My corner's visitor

Monday, December 19, 2016

E-Novel: Jangan Ada Cinta ~ Bab 4

JANGAN ADA CINTA

Bab 4

            “Tan Sri! Tan Sri!” Diana cuba menyedarkan Tan Sri Mohamed yang dilihatnya rebah di atas lantai. Patutlah dari tadi Diana ketuk pintu bilik tetap.i tetap tiada suara menjawab dari dalam. Mesti ada yang tak kena pada Tan Sri.

            “Hamid, call ambulans cepat.” Nampak sahaja kelibat Hamid berlari masuk ke dalam bilik terus Diana menjerit meminta pertolongan.

            Siapa yang tidak panik dengan keadaan sebegini. Mana pernah berlaku sebelum ini terutamanya kepada Tan Sri. Dari tadi Diana asyik memastikan Tan Sri masih bernafas. Takut dia jika tiba-tiba pernafasan Tan Sri terhenti. Berdoa panjang Diana supaya ianya tidak berlaku.

            “Kak Die! Kenapa ni? Kenapa dengan daddy?” Daniel yang tiba-tiba melulu masuk sebaik sahaja mendapat tahu tentang Tan Sri. Itu pun Hamid yang beritahu padanya sebaik sahaja dia menelefon ambulans.

            Wajah cemas Daniel dipandang. Diana sendiri tiada jawapan tepat. “Kak Die tak tahu apa terjadi pada Tan Sri. Masuk-masuk aje Tan Sri dah pengsan. Hamid, dah telefon ambulans?”

            Pandangan Diana kini beralih pada wajah Hamid. Manalah tahu si Hamid ni lupa nak telefon ambulans. Dia perlu pastikan itu semua.

            “Dah telefon.” Mereka sama-sama menunggu ketibaan pihak ambulans. Nak buat apa-apa pun masing-masing bukannya pakar dalam bidang ni. Nanti takut lain pula yang jadi. Diana masih juga cuba menyedarkan Tan Sri. Begitu juga dengan Daniel. Namun sia-sia sahaja usaha mereka. Tan Sri masih tidak sedarkan diri.

            Dan akhirnya Tan Sri selamat dibawa ke hospital. Hanya Diana dan Daniel yang ikut ke hospital.

            “Kalau jadi apa-apa pada daddy….”

            “Syhhhh… jangan fikir yang bukan-bukan. Kita sama-sama berdoa supaya Tan Sri selamat.” Diana segera memintas kata-kata Daniel. Dia tahu perasaan Daniel. Gundah gulana. Risau. Gelisah. Semua sekali bercampur. Kalau nak diikutkan, dia sendiri pun rasa begitu. Tetapi mana mungkin dia tunjukkan pada Daniel. Nanti lagi parah perasaan Daniel.

            Mereka berdua setia menunggu di luar bilik kecemasan. Bila-bila masa sahaja doktor atau jururawat akan keluar dari bilik tersebut. Tidak sabar mereka hendak tahu keadaan terkini Tan Sri.

            “Macam mana keadaan Tan Sri?” Diana terlebih dahulu bertanya bila seorang doktor lelaki datang mendekati mereka. Sempat dia mengerling pada tag nama yang dipakainya. Doktor Badrul.

            “He is stable now. Cuma masih lemah. Keputusan sepenuhnya akan kita beritahu secepat mungkin. But now, Tan Sri memang kena masuk wad. We need to monitor him.” Diana angguk tanda mengerti. Mereka akan ikut sahaja apa yang doktor sarankan. Itu yang terbaik buat Tan Sri.

            “Daniel, Alhamdulillah. Syukur sangat-sangat.” Diana mengusap lembut lengan Daniel. Rasa lega dan tenang sedikit bila mendengar apa yang doktor katakan tadi. Barulah ada senyuman terukir di bibir Daniel dan juga Diana.     


            “Sayang, daddy macam mana?” Mira juga rasa risau bila mendapat tahu keadaan Tan Sri. Jatuh pengsan tiba-tiba. Selalunya ada kaitan dengan jantung.

            “He’s okay now. But we still need to wait for the full result.” Suara Daniel juga sudah berubah. Tidaklah secemas tadi bunyinya.

            “Lepas kerja nanti Mira terus ke sana.” Walaupun Mira tidak nampak, Daniel tetap menganggukkan kepalanya.

            Daniel segera menguruskan sendiri kemasukan Tan Sri ke wad VIP walaupun Diana mahu membantu. Sebagai anak, sudah menjadi tanggungjawabnya memastikan keadaan daddy terjaga.
           
            “Tan Sri okey tak tu?” Hani pula yang nampak terlebih resah.

            “Keadaan dia stabil sekarang ni. Tapi masih dalam pemantauan. Kau ni kenapa, nampak resah semacam je.” Mira tenung wajah Hani lama. Lain macam je si Hani ni.

            “Iskh kau ni. Bukan apa la, arwah bapak aku dulukan kes jantung jugak. Tu yang aku lemah sikit kalau dengar orang admit sebab jantung. Lagipun umur Tan Sri lebih kurang umur bapak aku.” Panjang lebar Hani memberi penjelasan. Tidak mahu Mira fikir lain.

            “Oh okey. Ingatkan apalah tadi.” Sengaja Mira melemparkan senyuman sinis pada Hani. Masih sempat lagi Mira mengusik kawannya itu.

