My corner's visitor

Thursday, July 30, 2015

Dia.... Penjaga Hatiku - Bab 2

Maaf...maaf....maaf..... sebab lama benar biarkan blog ni sunyi sepi. Sibuk sana sini. Jadi..... malam ni kita up tiga bab terus ye untuk DIA.. PENJAGA HATIKU. 

(LIKE kalau suka ye..... Terima kasih sgt2 pada yang sudi menjenguk blog ni setiap hari. )


DIA… PENJAGA HATIKU.

Bab 2

            “Zaira, boleh tolong akak tak?” Kak Siti yang sedang mengandung  berjalan perlahan-lahan ke meja Zaira.

            “Tolong apa kak?” Pen di tangan diletak ke tepi. Wajah Kak Siti di pandang tepat.

            “Zaira tolong hantarkan dokumen ni pada Encik Haikal. Ni alamat dia. Encik Haikal ada meeting dekat sana. Dokumen ni dia nak lah pulak. Akak tak boleh pergi. Sebab tengah tunggu tetamu dari Jepun kejap lagi nak sampai.” Sebuah sampul surat di tangan Siti dipandang.

            “Zaira jangan risau. Naik je teksi. Nanti claim balik. Ambil resit. Akak dah beritahu dekat Encik Haikal yang Zaira akan hantar dekat dia.” Laju benar Siti terangkan. Kelam kabut dibuatnya.

            Tidak sampai hati pula Zaira hendak kata tidak. Lagipun hari ni Musa, penghantar surat, tiba-tiba ambil emergency leave. Katanya anak demam panas.

            “Semua dalam sampul surat ni ke kak?” tanya Zaira. Dia mahu memastikan tiada apa yang tertinggal sebelum dia pergi. Biar Siti semak sekali lagi. Nanti malas dia hendak dua tiga kali ke sana.

            “Ya, semua ada dalam ni. Zaira bagi je ni dekat Encik Haikal nanti.” Telefon Siti berbunyi. Tidak sempat dia cakap apa-apa lagi. Laju dia menapak semula ke mejanya dan meninggalkan Zaira dengan sampul surat tadi.

            Takpalah, lagipun hari ni dia seorang sahaja. Azlin pun ambil cuti hari ni. Nak berehat katanya. Penat baru balik dari kampung.

            Beg tangan dicapai. Dia berlalu keluar dari pejabat. Menaiki teksi menuju ke alamat yang diberikan tadi. Jalan pun masih belum sesak. Sekejap sahaja Zaira sudah sampai.

           
            “Encik Haikal ada dekat dalam. Sekejap ye saya panggilkan.” Seorang gadis yang bertugas sebagai penyambut tetamu itu segera membuat satu panggilan. Sambil menunggu Encik Haikal keluar, matanya sibuk memerhati sekeliling. Susun atur di setiap ruang pejabat sangat kemas.

            Pandangannya terhala pada seseorang yang bersusuk tegap. Siapa lagi kalau bukan bosnya sendiri. Haikal seperti biasa kelihatan segak dengan penampilannya. Dia berjalan menuju ke arah Zaira.

            Terpegun juga Zaira dibuatnya. Semakin dekat Haikal padanya, semakin kuat bau wangian yang dipakai. Bau yang sama semasa dia terlanggar Haikal buat pertama kali.

            “Ada bawa dokumen tu?” Tanya Haikal lembut. Segera dihulurkan samput surat tadi kepada Haikal.

            “Okey, terima kasih.” Itu sahaja yang keluar dari mulut bosnya. Tetapi Zaira tidak ambil kisah langsung. Ucapan terima kasih dari bos sudah memadai untuknya yang sekadar pekerja biasa sahaja.

            “Sama-sama.” Balas Zaira sambil berlalu pergi. Takkanlah nak berdiri lama dekat situ. Nak buat apa pun.

            Haikal masih memandang Zaira sehingga dia hilang dari pandangan. Entah kenapa hatinya rasa sesuatu bila melihat wajah Zaira. Seperti ada sesuatu yang menarik perhatiannya.

           
            Mana pulaklah teksi ni. Tadi banyak je aku nampak. Ni takda satu pun. Ngomel Zaira sendiri. Penat menunggu lama namun masih tiada bayang-bayang teksi kosong pun dari tadi.
           
            Masuk sahaja ke dalam kereta, Haikal segera menelefon Tan Sri Ahmad. Memang Tan Sri sedang menunggu berita gembira dari Haikal. Tidak sia-sialah Haikal bersengkang mata untuk menyemak kertas kerja yang disiapkan oleh ketua jurutera syarikat. Makin bertambah sayanglah Tan Sri pada Haikal.
           
