My corner's visitor

Thursday, July 30, 2015

Dia.... Penjaga Hatiku - Bab 4

DIA… PENJAGA HATIKU.

Bab 4

            “Wah, awalnya kau sampai hari ni. Tak sabar nak jumpa bos hensem ye.” Lantang sungguh suara Azlin. Mentang-mentanglah hanya mereka berdua sahaja yang sudah sampai. Yang lain masih tidak kelihatan.

            “Mulut kau ni kan. Aku bukan apa. Aku taknaklah nanti kelam kabut. Mana tahu tiba-tiba bos masuk awal pulak hari ni. Naya aku.” Zaira masih sibuk membelek komputer Siti. Dibukanya satu persatu email yang masuk. Kena baca betul-betul. Takut tersalah balas nanti.

            Ketawa Azlin sambil berlalu ke mejanya. Kalau dulu meja mereka bersebelahan sahaja tapi kini tidak lagi. Meja Siti agak jauh dari mereka. Sudah tentulah dia kena dekat dengan bilik Haikal. Setiausaha kena sentiasa dekat dengan bos.
           

            Tepat jam sembilan pagi, kelihatan Haikal melangkah masuk dari pintu utama terus menuju ke biliknya. Sempat dia melemparkan senyuman pada Zaira sebelum masuk tadi.

            Apa lagi, laju sahaja Zaira ke pantri untuk membancuh air Nescafe. Dia masih ingat lagi pesan Siti. Encik Haikal nak minum air dulu sebelum memulakan kerjanya. Jadi, faham-faham sendirilah. Sudah tentu kena buat cepat.

            “Selamat pagi Encik Haikal.” Sambil meletakkan cawan berisi air Nescafe tadi di atas meja. Haikal pula masih sibuk membetulkan tali lehernya.

            ‘Oh, selamat pagi.” Langsung tidak dipandang Zaira yang berdiri di hadapannya. Baru sahaja Zaira hendak melangkah keluar, kedengaran suara Haikal memanggil.

            “Zaira, awak lupa sesuatu ke?” Lupa sesuatu? Apa yang dia lupa? Air? Dah. Oh…… baru Zaira teringat.

            “Ma… maaf Encik Haikal. Saya pergi ambil Ipad saya kejap.” Zaira bergegas keluar mengambil Ipad nya. Macam manalah boleh lupa ni. Dia sepatutnya membawa masuk Ipad untuk meyemak jadual harian bosnya itu. Sudah berkali-kali Siti berpesan padanya. Itulah Zaira. Gelabah sangat. Kan dah lupa benda penting.

            Masuk sahaja semula ke dalam pejabat Haikal, Ipad dibuka. “Hari ni Encik Haikal ada appointment dengan Dato Farid dekat office dia pukul 11 pagi. Satu je untuk hari ni.” Jelas Zaira sambil menyemak semula jadual. Takut dia terlepas pandang.

            “Okey.” Satu perkataan sahaja keluar dari mulut Haikal.

            Selepas mengangguk, Zaira segera keluar dari bilik Haikal. Tidak betah dia hendak lama-lama di dalam bilik berdua sahaja dengan Haikal.

            Hari pertama berlalu dengan cukup sempurna. Lega rasa hati. Bila dikira-kira balik, masih ada lebih kurang 60 hari lagi sebelum Siti kembali bekerja semula.

            Malamnya itu Zaira menerima panggilan dari suami Siti. Dia sudah selamat melahirkan seorang bayi perempuan seberat 2.9kg. Kedua-duanya dalam keadaan selamat di hospital Prince Court Medical Centre.
           

            Esok paginya seperti biasa, Zaira membawa secawan air untuk bosnya dan memberitahu semua temujanji untuk hari ini

            “Oh ye Zaira. Awak dah pergi lawat Siti?” Tanya Haikal pada Zaira sambil tangannya sibuk mencatat sesuatu di atas sekeping kertas.

            “Belum lagi. Cadangnya petang nanti Encik Haikal.” Memang Zaira bercadang untuk pergi melawat Siti petang nanti selepas waktu kerja.

            “Siapa lagi pergi dengan awak?” Diletaknya pen yang dipegang tadi seraya memandang Zaira. Serba tak kena pula dibuatnya bila pandangan tajam Haikal menusuk ke jantungnya. Tepat. Sebelum ini rasanya bosnya itu tidak pernah pandang lama-lama padanya. Kali ni pula.

            “Saya… saya pergi seorang sahaja. Sepatutnya dengan Azlin. Tapi dia ada hal sikit petang ni. Tak dapat pergi.” Takut juga sebenarnya Zaira hendak pergi seorang diri. Bukannya dia pernah jejak kaki dekat Prince Court tu. Tengok dari luar sahaja.