            “Dah, kau jangan fikir yang bukan-bukan. Aku, kenal Tan Sri pun tidak. Jumpa lagilah tak pernah.” Hani cuba yakinkan lagi Mira supaya percaya dengan apa yang dikatakan tadi. Malas dia hendak melayan si Mira, lebih baik dia sambung siapkan kerjanya. Sudahlah berlambak lagi kerja tak siap.

                       
            Petang itu Mira segera memandu keretanya menuju ke hospital. Sebelum dia keluar dari pejabat tadi, ada dia menelefon Daniel bertanyakan lokasinya. Memang dari tengahari tadi Daniel ada di sana menjaga Tan Sri. Cadangnya malam nanti baru dia hendak balik ke rumah mengambil baju dan barang mandian. Dia tidak mahu sesiapa pun menemani Tan Sri di hospital melainkan dirinya sendiri.

            “Sayang, cepat sampai.” Daniel menegur dahulu Mira sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam bilik yang menempatkan Tan Sri.

            “Jalan tak sesak sangat tadi. Uncle macam mana?” Mira segera mendekati Daniel yang sedang duduk di tepi katil Tan Sri. Ipad di tangan diletak ke tepi bila wajah Mira menghiasi ruang matanya.

            “Dia baru tidur balik. Tadi dah bangun makan.” Daniel usap lembut tangan Mira sambil pandangannya masih terarah pada Tan Sri yang tidur lena dek ubat yang diberi makan tadi.

            “You dah makan?” Mira mengalihkan pandangan pada Daniel kini.

            “I takda selera.” Memang sejak dari tengahari tadi Daniel tidak jamah sebarang makanan.

            “I dah agak dah. Ni I ada bawak nasi goreng. You makan sikit ye.” Sudah Mira agak pun. Dia tahu perangai Daniel ni. Kalau ada perkara yang merungsingkan fikirannya, mesti dia tak ambil kisah jika perutnya lapar. Akan dibiarkan sahaja.

            “You suapkan, boleh?” Mengada-ngada pulak si Daniel ni. Hilang sedikit rasa rindu pada wanita yang berada di hadapannya ini.

            “Boleh, janji perut you tak kosong.” Mira letak bungkusan yang dibawa tadi di atas meja sebelum membukanya.

           
            “Uncle kena banyak berehat ni. Duduk rumah je. Tak payah kerja dah lagi.” Mira sekadar memberi pendapatnya sahaja. Sudu di tangan masih menguis-nguis nasi goreng tadi sebelum menyuapnya ke mulut Daniel semula.

            “Takda siapa nak gantikan tempat dia lagi.” Air Nescafe panas dihirup perlahan.

            “You kan ada sayang.” Hairan juga Mira. Siapa lagi yang layak menggantikannya kalau bukan Daniel. Siapa lagi waris Tan Sri selain Daniel, anak kandungnya.


            “I tak layak. Yang lebih layak….abang I.” Mira benar-benar terlupa yang Daniel ada seorang abang.

            “Dia yang lebih layak menggantikan tempat daddy. I tak layak. Banyak lagi benda yang I tak tahu.” Daniel luahkan juga apa yang dia rasa selama ini.

            “You dah beritahu abang you pasal uncle?” Pertanyaan Mira sama seperti apa yang Diana tanya padanya tengahari tadi. Dan jawapannya tetap sama. Kosong. Tiada jawapan keluar dari mulut Daniel.

            Mira tidak mahu memanjangkan lagi isu tersebut. Dia cuba mengubah topik perbualan mereka. Biar Daniel tidak rasa tertekan. Topik yang dapat menggembirakan hati Daniel. Biar dia rasa tenang sedikit. Lupa akan masalah yang sedang dia hadapi.

            Selepas hampir dua jam Mira menemani Daniel di situ, akhirnya dia meminta diri untuk pulang ke rumah. Daniel pun kebetulan hendak balik ke rumah sekejap. Hendak menukar pakaian.

            “Anything call me.” Banyak kali Mira ingatkan Daniel. Keprihatinan Mira memang tidak dapat disangkal. Sayangnya pada Daniel semakin mendalam.

            “You too sayang. Take care. I love you.” Daniel beredar dari situ bila sahaja Mira masuk ke dalam kereta.

           
            Enjin kereta dihidupkan. Telefon yang disimpan di kocek seluar dikeluarkan. Nombor telefon seseorang dicari.

            Abang Im.

            Jarinya masih berkira-kira untuk menekan butang dail. Tiada arahan diterima lagi.
           

            “Abang Im tak sayang daddy, tak sayang Daniel.” Nada suara Daniel sudah semakin meninggi.

            “Daniel!” Hakim sudah tidak dapat menahan marah. Bila-bila masa sahaja tapak tangannya boleh hinggap di pipi adiknya itu.

            “Kalau abang sayangkan kami, kenapa abang tak tinggal sahaja dengan kami di sini. Kenapa abang perlu balik ke sana semula.” Air mata yang cuba ditahan dari tadi menitis juga akhirnya. Pandangannya tepat terhala pada wajah abang kesayangannya itu.

            “Abang…. Abang….” Bagaimana Hakim hendak menjelaskan semuanya pada Daniel. Sukar untuknya menutur kata-kata.

            Walau dihalang sekali pun, Hakim tetap dengan keputusannya untuk bekerja di New York. Jauh meninggalkan Daniel. Sudah lama Hakim tidak balik ke Malaysia hinggakan Tan Sri dan Daniel ke New York untuk menyambut hari raya aidilfitri bersama-sama.

            Kini barulah Daniel tahu sebab Hakim tidak mahu balik dan tinggal bersama mereka di Malaysia. Itupun setelah Tan Sri beritahu sebabnya. Kenangan bersama arwah mummy terlalu banyak. Dan sehingga kini,  Hakim masih tidak dapat menerima sepenuh hatinya di atas kehilangan insan yang paling dia sayang.

