My corner's visitor

Thursday, December 17, 2015

E-Novel - Dia Penjaga Hatiku ~ Bab 9


DIA… PENJAGA HATIKU.

Bab 9

            Kirana dan Haikal berpimpinan tangan bersama masuk ke dalam panggung wayang. Kalau tidak atas desakan Kirana, tidak mahunya Haikal rapat begitu. Keluar pun malas sebenarnya.

            Gaya manja Kirana pada Haikal telah menarik minat banyak mata. Menjadi tumpuan secara tiba-tiba. Kirana hanya mengenakan baby-T dari jenama Guess dan seluar jeans ketat. Cukup menampakkan keseksian tubuh badannya. Haikal pula masih nampak segaknya walaupun sekadar menyarung T-shirt Polo dan seluar jeans lusuh. Bagi mereka, semua itu normal. Kalau berseorangan pun orang tengok, apatah lagi kalau berjalan berdua. Dua-dua nampak bergaya dan sepadan.

            Bosan. Itu sahaja yang boleh menggambarkan perasaan Haikal ketika itu. Tiada apa yang menarik perhatiannya. Wanita seksi yang dari tadi rapat dengannya juga tidak berjaya menarik perhatian.

            Kenapa dengan aku ni? Kenapa hati aku ni tak boleh sepenuhnya mencintai Kirana?


            Mana pula ni. Lamanya beli popcorn.

            Mengeluh seorang diri Zaira di suatu sudut. Matanya sibuk mencari-cari kelibat Azri. Takut Azri lupa yang dia sedang berdiri di sini. Lagi lima minit wayang akan bermula. Batang hidung Azri tidak nampak pun.
           
            Zaira?

            Mata Haikal terus terhala pada seorang wanita yang sedang berdiri tidak jauh darinya. Dapatlah dia memastikan jika benar Zaira atau tidak bila mana Kirana masuk ke tandas sekejap.

            Ya, memang betul itu Zaira. Hatinya berdegup kencang saat memandang wajah Zaira. Pandangannya tidak langsung mahu mengalih ke tempat lain. Masih fokus pada yang satu.

            Dia keluar dengan siapa? Dengan buah hati ke?

            Parah. Haikal sibuk hendak tahu. Dan rasanya itu bukan urusan kau Haikal. Itu hak Zaira untuk keluar dengan siapa pun yang dia mahu. Siapa kau? Sekadar majikan di tempat kerja. Tidak lebih dari itu.

            Zaira masih mencari-cari. Penat tunggu lama-lama dekat sini. Kalau tahu macam ni, lebih baik dia ikut sahaja Azri pergi beli popcorn. Takdalah rasa gelisah macam ni.

            Fikirannya tiba-tiba teringatkan sesuatu. Saat dia menonton wayang bersama seseorang. Encik Haikal. Perasaan yang berbeza. Rasa selesa pun ada. Rasa selamat bila bersamanya. Kenapa perasaan itu tidak ada pada Azri. Kenapa perlu ada pada Encik Haikal.

            “Sayang, jom.” Kirana memaut lengan Haikal. Tersedar terus Haikal dibuatnya.

            Dan waktu itulah pandangan Zaira jatuh pada wajah Haikal. Pandangan mereka bersatu untuk beberapa saat sebelum Haikal beredar dari situ.

            Encik Haikal…. Dia dengan siapa? Cik Kirana ke?

            Sepadannya mereka berdua. Secocok sangat.

            “Zaira, jom.” Kini lamunan Zaira pula terganggu dek sentuhan Azri di bahunya.
           

            Janganlah mereka tengok cerita yang sama. Doa Zaira bertubi-tubi di dalam hati sepanjang mereka berjalan masuk. Pandangan tajam Zaira membolehkan dia melihat pasangan secocok tadi berjalan di hadapannya.

            Hatinya sedikit terusik bila ternampak Kirana melentukkan kepalanya di atas bahu tegap Haikal. Nampak mesra sangat mereka berdua. Rapat tu tak payah cakaplah. Sudah tidak ada ruang kosong antara mereka pun.

            Sebelum Haikal melangkah masuk ke Cinema 2, sempat dia menoleh ke belakang untuk melihat Zaira. Berlainan dengan Zaira, Haikal memang berharap sangat yang Zaira akan menonton cerita yang sama dengannya.

