My corner's visitor

Thursday, July 30, 2015

Dia... Penjaga Hatiku - Bab 3

DIA… PENJAGA HATIKU.

Bab 3

            “Encik Haikal, bulan depan saya dah nak cuti bersalin. Encik Haikal dah ada orang untuk ganti tempat saya ke” Tanya Siti pada Haikal sambil dia menghulurkan beberapa set dokumen untuk ditandatangani oleh bosnya itu.

            “Kita ambil orang dalam sahaja untuk gantikan tempat awak. Lagi senang dari ambil orang luar. Awak ada cadangan ke Siti?” tanya Haikal setelah habis menandatangani semuanya. Dipandang wajah Siti yang berdiri di hadapannya.

            “Apa kata ambil Zaira gantikan tempat saya. Saya rasa dia okey. Cuma bab-bab secretarial ni dia kurang cekap sikit. Tapi takpa Encik Haikal. Sebab saya rasa dia fast learner. Cepat je boleh tangkap apa yang saya ajar nanti. Itu pun kalau Encik Haikal setuju.” Nama Zaira yang berlegar-legar di fikirannya. Lagipun untuk dua bulan sahaja. Dan Siti rasa dialah calon paling sesuai.

            “Ermmmm, okey. Awak ajarlah dia apa-apa yang patut. Kalau ada apa-apa beritahu saya.” Tidak berfikir panjang lagi. Terus Haikal bersetuju dengan cadangan setiausahanya itu.

            Zaira….. Tersenyum sendiri Haikal bila menyebut namanya.
           

            “Apa ni Kak Siti? Taknaklah saya. Saya mana tahu buat kerja-kerja akak tu.” Zaira tidak bersetuju dengan keputusan Siti dan Haikal. Takutlah kalau fikirkan yang dia kena buat semua kerja Siti. Dahlah kena masuk bilik Encik Haikal setiap hari. Benda tu lah dia hendak elakkan.

            “Zaira, akak ajarlah nanti. Jangan risaulah. Dua bulan je pun. Bukan lama. Lagipun akak dah beritahu dekat Encik Haikal pasal Zaira. Dia tahu Zaira tak pernah buat kerja-kerja setiausaha ni. Dia fahamlah Zaira.” Dipujuk hati Zaira untuk terima. Kalau dia tak mahu, siapa lagilah yang dia hendak cari. Buntu dah fikirannya.

            “Akak ni… Apasal petik nama saya.” Merungut Zaira sambil memicit-micit kepalanya yang sudah sedikit pening.

            “Dahlah Zaira. Kau ni kan. Semuanya takut. Macamana nak naik pangkat kalau macam ni. Nanti dapat allowance tahu tak. Boleh simpan duit tu.” Allowance? Tidak Zaira tahu pun.

            Pening juga Zaira fikirkan. Kalau dia terima tugas ni, maknanya hari-hari dia kena tengok muka Encik Haikal tu. Muka hensem dia tu. Kalau aku terpikat dengan dia nanti macam mana. Oh, tidak. Ingat Zaira. Kau ada Azri, dan dia ada tunang cantik dia tu.

            Harap-haraplah dua bulan ni akan berjalan lancar. Tiada masalah yang timbul kelak. Aminnnnnn…


            “Zaira, setiap pagi kena buatkan Encik Haikal air Nescafe ye. Zaira nampak dia masuk, terus buat air dulu dekat pantri.’ Siti menyenaraikan segala benda yang Zaira perlu buat untuk bosnya nanti. Tidak lupa juga Siti mengajar Zaira menempah flight ticket bila disuruh. Encik Haikal ni selalu juga outstation. Kadang-kadang sampai ke luar negara. Semuanya memerlukan Zaira menyediakan pengangkutan dan penginapan sekali.

            “Lupa pulak akak nak beritahu. Kadang-kadang bos ni outstation dia ajak kita sekali. Kalau meeting selalunya. Nanti Zaira kena ikut tau. Jangan nanti Zaira ingat bos nak menggatal pulak dekat Zaira.” Siti mengangkat kening sambil memandang Zaira yang tergamam mendengarnya.

            “Apalah akak ni. Mana ada Zaira fikir sampai macam tu. Tapi tulah kak, memang kena ikut ke? Harap-haraplah untuk dua bulan ni, Encik Haikal tak kemana-mana.” Seraya mengangkat tangan memohon doa. Ditepuknya bahu Zaira sambil menyambung kemmbali penyerahan kerja.
           

            “Siti, panggil Zaira masuk. Both of you.” Haikal memanggil kedua-dua mereka masuk ke dalam pejabatnya. Inilah kali kedua Zaira akan masuk. Berdebar-debar juga jantungnya.

            Tuk tuk….

            “Masuk.” Bila mendengar suara Haikal dari dalam, barulah Siti memulas tombol pintu. Dia melangkah masuk diikuti Zaira yang setia mengekori di belakang.

            Sibuk benar si Haikal ni. Laju betul dia menaip sesuatu di atas laptop kesayangannya itu.

            Lama juga Siti dan Zaira duduk menunggu Haikal bersuara. Isyarat mata dari Siti jelas menunjukkan Haikal tidak suka jika orang menganggu dia sedang buat kerja. Itu sebabnya Siti hanya diam menunggu.

            “Okey, So, awak dah ajar semua pada Zaira?” Kini Haikal sudah berpeluk tubuh sambil menyandar di kerusinya. Pandangannya dihala pada Siti. Dan kemudian beralih pada Zaira. Zaira langsung tidak sedar yang Haikal sedang melihatnya dan bukan Siti seperti yang dia sangka. Ralit dia memerhatikan pen yang diletakkan di atas meja. Cantik. Nampak ekslusif. Tentu mahal harganya ni.

            “Dah Encik Haikal. Saya dah ajar apa yang patut. Insya-Allah dia boleh buat semua tu. Kan Zaira?” tanya Siti pada Zaira. Bila namanya disebut barulah dia mengangkat muka.

            “Zaira?” Sekali lagi Siti menekankan nama Zaira. Maknanya memang perlu dia menjawab.

            “Insya-Allah Encik Haikal. Saya akan cuba buat yang terbaik. Saya harap Encik Haikal juga boleh beri tunjuk ajar pada saya nanti. Maaf kalau saya ada buat salah.” Lembut sahaja suara Zaira membalas.