           
            Akhirnya, jari menekan juga.

            Bunyi deringan berkumandang di corong telinga Daniel.


“Hello?”

Monday, October 31, 2016

E-Novel: Jangan Ada Cinta ~ Bab 3

JANGAN ADA CINTA

Bab 3

            “Amy Liana binti Azmil Stephen! Aku ceraikan kau dengan talak satu.” Suara tegas Daniel membuatkan semua terdiam termasuk isterinya yang baru sahaja dilepaskan.

            Semua mata yang ada di situ memandang tepat pada Daniel. Tan Sri Mohamed seperti tidak percaya dengan apa yang baru sahaja berlaku di hadapan matanya. Kebetulan Tan Sri baru sahaja pulang dari bermain golf. Tan Sri bersama dengan Pak Ali, pemandu peribadinya terhenti langkah mereka sebaik sahaja mendengar kata-kata tegas Daniel itu.

Memang sejak akhir-akhir ni pertelingkahan antara Daniel dan Liana semakin menjadi-jadi. Ada sahaja perkara yang tidak kena di mata Daniel. Begitu juga Liana. Itu tak kena, ini tak kena. Cuma mereka tidak pernah bergaduh di hadapan Tan Sri. Rasa hormat pada orang tua masih ada. Walaupun begitu, Tan Sri lebih cepat menghidu semuanya. Dia tahu hubungan mereka semakin retak. Cuma dia masih tidak tahu punca pergaduhan mereka yang sebenarnya.

“I never want to see you again Daniel Imran. You will regret it. You will.” Kali ini suara Liana pula yang semakin meninggi. Pandangan Daniel pada Liana masih seperti tadi. Tiada langsung rasa menyesal di sebalik anak matanya itu. Yang ada cumalah rasa marah membuak-buak.

“Daniel!... Liana!” sebelum Tan Sri mendekati mereka berdua, Liana terlebih dahulu melangkah laju menghampiri bapa mertuanya itu.

“I’m sorry daddy. Halalkan makan minum Liana selama ini.” Tangan Tan Sri dicapai. Dikucup lama sebelum air mata jatuh membasahi tangan. Rambut Liana diusap lembut. Rasa sedih menerjah di hati Tan Sri. Dia tidak suka perkara sebegini terjadi di dalam keluarganya. Ibu bapa mana yang suka melihat rumahtangga anak-anak mereka hancur begini.

“Daniel.” Tan Sri masih cuba memujuk anaknya itu untuk menghalang Liana keluar dari rumah mereka. Talak satu masih boleh dirujuk. Rujuk semula. Itu yang Tan Sri mahukan. Mungkin Daniel telah melakukan kesilapan. Manusia. Tidak akan terlepas melakukannya. Tapi..semuanya boleh diperbetulkan.

“I’m sorry daddy.” Daniel tidak menunggu lama. Wajah Tan Sri dipandang sekali imbas sahaja sebelum dia berlalu menaiki tangga ke tingkat atas.

Begitu juga dengan Liana. Dia masih terus melangkah keluar dari rumah tersebut. Tan Sri hanya mampu melihat sahaja.

“Sabar Tan Sri. Mereka tengah marah tu. Kita tak boleh buat apa-apa. Tunggu nanti dah reda sikit.” Pak Ali cuba memujuk Tan Sri. Dia tahu bagaimana perasaan Tan Sri. Perasaan seorang ayah.


            Deringan telefon menyedarkan Daniel dari lamunannya.

            Astaghfirullahalazim. Mengucap panjang si Daniel. Peristiwa lama kembali menerjah fikirannya.

            Telefon yang diletakkan di atas meja masih berdering. Dengan hanya mendengar deringan tersebut sudah dia tahu siapakah pemanggilnya.

            “Hai sayang.”

            “You dah mandi? Tengah buat apa?” suara manja Mira berjaya menenangkan perasaan Daniel yang sedikit gelisah.

            “Belum lagi. I tengah tengok CNN ni. After this I pergi mandi ye sayang.” Memang Daniel terpaksa berbohong. Orang kata bohong sunat. Takkanlah Daniel nak beritahu perkara sebenar pada buah hatinya itu. TV pun tidak terpasang. Tengok CNN konon.

            “Okeylah, ibu dah balik tu. Take care sayang. I love you.”

            “You too sayang. Take good care. I love you so much.”

            Arghhhhhh… kenapa selepas tiga tahun semuanya muncul semula. Kenangan pahit dalam hidupnya kembali bermain di fikiran. Wajah wanita yang sudah lama dia lupakan kini masuk ke dalam mimpinya. Apakah semua ini… Apa yang berlaku sebenarnya…..

            Amy Liana…. Kenapa kau perlu melintasi pandangan mataku kini.


“Diana, kalau Daniel dah masuk pejabat, suruh dia jumpa saya.” Arahan pertama Tan Sri untuk hari ni diterima.

“Baik Tan Sri.”

Dari tadi Diana masih tidak nampak kelibat Daniel masuk ke pejabat. Tapi manalah tahu dia terlepas pandang. Segera diangkat gagang telefon dan mendail sambungan pejabat Daniel.

Tiada sesiapa yang menjawabnya.

Baru sahaja Diana hendak meletak gagang telefon, pandangannya terus tertacap pada susuk tubuh seseorang.

“Daniel, Tan Sri panggil you.”