            Langkah cuba diperlahankan. Nasibnya baik bila Kirana sendiri mengajaknya ke tepi. Katanya ada panggilan mustahak yang perlu dia jawab. Biarlah dia. Janji aku boleh nampak Zaira. Bisik Haikal sendiri.

            Yes!

            Semuanya berpihak pada Haikal. Maaf Zaira. Doa anda tidak dimakbulkan.

            Zaira tidak tahu langsung yang Haikal duduk tiga baris di belakangnya. Sibuk otaknya memikirkan cerita apalah yang Haikal tengok dengan buah hati pengiran jantungnya itu. Mesti dia tengah seronok kan. Kau ni Zaira. Sah-sah dia tengah gembira. Keluar dengan buah hati, takkanlah nak sedih pulak. Marah Zaira pada dirinya sendiri.


            “You kenapa ni? Dari tadi I tengok macam ada yang tak kena je. You tak sihat ke sayang.” Kirana perasan perubahan Haikal dari tadi. Cuma selepas dia keluar dari tandas tadi, wajah Haikal nampak sedikit ceria.

            “Nothing. Cuma letih je.” Cuba dipujuk hatinya untuk tidak menyakiti hati dan perasaan Kirana. Rasa gundah gelana pula bila difikirkan tentang Zaira. Tidak pernah dia rasa begini dengan mana-mana wanita. Kenapa pula dengan Zaira berbeza perasaannya.

            Wayang sudah bermula. Kirana macam biasa akan memeluk lengan Haikal sambil kepalanya dilentok di bahu Haikal. Haikal tidak ambil peduli. Biarlah apa pun yang Kirana hendak buat. Janji dia senyap.

            Pandangan Haikal bukan dihala pada skrin besar di hadapannya tetapi tersasar ke tepi sedikit. Tepat dituju pada Zaira dan Azri.

            Walaupun masing-masing sedang bersama pasangan masing-masing, tetapi hati mereka tidak. Zaira sibuk memikirkan tentang Haikal. Begitu juga sebaliknya. Kedua-duanya berprasangka masing-masing tengah gembira walhal tidak sama sekali.

            Tamat. Pintu keluar sudah dibuka. Cahaya dari luar menerangi ruang gelap di dalam wayang.

Zaira yang bangun terlebih dahulu. Hatinya kuat menyuruh dia memusingkan badan dan memandang ke belakang.

Tergamam. Wajah Zaira berubah serta merta saat wajah Haikal memenuhi ruang anak matanya. Maknanya selama ini dia duduk dekat belakang aku? Dia boleh nampak aku buat apa dari tadi. Aduh…..

Eh kejap. Dia, Encik Haikal nak tengok aku? Dah Zaira. Jangan nak perasan. Perasaan kau je tu. Dia langsung tak pandang kau kot. Dia ada Cik Kirana yang cun tu.

Senyuman dilemparkan pada Haikal. Apa lagi yang boleh dia buat. Takkanlah nak pergi dekat dengan dia dan tegur. Mahu mengamuk si Kirana tu nanti. Kacau date orang.

Keluar sahaja dari situ, masing-masing sudah menghilangkan diri. Seorang ke utara, seorang lagi ke selatan. Memang tak berjumpalah ya.


Haikal terus menghantar Kirana balik. Itupun punyalah susah. Kalau ikut kepala Kirana ni, mahu sampai ke subuh dia nak bersama Haikal.

Kereta memecut laju selepas menghantar Kirana pulang ke kondonya. Fikiran Haikal masih bercelaru. Mana Kirana?.

           
“Zaira, kita kahwin tahun depan. Abang akan hantar orang masuk meminang.” Kaku sekejap Zaira. Betul ke apa yang baru dia dengar ni. Memang selama ini dia ternanti-nanti saat ni. Saat Azri melamarnya.

Tetapi kini semuanya berbeza. Hatinya seperti kosong. Tiada apa-apa perasaan pun. Gembira tidak, sedih pun tidak.

“Zaira tak suka ke?” Laju sahaja kepalanya menggeleng menjawab pertanyaan Azri.

“Takdalah, Zaira suka. Tapi… kenapa tiba-tiba pulak ni.” Zaira rasa seperti ada sesuatu yang dia cuba sembunyikan. Dia tidak boleh percaya pada sesiapa pun. Takut semuanya mimpi.