            “Okey, bagus. Yang penting bagi saya… bila saya suruh buat sesuatu, jangan lambat siapkan. Saya tak suka kerja bertangguh ni. Kalau kerja yang saya beri nanti tak faham, just let me know. Tanya saya. For you information, saya tak makan orang. Belum pernah lagi.” Siti sudah ketawa kecil mendengar ayat terakhir bosnya itu. Zaira pula serba salah. Nanti kalau dia ketawa, dikatakan kurang ajar. Kalau tak ketawa, nanti terasa pulak. Buat lawak, tapi tak ketawa. Suara tegas, tapi ayat dia….. lawak. Aduhai….

            Mereka keluar dari bilik apabila Haikal menerima satu panggilan penting dari salah seorang client syarikat mereka.
           

            “Zaira, akak dah start cuti minggu depan. Jadi.. kalau ada apa-apa yang Zaira tak tahu, Zaira tanya cepat ye. Manalah tahu kot baby ni nak keluar cepat. Tak sempat nak tunggu minggu depan.” Jelas Siti ketika mereka sama-sama keluar makan tengahari. Azlin juga sibuk mendengar. Mereka makan di restoran berhampiran dengan bangunan Kenanga Holdings.

            “Cepatnya kak. Bertambah takut saya ni. Macam tegas je Encik Haikal tu kak.” Terus hilang selera makan Zaira bila mendengar kata-kata Siti. Dia senditi tidak tahu kenapa dia berasa risau dan gelisah setiap kali nama Encik Haikal disebut. Mungkin juga sebab inilah kali pertama dia akan bekerja dengan orang atasan. Orang kuat syarikat. Mampukah dia.

            Takpa Zaira. Cuma dua bulan je. Dua bulan. Bukannya dua tahun pun. Relaks….

            “ Dia kan dah cakap tadi, dia… tak makan orang. Belum pernah.” Terburai ketawa Azlin dan Siti. Zaira pula sekadar tersenyum tawar. Lawaklah sangat. Kecut perut dah ni.

            “Encik Haikal cakap macam tu. Tapi kan Zaira. Encik Haikal tu dengan kak Siti je dia baik. Dengan orang lain tak. Dengan aku, mana pernah dia beramah mesra. Setakat senyum je. Jaga-jaga Zaira. Dia spesis harimau jadian kot.” Apa lagi, terus kena cubitlah si Azlin ni dengan tangan Zaira yang sudah bertukar menjadi sepit ketam.

            “Aduh, sakit.” Mengadu sakit si Azlin pada Siti.

            “Tahu sakit. Cakaplah lagi.”   Siti sekadar ketawa melihat gaduh manja mereka berdua ni. Sesekali dia mengusap perutnya. Rasa sedikit tegang.
           

            “Zaira, ni nombor telefon pejabat Tan Sri Ahmad. Zaira tahu kan siapa dia?” Siti memberikan senarai nombor telefon yang agak penting pada Zaira.

            “Tahu kak. Tapi selama saya bekerja dekat sini, tak pernah pun Tan Sri datang. Dia memang jarang datang sini ke kak?”

            “Jarang sangat. Dia memang serahkan semua urusan syarikat ni pada Encik Haikal. Lagipun Encik Haikal kan bakal menantu dia.” Zaira mengangguk. Dia terlupa yang Cik Kirana adalah anak perempuan Tan Sri Ahmad. Patutlah berlagak sangat dia tu.

            “Lagipun pejabat Tan Sri jauh sikit dari sini. Selalunya Encik Haikal yang akan ke sana. Jumpa dengan Tan Sri. Akak ni pun boleh kira berapa kali je jejak kaki ke sana. Pejabat bertaraf lima bintang tau. Jauh beza dengan sini.” Beria-ia Siti bercerita. Tidak dapat dia bayangkan macam manalah keadaan di sana. Kalau dekat pejabat Kenanga Holdings ni pun dah nampak ekslusif, ini… lebih lagi. Fuhh…

            “Ni lah semua nombor-nombor penting. Zaira simpan baik-baik. Private and confidential ye. Jangan bagi orang lain nampak.” Mengangguk Zaira tanda faham.
           

Hari ni merupakan hari pertama Zaira menjalankan tugasnya sebagai setiausaha Haikal untuk dua bulan yang akan datang. Siti sudah mula bercuti. Dia hanya menunggu hari untuk bersalin sekarang ni.


            Zaira tidak lupa untuk memanjangkan doa semasa bersolat subuh tadi. Berharap semuanya akan baik-baik sahaja hari ni dan hari-hari yang mendatang. Moga tiada masalah untuk dia menyesuaikan diri dengan Haikal nanti. 

Dia.... Penjaga Hatiku - Bab 2

Maaf...maaf....maaf..... sebab lama benar biarkan blog ni sunyi sepi. Sibuk sana sini. Jadi..... malam ni kita up tiga bab terus ye untuk DIA.. PENJAGA HATIKU. 

(LIKE kalau suka ye..... Terima kasih sgt2 pada yang sudi menjenguk blog ni setiap hari. )


DIA… PENJAGA HATIKU.

Bab 2

            “Zaira, boleh tolong akak tak?” Kak Siti yang sedang mengandung  berjalan perlahan-lahan ke meja Zaira.

            “Tolong apa kak?” Pen di tangan diletak ke tepi. Wajah Kak Siti di pandang tepat.

            “Zaira tolong hantarkan dokumen ni pada Encik Haikal. Ni alamat dia. Encik Haikal ada meeting dekat sana. Dokumen ni dia nak lah pulak. Akak tak boleh pergi. Sebab tengah tunggu tetamu dari Jepun kejap lagi nak sampai.” Sebuah sampul surat di tangan Siti dipandang.

            “Zaira jangan risau. Naik je teksi. Nanti claim balik. Ambil resit. Akak dah beritahu dekat Encik Haikal yang Zaira akan hantar dekat dia.” Laju benar Siti terangkan. Kelam kabut dibuatnya.

            Tidak sampai hati pula Zaira hendak kata tidak. Lagipun hari ni Musa, penghantar surat, tiba-tiba ambil emergency leave. Katanya anak demam panas.

            “Semua dalam sampul surat ni ke kak?” tanya Zaira. Dia mahu memastikan tiada apa yang tertinggal sebelum dia pergi. Biar Siti semak sekali lagi. Nanti malas dia hendak dua tiga kali ke sana.

