My corner's visitor

Monday, October 31, 2016

E-Novel: Jangan Ada Cinta ~ Bab 3

JANGAN ADA CINTA

Bab 3

            “Amy Liana binti Azmil Stephen! Aku ceraikan kau dengan talak satu.” Suara tegas Daniel membuatkan semua terdiam termasuk isterinya yang baru sahaja dilepaskan.

            Semua mata yang ada di situ memandang tepat pada Daniel. Tan Sri Mohamed seperti tidak percaya dengan apa yang baru sahaja berlaku di hadapan matanya. Kebetulan Tan Sri baru sahaja pulang dari bermain golf. Tan Sri bersama dengan Pak Ali, pemandu peribadinya terhenti langkah mereka sebaik sahaja mendengar kata-kata tegas Daniel itu.

Memang sejak akhir-akhir ni pertelingkahan antara Daniel dan Liana semakin menjadi-jadi. Ada sahaja perkara yang tidak kena di mata Daniel. Begitu juga Liana. Itu tak kena, ini tak kena. Cuma mereka tidak pernah bergaduh di hadapan Tan Sri. Rasa hormat pada orang tua masih ada. Walaupun begitu, Tan Sri lebih cepat menghidu semuanya. Dia tahu hubungan mereka semakin retak. Cuma dia masih tidak tahu punca pergaduhan mereka yang sebenarnya.

“I never want to see you again Daniel Imran. You will regret it. You will.” Kali ini suara Liana pula yang semakin meninggi. Pandangan Daniel pada Liana masih seperti tadi. Tiada langsung rasa menyesal di sebalik anak matanya itu. Yang ada cumalah rasa marah membuak-buak.

“Daniel!... Liana!” sebelum Tan Sri mendekati mereka berdua, Liana terlebih dahulu melangkah laju menghampiri bapa mertuanya itu.

“I’m sorry daddy. Halalkan makan minum Liana selama ini.” Tangan Tan Sri dicapai. Dikucup lama sebelum air mata jatuh membasahi tangan. Rambut Liana diusap lembut. Rasa sedih menerjah di hati Tan Sri. Dia tidak suka perkara sebegini terjadi di dalam keluarganya. Ibu bapa mana yang suka melihat rumahtangga anak-anak mereka hancur begini.

“Daniel.” Tan Sri masih cuba memujuk anaknya itu untuk menghalang Liana keluar dari rumah mereka. Talak satu masih boleh dirujuk. Rujuk semula. Itu yang Tan Sri mahukan. Mungkin Daniel telah melakukan kesilapan. Manusia. Tidak akan terlepas melakukannya. Tapi..semuanya boleh diperbetulkan.

“I’m sorry daddy.” Daniel tidak menunggu lama. Wajah Tan Sri dipandang sekali imbas sahaja sebelum dia berlalu menaiki tangga ke tingkat atas.

Begitu juga dengan Liana. Dia masih terus melangkah keluar dari rumah tersebut. Tan Sri hanya mampu melihat sahaja.

“Sabar Tan Sri. Mereka tengah marah tu. Kita tak boleh buat apa-apa. Tunggu nanti dah reda sikit.” Pak Ali cuba memujuk Tan Sri. Dia tahu bagaimana perasaan Tan Sri. Perasaan seorang ayah.


            Deringan telefon menyedarkan Daniel dari lamunannya.

            Astaghfirullahalazim. Mengucap panjang si Daniel. Peristiwa lama kembali menerjah fikirannya.

            Telefon yang diletakkan di atas meja masih berdering. Dengan hanya mendengar deringan tersebut sudah dia tahu siapakah pemanggilnya.

            “Hai sayang.”

            “You dah mandi? Tengah buat apa?” suara manja Mira berjaya menenangkan perasaan Daniel yang sedikit gelisah.

            “Belum lagi. I tengah tengok CNN ni. After this I pergi mandi ye sayang.” Memang Daniel terpaksa berbohong. Orang kata bohong sunat. Takkanlah Daniel nak beritahu perkara sebenar pada buah hatinya itu. TV pun tidak terpasang. Tengok CNN konon.

            “Okeylah, ibu dah balik tu. Take care sayang. I love you.”

            “You too sayang. Take good care. I love you so much.”

            Arghhhhhh… kenapa selepas tiga tahun semuanya muncul semula. Kenangan pahit dalam hidupnya kembali bermain di fikiran. Wajah wanita yang sudah lama dia lupakan kini masuk ke dalam mimpinya. Apakah semua ini… Apa yang berlaku sebenarnya…..

            Amy Liana…. Kenapa kau perlu melintasi pandangan mataku kini.


“Diana, kalau Daniel dah masuk pejabat, suruh dia jumpa saya.” Arahan pertama Tan Sri untuk hari ni diterima.

“Baik Tan Sri.”

Dari tadi Diana masih tidak nampak kelibat Daniel masuk ke pejabat. Tapi manalah tahu dia terlepas pandang. Segera diangkat gagang telefon dan mendail sambungan pejabat Daniel.

Tiada sesiapa yang menjawabnya.

Baru sahaja Diana hendak meletak gagang telefon, pandangannya terus tertacap pada susuk tubuh seseorang.

“Daniel, Tan Sri panggil you.”

“Daddy dah sampai? Awalnya.” Diana sekadar mengangguk sambil tersenyum.