“Kenapa tiba-tiba abang nak masuk meminang? Itu yang Zaira nak tanya kan?”

Tarik nafas dahulu sebelum sambung lagi.

“Okey, abang rasa dah lama kita berkawan. Dah tiba masanya abang berumahtangga. Nak ikat Zaira jangan bagi orang lain ambil.” Tersengih lebar Azri sambil tangannya meraup helaian rambut yang jatuh menutupi dahinya.

Kalau itulah jawapan Azri, Zaira terima seadanya. Mungkin itu yang terbaik untuk mereka. Yalah, orang kata kalau selalu keluar lelaki dan perempuan yang belum ada ikatan sah, macam-macam boleh terjadi. Setan suka kalau umat Nabi Muhammad ni buat maksiat. Perkara yang dibenci Allah.


“Apa?! Kau nak kahwin awal tahun depan. Tahniah. Tumpang gembira aku.” Azlin memeluk erat kawan sepejabatnya itu. Walaupun baru beberapa bulan kenal, tetapi dirasakan sudah lama mengenali antara satu sama lain. Semakin hari semakin rapat.

Hati Zaira tidak segembira yang disangkakan. Zaira sendiri tiada jawapan untuk itu. Dia tidak faham kenapa tiada rasa teruja pun. Semenjak Azri melamarnya, hatinya sedikit pun tidak berubah. Sama sahaja.

            “Tinggal berapa bulan je lagi ni. Barang-barang hantaran kau dah beli ke? Persiapan lain macam mana?” Sibuk Azlin bertanya. Semuanya hendak ambil tahu. Lagipun dia memang suka bab-bab persiapan perkahwinan ni. Dari dulu lagi dia memang begitu. Itu sebabnya sibuk dia suruh adik-adiknya kahwin cepat. Biar dia uruskan barang hantaran semua.

            “Barang-barang hantaran nanti aku beli sekali dengan Azri. Pelamin, mak andam semua, mak aku yang uruskan nanti. Ala Azlin, aku buat simple je. Duit pun bukannya banyak. Tiba-tiba pulak Azri ajak kahwin. Ni nanti hujung bulan ni kami nak bertunang dulu. Kau tahulah kan, kena keluarkan duit jugak nak buat majlis nanti. Takkanlah nak guna duit mak ayah aku.”

            “Kau mintaklah Azri sponsor belah kau.”

            “Wah Azlin, hebat betul cadangan kau ni. Kau ingat Azri tu macam Encik Haikal ke. Banyak duit semua.” Encik Haikal? Kenapa nama dia yang aku sebut ni. Aduhai…..

            “Itulah kau. Cepat sangat ada boyfriend. Kalau tak, boleh kau goda Encik Haikal tu sampai jadi suami kau. Hah, kan untung tu. Aku gerenti, semua benda dia sponsor. Duit hantaran jangan cakaplah. Mesti tinggi punya.” Tinggi betul angan-angan mak jenin ni. Dia ingat Encik Haikal tu takda taste tersendiri ke. Orang macam dia dah tentu nak perempuan cun. Aku ni kategori cun ke, Azlin oi.

            Malam tadi baru sahaja Zaira menelefon ibu bapanya di kampung. Belum sempat dia memberitahu apa yang tersirat di dalam hati, Mak Milah yang dahulu membuka mulut.

            “Azri dah lamar kamu kan Zaira. Tadi Makcik Ani telefon mak. Dia kata rombongan Azri akan datang rumah kita hujung bulan ni. Nak risik dan tunang sekali. Kamu setuju ke?”

            Zaira diam. Lama juga sehinggalah Mak Milah bersuara semula menyedarkannya.

            “Kalau mak rasa ini yang terbaik untuk Zaira, Zaira ikut je mak. Lagipun kita kan dah kenal dengan keluarga Azri. Makcik Ani pun baik sangat.” Walaupun Zaira tidak nampak, Mak Milah tetap mengangguk kepalanya tanda setuju.

            Zaira tidak tahu samada ini yang terbaik untuknya atau tidak. Dan kata-kata Mak Milah malam tadi benar-benar membuatkan dia nekad untuk teruskan juga perkahwinan ini.


            “Zaira pun dah kenal dengan Azri lama kan. Dengan keluarganya. Takpalah nak, mungkin ini jodoh kamu dengan dia. Mak cuma nak tengok anak-anak mak bahagia. Itu je.”