            “Oh, kalau macam tu…. Nanti petang tunggu saya. Kita pergi sekali. Naik kereta saya. Ke, nak naik kereta awak Zaira?” Apa kena dengan bos ni. Manalah aku ada kereta. Belum mampu nak miliki mana-mana kereta lagi. Duit gaji yang dia dapat pun bukannya banyak. Habis separuh dia hantar pada keluarganya di kampung.

            “Saya mana ada kereta Encik Haikal.” Buat apa nak sembunyi. Biar berterus terang sahaja. Biar Encik Haikal tahu dia tiada kereta.

            “Kalau macam tu, naik kereta saya nanti. Pukul lima kita gerak.” Zaira angguk dan keluar dari bilik Haikal.
           

            Sedar tak sedar, masa berlalu dengan begitu pantas. Jam sudah menunjukkan ke angka lima.

            ‘Zaira, jom.” Haikal mengetuk perlahan meja Zaira sambil berlalu keluar menuju ke lif. Nasiblah mejanya sudah dikemaskan tadi. Tinggal nak tutup komputer dan simpan semula fail yang berterabur di atas meja sahaja.

            “Kawal diri ye.” Azlin yang  masih membuat kerja sementara menunggu abangnya sampai sempat menyakat si Zaira. Apa lagi, dapat cubitan percumalah.
           

            Sedang mereka mencari-cari parking di hospital, telefon Zaira berbunyi. Cepat-cepat dia menyelongkar beg tangannya mencari telefon. Sudahlah dia pasang kuat nada dering. Sebabnya, dia selalu tak dengar kalau ada orang telefon. Memanjang missed call.

            Tertera nama ABANG pada skrin telefon. Tahulah dia siapa yang menelefonnya.

            “Assalamualaikum abang.” Secara spontan Haikal memperlahankan bunyi radio yang dipasang tadi. Takut Zaira tak dengar nanti.

            “Duit? Mana ada abang. Tak cukup. Gaji pun belum lagi ni.” Suara Zaira semakin diperlahankan. Tidak mahu Haikal mendengarnya. Dan sebenarnya telinga Haikal tajam. Masih jelas lagi di pendengarannya. Dikerling pada Zaira. Riak wajah Zaira sudah berubah.

            “Tengoklah abang. Nanti Zaira cuba ye. Abang janganlah marah.” Zaira masih cuba memperlahankan suaranya lagi. Risau kalau Haikal dengar. Ini kalau kereta dah berhenti, memang Zaira keluar terus dari kereta. Tapi apakan daya, kereta masih bergerak. Nak taknak terpaksalah juga cakap.

            Haikal tahu Zaira tidak mahu dia  mendengarnya. Itu sebab dia sengaja membawa perlahan keretanya. Nampak seperti sedang mencari-cari parking kosong.

            “Abang!” Zaira hampir menjerit kuat.Nasiblah dia masih sedar dia berada di mana sekarang. Dengan siapa. Telefon diletakkan semula ke dalam beg. Zaira cuba menoleh ke arah Haikal. Lega rasanya bila Haikal nampak tidak memberi perhatian padanya. Sibuk mencari parking lagi.

            Setelah memarkirkan kereta, mereka berjalan menuju ke lif untuk ke tingkat wad bersalin. Haikal sudah tahu selok belok hospital ini. Selalu juga dia datang melawat.

            Masing-masing dia tidak berkata. Haikal yang memulakan dahulu perbualan antara mereka. “Ada masalah ke Zaira?”

            Wajah Zaira dipandang. Si Zaira pula sedang leka memerhatikan sepasang suami isteri yang sedang bergurau senda tidak jauh dari tempat mereka sedang menunggu lif. Nampak mesra sangat. Adakah aku nanti akan begitu juga…..

            “A…apa dia Encik Haikal?” Ditoleh wajahnya ke arah Haikal. Mata mereka bertentangan. Zaira yang terlebih dahulu mengalihkan pandangannya ke tempat lain. Mana betah dia hendak lama-lama main mata dengan Haikal.

            “Saya tanya… awak ada masalah ke Zaira?” Haila masih tetap memandang Zaira sambil memasukkan tangan ke dalam kocek seluar. Dengan tangan kemeja berlipat tanpa memakai kot dan tali leher, Haikal benar-benar kelihatan kacak. Dengan raut wajah yang amat tampan dan badan yang tegap, membuatkan ramai wanita menoleh ke arahnya.

            Zaira masih tidak bersedia hendak berkongsi masalah yang sedang dihadapinya dengan orang lain terutamanya bos sendiri. “Tak Encik Haikal.”

            Lega rasa hati bila pintu lif terbuka. Bolehlah dia mengelak untuk menjawab sebarang pertanyaan Haikal lagi.
           