“Daddy dah sampai? Awalnya.” Diana sekadar mengangguk sambil tersenyum.

“Kak Die, tolong jagakan kejap.” Beg laptop diletakkan di atas meja Diana. Jarak umur antara mereka membuatkan Daniel anggap Diana seperti kakaknya sendiri. Lagipun banyak juga Diana hulur bantuan pada Daniel berkaitan dengan kerja pejabat.

“Yelah anak Tan Sri.” Sengaja Diana usik Daniel pagi-pagi begini. Menjeling sedikit Daniel pada Diana. Jeling manja. Dan bagi Diana, dia sudah biasa menyakat si Daniel dengan gelaran tersebut.

            Selepas mengetuk pintu pejabat Tan Sri, Daniel masuk tanpa menunggu lebih lama. Wajah daddy nya dipandang tepat.

            “Daddy nampak pucat. Are you not feeling well?” Daniel segera mendekati Tan Sri dan letak tapak tangannya di atas dahi Tan Sri.

            “Daddy tak demam. Just…..rasa letih sikit beberapa hari ni.” Sedikit ditepis tangan anaknya dari terus berada di dahi.

            “Then… pergilah berehat few days ni daddy. Mana yang Daniel boleh uruskan, biarlah Daniel urus.” Perasaan risau menerjah di hati Daniel. Dia tahu tahap kesihatan Tan Sri tidaklah berapa baik. Kuat sangat bekerja punca utama. Dia kena banyak berehat sebenarnya. Itu yang doktor sarankan dahulu. Tapi macam biasalah, kedegilan Tan Sri tak boleh disangkal. Kalau dia tak mahu, janganlah dipaksa atau dihalang.

            Kan lebih senang kalau mummy masih ada. Kenapa mummy perlu tinggalkan kami semua terlalu awal.

            “Itu semua kuasa Allah Daniel. Jangan sesekali menolak takdir. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita semua.” Air mata Daniel mengalir saat dia teringatkan kata-kata Tan Sri dahulu selepas balik dari tanah perkuburan.Jenazah mummy selamat dikebumikan.

            “Daddy, why don’t kita cuba minta Abang Im…..” Kata-kata Daniel terhenti saat Tan Sri memandang tepat ke dalam anak matanya.

            “He’s happy there. Daddy tak mahu rosakkan kebahagiaan dia dekat sana.”

            “But daddy..”

            “Daniel, stop it. Daddy masih boleh uruskan semuanya ni. Daniel kan ada.”

            “Daniel tak sekuat Abang Im. He is the perfect person daddy. Daniel yakin he can replace you better than me.” Memang itu yang Daniel rasakan. Dia masih tidak yakin dengan dirinya sendiri untuk mengambil alih tempat Tan Sri. Pengalaman yang dia ada masih tidak cukup.

            “Enough Daniel!”

            Terdiam Daniel. Dia tidak tahu kenapalah susah sangat daddy hendak terima apa yang dia katakan. Memang itu yang terbaik untuk syarikat ini. Daniel tidak pernah pentingkan diri sendiri. Kalau betullah dia tamakkan harta, sudah lama dia ambil alih tempat daddy nya. Biar dia pegang jawatan tertinggi di dalam syarikat tersebut.

            “Kak Die kata daddy cari Daniel pagi tadi. Ada apa daddy?” Daniel tidak mahu memanjangkan lagi perkara tersebut. Dia tahu akhirnya nanti dia juga yang terpaksa mengalah.

            “Daddy nak Daniel uruskan projek ni. Ada masalah sikit. Try figure out apa masalahnya. Projek tak dapat siapkan dalam masa yang kita nak. Hamdan is the person in charge. Try check with him.”   

            Fail di tangan Tan Sri dicapai. Dia berlalu keluar dari pejabat tersebut. Sempat Daniel mengerling pada wajah Tan Sri. Apa yang Daniel boleh buat. Sekadar mengeluh. Mana boleh dipaksa-paksa Tan Sri Mohamed ni.

           
            “Daniel, beg ni.” Hampir terlupa Daniel dengan beg laptopnya. Nasiblah Diana ingatkannya.

            “Terlupalah Kak Die. Sorry.”

            “Kenapa ni? Ada masalah ke dengan Tan Sri?” Diana sekadar mengagak. Selalunya Daniel memang begitu. Boleh nampak dari raut wajahnya.

            “Daddy nampak tak sihat tu. But, you know him. Degil.” Perlahan sahaja Daniel bersuara tetapi masih jelas di telinga Diana. Mengangguk berulang kali dia. Memang betul pun apa yang Daniel kata. Degil.

            “Oh ye, asyik lupa je nak tanya. How’s your brother, Hakim? Dia masih dekat sana ke?”

            “Yup. Masih dekat sana. And he is doing well there. Kerja dengan company besar Kak Die. Abang Im berani. Not like me. Jauh beza.” Ketawa Kak Die mendengarnya. Lagi-lagi bila Daniel buat raut wajah dengan bibir sedikit dijuihkan.

            “Mana ada. Daniel pun berani. Like him. Like your daddy.” Ayat pujuk hati Daniel.


            “Pandai ajelah Kak Die ni. Okeylah, Kak Die, tolong call Hamdan. Suruh dia jumpa saya dekat pejabat. Thank you.” Dengan galas beg laptop dan fail di tangan, Daniel melangkah terus menuju ke pejabatnya. Banyak kerja yang perlu diuruskan hari ni.

E-Novel: Jangan Ada Cinta ~ Bab 2

JANGAN ADA CINTA

Bab 2

“Mira, Encik Fuad panggil.” Kedengaran suara Kak Mimi dari tempat duduknya.