Wednesday, December 2, 2015

E-Novel - Dia Penjaga Hatiku ~ Bab 8

DIA… PENJAGA HATIKU.

Bab 8

            Pagi esoknya, Zaira diarahkan untuk menemani Haikal ke Berjaya Holdings untuk menghadiri mesyuarat. Sepanjang mesyuarat itu, Zaira menunggu Haikal di luar sahaja. Hanya Haikal bersama beberapa orang lagi masuk ke dalam bilik mesyuarat.

            Mesyuarat berkaitan dengan projek terbaru usahasama mereka. Kalau kedua-dua belah pihak bersetuju, maka bertambah sibuklah mereka nanti. Apa tidaknya, projek yang akan menelan belanja berjuta-juta ringgit. Hanya syarikat besar sahaja yang mampu mendapatkannya.

            Sepanjang Haikal berada di dalam, Zaira tidak putus-putus berdoa. Moga semuanya berjalan lancar.

            Setelah hampir satu jam lebih mereka di dalam, akhirnya keluar juga Haikal dan yang lainnya. Tersenyum lebar Haikal memandang Zaira. Senyuman Haikal sentiasa berbalas. Bukan sahaja dari Zaira malah dari mana-mana wanita pun.

            “Jom, kita pergi makan.” Zaira tidak membantah langsung. Perutnya yang sudah kosong itu sesekali berbunyi. Nasiblah setiap kali berbunyi tiada siapa yang mendengar. Kalau tidak, manalah hendak diletakkan muka yang tak berapa cantik ni.

            Fail di tangan Haikal cuba diambil. “Eh, kenapa ni?”

            Laaa, nak ambil fail je pun. Takkan itu pun tak boleh. Wajah berkerut Haikal nampak seolah-olah Zaira telah lakukan kesalahan besar. Dah macam pencuri pula.

            “Takda Encik Haikal. Fail-fail tu biarlah saya bawa.”

            “Ingatkan apa tadi. Takpalah Zaira. Saya boleh bawa. Tak berat pun.” Senyum lagi. Boleh cair kalau hari-hari dia senyum macam tu dekat aku. Seronoknya tunang dia. Hari-hari bahagia.

            “Encik Haikal, kita nak pergi makan dengan diorang sekali ke?” Diperlahankan suaranya. Tidak mahu orang lain mendengar.

            Belum sempat Haikal menjawab, dilihatnya lelaki-lelaki yang dimaksudkan itu semakin menghampiri mereka. Gaya korporat habis mereka berdua.

            “So, Haikal, jangan lambat sediakan kontrak tu. We don’t have much time left.” Salah seorang dari mereka menepuk bahu Haikal. Ini mesti Tan Sri atau Datuk.

            “Oh sure uncle. No worries. Oh ye, kenalkan.. Zaira, my PA for time being. Gantikan Siti untuk dua bulan ni.”

            Haikal menyambung lagi. “And Zaira.. kenalkan ni Tan Sri Hamdan and his son, Zafri.”

            Mereka yang terlebih dahulu menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Zaira. Zaira pula masih rasa malu. Apa tidaknya, bersalaman dengan orang atasan. Rasa janggal pula.

            Turun dari lif, mereka berjalan terus menuju ke hotel yang terletak bersebelahan dengan tempat mereka bermesyuarat tadi. Rancak mereka bertiga berbual sepanjang langkah ke sana. Zaira pula setia berjalan di belakang. Sesekali Haikal menoleh ke belakang dan memperlahankan langkahnya. Biar berjalan beriringan dengan Zaira.
           
            Aduh. Ini yang Zaira tak suka datang tempat-tempat mahal ni. Nama makanan pelik-pelik. Entah apa yang dihidangkan nanti. Kalau makanan yang dia makan takpa. Kalau tidak, mahu kena paksa untuk habiskan nanti. Silap haribulan boleh muntah.

            Berulang kali Zaira membelek buku menu yang diberikan padanya tadi. Macam mana ni….. Dikerling pada mereka yang lain. Semuanya nampak tiada masalah pun. Macam dah biasa datang makan dekat sini.