            “Kak Siti!” Jerit Zaira bila sahaja dia nampak Siti sedang berbaring di atas katil. Hanya Siti sahaja yang ada di dalam bilik yang menempatkan dua orang. Katil sebelah masih kosong. Tiada pesakit.

            “Terkejut akak. Apalah kamu ni Zaira.” Terkejut Siti dibuatnya. Mengurut dada terus.

            “Datang sorang je ke? Azlin tak dapat kan?” Tanya Siti sambil tangannya membelek-belek bunga yang dibawa Zaira. Sempat pula tu mereka singgah di kedai bunga dalam perjalanan ke hospital tadi.

            “Dia tak dapat datang. Dia kirim salam kak. Saya ni sebenarnya datang dengan….” Belum sempat Zaira habiskan ayat itu, pintu bilik dikuak dari luar. Kelihatan Haikal melangkah masuk. Siti sudah tersenyum. “Dengan bos hensem ye.” Bisik Siti di telinga Zaira.

            “Hai Siti. Okey semua? Baby tidur ke?” Haikal menghampiri kati bayi yang diletakkan bersebelahan sahaja dengan katil ibunya. Nyenyak betul dia tidur. Kenyanglah tu dapat susu.

            “Dia baru je tidur tu. Semua okey. Alhamdulillah.” Siti bersyukur panjang bila semuanya dalam keadaan baik. Dia dan bayinya.

            Zaira turut sama melihat bayi comel itu. Sejuknya hati ini bila melihat wajah seorang bayi lebih-lebih lagi semasa dia sedang tidur. Suci.

            “Kalau teringin, Zaira kena cepat-cepat kahwin. Nanti boleh ada baby sendiri.” Mengelamun pula si Zaira ni. Tersedar dia bila Siti bersuara. Entah kenapa matanya terus tertacap pada wajah Haikal yang berdiri bertentangan dengannya. Katil bayi menjadi pemisah antara mereka. Haikal juga turut sama memandang Zaira dan tersenyum. Aduh…. Renungan dia tu….. Sedar Zaira sedar… Kau ni…..

            Hampir satu jam mereka di sana. Haikal dan Siti memang sudah biasa berbual sama. Bercerita apa sahaja. Cuma Zaira yang masih rasa kekok. Siti perasan itu. Mungkin rasa malu masih ada dalam diri Zaira.

            “Zaira, jom. Siti nak rehat tu.” Haikal mengerling pada jam tangannya. Tidak sedar langsung mereka sudah berada hampir satu jam di sana.

            Zaira mengangguk. Siti pula sekadar menjadi pemerhati. Suka dia melihat cara Zaira yang segan-segan dengan Haikal. Siapalah yang tak terpikat dengan Haikal ni. Dia sendiri pun kalau belum berkahwin, rasanya boleh terpikat juga dengan dia. Kalau Zaira ni ada perasaan itu, pendam sahajalah Zaira oi. Dia dah nak berkahwin tak lama lagi.

            “Zaira nak makan ke? Or nak  saya hantar terus balik rumah?” tanya Haikal bila sahaja mereka masuk ke dalam kereta. Dihidupkan enjin sambil membelek mesej di telefonnya.   
    
            “Takpalah Encik Haikal. Turunkan saya dekat depan tu je. Nanti saya ambil teksi balik.” Sekarang ini giliran Zaira pula yang sibuk membelek telefonnya. Tiada satu pun mesej dari Azri. Hampa rasa hati.

            “Saya hantar balik. Nanti tunjuk jalan.” Mahu tidak mahu terpaksalah juga Zaira ikut arahan bosnya itu. Takut kalau tolak, nanti lain pula jadinya.

            Setibanya mereka di hadapan rumah Zaira, kereta  Wira hitam sedang elok terparkir di tepi rumah. Zaira memang kenal dengan pemilik kereta tersebut.


            Azri……

Dia... Penjaga Hatiku - Bab 3

DIA… PENJAGA HATIKU.

Bab 3

            “Encik Haikal, bulan depan saya dah nak cuti bersalin. Encik Haikal dah ada orang untuk ganti tempat saya ke” Tanya Siti pada Haikal sambil dia menghulurkan beberapa set dokumen untuk ditandatangani oleh bosnya itu.

            “Kita ambil orang dalam sahaja untuk gantikan tempat awak. Lagi senang dari ambil orang luar. Awak ada cadangan ke Siti?” tanya Haikal setelah habis menandatangani semuanya. Dipandang wajah Siti yang berdiri di hadapannya.

            “Apa kata ambil Zaira gantikan tempat saya. Saya rasa dia okey. Cuma bab-bab secretarial ni dia kurang cekap sikit. Tapi takpa Encik Haikal. Sebab saya rasa dia fast learner. Cepat je boleh tangkap apa yang saya ajar nanti. Itu pun kalau Encik Haikal setuju.” Nama Zaira yang berlegar-legar di fikirannya. Lagipun untuk dua bulan sahaja. Dan Siti rasa dialah calon paling sesuai.