            “Ya, semua ada dalam ni. Zaira bagi je ni dekat Encik Haikal nanti.” Telefon Siti berbunyi. Tidak sempat dia cakap apa-apa lagi. Laju dia menapak semula ke mejanya dan meninggalkan Zaira dengan sampul surat tadi.

            Takpalah, lagipun hari ni dia seorang sahaja. Azlin pun ambil cuti hari ni. Nak berehat katanya. Penat baru balik dari kampung.

            Beg tangan dicapai. Dia berlalu keluar dari pejabat. Menaiki teksi menuju ke alamat yang diberikan tadi. Jalan pun masih belum sesak. Sekejap sahaja Zaira sudah sampai.

           
            “Encik Haikal ada dekat dalam. Sekejap ye saya panggilkan.” Seorang gadis yang bertugas sebagai penyambut tetamu itu segera membuat satu panggilan. Sambil menunggu Encik Haikal keluar, matanya sibuk memerhati sekeliling. Susun atur di setiap ruang pejabat sangat kemas.

            Pandangannya terhala pada seseorang yang bersusuk tegap. Siapa lagi kalau bukan bosnya sendiri. Haikal seperti biasa kelihatan segak dengan penampilannya. Dia berjalan menuju ke arah Zaira.

            Terpegun juga Zaira dibuatnya. Semakin dekat Haikal padanya, semakin kuat bau wangian yang dipakai. Bau yang sama semasa dia terlanggar Haikal buat pertama kali.

            “Ada bawa dokumen tu?” Tanya Haikal lembut. Segera dihulurkan samput surat tadi kepada Haikal.

            “Okey, terima kasih.” Itu sahaja yang keluar dari mulut bosnya. Tetapi Zaira tidak ambil kisah langsung. Ucapan terima kasih dari bos sudah memadai untuknya yang sekadar pekerja biasa sahaja.

            “Sama-sama.” Balas Zaira sambil berlalu pergi. Takkanlah nak berdiri lama dekat situ. Nak buat apa pun.

            Haikal masih memandang Zaira sehingga dia hilang dari pandangan. Entah kenapa hatinya rasa sesuatu bila melihat wajah Zaira. Seperti ada sesuatu yang menarik perhatiannya.

           
            Mana pulaklah teksi ni. Tadi banyak je aku nampak. Ni takda satu pun. Ngomel Zaira sendiri. Penat menunggu lama namun masih tiada bayang-bayang teksi kosong pun dari tadi.
           
            Masuk sahaja ke dalam kereta, Haikal segera menelefon Tan Sri Ahmad. Memang Tan Sri sedang menunggu berita gembira dari Haikal. Tidak sia-sialah Haikal bersengkang mata untuk menyemak kertas kerja yang disiapkan oleh ketua jurutera syarikat. Makin bertambah sayanglah Tan Sri pada Haikal.
           
            Setelah hampir sepuluh minit Haikal berehat dalam kereta, dia menekan padel minyak menggerakkan kereta keluar dari parking di bawah bangunan.

            Dari jauh Haikal dapat lihat Zaira sedang berdiri di hentian teksi. Berseorangan dengan wajah sedikit resah.

            “Tunggu teksi dari tadi ke?” Sebaik sahaja kereta berhenti betul-betul di hadapan Zaira, tingkap kereta diturunkan. Kalau betullah dia tunggu dari tadi, maknanya sudah hampir satu jam dia disitu. Tadi lepas serahkan dokumen rasanya dia terus turun ke bawah.

            Menjenguk sedikit Zaira ke dalam kereta. Manalah dia kenal kereta milik siapa ni. Kereta Posche Cayenne warna hitam.

            “Encik Haikal.. Aah, saya tunggu teksi dari tadi. Payah betul nak dapat teksi dekat sini.” Jelas dia melihat wajah Haikal yang bercermin mata hitam sedang memandangnya. Kacak habis. Aduh, beristighfar Zaira. Dia bos kau merangkap tunangan orang.

            “Jomlah naik. Saya pun nak balik office ni.” Pucuk dicita ulam mendatang. Tidak berfikir panjang, Zaira terus mengangguk. Biarlah bosnya nak kata apa pun. Yang pasti dia hendak sampai ke pejabat dengan kadar segera. Lenguh dah lutut ni berdiri dari tadi. Tambah pula perutnya sudah terlalu lapar.

            Tutup sahaja pintu kereta, barulah Zaira terfikir semula. Inilah kali pertama dia menaiki kereta mewah begini. Seganlah pulak. Langsung dia tidak menolak tadi. Nanti Encik Haikal fikir lain pulak pasal aku. Tapi…. Perut aku ni dah tak tahan.

            Ya Allah, selesanya duduk dalam kereta Encik Haikal ni. Langsung tak rasa panas dek matahari yang bersinar di luar. Rasa sejuk nyaman. Untungnya jadi Encik Haikal ni. Mewah hidup.

            Grrrrrrrr….

            Alamak! Masa nilah perut nak berbunyi. Tunggulah aku keluar kereta dulu. Marah Zaira pada diri sendiri. Janganlah Encik Haikal dengar. Belum sempat dia menoleh pada bosnya di sebelah, Haikal terlebih dahulu bersuara.

            “Perut awak tengah main lagu apa tu?” Haikal tersenyum sambil menampakkan sebaris gigi putih sambil menggeleng-geleng kepalanya.

            Malu. Itu sahaja yang Zaira boleh ungkapkan. Mana nak sorok muka ni. Nak je aku lompat keluar sekarang jugak. Punyalah cover tadi, alih-alih perut ni terlepas pulak. Eeeeeee……

            Langsung Zaira tidak bersuara sepanjang perjalanan.  Malunya hanya tuhan sahaja yang tahu. Tidak langsung dia menoleh ke kanan. Sibuk memandang ke luar tingkap.

            “Nak saya temankan awak makan tak?” Haikal bersuara sebaik sahaja kereta sudah berhenti di hadapan bangunan syarikat.

            “Eh, takpa-takpa. Terima kasih ye Encik Haikal. Saya pergi dulu.” Tergopoh gapah Zaira keluar dari kereta. Langkah diperbesarkan untuk cepat-cepat menjauhi bosnya itu. Toleh belakang? Memang tidaklah. Takut bila pandang belakang nanti, bosnya itu sedang ketawakan dia.