            “Kal… cuba tolong Zaira pilih makanan tu. Dia tak biasa makan dekat sini.” Tan Sri seperti seorang penyelamat. Kata-katanya membuatkan wajah Zaira kembali ceria. Kalau tiada yang tolong ni, mahu sampai esok pagi pun belum tentu dia boleh pilih.

            “Okey uncle. So, Zaira nak makan apa? Cuba try ni. Sedap. Awak makan daging lembu kan?” Ditunjuk pada salah satu menu yang tertera. Zaira angguk.

            Akhirnya berjaya juga Zaira memesan makan tengaharinya atas bantuan Haikal. Haikal bukannya membabi buta memesan makanan untuk Zaira. Ada beberapa menu yang disyorkan.

            Macam biasalah. Kalau ahli-ahli perniagaan ni duduk makan bersama. Ada sahaja benda yang berkaitan dengan hal perniagaan menjadi topik perbualan mereka. Hal itulah, hal inilah. Semuanya tidak boleh masuk dengan Zaira. Manalah dia tahu sangat selok belok perniagaan besar-besar ni. Jadi pendengar setia sahajalah si Zaira.

            “So Kal, when are you plan to get married? Uncle tak sabar nak makan nasi minyak ni”  Dari cara mereka berbual, nampak sangat yang Haikal sudah menjalin hubungan yang baik dengan mereka. Tiada langsung rasa kekok tengok Haikal berbual dan bergurau senda dengan Tan Sri dan anaknya.

            Entah kenapa hati ini rasa ingin sangat tahu jawapan dari mulut Haikal. Selama ini dia tidak berani pun hendak bertanya semua itu pada bosnya. Tetapi kini sudah ada yang bertanya. Apa lagi, laju sahaja telinga dipasang.

            Dikerling pada Zaira sebelum menjawab. “Kal tunggu Zaf dulu Uncle.”

            Terbatuk terus Zafri bila namanya yang disebut. Berubah wajah menjadi merah sambil meneguk air.

            “Zafri ni ramai sangat girlfriend. Uncle pun tak tahu mana satu yang betul. Semuanya dia sapu.” Wah, Tan Sri merangkap ayah pada Zafri boleh cakap macam tu. Terkejut juga Zaira dibuatnya. Ingatkan Tan Sri ni jenis yang serius. Rupa-rupanya tidak.

            Ketawa Haikal mendengarnya. Zaira pula sekadar tersenyum tawar. Takut dia hendak senyum lebih-lebih. Buatnya Tan Sri tak suka. Naya aku.

            “Dad! Apa ni. Malulah.” Dikerling Zaira. Zafri nak malu? Jangan haraplah. Dia bukannya kisah sangat pun dengan apa yang daddynya cakap. Lagipun kalau nak ikutkan dia sebenarnya menurun perangai Tan Sri. Ramai perempuan masa muda-muda dulu. Orang hensem, kaya pula tu.

            “Kal masih dengan Kirana ke?” Haikal mengangguk lemah. Nampak seperti tidak berapa suka bila diajukan soalan seperti itu.

            “Nanti ajaklah Kirana datang rumah uncle. Dah lama tak datang sana kan. We can have dinner together.” Sekali lagi Haikal mengangguk. Apa lagi yang dia hendak tambah. Kalau boleh dia tidak mahu Tan Sri atau sesiapa pun bertanyakan padanya hal Kirana lagi. Dia tiada mood buat masa ini.

            “Zaira? Dan kahwin ke belum ni?” Soalan maut. Zaira tidak sangka pula Tan Sri berminat untuk tahu hal dirinya. Baru dia hendak tahu lagi tentang Haikal dan Kirana. Kini, dirinya pula yang menjadi perhatian lebih-lebih lagi dari Haikal.

            “Belum lagi Tan Sri. Insya-Allah tahun depan.” Jawab Zaira ringkas dan lembut. Dia tidak perasan yang Haikal sedang memandangnya dengan pandangan yang cukup berbeza. Tiada senyuman langsung diwajah. Hanya Tan Sri dan Zafri yang terukir senyuman di bibir masing-masing.

            Hampir satu jam mereka duduk berbual di sana. Tan Sri yang meminta diri dahulu. Ada mesyuarat yang perlu dihadiri kejap lagi. Yang lain juga turut sama beredar dari situ.