            “Ermmmm, okey. Awak ajarlah dia apa-apa yang patut. Kalau ada apa-apa beritahu saya.” Tidak berfikir panjang lagi. Terus Haikal bersetuju dengan cadangan setiausahanya itu.

            Zaira….. Tersenyum sendiri Haikal bila menyebut namanya.
           

            “Apa ni Kak Siti? Taknaklah saya. Saya mana tahu buat kerja-kerja akak tu.” Zaira tidak bersetuju dengan keputusan Siti dan Haikal. Takutlah kalau fikirkan yang dia kena buat semua kerja Siti. Dahlah kena masuk bilik Encik Haikal setiap hari. Benda tu lah dia hendak elakkan.

            “Zaira, akak ajarlah nanti. Jangan risaulah. Dua bulan je pun. Bukan lama. Lagipun akak dah beritahu dekat Encik Haikal pasal Zaira. Dia tahu Zaira tak pernah buat kerja-kerja setiausaha ni. Dia fahamlah Zaira.” Dipujuk hati Zaira untuk terima. Kalau dia tak mahu, siapa lagilah yang dia hendak cari. Buntu dah fikirannya.

            “Akak ni… Apasal petik nama saya.” Merungut Zaira sambil memicit-micit kepalanya yang sudah sedikit pening.

            “Dahlah Zaira. Kau ni kan. Semuanya takut. Macamana nak naik pangkat kalau macam ni. Nanti dapat allowance tahu tak. Boleh simpan duit tu.” Allowance? Tidak Zaira tahu pun.

            Pening juga Zaira fikirkan. Kalau dia terima tugas ni, maknanya hari-hari dia kena tengok muka Encik Haikal tu. Muka hensem dia tu. Kalau aku terpikat dengan dia nanti macam mana. Oh, tidak. Ingat Zaira. Kau ada Azri, dan dia ada tunang cantik dia tu.

            Harap-haraplah dua bulan ni akan berjalan lancar. Tiada masalah yang timbul kelak. Aminnnnnn…


            “Zaira, setiap pagi kena buatkan Encik Haikal air Nescafe ye. Zaira nampak dia masuk, terus buat air dulu dekat pantri.’ Siti menyenaraikan segala benda yang Zaira perlu buat untuk bosnya nanti. Tidak lupa juga Siti mengajar Zaira menempah flight ticket bila disuruh. Encik Haikal ni selalu juga outstation. Kadang-kadang sampai ke luar negara. Semuanya memerlukan Zaira menyediakan pengangkutan dan penginapan sekali.

            “Lupa pulak akak nak beritahu. Kadang-kadang bos ni outstation dia ajak kita sekali. Kalau meeting selalunya. Nanti Zaira kena ikut tau. Jangan nanti Zaira ingat bos nak menggatal pulak dekat Zaira.” Siti mengangkat kening sambil memandang Zaira yang tergamam mendengarnya.

            “Apalah akak ni. Mana ada Zaira fikir sampai macam tu. Tapi tulah kak, memang kena ikut ke? Harap-haraplah untuk dua bulan ni, Encik Haikal tak kemana-mana.” Seraya mengangkat tangan memohon doa. Ditepuknya bahu Zaira sambil menyambung kemmbali penyerahan kerja.
           

            “Siti, panggil Zaira masuk. Both of you.” Haikal memanggil kedua-dua mereka masuk ke dalam pejabatnya. Inilah kali kedua Zaira akan masuk. Berdebar-debar juga jantungnya.

            Tuk tuk….

            “Masuk.” Bila mendengar suara Haikal dari dalam, barulah Siti memulas tombol pintu. Dia melangkah masuk diikuti Zaira yang setia mengekori di belakang.

            Sibuk benar si Haikal ni. Laju betul dia menaip sesuatu di atas laptop kesayangannya itu.

            Lama juga Siti dan Zaira duduk menunggu Haikal bersuara. Isyarat mata dari Siti jelas menunjukkan Haikal tidak suka jika orang menganggu dia sedang buat kerja. Itu sebabnya Siti hanya diam menunggu.

            “Okey, So, awak dah ajar semua pada Zaira?” Kini Haikal sudah berpeluk tubuh sambil menyandar di kerusinya. Pandangannya dihala pada Siti. Dan kemudian beralih pada Zaira. Zaira langsung tidak sedar yang Haikal sedang melihatnya dan bukan Siti seperti yang dia sangka. Ralit dia memerhatikan pen yang diletakkan di atas meja. Cantik. Nampak ekslusif. Tentu mahal harganya ni.

            “Dah Encik Haikal. Saya dah ajar apa yang patut. Insya-Allah dia boleh buat semua tu. Kan Zaira?” tanya Siti pada Zaira. Bila namanya disebut barulah dia mengangkat muka.