            Haikal masih tetap memandang Zaira berjalan masuk. Tersenyum sendiri dia bila teringatkan wajah Zaira tadi. Berubah menjadi merah. Malu sangatlah tu.

            Zaira mengorak langkah terus ke café. Perutnya meminta untuk diisi. Dia tidak lupa berharap yang bosnya itu tidak akan ingat lagi apa yang berlaku tadi. Ala, dia banyak lagi bendalah nak kena ingat dan fikir. Apa barang nak ingat pasal kau tadi. Zaira menyedapkan hatinya sendiri. Harap betullah apa yang dia fikirkan itu.
           

            Dek kesibukan dengan kerja-kerja yang semakin menimbun, Zaira langsung tidak ingat akan hal tadi.

            Tetapi….

            “Zaira, Encik Haikal tanya ni. Benda tu masih berbunyi tak?” Rasa macam nak kena serangan jantung terus. Sesak nafas bagai. Aku dah lupa, tapi dia ingat lagi.

            Siti masih menunggu jawapan Zaira. Telefon di tangan masih elok dipegang.

            Tenang Zaira tenang…..

            “Dah berhenti dah tadi.” Apa lagi yang dia hendak jawab. Harap bosnya itu tidak akan memanjang-manjangkan lagi perkara ini. Malu kalau semua orang tahu.

            “Iskh korang ni. Macam budak-budak. Encik Haikal ni agaknya demam kot. Tak pernah pulak akak dengar dia ketawa macam tu.” Telefon di tangan masih ditenung. Terhambur ketawa Haikal bila mendengar jawapan Zaira tadi.

            “Entahlah kak. Tak cukup rehat gamaknya. Itu yang merapu sikit tu.” Tersenyum tawar Zaira pada Siti. Dia menyambung kerjanya walaupun jantungnya sedang berdegup kencang. Ini semua sebab Encik Haikal.
           

            Walaupun perkara itu sudah beberapa hari berlalu, tetapi setiap kali Zaira terserempak dengan Haikal, senyuman penuh makna dilemparkan. Zaira tahu Haikal masih ingat dengan insiden perut berbunyi tu. Cuma Zaira pura-pura tidak ingat. Dia hanya membalas senyuman seperti biasa sahaja.

            Zaira rasa lega sebabnya dia tidak perlu selalu menghadap Haikal seperti mana kekerapan Siti. Hari-hari kena masuk bilik bos dan menghadap wajahnya. Sekali itu sahajalah dia masuk dalam bilik Haikal untuk menghantar air. Selepas itu manalah pernah lagi. Buat apa pun. Dia kerani biasa sahaja. Tiada sebab dia hendak masuk ke sana.
           

            “Eeee, geramnya.” Rungut Siti sambil menghempas-hempas telefon pejabat. Nasib bukan telefon sendiri. Kalau tidak mahu rosak dibuatnya.

            “Kenapa Kak Siti?” Marah semacam je ni.” Tanya Azlin yang kebetulan baru keluar dari bilik fotostat. Zaira juga kebetulan lalu untuk mengambil fail di hujung pejabat.

            “Tunang bos ni hah. Peninglah akak nak layan dia. Berlagak betul.” Jarang nampak lihat Siti marah ni.

            “Apa dia dah buat dekat akak ni. Cuba cerita dekat kitorang.” Azlin bersuara sambil meletakkan kertas-kertas yang difotostat tadi di atas meja. Zaira sekadar mengangguk bersetuju.

            “Dia nak akak book flight ticket untuk dia ke Bangkok minggu depan. Tarikh dan masa dia nak tu dah penuh. Takda seat available. Akak suruhlah dia tukar hari lain. Terus dia marah. Ini baru tunang. Kalau dah jadi isteri bos, boleh migrain terus.” Habis diluahkan geramnya terhadap Kirana.

            “Jangan marah sangat Kak Siti. Nanti perangai anak akak macam perangai dia. Parah nanti.”

            “Azlin!!!” Menjerit Siti bila mendengar kata-kata Azlin itu. Zaira pula tidak dapat menahan ketawa. Sampai berair mata dibuatnya. Mentang-mentanglah Siti sedang mengandung lapan bulan. Boleh pula Azlin buat lawak dengan kandungannya itu.

           
            Malam itu…..

            “Abang, payahnya sekarang nak berbual dengan abang. Nak jumpa lagilah susah.” Zaira sedikit mengeluh. Selepas beberapa kali dia cuba menghubungi Azri, teman lelakinya, baru kali ini dijawab.

            “Sorry, abang sibuk sikit akhir-akhir ni. Banyak kerja nak kena siapkan. Ni pun baru balik dari Pahang. Ada kerja sikit dekat sana.” Jelas Azri pada Zaira.

            Ada sahaja alasan yang diberikan pada Zaira. Memang sejak akhir-akhir ni perangai Azri semakin berubah. Sampai ada masanya Zaira seperti tidak mengenali Azri lagi. Setiap kali Zaira mengajak dia keluar, ada sahaja alasan diberikan. Kalau nak ikutkan, bukannya jauh pun rumah mereka. Shah Alam ke Bangsar. Orang kata, kalau dah rindu dan sayang, jauh mana pun sanggup diredahi.

            Teman serumah Zaira, Nora pernah memberitahu Zaira yang dia terserempak dengan Azri bersama perempuan lain. Nampak mesra semacam. Tapi bila Zaira bertanyakan pada Azri, katanya perempuan itu kawan lama sekolahnya. Itu yang nampak mesra.

            Ada  juga rasa sangsi pada mulanya, tetapi Azri pandai menyakinkan Zaira untuk percaya dengan kata-katanya. Dia memang manis mulut. Buatkan Zaira hilang rasa sangsi terhadapnya.

            “Hujung minggu ni kita jumpa ye.” Itulah kata-kata Azri yang menggembirakan hati Zaira. Sudah lama mereka tidak berjumpa.

            Zaira rindukan abang……


Wednesday, June 10, 2015

Dia...Penjaga Hatiku - Bab 1

DIA… PENJAGA HATIKU.
Bab 1

(Maaf sebab lambat update. Sibuk sangat semenjak dua menjak ni......Ni saya up bab 1 dari Dia...Penjaga Hatiku. Semoga terhibur.