“Okey.” Balas Mira pula. Fail-fail yang baru sahaja diambil dari kabinet diletakkan di tepi meja. Kaki segera melangkah menuju ke bilik Encik Fuad.

            Tuk Tuk….

            “Masuk.” Suara Encik Fuad dari dalam memberi kebenaran pada Mira.

            Pintu dibuka dari luar. Mira melangkah perlahan menghampiri meja Encik Fuad. Dilihatnya dia sedang meneliti kertas kerja yang Mira berikan padanya semalam.

            “Duduk Mira.” Tanpa tunggu lama, Mira segera menarik kerusi dihadapan meja Encik Fuad. Matanya masih sibuk memerhatikan kertas-kertas yang berada di atas meja.

            “Okey, saya dah semak kerja Mira ni. Macam biasa, semua seperti yang saya nak.”

            Tarik nafas lega Mira sekali lagi. Kerjanya sekali lagi memuaskan hati Encik Fuad.

            “Oh ye Mira. Ambil fail ni. Kemaskinikan. Sebab minggu depan saya nak kena update pada mereka.” Mira angguk tanda mengerti. Fail di tangan Encik Fuad diambil.

            Teguh Maju Holdings.

            Syarikat milik seseorang yang Mira cukup kenal. Milik Tan Sri Mohamed. Daddy kepada Daniel Imran, buah hati tersayang.

            “Kenapa tersenyum lak ni? Ada apa-apa yang melucukan ke?” Pertanyaan Encik Fuad menyedarkan lamunan Mira.

            “Aaa, takda apa-apa Encik Fuad. Kalau takda apa-apa, saya keluar dulu.” Malu pula Mira pada Encik Fuad. Yelah, apa tidaknya. Boleh pulak dia tersenyum sorang-sorang bila dapat fail tebal macam tu. Tersenyum bila kerja bertambah. Pelik.

            Fail tadi dipeluk erat. Dah macam peluk teddy bear yang baru dihadiahkan oleh buah hati. Mira….. Mira…..


            “Tan Sri, okey ke ni?” Diana, pembantu peribadi Tan Sri Mohamed menghampirinya. Wajah pucat majikannya yang sudah berumur diperhatikan.

            “Rasa letih sikit. Diana, petang ni saya ada meeting dekat Putrajaya kan?” Tan Sri sesekali memegang dadanya sambil dahinya berkerut. Menahan sakit. Sejak akhir-akhir ni kesihatannya tidak berapa baik. Dadanya kerap kali terasa sakit.

            “Ya Tan Sri. Meeting dengan LNE Engineering tentang projek dekat Pahang. Tapi… Tan Sri nampak tak sihat ni. Apa kata kita tunda meeting ni ke hari lain?” Diana cuba memberi pendapat. Dia juga risau dengan kesihatan Tan Sri. Kuat sangat bekerja di usia begini.

            Sudah lama juga Diana ni  hendak menyuarakan pendapatnya. Tapi takut Tan Sri tak bersetuju. Sepatutnya sudah masanya Tan Sri menyerahkan kebanyakkan kerja-kerjanya kepada anak lelakinya. Dia sepatutnya perlu banyak berehat dengan faktor usianya yang sudah meningkat tua.

            “Diana, awak tahukan betapa pentingnya mesyuarat kali ni. Banyak benda yang kita kena bincangkan dengan mereka. Jangan lupa suruh Zarif, Hamid dan Michael pergi sekali nanti.” Apa lagi yang Diana boleh buat selain mengangguk. Arahan dari bos besar perlu dituruti. Kalau ingkar, faham-faham ajelah. Memang Tan Sri tidak suka sesiapa pun mengingkari arahannya. Itu sudah pasti.

            “Diana, Daniel balik bila?” Kaki yang tadi melangkah terhenti bila suara Tan Sri kedengaran. Berpaling semula memandang Tan Sri.

            “Kalau ikutkan flight dia hari ni. Esok baru dia masuk kerja semula. Kenapa Tan Sri?”

            “Nothing.” Sekali lagi Diana angguk kepala sebelum berlalu keluar. Pintu ditutup rapat dari luar.

           
            “Zarif, aku risaulah.” Sebaik sahaja Diana menghampiri meja Zarif, terus diluahkan perasaan gelisahnya.

            “Risau pasal ape pulak ni? Ada orang nak tackle kau ke?” Zarif sengaja mengusik Diana, kawan yang dikenali sejak 5 tahun lalu.

            “Iskh kau ni. Ke situ pulak dia. Aku risau pasal Tan Sri ni.” Ditamparnya sedikit bahu Zarif.

            “Oooo Tan Sri. Yelah, aku pun tengok dua tiga hari ni Tan Sri nampak tak berapa sihat. Kau tak suruh Tan Sri pergi jumpa Dr. Alif ke?”

            “Macamlah kau tak kenal Tan Sri. Dia mana nak dengar nasihat orang. Aku suruh dia postpone meeting petang ni, tapi dia taknak. Nak teruskan juga meeting tu. Nanti kau, Hamid dengan Michael kena ke Putrajaya. Meeting start at 2.30. Don’t be late. Macam biasa, jumpa Tan Sri dekat sana terus.” Sememangnya Zarif sudah dari semalam tahu yang dia antara orang yang kena hadiri mesyuarat petang nanti. Jadi memang dia sudah bersedia pun.