            “Zaira?” Sekali lagi Siti menekankan nama Zaira. Maknanya memang perlu dia menjawab.

            “Insya-Allah Encik Haikal. Saya akan cuba buat yang terbaik. Saya harap Encik Haikal juga boleh beri tunjuk ajar pada saya nanti. Maaf kalau saya ada buat salah.” Lembut sahaja suara Zaira membalas.

            “Okey, bagus. Yang penting bagi saya… bila saya suruh buat sesuatu, jangan lambat siapkan. Saya tak suka kerja bertangguh ni. Kalau kerja yang saya beri nanti tak faham, just let me know. Tanya saya. For you information, saya tak makan orang. Belum pernah lagi.” Siti sudah ketawa kecil mendengar ayat terakhir bosnya itu. Zaira pula serba salah. Nanti kalau dia ketawa, dikatakan kurang ajar. Kalau tak ketawa, nanti terasa pulak. Buat lawak, tapi tak ketawa. Suara tegas, tapi ayat dia….. lawak. Aduhai….

            Mereka keluar dari bilik apabila Haikal menerima satu panggilan penting dari salah seorang client syarikat mereka.
           

            “Zaira, akak dah start cuti minggu depan. Jadi.. kalau ada apa-apa yang Zaira tak tahu, Zaira tanya cepat ye. Manalah tahu kot baby ni nak keluar cepat. Tak sempat nak tunggu minggu depan.” Jelas Siti ketika mereka sama-sama keluar makan tengahari. Azlin juga sibuk mendengar. Mereka makan di restoran berhampiran dengan bangunan Kenanga Holdings.

            “Cepatnya kak. Bertambah takut saya ni. Macam tegas je Encik Haikal tu kak.” Terus hilang selera makan Zaira bila mendengar kata-kata Siti. Dia senditi tidak tahu kenapa dia berasa risau dan gelisah setiap kali nama Encik Haikal disebut. Mungkin juga sebab inilah kali pertama dia akan bekerja dengan orang atasan. Orang kuat syarikat. Mampukah dia.

            Takpa Zaira. Cuma dua bulan je. Dua bulan. Bukannya dua tahun pun. Relaks….

            “ Dia kan dah cakap tadi, dia… tak makan orang. Belum pernah.” Terburai ketawa Azlin dan Siti. Zaira pula sekadar tersenyum tawar. Lawaklah sangat. Kecut perut dah ni.

            “Encik Haikal cakap macam tu. Tapi kan Zaira. Encik Haikal tu dengan kak Siti je dia baik. Dengan orang lain tak. Dengan aku, mana pernah dia beramah mesra. Setakat senyum je. Jaga-jaga Zaira. Dia spesis harimau jadian kot.” Apa lagi, terus kena cubitlah si Azlin ni dengan tangan Zaira yang sudah bertukar menjadi sepit ketam.

            “Aduh, sakit.” Mengadu sakit si Azlin pada Siti.

            “Tahu sakit. Cakaplah lagi.”   Siti sekadar ketawa melihat gaduh manja mereka berdua ni. Sesekali dia mengusap perutnya. Rasa sedikit tegang.
           

            “Zaira, ni nombor telefon pejabat Tan Sri Ahmad. Zaira tahu kan siapa dia?” Siti memberikan senarai nombor telefon yang agak penting pada Zaira.

            “Tahu kak. Tapi selama saya bekerja dekat sini, tak pernah pun Tan Sri datang. Dia memang jarang datang sini ke kak?”

            “Jarang sangat. Dia memang serahkan semua urusan syarikat ni pada Encik Haikal. Lagipun Encik Haikal kan bakal menantu dia.” Zaira mengangguk. Dia terlupa yang Cik Kirana adalah anak perempuan Tan Sri Ahmad. Patutlah berlagak sangat dia tu.

            “Lagipun pejabat Tan Sri jauh sikit dari sini. Selalunya Encik Haikal yang akan ke sana. Jumpa dengan Tan Sri. Akak ni pun boleh kira berapa kali je jejak kaki ke sana. Pejabat bertaraf lima bintang tau. Jauh beza dengan sini.” Beria-ia Siti bercerita. Tidak dapat dia bayangkan macam manalah keadaan di sana. Kalau dekat pejabat Kenanga Holdings ni pun dah nampak ekslusif, ini… lebih lagi. Fuhh…

            “Ni lah semua nombor-nombor penting. Zaira simpan baik-baik. Private and confidential ye. Jangan bagi orang lain nampak.” Mengangguk Zaira tanda faham.
           

Hari ni merupakan hari pertama Zaira menjalankan tugasnya sebagai setiausaha Haikal untuk dua bulan yang akan datang. Siti sudah mula bercuti. Dia hanya menunggu hari untuk bersalin sekarang ni.


