My corner's visitor

Wednesday, December 2, 2015

E-Novel - Dia Penjaga Hatiku ~ Bab 8

DIA… PENJAGA HATIKU.

Bab 8

            Pagi esoknya, Zaira diarahkan untuk menemani Haikal ke Berjaya Holdings untuk menghadiri mesyuarat. Sepanjang mesyuarat itu, Zaira menunggu Haikal di luar sahaja. Hanya Haikal bersama beberapa orang lagi masuk ke dalam bilik mesyuarat.

            Mesyuarat berkaitan dengan projek terbaru usahasama mereka. Kalau kedua-dua belah pihak bersetuju, maka bertambah sibuklah mereka nanti. Apa tidaknya, projek yang akan menelan belanja berjuta-juta ringgit. Hanya syarikat besar sahaja yang mampu mendapatkannya.

            Sepanjang Haikal berada di dalam, Zaira tidak putus-putus berdoa. Moga semuanya berjalan lancar.

            Setelah hampir satu jam lebih mereka di dalam, akhirnya keluar juga Haikal dan yang lainnya. Tersenyum lebar Haikal memandang Zaira. Senyuman Haikal sentiasa berbalas. Bukan sahaja dari Zaira malah dari mana-mana wanita pun.

            “Jom, kita pergi makan.” Zaira tidak membantah langsung. Perutnya yang sudah kosong itu sesekali berbunyi. Nasiblah setiap kali berbunyi tiada siapa yang mendengar. Kalau tidak, manalah hendak diletakkan muka yang tak berapa cantik ni.

            Fail di tangan Haikal cuba diambil. “Eh, kenapa ni?”

            Laaa, nak ambil fail je pun. Takkan itu pun tak boleh. Wajah berkerut Haikal nampak seolah-olah Zaira telah lakukan kesalahan besar. Dah macam pencuri pula.

            “Takda Encik Haikal. Fail-fail tu biarlah saya bawa.”

            “Ingatkan apa tadi. Takpalah Zaira. Saya boleh bawa. Tak berat pun.” Senyum lagi. Boleh cair kalau hari-hari dia senyum macam tu dekat aku. Seronoknya tunang dia. Hari-hari bahagia.

            “Encik Haikal, kita nak pergi makan dengan diorang sekali ke?” Diperlahankan suaranya. Tidak mahu orang lain mendengar.

            Belum sempat Haikal menjawab, dilihatnya lelaki-lelaki yang dimaksudkan itu semakin menghampiri mereka. Gaya korporat habis mereka berdua.

            “So, Haikal, jangan lambat sediakan kontrak tu. We don’t have much time left.” Salah seorang dari mereka menepuk bahu Haikal. Ini mesti Tan Sri atau Datuk.

            “Oh sure uncle. No worries. Oh ye, kenalkan.. Zaira, my PA for time being. Gantikan Siti untuk dua bulan ni.”

            Haikal menyambung lagi. “And Zaira.. kenalkan ni Tan Sri Hamdan and his son, Zafri.”

            Mereka yang terlebih dahulu menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Zaira. Zaira pula masih rasa malu. Apa tidaknya, bersalaman dengan orang atasan. Rasa janggal pula.

            Turun dari lif, mereka berjalan terus menuju ke hotel yang terletak bersebelahan dengan tempat mereka bermesyuarat tadi. Rancak mereka bertiga berbual sepanjang langkah ke sana. Zaira pula setia berjalan di belakang. Sesekali Haikal menoleh ke belakang dan memperlahankan langkahnya. Biar berjalan beriringan dengan Zaira.
           
            Aduh. Ini yang Zaira tak suka datang tempat-tempat mahal ni. Nama makanan pelik-pelik. Entah apa yang dihidangkan nanti. Kalau makanan yang dia makan takpa. Kalau tidak, mahu kena paksa untuk habiskan nanti. Silap haribulan boleh muntah.