            Bupp!

            “Maaf Encik. Saya tak perasan.” Nur Zaira binti Musa, gadis yang baru berusia 24 tahun itu meminta maaf kepada seorang lelaki muda. Dia baru sahaja melanggar belakang badan lelaki itu. Dan sempat pula Zaira mencium bau wangian yang dipakai lelaki tersebut. Wangi sangat. Entah perfume apalah yang disemburnya.

            “Its okay.” Itu sahaja yang keluar dari mulut lelaki itu. Tiada langsung nada marah kedengaran dari suaranya. Boleh pula dia lempar senyuman dekat aku lagi. Tergugat iman aku kalau hari-hari tengok senyuman dia ni. Wajah…tak payah cakaplah. Hensem tahan dewa. Bisik Lara sendiri.

            “Excuse me... nak masuk tak?” Baru Zaira tersedar dari lamunan. Dia yang masih berdiri tegak diluar pintu lif tersenyum malu. Kakinya melangkah masuk sambil matanya terarah ke lantai lif. Tidak betah memandang wajah lelaki tadi.

            Hanya mereka berdua sahaja yang berada dalam lif. Tiada sesiapa pun.

            “Nak pergi tingkat berapa?” Lembut sahaja suara lelaki itu bertanya pada Zaira. Wajahnya terus diangkat lantas tepat memandang ke butang lif.

             “Aaa, tingkat dua belas.” Hampir tidak terkeluar kata-kata dari mulut Zaira bila dilihatnya butang 12 sudah pun ditekan. Dikerling lelaki tersebut yang masih setia memandangnya.

            “Okey.” Sepatah sahaja kata yang keluar dari mulut lelaki itu. Ingin sahaja Zaira bertanya jika dia bekerja di syarikat sama dengannya. Setahu Zaira, hanya ada pejabat syarikat yang dia bekerja sekarang sahaja di tingkat dua belas. Mana ada pejabat lain.

            Kalau dia bukan pekerja di situ, besar kemungkinan dia hendak berjumpa dengan orang sana. Tidak pernah pula dia melihat lelaki tersebut selama dia bekerja di situ. Lagipun baru tiga hari sahaja dia mula berkhidmat di syarikat tersebut. Mungkin dia pergi bercuti waktu kau masuk kot. Bisik hati Zaira.

            “Awak kerja dekat sini ke?” serta merta terhenti lamunan Zaira. Macam tahu-tahu je aku sedang fikirkan apa yang dia tanya ni. Ada keserasian sikit tu. Ketawa riang Zaira dalam hati.

            “Saya baru tiga hari kerja dekat sini. Encik…pun kerja dekat sini ke?” Pintu lif sudah terbuka sebaik sahaja Zaira habis bertanya. Hanya senyuman terukir di bibir lelaki tersebut. Dibiarkan pertanyaan tersebut tergantung.

            Biarlah Zaira. Takkan nak tarik tangan dia suruh jawab pertanyaan kau tadi. Hanya senyuman terukir di bibir mungilnya.

            Rasanya betul sangkaan Zaira saat dia melihat lelaki tersebut menarik pintu utama Syarikat Kenanga Holdings. Kerja dekat sini, tapi malu nak beritahu pulak. Ngomel Zaira sendiri.
           
            “Good morning Azlin.” Zaira terus meletakkan beg tangannya di dalam laci dan segera dihidupkan komputer. Matanya masih tercari-cari lelaki tadi. Cepatnya dia berjalan. Langsung tidak nampak kelibatnya di ruang pejabat.

            Jangan-jangan……. Terus rasa seram sejuk pulak.,

            “Zaira, tolong aku ye. Tolong aku buatkan air Nescafe. Untuk bos kita. Kak Siti tu cuti pulak hari ni. Dia pergi check up. Selalunya dia yang buatkan air untuk bos.” Muka penuh berharap si Alin tunjuk.

            “Aku?!” Zaira rasa pelik. Kenapa pula si Azlin tak boleh buatkan. Kenapa nak aku pula.

            “Aku buat tak sedaplah. Dulu aku pernah buat. Tapi bos macam tak suka sangat. Tak habis pun dia minum. Malas aku nak buat lagi. Kaulah pulak cuba nasib. Kalau habis air Nescafe tu maknanya sedaplah kau buat.” Panjang betul penjelasann Azlin.
\
            “Ye ke….” Zaira ada sedikit tidak percaya. Entah-entah dia malas nak pergi pantri tu. Tu sebab dia reka cerita macam ni.

            “Dah, kau jangan fikir aku reka cerita lak. Betul, aku tak tipu.” Beria-ia Azlin cuba meyakinkan si Zaira untuk percaya dengan kata-katanya.

            “Yelah.” Sempat Zaira menarik hidung Azlin sebelum berlalu ke pantri. Apa lagi, dengarlah juga Azlin menjerit kecil. Takpalah, air je pun. Bukannya kena buat kuih ke apa.

            Zaira membawa secawan Nescafe menuju ke meja Azlin. Baru beberapa langkah, terdengar suara Azlin memanggilnya. Sibuk si Azlin menuding jari ke bilik bos sambil tersengih.

            Pemalas punya budak. Sempat Zaira mengutuk kawannya itu. Terus rasa kecut perut. Inilah kali pertama dia akan masuk ke dalam pejabat bos besar. Sudahlah tak pernah bersua muka pun. Macam manalah agaknya wajah bos. Tapi kalau dari kata-kata Azlin, bos mereka ni kacak orangnya. Wajah perfect orang kata.

            Lagi lama Zaira tunggu, lagi kecut perutnya. Dia tidak menunggu lama, terus sahaja dia mengetuk pintu bilik. Bila dengar sahaja suara seseorang memberi kebenaran masuk, segera dibuka pintu dan berjalan masuk.

            Dilihatnya seorang lelaki sedang khusyuk meneliti dokumen di atas meja. Ada banyak fail-fail yang bersepah di tepi.

            Aduh, macam kenal je dia ni. Bukan ke…. Dia lelaki tadi. Satu lif dengan aku. Rasa jantungnya berdegup kencang. Semakin lama semakin laju. Boleh kena serangan jantung si Zaira ni nanti.

