia tu. Bukan ada faedah pun. Pandai je Mak Jah ni.” Lara memeluk bahu Mak
Jah. Tiada langsung Lara menganggap Mak Jah seperti orang gaji di rumah
tersebut. Dia lebih menganggap Mak Jah sebagai emak angkatnya. Lara tidak
pernah merasai kasih sayang seorang emak sejak kecil lagi. Dia berharap suatu
hari nanti dia dapat menumpang kasih pada seseorang yang boleh dianggap emak.
“Lara, jangan cakap macam tu. Sekarang ni benci, nanti
lama-lama suka. Sayang.” Ketawa kecil Lara mendengarnya. Tetapi ada betulnya
juga cakap Mak Jah tu. Banyak kali juga dia mendengar orang berkata begitu. Mula-mula
benci, lama-lama bertukar sayang. Tapi dengan Zarif. Oh tidak dapat Lara
bayangkan.
“Yelah Mak Jah. Saya tak benci dia. Okey. Maknanya saya
takkan suka dialah kan.” Lara mengenakan balik Mak Jah. Dicubit perlahan pipi
Mak Jah. Lara ni…….
“Suka siapa ni?” Terdiam mereka berdua. Lara berpusing
dan melihat Puan Sri sedang berjalan ke arahnya bersama-sama Sofea. Budak kecil
itu kalau nampak Lara, terus diterkamnya. Dipeluk pinggang Lara. Erat seperti
sudah lama tidak berjumpa. Rindu pada ibunya.
“Lara ni Puan Sri. Tanya mana Zarif.”
“Mak Jah! Buat cerita je kan.” Terus terjerit Lara. Mak
Jah pula terus berjalan masuk ke dapur sambil membawa barang-barang yang baru
dibeli Pak Mat tadi. Tersenyum lebar Mak Jah dapat mengenakan Lara.
“Oh, Zarif. Dia takda seminggu. Dia pergi Singapore. Ada urusan kerja dekat sana.
Lusa dia baliklah.” Lara hanya mengangguk. Barulah dia tahu mamat tu tidak ada
di Malaysia rupanya. Patutlah langsung tidak nampak batang hidung dia pun
akhir-akhir ni. Lega hatinya. Tapi betulkah perasaan lega yang dirasakan. Atau
ada perasaan lain yang bermain di dalam hatinya. Rindu ke?....
Bila sahaja Lara tahu Zarif tiada di rumah, langsung
tidak dia menolak bila Tan Sri mengajak dia makan malam bersama. Baru aman
rasanya bila dia dapat makan di meja tersebut tanpa Zarif duduk di hadapannya. Kosong. Tiada sesiapa pun yang duduk
bertentangan dengannya. Tiada sesiapa yang akan merenung dan memerhatikan gerak
gerinya.
“Lara, syarikat Kalam Holdings memerlukan seorang
setiausaha. Ada satu kekosongan. Uncle
ingat nak bagi jawatan tersebut pada Lara.” Rupa-rupanya Tan Sri masih ingat
tentang hal ini. Sangka Lara mereka semua sudah lupa akan tawaran kerja
padanya. Dia sebenarnya tidak berapa kisah pun. Lagipun dia masih bekerja di
kedai kek tersebut. Setiap bulan terima gaji walaupun tidak berapa banyak.
Cukup-cukup makan.
“Kerja je Lara dengan Uncle
tu. Banyak sikit gaji Lara dapat tiap-tiap bulan.” Puan Sri juga cuba memujuk
Lara menerima tawaran tersebut. Memang lebih bagus untuk Lara jika bekerja di
sana. Menimba pengalaman baru dalam hidupnya.
Hati Lara masih berbelah bahagi. Bukan dia tidak mahu
menerima tawaran dari Tan Sri, hatinya kuat mahu bekerja di sana. Cuma jika dia
bekerja di sana, maknanya dia tidak akan bekerja lagi di kedai kek. Tidak
bekerja bersama-sama Wati. Masa mereka bersama sudah berubah.