            Berulang kali Zaira membelek buku menu yang diberikan padanya tadi. Macam mana ni….. Dikerling pada mereka yang lain. Semuanya nampak tiada masalah pun. Macam dah biasa datang makan dekat sini.

            “Kal… cuba tolong Zaira pilih makanan tu. Dia tak biasa makan dekat sini.” Tan Sri seperti seorang penyelamat. Kata-katanya membuatkan wajah Zaira kembali ceria. Kalau tiada yang tolong ni, mahu sampai esok pagi pun belum tentu dia boleh pilih.

            “Okey uncle. So, Zaira nak makan apa? Cuba try ni. Sedap. Awak makan daging lembu kan?” Ditunjuk pada salah satu menu yang tertera. Zaira angguk.

            Akhirnya berjaya juga Zaira memesan makan tengaharinya atas bantuan Haikal. Haikal bukannya membabi buta memesan makanan untuk Zaira. Ada beberapa menu yang disyorkan.

            Macam biasalah. Kalau ahli-ahli perniagaan ni duduk makan bersama. Ada sahaja benda yang berkaitan dengan hal perniagaan menjadi topik perbualan mereka. Hal itulah, hal inilah. Semuanya tidak boleh masuk dengan Zaira. Manalah dia tahu sangat selok belok perniagaan besar-besar ni. Jadi pendengar setia sahajalah si Zaira.

            “So Kal, when are you plan to get married? Uncle tak sabar nak makan nasi minyak ni”  Dari cara mereka berbual, nampak sangat yang Haikal sudah menjalin hubungan yang baik dengan mereka. Tiada langsung rasa kekok tengok Haikal berbual dan bergurau senda dengan Tan Sri dan anaknya.

            Entah kenapa hati ini rasa ingin sangat tahu jawapan dari mulut Haikal. Selama ini dia tidak berani pun hendak bertanya semua itu pada bosnya. Tetapi kini sudah ada yang bertanya. Apa lagi, laju sahaja telinga dipasang.

            Dikerling pada Zaira sebelum menjawab. “Kal tunggu Zaf dulu Uncle.”

            Terbatuk terus Zafri bila namanya yang disebut. Berubah wajah menjadi merah sambil meneguk air.

            “Zafri ni ramai sangat girlfriend. Uncle pun tak tahu mana satu yang betul. Semuanya dia sapu.” Wah, Tan Sri merangkap ayah pada Zafri boleh cakap macam tu. Terkejut juga Zaira dibuatnya. Ingatkan Tan Sri ni jenis yang serius. Rupa-rupanya tidak.

            Ketawa Haikal mendengarnya. Zaira pula sekadar tersenyum tawar. Takut dia hendak senyum lebih-lebih. Buatnya Tan Sri tak suka. Naya aku.

            “Dad! Apa ni. Malulah.” Dikerling Zaira. Zafri nak malu? Jangan haraplah. Dia bukannya kisah sangat pun dengan apa yang daddynya cakap. Lagipun kalau nak ikutkan dia sebenarnya menurun perangai Tan Sri. Ramai perempuan masa muda-muda dulu. Orang hensem, kaya pula tu.

            “Kal masih dengan Kirana ke?” Haikal mengangguk lemah. Nampak seperti tidak berapa suka bila diajukan soalan seperti itu.

            “Nanti ajaklah Kirana datang rumah uncle. Dah lama tak datang sana kan. We can have dinner together.” Sekali lagi Haikal mengangguk. Apa lagi yang dia hendak tambah. Kalau boleh dia tidak mahu Tan Sri atau sesiapa pun bertanyakan padanya hal Kirana lagi. Dia tiada mood buat masa ini.

            “Zaira? Dan kahwin ke belum ni?” Soalan maut. Zaira tidak sangka pula Tan Sri berminat untuk tahu hal dirinya. Baru dia hendak tahu lagi tentang Haikal dan Kirana. Kini, dirinya pula yang menjadi perhatian lebih-lebih lagi dari Haikal.