           
            “Mira, aku balik dulu ye.” Hani capai beg tangannya. Dia memang jarang balik lambat. Sharp on time punya. Boleh dibilang dengan jari berapa kali sahaja dia balik lewat dalam sebulan. Itu pun selalunya akhir bulan. Sebab nak siapkan repot hujung bulan.

            “Eh jap-jap. Aku pun nak balik cepat hari ni. Sharp on time macam kau jugak.” Dan kali ini  giliran Mira pula mencapai beg tangannya sambil jari laju menekan butang off di skrin komputer.

            “Waaaaa ini mesti ada date ni kan. Oh yelah, aku lupa. Hari ni si buah hati pengerang jantung kau dah balik Malaysia kan. Patutlah dari pagi asyik tersenyum aje.” Hani betul-betul terlupa yang Mira ada beritahu padanya semalam.

            Senyuman di bibir Mira semakin melebar. Siapa yang tak suka kalau dapat bertemu dengan orang tersayang. Lepaskan rindu bilamana hampir seminggu tidak berjumpa.

            Hani memaut lengan Mira sementara menunggu lif tiba untuk ke tingkat bawah. “Kau nak pergi mana ni?”

            “Penyibukkkkk.” Pandangan tepat dituju pada Hani. Apa lagi, tersemburlah ketawa kuat dari mulut Hani, begitu juga Mira. Nasiblah tiada siapa yang peduli dengan mereka. Masing-masing sibuk dengan telefon sendiri.

           
            “Sayang kat mana?” Suara romantik Daniel memenuhi ruang telinga Mira.

            “Kejap lagi sampai. Lagi 5 minit. You dah sampai ke?”

            “Dah, I ada depan rumah you ni. Your mom macam takda dekat rumah. Kereta takda ni.”

            “Ibu keluar. Pergi hantar tempahan kek. Okey, nak sampai. I dah nampak kereta you.” Sebaik sahaja kereta membelok menghampiri kawasan rumah, kereta Porsche hitam milik Daniel yang kelihatan di penglihatannya.

           
            “Assalamualaikum.” Daniel beri salam sebaik sahaja Mira turun dari kereta. Sebenar-benarnya dia juga rasa rindu pada wanita yang berada di hadapannya sekarang ini.

            “Waalaikumussalam. Lama ke you tunggu? Sorry, tadi traffic light kat depan tu lambat.” Sambil menutup semula pintu pagar dan berjalan menghampiri Daniel yang sedang bersandar di tepi keretanya. Cantik punya posing. Ala model terkenal.

            “Demi sayang. Lama pun takpa. I sanggup.” Kenyit mata si Daniel pada Mira.

            “Mengada-ngada. Jomlah sayang. Lapar ni.” Memang perutnya sudah keroncong. Tadi tengahari mana dia turun makan pun. Sekadar alas perut dengan roti marjerin. Itu pun si Hani yang paksa dia makan.

            “Ala sayang lapar. Okey, jom.” Mereka memasuki kereta dan beredar dari situ.

            Restoran yang menyajikan makanan barat menjadi pilihan mereka berdua. Selalunya Daniel yang akan memilih tempat makan. Mira sekadar mengikut sahaja. Lagipun jarang si Mira ni makan di luar. Manalah dia arif sangat tentang tempat-tempat makan yang sedap. Berbeza dengan Daniel. Selalu keluar makan dengan Tan Sri lah, kawan-kawan rapatnya lah, dan sekali sekala dengan klien syarikat mereka.

            Sedang mereka menikmati makan malam bersama, kelibat seseorang membuatkan masing-masing terdiam. Padahal tadi sibuk si Daniel bercerita tentang Osaka, Jepun.

            Macam kenal aje perempuan tu.

            Bisik hati kecil Mira. Puas dia cuba ingat semula di mana dia pernah nampak wajah perempuan tersebut. Daniel pun tiba-tiba diam pulak. Mira semakin yakin bahawa perempuan tersebut mesti ada kaitan dengan Daniel.

            “You kenal dia?” Mira beranikan diri bertanya. Selagi dia tak tanya, selagi itulah persoalannya tidak terjawab. Naik pening dia cuba ingat.

            “She is my ex wife. You lupa ye sayang.” Perlahan sahaja suara Daniel menjawab tapi cukup jelas di telinga Mira.

            Yes. Baru sekarang Mira ingat. Daniel pernah tunjuk gambar dia bersama bekas isterinya bercuti di Switzerland. Berbulan madu di sana.

            “Are you okay?” Daniel segera capai tangan Mira. Dipegang erat. Pandangannya tepat memandang wajah Mira. Dia tidak mahu Mira rasa cemburu dengan bekas isterinya itu.

            “Yes, I am. Don’t worry about me.” Mira cuba tenangkan hati sendiri. Siapa yang tak cemburu. Bekas isteri kemain cantik persis model. Tinggi pulak tu. Kulit putih melepak. Lagipun Daniel pernah cerita serba sedikit tentangnya. Anak kacukan. Mummy melayu, daddy Mat Saleh.

            “Okay sayang. Mana tadi, pasal Osaka kan.” Daniel kembali bercerita. Sesekali matanya masih sibuk menjeling ke arah pintu. Risau jika bekas isterinya masuk semula ke dalam restoran. Dia tidak mahu mood Mira berubah.

            Tapi…. Adakah benar dia risaukan tentang mood Mira atau sebenarnya mood dirinya sendiri.
           