“Lara terima ye. Nanti Uncle minta PA Uncle uruskan semuanya.”
Lara tidak dapat berkata apa-apa lagi. Fikirannya buntu. Dia tidak tahu samada
hendak mengangguk atau menggeleng. Peluang hanya datang sekali sahaja Lara.
Jangan lepaskan. Tapi Wati macam mana……
“Apa? Tan Sri offer kau kerja dekat syarikat dia?!”
menjerit Wati bila Lara memberitahu tawaran Tan Sri padanya. Siap disokong Puan
Sri lagi.
“Kot ye pun janganlah over sangat. Kau ni.” Lara menampar
perlahan pipi Wati. Gelihati pun ada melihat wajah Wati.
“Habis, kau macam mana?” Lara memandang Wati. Dia tidak
mahu berpisah dengan kawan baiknya itu. Sudah lama juga mereka berkerja sama.
“Tak tahulah Wati. Payah aku nak buat keputusan ni.” Lara
tersepit. Dia tidak tahu mana satu yang dia perlu pilih. Terus bekerja di kedai
kek ini atau mulakan kehidupan baru bekerja di syarikat ternama. Menjadi salah
seorang pekerja di syarikat terkenal di Malaysia.
“Lara… Kau terima je tawaran mereka tu. Peluang kau Lara.
Peluang untuk kau ubah kehidupan kau. Untuk kau dan Sofea.” Wati menyentuh bahu
kawannya itu.
“Habis tu kau macam mana?” ketawa Wati mendengarnya. Lara
pula sedikit hairan. Apa yang lawaknya soalan aku tadi.
“Lara…. Aku dah besarlah. Kau nak risau pasal aku kenapa.
Ala Lara, kita masih boleh jumpa kan. Aku boleh datang rumah kau tidur sana.
Tak pun habis kerja kan kau boleh datang sini. Kita keluar minum. Suatu hari
nanti kita kena berpisah juga. Masing-masing kan nak berkeluarga. Takkan nak
kongsi suami pulak.” Wati sendiri ketawa dengan kata-katanya. Lara lagilah.
Hampir tersembur air yang ada dalam mulutnya. Milo ais yang dibelinya tadi.
“Aku sayang kau Wati.” Lara memeluk Wati erat.
“Aku pun sayang kau Lara.” Semakin erat pelukan mereka.
Petang itu sedang mereka mengemas kedai sebelum pulang, telefon Wati berbunyi. Dengan
lemah gemalai Wati mencapai telefonnya. Dia memang tiada mood hendak menjawab
panggilan sesiapa pun. Penat sehari suntuk di kedai. Ikutkan hati dia memang
malas hendak menjawab tetapi disebabkan didesak Lara. Takut jika ada hal
penting dari sesiapa.
“Hello?” Bertambah malas Wati hendak menjawab bila
tertera di skrin telefon nombor yang tidak dia kenali. Tidak pernah dia melihat
nombor tersebut sebelum ini.
“Assalamualaikum. Ini Wati ke?” Suara orang lelaki di
talian. Wati terdiam sekejap. Cuba meneka suara siapa.
“Waalaikumussalam. Siapa ni?” Suara Wati tidak seperti
tadi. Dilembutkan sedikit nadanya. Otaknya masih ligat memikirkan milik siapa
suara tersebut,
“Ini Khairul. Wati ke ni?” Terhenti nafas Wati ketika itu
bila mendengar nama tersebut. Otaknya terus tidak dapat berfungsi dengan baik.
Wajah Lara dipandang.
Ini dah kenapa dengan si Wati ni. Tiba-tiba pula berubah
air mukanya. Ada apa-apa berita buruk ke. Lara mendekati Wati dengan wajah
sedikit risau. Janganlah ada apa-apa yang buruk berlaku pada keluarga Wati.
Keluarga Wati keluarganya juga.
“Khairul.” Mulut Wati menyebut nama tersebut tanpa
langsung suara yang keluar. Dia tidak mahu Khairul di talian mendengarnya. Ini
antara dia dan Lara sahaja. Nasiblah Lara faham maksud Wati. Khairul yang
telefon rupa-rupanya.