            “Betul ke apa yang Zaira cakap tadi?” Bila sahaja enjin kereta sudah dihidupkan, itu yang mula-mula Haikal sibuk tanya. Terpinga-pinga Zaira sambil memegang beg tangannya. Langsung tersekat niat untuk menarik tali pinggang.

            “Betul apa Encik Haikal?” Zaira buntu. Takkanlah dia tanya pasal hal tadi. Apa yang aku cakap tadi.

            “Pasal nak kahwin tahun depan.” Laju sahaja Haikal menjawab. Biar Zaira jelas apa yang dia hendak tahu.

            “Oooo pasal tu. Insya-Allah, kalau takda aral melintang tahun depan. Encik Haikal dengan Cik Kirana bila pulak?” Giliran Zaira bertanya.

            “Tak tahu lagi. Tak bincang pun lagi.” Haikal sebenarnya malas hendak berbicara tentang ini. Biarlah masa yang menentukan. Dia tidak nampak pun sinar kebahagiaan bila bersama Kirana. Dari dulu lagi dia dapat rasakan yang Kirana bukanlah cinta sejatinya. Masih tidak berjumpa lagi. Dan mungkin juga tiada untuknya. Arghhh.. runsing kepala bila memikirkannya.

            Haikal masih sibuk memikirkan apa yang Zaira katakan tadi. Aku cemburu? Haikal tanya pada diri sendiri. Kenapa rasa pelik hati ini. Perasaan yang berbeza. Mungkinkah betul aku cemburu? Cemburu dengan kemesraan Zaira bersama teman lelakinya.


            “Jom sayang.” Kirana mengajak Haikal menemaninya menonton wayang. Puas Kirana memujuk dan akhirnya berjaya juga. Ikutkan hati Haikal dia amat malas hendak keluar. Langsung tiada mood dengan semua orang. Tetapi bila fikir tentang Tan Sri Ahmad, rasa tidak sampai hati pula hendak lukakan hati anaknya itu. Tan Sri Ahmad terlalu banyak membantunya sehingga berjaya. Menjawat jawatan tinggi di syarikat besar. Gaji berpuluh ribu walaupun umur tidak sampai 40.


            “Kita keluar tengok wayang abang. Lama dah tak tengok sama kan.” Ajak Zaira pula pada Azri. Sudah lama mereka tidak menghabiskan masa bersama. Balik-balik sibuk menjadi alasan Azri.


            “Okey.” Amat ringkas jawapannya tetapi sudah cukup menggembirakan hati Zaira. Itulah yang dia tunggu-tunggu. Semakin rindu pada lelaki yang telah berjaya menakluki hatinya.

Wednesday, November 18, 2015

Cinta Hati Sayang



Alhamdulillah... bersyukur panjang.

Novel CINTA HATI SAYANG akan berada dipasaran tidak lama lagi.

Pada yang setia menunggu CHS ni, terima kasih banyak2 sy ucapkan. Nanti jgn lupa dapatkan CHS okey.

** Nanti sy akan buka order utk sesiapa yang nak membeli dari saya. Dapat cenderahati sekali.

Thank you and sayang semua!!!!!!

Saturday, November 7, 2015

Cinta Hati Sayang - Bab **

Untuk mengubat rindu semua pada Carl Zarif dan Lara Alina #cintahatisayang .. Jom baca salah satu bab yang akan ada dalam novel CHS nanti.
CINTA HATI SAYANG
***********************************************************************************
Jam di dinding dikerling. Sudah tepat pukul dua belas tengahari. Zarif mengangkat gagang telefonnya. Didail nombor sambungan seseorang.
“Makan dengan I nanti.”
“Apa?!” Cuba dikawal suaranya. Takut nanti ada yang pasang telinga.
“Makan dengan I kejap lagi. Nanti I ke sana. I nak jumpa Badrul dulu.” Lara tidak mampu berkata tidak. Zarif sudah terlebih dahulu memutuskan panggilan. Zarif ni dah hilang akal ke apa… Kalau staf-staf lain nampak, habis aku. Buatnya Murni dan Suzie nampak, lagi teruk. Apa alasan aku nak beri dekat diorang nanti. Naik pening kepala Lara fikirkan alasan.