           

            

Sunday, August 28, 2016

E-Novel: Jangan Ada Cinta - Bab 1

Maaf sgt2 sebab lama biarkan blog ni terbiar sepi.  Jom sama-sama ke dunia baru, MiraHakimDaniel. 

p/s: Dalam proses nak siapkan mss untuk JAC ni. Mohon dipermudahkan segalanya. Aaminnn


JANGAN ADA CINTA

Bab 1

            “Mira, aku balik dulu.” Suara Hani membuatkan Mira sedikit terkejut. Apa tidaknya, dia sedang khusyuk menyemak akaun syarikat sebelum dihantar pada ketua pengurus.

            “Okey. Jumpa esok.” Langsung tak pandang pun wajah Hani yang sedang berdiri di sebelahnya. Pandangan Mira masih tertumpu pada skrin komputer.

            “Jangan balik lambat sangat. Tak siap, sambung jelah esok.” Hani, kawan sepejabat merangkap kawan baiknya sering kali memberi nasihat. Risau juga Hani bila Mira selalu balik lewat malam. Balik seorang diri. Bukannya selamat sangat zaman sekarang ni.

            “Mana boleh. Encik Fuad tu nak by today. Takpalah, sikit je lagi ni. Actually dah siap pun, cuma nak semak balik.” Geleng kepala si Hani dengan perangai Mira. Memang dari dulu dia macam ni. Selalu akan pastikan kerja yang diberi, siap dengan betul. Lagipun Mira ni tak suka kalau kerja sambil lewa. Ada salah sana sini. Itu sebabnya dia jadi salah seorang pekerja contoh di syarikat tersebut.

            “Ikut kau lah. Take care. Apa-apa call tau.” Hani tepuk bahu Mira perlahan sebelum berlalu dari situ. Tinggallah Mira dan beberapa staf lain yang masih sibuk menyiapkan kerja masing-masing. Encik Fuad pun masih ada lagi dalam pejabatnya.

            “Siap!” Lega Mira rasa. Dokumen yang baru dicetak tadi disusun mengikut susunan. Tidak menunggu lama, dia berlalu menuju ke bilik Encik Fuad sambil membawa dokumen yang disiapkannya tadi.

            “Bagus. Rasanya semua okey ni. Takpa, nanti saya semak balik.” Encik Fuad masih meneliti hasil kerja Mira. Satu persatu diperhatikan.

            “Kalau takda apa-apa, saya balik dulu Encik Fuad. Jumpa esok ye.”

            “Okey Mira. Jumpa esok.” Terukir senyuman di bibir Mira bila kerjanya tidak dipertikaikan. Dari raut wajah Encik Fuad, jelas menunjukkan yang dia amat berpuas hati. Kaki melangkah keluar dengan hati yang gembira.


            Begitulah rutin harian Mira Sofea binti Haji Mokhtar sebagai seorang akauntan yang baru dua tahun bekerja di syarikat D&N Holdings. Mira tidak pernah memilih tempat bekerja. Baginya dia perlu menimba pengalaman berbekalkan ijazah yang dipegang dalam bidang perakaunan. Moga suatu hari nanti dia dapat bekerja di syarikat besar di ibu kota dan memegang jawatan besar.
           

            “Assalamualaikum.” Mira memberi salam sebaik kaki melangkah masuk ke dalam rumah.
            “Waalaikumussalam. Anak ibu dah makan?” Puan Faridah yang sedang menonton tv mengalihkan pandangan ke arah anak perempuannya.

            “Belum lagi. Ibu dah makan?” Mira mendekati ibunya dan mencium pipi seperti kebiasaan yang dibuat setiap kali pulang ke rumah.

            Sambil mengusap lembut pipi anaknya, Puan Faridah sekadar menggeleng. Jam baru menganjak ke angka sembilan. Memang selalunya mereka akan makan bersama melainkan bila si Mira ada temujanji.

            “Mira mandi kejap ye ibu. Lepas tu kita makan sama.” Sekali lagi pipi ibunya menjadi sasaran. Segera dia bangun dan berlalu masuk ke dalam bilik.

            Mira cuma ada seorang adik  lelaki yang masih belajar di asrama penuh di Seremban. Hanya pada hujung minggu atau pun cuti sekolah sahaja mereka berjumpa. Tinggallah Mira dan ibunya sahaja di rumah dua tingkat yang ditinggalkan oleh arwah Haji Mokhtar.

 Sudah lima tahun arwah meninggalkan mereka semua selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kereta Honda yang dipandu Haji Mokhtar bertembung dengan sebuah kereta Proton Perdana dari arah bertentangan. Kedua-dua pemandu meninggal dunia di tempat kejadian. Hanya seorang mangsa terselamat. Anak kepada pemandu tersebut. Nasibnya memang baik. Dia hanya cedera ringan di tangan dan kepala. Mengikut laporan polis, kereta Proton Perdana tersebut yang salah. Memotong di tempat yang tidak sepatutnya.

 Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Hendak atau tidak, mereka sekeluarga terpaksa redha dengan takdir yang menimpa mereka. Kehilangan Haji Mokhtar dengan tiba-tiba membuatkan kehidupan mereka berubah terus. Puan Faridah selalu termenung teringatkan arwah. Faris pula yang dulunya seorang yang periang, kini menjadi pendiam. Tidak banyak bercakap selepas kejadian tersebut. Mira yang banyak memberi kekuatan dan semangat kepada adik dan ibunya. Dan kini mereka berdua sudah dapat menerima hakikat sebenarnya. Semua yang hidup di dunia ini pasti akan mati suatu hari nanti. Puan Faridah juga semakin hari semakin sibuk dengan perniagaannya. Sibuk menyiapkan tempahan kek dan biskut pelanggan yang menempah darinya.