            Zaira tidak lupa untuk memanjangkan doa semasa bersolat subuh tadi. Berharap semuanya akan baik-baik sahaja hari ni dan hari-hari yang mendatang. Moga tiada masalah untuk dia menyesuaikan diri dengan Haikal nanti. 

Dia.... Penjaga Hatiku - Bab 2

Maaf...maaf....maaf..... sebab lama benar biarkan blog ni sunyi sepi. Sibuk sana sini. Jadi..... malam ni kita up tiga bab terus ye untuk DIA.. PENJAGA HATIKU. 

(LIKE kalau suka ye..... Terima kasih sgt2 pada yang sudi menjenguk blog ni setiap hari. )


DIA… PENJAGA HATIKU.

Bab 2

            “Zaira, boleh tolong akak tak?” Kak Siti yang sedang mengandung  berjalan perlahan-lahan ke meja Zaira.

            “Tolong apa kak?” Pen di tangan diletak ke tepi. Wajah Kak Siti di pandang tepat.

            “Zaira tolong hantarkan dokumen ni pada Encik Haikal. Ni alamat dia. Encik Haikal ada meeting dekat sana. Dokumen ni dia nak lah pulak. Akak tak boleh pergi. Sebab tengah tunggu tetamu dari Jepun kejap lagi nak sampai.” Sebuah sampul surat di tangan Siti dipandang.

            “Zaira jangan risau. Naik je teksi. Nanti claim balik. Ambil resit. Akak dah beritahu dekat Encik Haikal yang Zaira akan hantar dekat dia.” Laju benar Siti terangkan. Kelam kabut dibuatnya.

            Tidak sampai hati pula Zaira hendak kata tidak. Lagipun hari ni Musa, penghantar surat, tiba-tiba ambil emergency leave. Katanya anak demam panas.

            “Semua dalam sampul surat ni ke kak?” tanya Zaira. Dia mahu memastikan tiada apa yang tertinggal sebelum dia pergi. Biar Siti semak sekali lagi. Nanti malas dia hendak dua tiga kali ke sana.

            “Ya, semua ada dalam ni. Zaira bagi je ni dekat Encik Haikal nanti.” Telefon Siti berbunyi. Tidak sempat dia cakap apa-apa lagi. Laju dia menapak semula ke mejanya dan meninggalkan Zaira dengan sampul surat tadi.

            Takpalah, lagipun hari ni dia seorang sahaja. Azlin pun ambil cuti hari ni. Nak berehat katanya. Penat baru balik dari kampung.

            Beg tangan dicapai. Dia berlalu keluar dari pejabat. Menaiki teksi menuju ke alamat yang diberikan tadi. Jalan pun masih belum sesak. Sekejap sahaja Zaira sudah sampai.

           
            “Encik Haikal ada dekat dalam. Sekejap ye saya panggilkan.” Seorang gadis yang bertugas sebagai penyambut tetamu itu segera membuat satu panggilan. Sambil menunggu Encik Haikal keluar, matanya sibuk memerhati sekeliling. Susun atur di setiap ruang pejabat sangat kemas.

            Pandangannya terhala pada seseorang yang bersusuk tegap. Siapa lagi kalau bukan bosnya sendiri. Haikal seperti biasa kelihatan segak dengan penampilannya. Dia berjalan menuju ke arah Zaira.

            Terpegun juga Zaira dibuatnya. Semakin dekat Haikal padanya, semakin kuat bau wangian yang dipakai. Bau yang sama semasa dia terlanggar Haikal buat pertama kali.

            “Ada bawa dokumen tu?” Tanya Haikal lembut. Segera dihulurkan samput surat tadi kepada Haikal.

            “Okey, terima kasih.” Itu sahaja yang keluar dari mulut bosnya. Tetapi Zaira tidak ambil kisah langsung. Ucapan terima kasih dari bos sudah memadai untuknya yang sekadar pekerja biasa sahaja.

            “Sama-sama.” Balas Zaira sambil berlalu pergi. Takkanlah nak berdiri lama dekat situ. Nak buat apa pun.

            Haikal masih memandang Zaira sehingga dia hilang dari pandangan. Entah kenapa hatinya rasa sesuatu bila melihat wajah Zaira. Seperti ada sesuatu yang menarik perhatiannya.

           
            Mana pulaklah teksi ni. Tadi banyak je aku nampak. Ni takda satu pun. Ngomel Zaira sendiri. Penat menunggu lama namun masih tiada bayang-bayang teksi kosong pun dari tadi.
           
            Masuk sahaja ke dalam kereta, Haikal segera menelefon Tan Sri Ahmad. Memang Tan Sri sedang menunggu berita gembira dari Haikal. Tidak sia-sialah Haikal bersengkang mata untuk menyemak kertas kerja yang disiapkan oleh ketua jurutera syarikat. Makin bertambah sayanglah Tan Sri pada Haikal.
           