“Hai sayang.” Tidak berani Lara mengangkat muka atau memandang sekeliling. Hanya mampu berharap tiada siapa yang mendengar.
“Nanti tengahari saya pergi makan sendiri.” Suaranya agak perlahan tetapi laju sahaja Lara memberitahu.
“Badrul ada dalam?” Dia dengar ke tidak aku cakap tadi.
“Ada Encik Zarif. Silakan.” Terpaksa sekali lagi Lara bersikap professional dengan Zarif.
Dia melangkah terus masuk ke dalam untuk berjumpa Badrul. Tiada langsung senyuman dilemparkan pada Lara. Dia marah aku ke? Takkanlah sebab taknak temankan dia makan pun nak merajuk. Iskh, dia ni perempuan ke lelaki nak kuat merajuk. Buruk. Ngomel Lara.

“Yes boss? Anything?” Badrul dilihatnya sedang sibuk menyiapkan kertas kerja untuk perbentangan minggu hadapan. Tetapi walau macam mana sibuk sekali pun dia, Zarif tetap perlu dilayan.
“Aku cuma nak tanya pasal perbentangan minggu depan tu. Yang kau tengah buat, ini ke?” Dibelek kertas yang terdampar di atas meja Badrul.
“Yup. Aku cuba siapkan minggu ni. Jadi nanti minggu depan takdalah kelam kabut sangat. Kau… taknak ajak aku makan ke? Atau kau dah ada appointment?” Badrul bersandar ke belakang. Lenguh juga belakang badannya kalau terlalu fokus membuat kerja.
“Aku ada date. Sorry bro.” Zarif sudah berdiri. Tetapi dia masih tidak bergerak. Macam ada sesuatu yang dia hendak beritahu.
“Aku pinjam secretary kau kejap. Nanti aku pulangkan balik.”
“Woo wooo…. Wait. Kau nak makan dengan Lara? Berdua?” Terus dia mengangkat tangan sambil berdiri. Tidak percaya langsung.
“Yes, berdua. Aku dengan Lara.” Tidak ada rasa bersalah langsung. Zarif tetap dengan kata-katanya itu.
“Kau sedar tak yang kita… kita ni dekat pejabat. Waktu kerja ni.” Badrul cuba mengingatkan Zarif. Dia takut Zarif tidak sedar dengan apa yang hendak dia buat kejap lagi.
“Tak payah nak ingatkan aku la bro. Aku masih sedar lagi. Okeylah, dah lambat ni.” Sambil membuka tali leher, Zarif berjalan menuju ke pintu. Sempat dia mengerling pada Badrul sebelum membuka pintu untuk keluar. Wajah Badrul yang masih tidak puas hati. Zarif ajak Lara makan tengahari? Dia memang cari pasallah. Saja nak timbulkan gosip. Bentak hati Badrul sambil menguak kebelakang rambutnya.

“Lara, jom.”
Mengeluh panjang Lara. Nak cakap apa lagi. Zarif bukannya nak dengar apa-apa alasan dari dia. Yang dia tahu setiap arahannya perlu dituruti.