            Rupa-rupanya lelaki yang dia langgar tadi tu adalah bos besar dekat syarikat ni. Barulah Zaira teringat kata-kata Kak Siti pada hari pertama dia mula bekerja. Bos mereka itu masih bujang lagi. Hensem. Bergaya. Memang boleh buat seorang wanita tergugat kalau tengok dia lama-lama. Cukup sempurna di mata ramai wanita.

            “Terima kasih.” Tersentak Zaira bila mendengar suara bosnya itu. Itulah Zaira. Berangan je kau tahu. Zaira sekadar mengangguk dan berlalu keluar. Kalau dia boleh berlari tadi, memang dia buat. Tetapi memandangkan bos sedang memerhatikannya, terpaksa dia mengawal setiap langkahnya. Jangan tersilap. Kalau jatuh lagi malu dibuatnya. Mulutnya pula sudah terkunci awal-awal lagi. Kalau diajukan soalan, mahu isyarat orang bisu ditunjukkan.

           
            “Macam mana? Okey semua?” Tanya Azlin sebaik sahaja Zaira melintasi mejanya.

            “Entah, okey kot. Ni hah, aku nak beritahu. Tadi… Aku terlanggar dengan bos kat bawah masa kitorang nak masuk lif. Nasib dia tak maha. Cuma aku malulah. Bos sendiri pun aku tak kenal. Boleh pulak aku tanya dia tadi, kerja dekat sini ke. Malunya.,….” Dihirupnya air Nescafe yang dibuat tadi. Rasa panas air pun sudah tidak terasa di lidah. Rasa kebas semuanya.

            “Kenapa kau? Bukan aku? Aku ni.. nak sangat langgar dengan dia.” Pelik pula Azlin ni. Terus Zaira menampar lengannya. Bagi sedar sikit.

            “Iskh kau ni. Eh apa nama bos? Aku lupa lah.” Menggeleng kepala Zaira melihat perubahan wajah  Azlin. Nampaknya dia benar-benar nak berlanggar dengan bos ni. Ada juga spesis macam ni.

            “Nama dia Haikal Qarleef bin Zainal. Nama sedap, orang hensem. Kenalah tu. Oh ye, dia belum kahwin lagi tau. Tapi tulah, dia dah bertunang. Melepas aku wei.” Sekali lagi wajah sedih yang dipamerkan. Tergelak Zaira melihatnya. Sedihlah sangat.

            “Ala, kalau dia tak bertunang sekali pun, belum tentu kita ni dia pandanglah. Sebelah mata pun dia tak tengok. Jangan nak berharap nama kita masuk dalam senarai top 10, tahu tak. Dah lah, aku nak buat kerja ni. Nanti sambung lagi pasal jejaka idaman Malaya kau tu.” Sedikit ditolak badan Azlin supaya dia balik semula ke mejanya.

            Staf-staf lain termasuk Zaira sibuk menyiapkan kerja masing-masing. Walaupun baru tiga hari bekerja di situ, namun sudah banyak kerja yang dicampak di atas mejanya. Lagi-lagi si Zaira ni jenis yang cepat tangkap bila orang ajar, bertambah senanglah si pengajar. Ditambah pula staf di sini semuanya tidak sombong. Sentiasa membantu jika ada yang memerlukan. Itulah yang sentiasa diamalkan di dalam syarikat Kenanga Holdings.

            Haikal pula sibuk dengan projek-projek yang semakin bertambah. Banyak mesyuarat yang perlu dihadiri. Merata tempat dia perlu pergi.

            Begitulah rutin harian mereka beberapa hari ni. Banyak projek yang masuk, banyaklah kerja yang perlu disiapkan. Zaira pun jarang berjumpa dengan Haikal walaupun mereka di tempat kerja yang sama. Hanya Kak Siti yang tahu jadual harian Haikal. Memanjang dia tiada di pejabat. Kalau ada pun bukannya dia keluar dari pejabat pun. Semuanya orang yang bawa masuk ke biliknya.

            Walaupun begitu, ada juga beberapa kali Zaira dan Haikal bertembung. Hanya senyuman dilemparkan. Nak borak pun tak sempat. Lagipun nak tanya apa dekat bos. Lebih baik begini. Tak payah nak fikir nak cakap apa.

            Azlin dan Kak Siti yang banyak bercerita tentang Haikal. Kata mereka Haikal memang pemurah dengan senyuman. Itu sebab dia ramai peminat. Senyuman menggoda orang kata. Tapi Haikal tidak pernah melebihi batas. Hanya setakat senyuman sahaja. Belum pernah mereka dengar Haikal keluar dengan mana-mana perempuan kecuali tunangnya.

            Ya, tunang Haikal Qarleff. Alia Kirana binti Tan Sri Ahmad. Wow, anak Tan Sri. Sah-sahlah anak orang kaya. Cantik paras rupa. Kulit putih melepak. Tinggi pula tu. Itu sebabnya dia antara model yang terkenal di Malaysia. Sentiasa sibuk ke sana sini memperagakan pakaian.

            Haikal tidak ambil kisah sangat. Lagipun jika tunangnya itu tidak ada, dia akan menumpukan sepenuh perhatian pada kerja di pejabat. Kalau tidak asyik nak menempel 24 jam dengannya. Sekali sekala rasa rimas juga.

            Tan Sri Ahmad. Pemilik Syarikat Kenanga Holdings. Salah satu anak syarikat miliknya. Tan Sri Ahmad yang melantik Haikal menerajui syarikat tersebut. Ramai yang berfikir sebabkan dia bakal menjadi menantu Tan Sri, itu sebabnya dia dapat jawatan tersebut. Tetapi sebenarnya tidak. Tan Sri tidak langsung melihat itu semua. Memang Haikal layak memegang jawatan tersebut. Semua ciri-ciri ketua ada dalam dirinya.

            Sudah hampir setahun Haikal menjawat jawatan tersebut. Syarikat Kenanga Holdings juga menjadi semakin kuat. Banyak projek yang jatuh ke tangan mereka. Semuanya sebab Haikal. Dia tidak pernah mengsia-siakan peluang yang ada. Akan dia rebut sampai dapat.
           
           





Saturday, May 23, 2015

Majikanku Sayangku ~ Dia...Penjaga Hatiku

As salam dan Hai semua......

Lama betul tak update apa2 di sini. Dek kesibukan untuk menyiapkan Cinta Hati Sayang buat semua yang mengikuti cerita ini.