            Setelah hampir sepuluh minit Haikal berehat dalam kereta, dia menekan padel minyak menggerakkan kereta keluar dari parking di bawah bangunan.

            Dari jauh Haikal dapat lihat Zaira sedang berdiri di hentian teksi. Berseorangan dengan wajah sedikit resah.

            “Tunggu teksi dari tadi ke?” Sebaik sahaja kereta berhenti betul-betul di hadapan Zaira, tingkap kereta diturunkan. Kalau betullah dia tunggu dari tadi, maknanya sudah hampir satu jam dia disitu. Tadi lepas serahkan dokumen rasanya dia terus turun ke bawah.

            Menjenguk sedikit Zaira ke dalam kereta. Manalah dia kenal kereta milik siapa ni. Kereta Posche Cayenne warna hitam.

            “Encik Haikal.. Aah, saya tunggu teksi dari tadi. Payah betul nak dapat teksi dekat sini.” Jelas dia melihat wajah Haikal yang bercermin mata hitam sedang memandangnya. Kacak habis. Aduh, beristighfar Zaira. Dia bos kau merangkap tunangan orang.

            “Jomlah naik. Saya pun nak balik office ni.” Pucuk dicita ulam mendatang. Tidak berfikir panjang, Zaira terus mengangguk. Biarlah bosnya nak kata apa pun. Yang pasti dia hendak sampai ke pejabat dengan kadar segera. Lenguh dah lutut ni berdiri dari tadi. Tambah pula perutnya sudah terlalu lapar.

            Tutup sahaja pintu kereta, barulah Zaira terfikir semula. Inilah kali pertama dia menaiki kereta mewah begini. Seganlah pulak. Langsung dia tidak menolak tadi. Nanti Encik Haikal fikir lain pulak pasal aku. Tapi…. Perut aku ni dah tak tahan.

            Ya Allah, selesanya duduk dalam kereta Encik Haikal ni. Langsung tak rasa panas dek matahari yang bersinar di luar. Rasa sejuk nyaman. Untungnya jadi Encik Haikal ni. Mewah hidup.

            Grrrrrrrr….

            Alamak! Masa nilah perut nak berbunyi. Tunggulah aku keluar kereta dulu. Marah Zaira pada diri sendiri. Janganlah Encik Haikal dengar. Belum sempat dia menoleh pada bosnya di sebelah, Haikal terlebih dahulu bersuara.

            “Perut awak tengah main lagu apa tu?” Haikal tersenyum sambil menampakkan sebaris gigi putih sambil menggeleng-geleng kepalanya.

            Malu. Itu sahaja yang Zaira boleh ungkapkan. Mana nak sorok muka ni. Nak je aku lompat keluar sekarang jugak. Punyalah cover tadi, alih-alih perut ni terlepas pulak. Eeeeeee……

            Langsung Zaira tidak bersuara sepanjang perjalanan.  Malunya hanya tuhan sahaja yang tahu. Tidak langsung dia menoleh ke kanan. Sibuk memandang ke luar tingkap.

            “Nak saya temankan awak makan tak?” Haikal bersuara sebaik sahaja kereta sudah berhenti di hadapan bangunan syarikat.

            “Eh, takpa-takpa. Terima kasih ye Encik Haikal. Saya pergi dulu.” Tergopoh gapah Zaira keluar dari kereta. Langkah diperbesarkan untuk cepat-cepat menjauhi bosnya itu. Toleh belakang? Memang tidaklah. Takut bila pandang belakang nanti, bosnya itu sedang ketawakan dia.

            Haikal masih tetap memandang Zaira berjalan masuk. Tersenyum sendiri dia bila teringatkan wajah Zaira tadi. Berubah menjadi merah. Malu sangatlah tu.

            Zaira mengorak langkah terus ke cafĂ©. Perutnya meminta untuk diisi. Dia tidak lupa berharap yang bosnya itu tidak akan ingat lagi apa yang berlaku tadi. Ala, dia banyak lagi bendalah nak kena ingat dan fikir. Apa barang nak ingat pasal kau tadi. Zaira menyedapkan hatinya sendiri. Harap betullah apa yang dia fikirkan itu.
           

            Dek kesibukan dengan kerja-kerja yang semakin menimbun, Zaira langsung tidak ingat akan hal tadi.

            Tetapi….

            “Zaira, Encik Haikal tanya ni. Benda tu masih berbunyi tak?” Rasa macam nak kena serangan jantung terus. Sesak nafas bagai. Aku dah lupa, tapi dia ingat lagi.

            Siti masih menunggu jawapan Zaira. Telefon di tangan masih elok dipegang.

            Tenang Zaira tenang…..