            Setelah hampir sepuluh minit Haikal berehat dalam kereta, dia menekan padel minyak menggerakkan kereta keluar dari parking di bawah bangunan.

            Dari jauh Haikal dapat lihat Zaira sedang berdiri di hentian teksi. Berseorangan dengan wajah sedikit resah.

            “Tunggu teksi dari tadi ke?” Sebaik sahaja kereta berhenti betul-betul di hadapan Zaira, tingkap kereta diturunkan. Kalau betullah dia tunggu dari tadi, maknanya sudah hampir satu jam dia disitu. Tadi lepas serahkan dokumen rasanya dia terus turun ke bawah.

            Menjenguk sedikit Zaira ke dalam kereta. Manalah dia kenal kereta milik siapa ni. Kereta Posche Cayenne warna hitam.

            “Encik Haikal.. Aah, saya tunggu teksi dari tadi. Payah betul nak dapat teksi dekat sini.” Jelas dia melihat wajah Haikal yang bercermin mata hitam sedang memandangnya. Kacak habis. Aduh, beristighfar Zaira. Dia bos kau merangkap tunangan orang.

            “Jomlah naik. Saya pun nak balik office ni.” Pucuk dicita ulam mendatang. Tidak berfikir panjang, Zaira terus mengangguk. Biarlah bosnya nak kata apa pun. Yang pasti dia hendak sampai ke pejabat dengan kadar segera. Lenguh dah lutut ni berdiri dari tadi. Tambah pula perutnya sudah terlalu lapar.

            Tutup sahaja pintu kereta, barulah Zaira terfikir semula. Inilah kali pertama dia menaiki kereta mewah begini. Seganlah pulak. Langsung dia tidak menolak tadi. Nanti Encik Haikal fikir lain pulak pasal aku. Tapi…. Perut aku ni dah tak tahan.

            Ya Allah, selesanya duduk dalam kereta Encik Haikal ni. Langsung tak rasa panas dek matahari yang bersinar di luar. Rasa sejuk nyaman. Untungnya jadi Encik Haikal ni. Mewah hidup.

            Grrrrrrrr….

            Alamak! Masa nilah perut nak berbunyi. Tunggulah aku keluar kereta dulu. Marah Zaira pada diri sendiri. Janganlah Encik Haikal dengar. Belum sempat dia menoleh pada bosnya di sebelah, Haikal terlebih dahulu bersuara.

            “Perut awak tengah main lagu apa tu?” Haikal tersenyum sambil menampakkan sebaris gigi putih sambil menggeleng-geleng kepalanya.

            Malu. Itu sahaja yang Zaira boleh ungkapkan. Mana nak sorok muka ni. Nak je aku lompat keluar sekarang jugak. Punyalah cover tadi, alih-alih perut ni terlepas pulak. Eeeeeee……

            Langsung Zaira tidak bersuara sepanjang perjalanan.  Malunya hanya tuhan sahaja yang tahu. Tidak langsung dia menoleh ke kanan. Sibuk memandang ke luar tingkap.

            “Nak saya temankan awak makan tak?” Haikal bersuara sebaik sahaja kereta sudah berhenti di hadapan bangunan syarikat.

            “Eh, takpa-takpa. Terima kasih ye Encik Haikal. Saya pergi dulu.” Tergopoh gapah Zaira keluar dari kereta. Langkah diperbesarkan untuk cepat-cepat menjauhi bosnya itu. Toleh belakang? Memang tidaklah. Takut bila pandang belakang nanti, bosnya itu sedang ketawakan dia.

            Haikal masih tetap memandang Zaira berjalan masuk. Tersenyum sendiri dia bila teringatkan wajah Zaira tadi. Berubah menjadi merah. Malu sangatlah tu.

            Zaira mengorak langkah terus ke cafĂ©. Perutnya meminta untuk diisi. Dia tidak lupa berharap yang bosnya itu tidak akan ingat lagi apa yang berlaku tadi. Ala, dia banyak lagi bendalah nak kena ingat dan fikir. Apa barang nak ingat pasal kau tadi. Zaira menyedapkan hatinya sendiri. Harap betullah apa yang dia fikirkan itu.
           

            Dek kesibukan dengan kerja-kerja yang semakin menimbun, Zaira langsung tidak ingat akan hal tadi.

            Tetapi….

            “Zaira, Encik Haikal tanya ni. Benda tu masih berbunyi tak?” Rasa macam nak kena serangan jantung terus. Sesak nafas bagai. Aku dah lupa, tapi dia ingat lagi.

            Siti masih menunggu jawapan Zaira. Telefon di tangan masih elok dipegang.

            Tenang Zaira tenang…..

            “Dah berhenti dah tadi.” Apa lagi yang dia hendak jawab. Harap bosnya itu tidak akan memanjang-manjangkan lagi perkara ini. Malu kalau semua orang tahu.