Mereka sedang menunggu lif. Berdiri jauh sedikit Lara dari Zarif. Ada dua tiga orang lagi sedang menunggu sama. Lagipun memang ini waktu rehat. Berdoa dalam hati Lara moga tidak ramai orang turun makan waktu ini.
“Lara, turun makan seorang je ke. Yang lain tak makan?” Kak Siti, staf Syarikat Kalam Holdings tiba-tiba menegur Lara. Baru dia perasan Lara berdiri di sebelahnya di dalam lif.
“Aaa.. aah kak. Diorang kejap lagi baru turun.” Lara tidak tahu hendak beritahu apa. Takkan pula nak beritahu dekat kakak ni yang aku nak makan dengan Encik Zarif.
Risau pula Lara rasa bila lif sudah berhenti di tingkat G. Bila-bila masa sahaja pintu lif akan terbuka. Seram sejuk dirasakannya. Dikerling pada Zarif. Muka takda perasaan je dia ni. Dia ni tak takut kena gosip bagai nanti. Tolonglah tukar fikiran cepat. Sempat lagi ni. Lara berharap sangat Zarif akan bertukar fikiran. Dia tidak kisah langsung kalau disuruh naik semula ke atas. Tiada masalah baginya.
“Jom.” Belakang badan Lara disentuh sedikit. Menolak perlahan untuk mengikutnya.
“Awak!. Orang nampak nantilah.” Tersangatlah risau. Kalau ada mata-mata tajam memerhatikan mereka, habislah Lara.
Ketawa kecil Zarif bila melihat wajah Lara yang nampak cuak. “Nak takut apanya sayang. You bukannya keluar dengan suami orang. I am single and available. Takda salahnya pun.” Lara menarik muka. Nak takut apa? Dia tahu tak dia siapa? Aku siapa? Dekat mana ni? Nak je aku ketuk kepala dia dekat dinding untuk sedarkan dia balik.
“Nak takut apa awak cakap. Awak tahu tak kita ni dekat zon bahaya. Memanglah awak bukan suami orang, tapi…… Awak tu bos besar dekat sini. Eh, awak tak takut staf-staf cakap pasal awak ke nanti. Bos besar keluar dengan staf. Berdua. Hah, macam tu.” Lara luahkan segala apa yang terbuku di hatinya. Perasaan yang dia sedang rasai.
“Jom naik kereta.” Lagilah buat Lara gelisah. Naik keretalah pulak.
“Cepat, kalau tak I dukung you dekat sini.”
“Macamlah berani.” Merungut Lara perlahan sambil kakinya melangkah mengikut Zarif.
Tiba-tiba Zarif berpusing. Dia mendekati Lara. Hanya sempat memaut pinggang Lara sebelum dia sedikit menjerit. “Awak nak buat apa ni?!”
“Tadi ada orang cakap I tak berani.”
“Eeeee…” Lara menolak tangan Zarif dari pinggangnya. Semakin laju langkahnya menuju ke kereta. Tersenyum Zarif melihat reaksi wajah Lara tadi. Betul-betul terkejut dia tadi. Takut habis.

“Awak, cepatlah makan. Dah satu jam kita keluar ni.” Zarif masih menikmati makanan yang dipesan tadi. Lara pula sudah terlalu kenyang. Tidak larat hendak makan lagi. Cuma menunggu Zarif sahaja. Berulang kali dia melihat jam tangannya.
“Sabarlah sayang. Sikit je lagi ni. Sayang kalau tak habis tahu tak.” Memanglah sayang. Tapi makanlah cepat sikit. Makan slow macam ni bilanya nak habis. Rungut Lara tetapi hanya di dalam hati.
“Awak takpalah, bos. Saya ni? Kuli je tahu tak. Cepatlah awak. Saya nak masuk kerja balik ni. Nanti Encik Badrul cari saya.” Zarif masih bersikap selamba. Masih seperti tadi. Hanya tangannya sibuk menekan sesuatu di skrin telefon dan dibawa dekat ke telinganya.
“Hello Bad. Lara dengan aku. Dia rehat lama sikit hari ni. Teman aku.” Hampir terbeliak biji mata Lara dengar. Dia betul-betul telefon Badrul. Boleh pulak dia cakap macam tu dekat Badrul. Kalau Zarif yang cakap, siapa yang berani melawan termasuklah Badrul.
“Eeee, awak ni. Macam-macamlah.” Dia bersandar ke belakang kerusi sambil memeluk tubuh. Sedikit menjeling pada Zarif. Ikutkan hati hendak sahaja dia balik naik teksi. Biar tinggal Zarif seorang diri dekat sini. Makanlah lambat mana pun.
“Yelah, jom. I pergi bayar kejap. Itu pun nak marah.” Zarif sudah bangun. Makanan di pinggan masih ada lagi. Lagipun dia tengah mengunyah tadi. Rasa bersalah pula buat Zarif macam tu. Tapi….. memang betulkan. Lainlah kalau bukan waktu kerja.

“Awak, sorrylah. Saya mana boleh keluar makan ikut suka hati saya je. Saya ni pekerja biasa. Sama macam yang lain. Masa rehat kami cuma satu jam sahaja. Lainlah awak. Takda siapa nak marah pun.” Dia sedikit merayu pada Zarif untuk maafkannya.
“Kita kahwin. You dah tak payah susah-susah nak pergi kerja lagi. I mampu tanggung semuanya.” Tangan Lara dicapai.
Tangannya ditarik dari terus disentuh Zarif. Dia keluar dari kereta tanpa menoleh langsung ke belakang. Berjalan tanpa toleh kiri dan kanan. Otaknya tidak dapat berfikir apa-apa.

**** Kita tunggu sama2 Cinta Hati Sayang dalam versi cetak. Terima kasih atas sokongan semua.