            “Dah berhenti dah tadi.” Apa lagi yang dia hendak jawab. Harap bosnya itu tidak akan memanjang-manjangkan lagi perkara ini. Malu kalau semua orang tahu.

            “Iskh korang ni. Macam budak-budak. Encik Haikal ni agaknya demam kot. Tak pernah pulak akak dengar dia ketawa macam tu.” Telefon di tangan masih ditenung. Terhambur ketawa Haikal bila mendengar jawapan Zaira tadi.

            “Entahlah kak. Tak cukup rehat gamaknya. Itu yang merapu sikit tu.” Tersenyum tawar Zaira pada Siti. Dia menyambung kerjanya walaupun jantungnya sedang berdegup kencang. Ini semua sebab Encik Haikal.
           

            Walaupun perkara itu sudah beberapa hari berlalu, tetapi setiap kali Zaira terserempak dengan Haikal, senyuman penuh makna dilemparkan. Zaira tahu Haikal masih ingat dengan insiden perut berbunyi tu. Cuma Zaira pura-pura tidak ingat. Dia hanya membalas senyuman seperti biasa sahaja.

            Zaira rasa lega sebabnya dia tidak perlu selalu menghadap Haikal seperti mana kekerapan Siti. Hari-hari kena masuk bilik bos dan menghadap wajahnya. Sekali itu sahajalah dia masuk dalam bilik Haikal untuk menghantar air. Selepas itu manalah pernah lagi. Buat apa pun. Dia kerani biasa sahaja. Tiada sebab dia hendak masuk ke sana.
           

            “Eeee, geramnya.” Rungut Siti sambil menghempas-hempas telefon pejabat. Nasib bukan telefon sendiri. Kalau tidak mahu rosak dibuatnya.

            “Kenapa Kak Siti?” Marah semacam je ni.” Tanya Azlin yang kebetulan baru keluar dari bilik fotostat. Zaira juga kebetulan lalu untuk mengambil fail di hujung pejabat.

            “Tunang bos ni hah. Peninglah akak nak layan dia. Berlagak betul.” Jarang nampak lihat Siti marah ni.

            “Apa dia dah buat dekat akak ni. Cuba cerita dekat kitorang.” Azlin bersuara sambil meletakkan kertas-kertas yang difotostat tadi di atas meja. Zaira sekadar mengangguk bersetuju.

            “Dia nak akak book flight ticket untuk dia ke Bangkok minggu depan. Tarikh dan masa dia nak tu dah penuh. Takda seat available. Akak suruhlah dia tukar hari lain. Terus dia marah. Ini baru tunang. Kalau dah jadi isteri bos, boleh migrain terus.” Habis diluahkan geramnya terhadap Kirana.

            “Jangan marah sangat Kak Siti. Nanti perangai anak akak macam perangai dia. Parah nanti.”

            “Azlin!!!” Menjerit Siti bila mendengar kata-kata Azlin itu. Zaira pula tidak dapat menahan ketawa. Sampai berair mata dibuatnya. Mentang-mentanglah Siti sedang mengandung lapan bulan. Boleh pula Azlin buat lawak dengan kandungannya itu.

           
            Malam itu…..

            “Abang, payahnya sekarang nak berbual dengan abang. Nak jumpa lagilah susah.” Zaira sedikit mengeluh. Selepas beberapa kali dia cuba menghubungi Azri, teman lelakinya, baru kali ini dijawab.

            “Sorry, abang sibuk sikit akhir-akhir ni. Banyak kerja nak kena siapkan. Ni pun baru balik dari Pahang. Ada kerja sikit dekat sana.” Jelas Azri pada Zaira.

            Ada sahaja alasan yang diberikan pada Zaira. Memang sejak akhir-akhir ni perangai Azri semakin berubah. Sampai ada masanya Zaira seperti tidak mengenali Azri lagi. Setiap kali Zaira mengajak dia keluar, ada sahaja alasan diberikan. Kalau nak ikutkan, bukannya jauh pun rumah mereka. Shah Alam ke Bangsar. Orang kata, kalau dah rindu dan sayang, jauh mana pun sanggup diredahi.

            Teman serumah Zaira, Nora pernah memberitahu Zaira yang dia terserempak dengan Azri bersama perempuan lain. Nampak mesra semacam. Tapi bila Zaira bertanyakan pada Azri, katanya perempuan itu kawan lama sekolahnya. Itu yang nampak mesra.

            Ada  juga rasa sangsi pada mulanya, tetapi Azri pandai menyakinkan Zaira untuk percaya dengan kata-katanya. Dia memang manis mulut. Buatkan Zaira hilang rasa sangsi terhadapnya.

            “Hujung minggu ni kita jumpa ye.” Itulah kata-kata Azri yang menggembirakan hati Zaira. Sudah lama mereka tidak berjumpa.

            Zaira rindukan abang……