            “Iskh korang ni. Macam budak-budak. Encik Haikal ni agaknya demam kot. Tak pernah pulak akak dengar dia ketawa macam tu.” Telefon di tangan masih ditenung. Terhambur ketawa Haikal bila mendengar jawapan Zaira tadi.

            “Entahlah kak. Tak cukup rehat gamaknya. Itu yang merapu sikit tu.” Tersenyum tawar Zaira pada Siti. Dia menyambung kerjanya walaupun jantungnya sedang berdegup kencang. Ini semua sebab Encik Haikal.
           

            Walaupun perkara itu sudah beberapa hari berlalu, tetapi setiap kali Zaira terserempak dengan Haikal, senyuman penuh makna dilemparkan. Zaira tahu Haikal masih ingat dengan insiden perut berbunyi tu. Cuma Zaira pura-pura tidak ingat. Dia hanya membalas senyuman seperti biasa sahaja.

            Zaira rasa lega sebabnya dia tidak perlu selalu menghadap Haikal seperti mana kekerapan Siti. Hari-hari kena masuk bilik bos dan menghadap wajahnya. Sekali itu sahajalah dia masuk dalam bilik Haikal untuk menghantar air. Selepas itu manalah pernah lagi. Buat apa pun. Dia kerani biasa sahaja. Tiada sebab dia hendak masuk ke sana.
           

            “Eeee, geramnya.” Rungut Siti sambil menghempas-hempas telefon pejabat. Nasib bukan telefon sendiri. Kalau tidak mahu rosak dibuatnya.

            “Kenapa Kak Siti?” Marah semacam je ni.” Tanya Azlin yang kebetulan baru keluar dari bilik fotostat. Zaira juga kebetulan lalu untuk mengambil fail di hujung pejabat.

            “Tunang bos ni hah. Peninglah akak nak layan dia. Berlagak betul.” Jarang nampak lihat Siti marah ni.

            “Apa dia dah buat dekat akak ni. Cuba cerita dekat kitorang.” Azlin bersuara sambil meletakkan kertas-kertas yang difotostat tadi di atas meja. Zaira sekadar mengangguk bersetuju.

            “Dia nak akak book flight ticket untuk dia ke Bangkok minggu depan. Tarikh dan masa dia nak tu dah penuh. Takda seat available. Akak suruhlah dia tukar hari lain. Terus dia marah. Ini baru tunang. Kalau dah jadi isteri bos, boleh migrain terus.” Habis diluahkan geramnya terhadap Kirana.

            “Jangan marah sangat Kak Siti. Nanti perangai anak akak macam perangai dia. Parah nanti.”

            “Azlin!!!” Menjerit Siti bila mendengar kata-kata Azlin itu. Zaira pula tidak dapat menahan ketawa. Sampai berair mata dibuatnya. Mentang-mentanglah Siti sedang mengandung lapan bulan. Boleh pula Azlin buat lawak dengan kandungannya itu.

           
            Malam itu…..

            “Abang, payahnya sekarang nak berbual dengan abang. Nak jumpa lagilah susah.” Zaira sedikit mengeluh. Selepas beberapa kali dia cuba menghubungi Azri, teman lelakinya, baru kali ini dijawab.

            “Sorry, abang sibuk sikit akhir-akhir ni. Banyak kerja nak kena siapkan. Ni pun baru balik dari Pahang. Ada kerja sikit dekat sana.” Jelas Azri pada Zaira.

            Ada sahaja alasan yang diberikan pada Zaira. Memang sejak akhir-akhir ni perangai Azri semakin berubah. Sampai ada masanya Zaira seperti tidak mengenali Azri lagi. Setiap kali Zaira mengajak dia keluar, ada sahaja alasan diberikan. Kalau nak ikutkan, bukannya jauh pun rumah mereka. Shah Alam ke Bangsar. Orang kata, kalau dah rindu dan sayang, jauh mana pun sanggup diredahi.

            Teman serumah Zaira, Nora pernah memberitahu Zaira yang dia terserempak dengan Azri bersama perempuan lain. Nampak mesra semacam. Tapi bila Zaira bertanyakan pada Azri, katanya perempuan itu kawan lama sekolahnya. Itu yang nampak mesra.

            Ada  juga rasa sangsi pada mulanya, tetapi Azri pandai menyakinkan Zaira untuk percaya dengan kata-katanya. Dia memang manis mulut. Buatkan Zaira hilang rasa sangsi terhadapnya.

            “Hujung minggu ni kita jumpa ye.” Itulah kata-kata Azri yang menggembirakan hati Zaira. Sudah lama mereka tidak berjumpa.

            Zaira rindukan abang……


No comments:

Post a Comment