“Hello? Wati?” Khairul menyedarkan Wati. Jika tidak tadi
masing-masing diam membisu. Wati sedang cuba menenangkan hatinya. Menghilangkan
rasa gemuruh dalam dirinya. Lara masih setia menemaninya di sebelah. Tidak tahu
bagaimana hendak menenangkan diri Wati kerana dirinya juga tidak ada pengalaman
lagi. Jika Lara ditempat Wati sekali pun mesti dia juga begitu. Entah-entah
lagi teruk.
“Aaa ye saya. Khairul… kat mana ni?” Wati tidak tahu
hendak bertanya apa lagi pada Khairul. Lara mengusap-usap belakang Wati supaya
kurang rasa gemuruhnya. Baru kini kelihatan senyuman di bibir Wati.
“Saya dekat pejabat lagi ni. Ada kerja nak buat sikit
lagi. Wati dekat mana ni?” Wati mengangguk kepalanya walaupun dia tahu bukannya
Khairul nampak pun. Spontan sahaja perlakuan tersebut.
“Saya…saya dekat tempat kerja ni. Berdua dengan kawan.”
Wati tidak menyebut langsung nama Lara. Memang itu juga yang Lara mahukan. Dia
tahu Khairul bukannya kenal dengannya. Lara tidak sepopular Khairul di sekolah.
Siapa yang tidak kenal dengan Khairul Azrin di sekolah itu.
“Okeylah Wati. Nanti saya call lagi. Ada kerja nak kena
buat ni.” Khairul mahu menyambung kerjanya. Ikutkan hati Wati memang dia tidak
mahu memutuskan panggilan tersebut. Tetapi dia sudah bersyukur sangat yang
Khairul sanggup menelefonnya. Dia sendiri tidak menyangka dia dapat berbual
dengan lelaki paling popular di sekolah dulu.
Putus sahaja panggilan tersebut, Wati terus menerkam pada
Lara. Ingin berkongsi kegembiraannya dengan seseorang. Gembira sungguh rasa
hati seperti berada di atas awang-awangan.
Uikkk khairol saingan zarif ke hihihi
ReplyDeleteBetul²...saingan Zarif sdh datang.. Habis lah kau Zarif
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeletesapa itu khairul ?
ReplyDeleteAww suka!! Cepat2 sambung ya kak!!
ReplyDeletewahhhh khairul badrul naim....habis la ngko zarif aka mamat poyo..hahaha
ReplyDeleteKlu Lara jadi setiausaha badrul ok jugak.Biar zarif kepanasan...mesti jealous kot Lara kena ikut Badrul pergi mana2....ishishish jahatnya...
ReplyDeleteKhairul nanti mesti suka kat Lara kan? Yela Lara kan cantik.. Tapi macam kesian je kat Wati. Hm, apa2 pun good luck lah ye Zarif? Ihiks! =P
ReplyDeleteSape khairul tu.?
ReplyDeleteZarif x de.
Aman je dunia lara..hahahah
Mcm ada sesuatu menarik je next n3...i likee...
ReplyDeleteSuke wati sesak nafas ye...hahaha..
Best2....tq hairynn...
Xsbr tggu kejutan seterusnya...;)
ermmm. best juga citer ni...
ReplyDeletebila nak sambung balik citer ni..
ReplyDeleteBest2 sambung lagi huhu :)
ReplyDeletemaaf semua sebab dah lama tak update. okey, malam ni ada entry baru ye... Tunggu tau... ;)
ReplyDeleteYay!! X sabar nak baca!
ReplyDeletewaaa. best
ReplyDeletenak lagi...
ReplyDeletesalam novel ni dah ada dijual di kedai buku ke?
ReplyDeleteInsyaAllah tak lama lagi akan keluar dlm versi cetak sis.. Bawah Karya Seni... Kalau dah dijual di kedai, saya akan war-warkan ye. :)
DeleteMana bab 30? Nak lagi
ReplyDelete