           
            Selepas makan malam bersama tadi, mereka masuk ke dalam bilik tidur masing-masing. Puan Faridah memang begitu. Selepas menunaikan sembahyang Isyak, memang katillah tempat yang akan dituju. Mira pula selalunya akan menonton tv, tetapi malam ni badannya agak letih. Mungkin terlalu kuat bekerja beberapa hari ni. Kurang rehat.

            Sambil berbaring di atas katil, telefon bimbit kesayangannya dicapai. Dibuka satu persatu whatsapp yang belum dibaca. Salah satunya sudah tentu dari orang tersayang. Whatsapp yang memang ditunggu-tunggu setiap malam.

            My baby, dah makan?

            Laju sahaja jari jemari Mira membalasnya.

            Baru lepas makan dengan ibu. You dah makan? Macam mana dekat sana?

            Mohd Daniel Imran….. Orang pertama yang berjaya mengetuk pintu hati Mira untuk menerima cinta dari seorang lelaki. Pertemuan yang tak disangka antara mereka dulu membuatkan hati dan perasaan mereka tertarik antara satu sama lain. Dari hari ke hari, hubungan mereka semakin akrab dan akhirnya luahan perasaan terhambur juga dari mulut Daniel. Dan dia tidak bertepuk sebelah tangan. Begitu juga Mira. Perasaannya terhadap Daniel semakin hari semakin mendalam. Hatinya semakin berbunga-bunga semenjak berkenalan rapat dengan Daniel.

            I dah makan tadi. Semuanya okey. Cuma I rindu dengan orang tu. Lama tak jumpa.

            Datanglah mengada-ngada si Daniel pada buah hatinya ni. Apa tidaknya, sudah tiga hari dia ke Osaka, Jepun. Menghadiri kursus dan mesyuarat bersama orang-orang di sana. Ini semua ada kaitan dengan hal syarikat milik keluarganya. Teguh Maju Holdings Berhad.

            Mengada-ngada.

            Sambil menaipnya, sambil tersenyum seorang diri. Siapa yang tak suka kalau diri dirindui seseorang. Lebih-lebih lagi dengan orang yang kita sayang.

            Lagi dua hari sahaja Daniel berada di sana. Dia akan pulang ke Malaysia lusa hari. Semakin tidak sabar dia hendak berjumpa dengan Mira. Memang begitulah kebiasaannya. Kerap kali juga Daniel ke sana sini untuk beberapa hari. Lagipun mereka jarang juga berjumpa. Masing-masing sibuk dengan kerja di pejabat. Kalau berjumpa pun sekadar makan malam sahaja.

            See you in two days sayang. Love you. Muahhhhhh

            Berulang kali whatsapp terakhir dari Daniel dibaca. Dan kini Mira pula yang menanggung rindu. Siapa yang terlebih mengada-ngada ni……..

           
            “Ibu, malam ni Mira makan dekat luar ye.” Sambil menyuap mi goreng yang dimasak Puan Faridah tadi.

            “Makan dengan Daniel ke?” Mira sudah tersenyum dengan pertanyaan ibunya itu. Anggukan kepala mengiringi senyuman.

            “Dia dah balik dari Jepun ke? Hari tu kata dia takda sini.” Mi goreng di pinggan dikuis sedikit sebelum menyuap ke mulut sendiri.

            “Tengahari ni sampailah. Lima hari je dia dekat sana. Hari ni balik, esok dah mula kerja balik. Mesti penat tu.” Simpati pula si Mira pada Daniel. Kalau outstation ni memang memenatkan. Lebih-lebih lagi kalau ke tempat jauh.

            “Terpaksalah Mira. Kerja. Lagipun bukan syarikat orang lain. Syarikat ayah Daniel juga kan. Nak taknak dia kena kerja kuatlah sikit. Risau lebihlah anak ibu ni. Daniel dah biasa kan outstation ni semua. Dah sebati tu.”

            Kata-kata Puan Faridah menenangkan sedikit perasaan gelisah Mira terhadap Daniel. Mira risau jika Daniel tak cukup rehat nanti. Kesihatan juga perlu dijaga. Itu yang selalu Mira tekankan pada Daniel. Tapi pada diri sendiri, Mira terlupa tentang itu. Kesihatan sendiri diabaikan.

            “Ibu, Mira pergi dulu. Nanti lambat pulak sampai office.” Laju sahaja Mira hirup air Nescafe di dalam cawan sehingga habis. Beg laptop dan beg tangan di tepi kerusi dicapai. Selepas bersalaman dan mencium pipi Puan Faridah, segera Mira berlalu pergi. Biasalah, kalau lambat sikit, sah-sah kena hadap kesesakan lalu lintas. Mahu terlambat masuk office nanti.

            “Baik-baik Mira.” Sempat Puan Faridah menjerit pada anaknya. Entah dengar entah tidak si Mira tu.


            Mulalah rutin harian Puan Faridah di rumah seorang diri. Mengemas rumah dan membersihkan apa yang patut. Dia memang sudah berhenti kerja beberapa tahun yang lepas. Duduk di rumah sambil menjalankan bisnes membuat kek dan biskut secara online. Ramai juga yang menempah darinya. Ada juga tempahan yang terpaksa ditolak dek kesuntukan masa untuk menyiapkannya. Sesekali ada juga si Mira hulurkan bantuan  untuk menyiapkannya. Tapi boleh dikira berapa kali. Yelah, dia sendiri pun sibuk dengan kerjayanya sendiri. Balik rumah pun dah pukul berapa.


(Jom LIKE kalau suka ye......)