            “Belum lagi Tan Sri. Insya-Allah tahun depan.” Jawab Zaira ringkas dan lembut. Dia tidak perasan yang Haikal sedang memandangnya dengan pandangan yang cukup berbeza. Tiada senyuman langsung diwajah. Hanya Tan Sri dan Zafri yang terukir senyuman di bibir masing-masing.

            Hampir satu jam mereka duduk berbual di sana. Tan Sri yang meminta diri dahulu. Ada mesyuarat yang perlu dihadiri kejap lagi. Yang lain juga turut sama beredar dari situ.


            “Betul ke apa yang Zaira cakap tadi?” Bila sahaja enjin kereta sudah dihidupkan, itu yang mula-mula Haikal sibuk tanya. Terpinga-pinga Zaira sambil memegang beg tangannya. Langsung tersekat niat untuk menarik tali pinggang.

            “Betul apa Encik Haikal?” Zaira buntu. Takkanlah dia tanya pasal hal tadi. Apa yang aku cakap tadi.

            “Pasal nak kahwin tahun depan.” Laju sahaja Haikal menjawab. Biar Zaira jelas apa yang dia hendak tahu.

            “Oooo pasal tu. Insya-Allah, kalau takda aral melintang tahun depan. Encik Haikal dengan Cik Kirana bila pulak?” Giliran Zaira bertanya.

            “Tak tahu lagi. Tak bincang pun lagi.” Haikal sebenarnya malas hendak berbicara tentang ini. Biarlah masa yang menentukan. Dia tidak nampak pun sinar kebahagiaan bila bersama Kirana. Dari dulu lagi dia dapat rasakan yang Kirana bukanlah cinta sejatinya. Masih tidak berjumpa lagi. Dan mungkin juga tiada untuknya. Arghhh.. runsing kepala bila memikirkannya.

            Haikal masih sibuk memikirkan apa yang Zaira katakan tadi. Aku cemburu? Haikal tanya pada diri sendiri. Kenapa rasa pelik hati ini. Perasaan yang berbeza. Mungkinkah betul aku cemburu? Cemburu dengan kemesraan Zaira bersama teman lelakinya.


            “Jom sayang.” Kirana mengajak Haikal menemaninya menonton wayang. Puas Kirana memujuk dan akhirnya berjaya juga. Ikutkan hati Haikal dia amat malas hendak keluar. Langsung tiada mood dengan semua orang. Tetapi bila fikir tentang Tan Sri Ahmad, rasa tidak sampai hati pula hendak lukakan hati anaknya itu. Tan Sri Ahmad terlalu banyak membantunya sehingga berjaya. Menjawat jawatan tinggi di syarikat besar. Gaji berpuluh ribu walaupun umur tidak sampai 40.


            “Kita keluar tengok wayang abang. Lama dah tak tengok sama kan.” Ajak Zaira pula pada Azri. Sudah lama mereka tidak menghabiskan masa bersama. Balik-balik sibuk menjadi alasan Azri.


            “Okey.” Amat ringkas jawapannya tetapi sudah cukup menggembirakan hati Zaira. Itulah yang dia tunggu-tunggu. Semakin rindu pada lelaki yang telah berjaya menakluki hatinya.

11 comments:

  1. akhirnya ada sambungan baru. Txs cik writer....

    ReplyDelete
  2. Best nya... X sabar nk tgu bab seterusnya...hihihi...

    ReplyDelete
  3. Best nya... X sabar nk tgu bab seterusnya...hihihi...

    ReplyDelete
  4. Sis samb lg pleasee...tak sabar juga nk tau novel nie...

    ReplyDelete
  5. Bru bca abis CHS..bukak blog ada new entry..bbbbeesstttt

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tq sgt2 Ida Ahmad atas sokongan dari awal lagi.. ;)

      Delete
  6. Karya cik writer mmg best sgt2 x sbr tgu next chapter

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih sgt2... Malam ni akan ada new entry ye. ;)

      Delete