Moga semuanya berjalan lancar hendaknya. Aminnnn.

Dan sekarang ni...... kita nak sambung dengan cerita Majikanku Sayangku. Dah lama benar kita tinggalkan Zaira dan Haikal kan.

Ada penukaran sedikit di sini. Selepas ini tiada lagi Majikanku Sayangku, tetapi akan ditukar tajuk kepada DIA....PENJAGA HATIKU.

Watak?. Masih sama seperti Majikanku Sayangku.

Sebab apa?.... Ermmmm kena baca dan ikuti setiap bab yang akan kita up dekat sini nanti ye.

Tak lama lagi akan kita up Bab 1 untuk semua.....


Salam sayang.......
(Hairynn Salehuddin)



Monday, May 4, 2015

Cinta Hati Sayang - Teaser ke3

Maaf buat semua tertunggu-tunggu ye. Ni kita up Teaser ke3 untuk Cinta Hati Sayang.

Harap semua suka dan hilang sedikit kerinduan pada Lara dan Zarif.

*******************************************

Rasa letih pula Lara. Mug diambil. Air sudah pun habis diminum tadi. Dilihatnya masing-masing fokus pada kerja sendiri. Mengadap pelan dan laptop masing-masing. Lara berjalan seorang diri ke pantri. Jam dinding di kerling. Sudah pukul tujuh malam. Pukul berapalah dia hendak balik hari ni.

            Sedang Lara mengambil air panas, dia terdengar sesuatu dari belakang. Perasaan takut sudah mula menjalar di seluruh tubuhnya. Disebabkan hendak cepat kembali ke mejanya, Lara tidak perasan yang tangannya terkena air panas.

            “Aduh!” Hampir terlepas mug yang dipegangnya. Nasiblah dia masih sempat meletakkan mug tersebut di tepi sinki.

            “Lara!” Zarif menjerit nama Lara membuatkan dia sedikit terkejut. Mungkin yang tadi dia ingat sesuatu tu rupa-rupanya Zarif. Iskh, kalau dia tahu sudah pasti tiada perasaan takut ni.

            Tangan Lara dicapai. Bila sahaja dia tahu yang Lara terkena air panas, segera dibawa ke sinki dan dialirkan air pada tempat yang terkena air panas tadi. Lara tidak membantah. Dia hanya  mengikut sahaja. Rasa pedih dan sakit sudah semakin terasa.

            “Sakit?” Zarif cuba menyentuh perlahan tempat yang terkena tadi.

            “Sakitlah.” Lara sudah hampir hendak menangis. Dia cuba menarik kembali tangannya dari pegangan Zarif. Tetapi Zarif sudah dapat mengagak yang Lara akan menariknya. Semakin erat dia memegang.

            “Kita bubuh ubat. Jom pergi office I.” Cepat sahaja Lara menggelengkan kepala. Dia ingat kita dekat rumah ke ni. Dekat pejabat tahu tak. Kalau staf lain nampak layanan Zarif pada aku, mahu mereka buat cerita yang bukan-bukan nanti.

            “Tak payah. Nanti saya letak sendiri. Ada first aid dekat tempat saya.” Seboleh-boleh Lara tidak mahu pergi ke pejabat Zarif.

            “I know there is no First Aid dekat tempat you. Jangan nak bohong I. Jom ikut I. Jangan degil.” Tahu pula Zarif yang Lara menipu sahaja. Dia sendiri pun sebenarnya tidak tahu mana lagi ada kotak First Aid selain di dalam bilik Zarif.

            “Saya kata tak payah, tak payahlah. Nanti staf nampaklah. Awak! Sakitlah tangan saya.” Lara sudah tidak ingat yang dia sepatutnya memanggil Zarif dengan panggilan Encik. Mereka masih berada di dalam pejabat lagi. Dia terlupa. Semakin terasa sakit tangannya bila Zarif tersentuh tempat terkena tadi.

            “Dah sakit, jomlah. Bilik pejabat je pun, bukannya bilik tidur. You takut I apa-apakan you ke?” Lara tidak berdaya hendak menjawab. Sakit tangan lebih kuat dirasakan.

            “Kenapa ni Encik Zarif? Lara?” Musa kebetulan masuk ke pantri untuk membasuh mug. Dia sudah hendak balik kejap lagi. Kerjanya sudah pun siap.

            “Tangan Lara ni kena air panas. Musa, tolong ambilkan First Aid.” Segera Musa meletakkan mug tadi dan terus mengambil First Aid. Dibukanya salah satu laci di kabinet atas.

            “Nah Encik Zarif.” Lara nampak dimana Musa mengambilnya tadi. Walaupun tangannya sakit, tetapi tidak matanya. Dipandang tajam Zarif di hadapan. Begitu juga Zarif. Dia tahu perasaan Lara terhadapnya sekarang.

            “Manalah I tahu ada dekat situ.”

            “Apa dia Encik Zarif?” Musa pula yang sibuk bertanya. Dia tidak tahu apa yang berlaku antara Zarif dan Lara tadi. Dan apa yang mereka sedang fikirkan.

            “Nothing. Takpalah Musa, I boleh buat.” Zarif mahu Musa segera meninggalkan mereka berdua. Boleh pula si Musa akur dengan perintah Zarif. Yelah, bos besar. Takkanlah nak ingkar pula.

            “Takpa, saya boleh…” Tangan Lara ditarik sedikit kuat. Hampir menjerit Lara. Dia ingat tangan aku ni tangan patung ke.  Hampir menitis air mata Lara dibuatnya.

            Musa pura-pura tidak mendengar atau melihat. Dalam hatinya tertanya-tanya juga hubungan mereka ni. Nampak rapat je. Manalah pernah dia nampak bos besar syarikat terlalu baik pada stafnya. Walaupun dengan setiausahanya sendiri. Ini boleh pula sanggup nak letakkan ubat dekat tangan Lara.

            “Awak, sakitlah.” Menitis juga air mata Lara. Pedih bila Zarif sedikit kasar meletakkan ubat di tangannya. Hendak letak sendiri, si Zarif ni tidak  beri. Lembutlah sikit tangan Lara berbanding dengan tangan Zarif.

            “Sorry sayang.” Sempat lagi Zarif menyapu air mata di pipi Lara. Perbuatan Zarif padanya semakin hari semakin membuatkan hatinya terpaut pada Zarif. Lara cuba menepis perasaan tersebut jauh dari hatinya. Adakah dia mampu untuk menolak perasaan tersebut?...

            “Janganlah nangis.” Zarif sudah berhenti menyapu ubat di tangan Lara. Wajah Lara dipandang lama. Pandangan mereka bersatu buat seketika.

            “Jangan buat macam tu lagi, boleh tak?” Lara mengalihkan pandangannya dulu. Kalau dulu dia berani bertentangan mata dengan Zarif, tetapi kini tidak lagi. Macam ada sesuatu dari pandangan Zarif itu. Kalau dulu dirasakan kosong. Lara tidak rasa apa-apa pun. Tetapi sekarang berbeza.

            “Buat macam mana? Macam ni.” Zarif sekali lagi cuba mencuri pandangan Lara. Anak mata Lara dipandang tepat. Tidak lama pun. Lara yang mengelak dulu.

            “Ehem.” Berdehem Badrul di pintu. Laju sahaja Lara menarik tangannya dari terus berada di dalam pegangan Zarif.

            “Terima kasih Encik Zarif.” Lara tidak lupa mengucapkan terima kasih pada Zarif. Dia segera mengambil dan menyimpan ubat  ke dalam kotak First Aid tadi.

            “Its okay Lara. I simpan nanti. Siapkan apa yang patut je dulu. Nanti balik dengan I.” Lara tidak bersetuju sebenarnya, tetapi dia tidak mahu bertengkar dengan Zarif di hadapan Badrul. Dia berlalu meninggalkan mereka berdua di pantri.

            Zarif tidak menegur langsung Badrul. Dia sibuk menyimpan semula barang-barang yang dikeluarkan tadi dari bekas tersebut. Badrul yang mendekatinya. Duduk di sebelah.

            “Bro, apa ni?” Badrul menunggu Zarif menjawab.

            “Aku dah cakapkan dulu. Aku tak mahu bincang pasal ni.” Zarif tidak mengangkat muka pun. Kotak First Aid tadi sudah siap dikemaskan. Dia bangun lalu meletakkan semula di tempat yang diambil Musa tadi.

            “Tangan Lara kenapa?” Badrul perlu tahu. Lara dibawah tanggungjawabnya. Dia perlu ambil berat tentang semua staf yang bekerja di bawahnya.

            “Kena air panas. Kejap lagi aku nak balik. Dia ikut aku balik. Apa-apa kerja yang boleh tangguh, biar dia buat esok je.” Zarif menepuk bahu Badrul. Dia beredar dari situ tanpa berkata apa-apa lagi.

            “Lara, awak siapkan apa-apa yang patut je dulu. Yang lain-lain tu awak sambung esok je.” Badrul mengikut arahan Zarif. Kalau tidak diikut nanti, takut mengamuk pula Zarif dekat pejabat.

            “Yang urgent semua dah siap, Encik Badrul.” Lara membelek perlahan-lahan semua kerjanya. Masih sedikit rasa sakit lagi tangan kirinya yang kena tadi.

            Badrul mengangguk mendengarnya. “Awak baliklah dulu Lara. Esok sambung. Nanti Encik Zarif marah saya pulak kalau tak beri awak balik sekarang. Dia dah nak balik tu.”

            Lara hanya mampu tersenyum. “Oh ye Lara, tangan tu macam mana?”

            Hampir terlupa Badrul hendak bertanya. Dia teringat ni pun bila ternampak tangan Lara yang sudah disapu ubat.

            “Sakit lagi Encik Badrul. Tapi dah kurang sikit dari tadi.” Fail-fail di atas meja sudah disusun rapi. Komputer juga sudah ditutup.

            “Okey Lara, take care. Apa-apa telefon je saya.” Ikutkan hati hendak sahaja Badrul menghalang Lara dari terus rapat dengan Zarif. Hendak sahaja dia menghantar Lara pulang ke rumah. Tetapi dia tidak mahu disebabkan perbuatannya nanti akan mendatangkan masalah pada perhubungan rapat mereka berdua. Dan dia juga tidak mahu memberi masalah pada Lara.

            “Baik Encik Badrul. Saya… balik dulu ye. Jumpa esok.” Lara perasan yang Zarif sedang berdiri sambil memandang tepat padanya. Borak dengan bos sendiri pun takkanlah nak marah. Wajah Zarif memang berubah setiap kali Lara berbual mesra dengan Badrul. Dia memang tidak suka sama sekali. Hatinya rasa sakit.

            “Badrul cakap apa?” Terus ditanya pada Lara bila sahaja mereka masuk ke dalam lif bersama-sama.

            “Takda apa-apalah. Dia cuma tanya macam mana tangan saya ni je.” Diangkat sedikit tangan kirinya yang terkena air panas tadi.

            “Okey.” Lara tidak faham dengan Zarif. Dia nak cemburu apanya. Cemburu aku dengan Badrul. Aku ni bukan girlfriend dia pun. Nak cemburu apa.

            Masing-masing diam seribu bahasa di dalam kereta. Hanya muzik dari radio yang dipasang sahaja menutup kesunyian mereka.

            “Tengok tangan tu.” Berhenti sahaja kereta terus Zarif menyentuh tangan Lara.

            “Sikit jelah. Nanti okeylah ni. Bawa kereta tadi pun boleh. Awaklah ni.” Lara memarahi Zarif. Memang dia masih boleh memandu sebenarnya. Bukannya bawa kereta manual pun. Kereta automatik.

            “I risaukan you je. Taknak jadi apa-apa dekat you.” Zarif terus keluar dari kereta. Merajuk pula ke dia ni. Lara terdiam. Lantang sangat ke aku cakap tadi.

            “Awak, janganlah marah. Saya…saya minta maaf.” Lara rasa dia sedikit kasar dengan Zarif tadi. Orang dah buat baik dengan kau, ini balasannya. Tak elok tu Lara.

            “Awak.” Lengan Zarif disentuh lembut membuatkan langkah Zarif terhenti.

            “Pegang sekali lagi.” Sudah mula dah dia. Ini yang Lara malas ni. Jangan haraplah Lara hendak buat apa yang dia suruh. Laju sahaja Lara memintas Zarif. Kini dia berjalan di hadapan Zarif tanpa mempedulikannya. Ketawa kecil Zarif melihat gelagat Lara.

***************************************