“Kak Die, tolong jagakan kejap.” Beg laptop diletakkan di atas meja Diana. Jarak umur antara mereka membuatkan Daniel anggap Diana seperti kakaknya sendiri. Lagipun banyak juga Diana hulur bantuan pada Daniel berkaitan dengan kerja pejabat.

“Yelah anak Tan Sri.” Sengaja Diana usik Daniel pagi-pagi begini. Menjeling sedikit Daniel pada Diana. Jeling manja. Dan bagi Diana, dia sudah biasa menyakat si Daniel dengan gelaran tersebut.

            Selepas mengetuk pintu pejabat Tan Sri, Daniel masuk tanpa menunggu lebih lama. Wajah daddy nya dipandang tepat.

            “Daddy nampak pucat. Are you not feeling well?” Daniel segera mendekati Tan Sri dan letak tapak tangannya di atas dahi Tan Sri.

            “Daddy tak demam. Just…..rasa letih sikit beberapa hari ni.” Sedikit ditepis tangan anaknya dari terus berada di dahi.

            “Then… pergilah berehat few days ni daddy. Mana yang Daniel boleh uruskan, biarlah Daniel urus.” Perasaan risau menerjah di hati Daniel. Dia tahu tahap kesihatan Tan Sri tidaklah berapa baik. Kuat sangat bekerja punca utama. Dia kena banyak berehat sebenarnya. Itu yang doktor sarankan dahulu. Tapi macam biasalah, kedegilan Tan Sri tak boleh disangkal. Kalau dia tak mahu, janganlah dipaksa atau dihalang.

            Kan lebih senang kalau mummy masih ada. Kenapa mummy perlu tinggalkan kami semua terlalu awal.

            “Itu semua kuasa Allah Daniel. Jangan sesekali menolak takdir. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita semua.” Air mata Daniel mengalir saat dia teringatkan kata-kata Tan Sri dahulu selepas balik dari tanah perkuburan.Jenazah mummy selamat dikebumikan.

            “Daddy, why don’t kita cuba minta Abang Im…..” Kata-kata Daniel terhenti saat Tan Sri memandang tepat ke dalam anak matanya.

            “He’s happy there. Daddy tak mahu rosakkan kebahagiaan dia dekat sana.”

            “But daddy..”

            “Daniel, stop it. Daddy masih boleh uruskan semuanya ni. Daniel kan ada.”

            “Daniel tak sekuat Abang Im. He is the perfect person daddy. Daniel yakin he can replace you better than me.” Memang itu yang Daniel rasakan. Dia masih tidak yakin dengan dirinya sendiri untuk mengambil alih tempat Tan Sri. Pengalaman yang dia ada masih tidak cukup.

            “Enough Daniel!”

            Terdiam Daniel. Dia tidak tahu kenapalah susah sangat daddy hendak terima apa yang dia katakan. Memang itu yang terbaik untuk syarikat ini. Daniel tidak pernah pentingkan diri sendiri. Kalau betullah dia tamakkan harta, sudah lama dia ambil alih tempat daddy nya. Biar dia pegang jawatan tertinggi di dalam syarikat tersebut.

            “Kak Die kata daddy cari Daniel pagi tadi. Ada apa daddy?” Daniel tidak mahu memanjangkan lagi perkara tersebut. Dia tahu akhirnya nanti dia juga yang terpaksa mengalah.

            “Daddy nak Daniel uruskan projek ni. Ada masalah sikit. Try figure out apa masalahnya. Projek tak dapat siapkan dalam masa yang kita nak. Hamdan is the person in charge. Try check with him.”   

            Fail di tangan Tan Sri dicapai. Dia berlalu keluar dari pejabat tersebut. Sempat Daniel mengerling pada wajah Tan Sri. Apa yang Daniel boleh buat. Sekadar mengeluh. Mana boleh dipaksa-paksa Tan Sri Mohamed ni.

           
            “Daniel, beg ni.” Hampir terlupa Daniel dengan beg laptopnya. Nasiblah Diana ingatkannya.

            “Terlupalah Kak Die. Sorry.”

            “Kenapa ni? Ada masalah ke dengan Tan Sri?” Diana sekadar mengagak. Selalunya Daniel memang begitu. Boleh nampak dari raut wajahnya.

            “Daddy nampak tak sihat tu. But, you know him. Degil.” Perlahan sahaja Daniel bersuara tetapi masih jelas di telinga Diana. Mengangguk berulang kali dia. Memang betul pun apa yang Daniel kata. Degil.

            “Oh ye, asyik lupa je nak tanya. How’s your brother, Hakim? Dia masih dekat sana ke?”

            “Yup. Masih dekat sana. And he is doing well there. Kerja dengan company besar Kak Die. Abang Im berani. Not like me. Jauh beza.” Ketawa Kak Die mendengarnya. Lagi-lagi bila Daniel buat raut wajah dengan bibir sedikit dijuihkan.

            “Mana ada. Daniel pun berani. Like him. Like your daddy.” Ayat pujuk hati Daniel.


            “Pandai ajelah Kak Die ni. Okeylah, Kak Die, tolong call Hamdan. Suruh dia jumpa saya dekat pejabat. Thank you.” Dengan galas beg laptop dan fail di tangan, Daniel melangkah terus menuju ke pejabatnya. Banyak kerja yang perlu diuruskan hari ni.

E-Novel: Jangan Ada Cinta ~ Bab 2

JANGAN ADA CINTA

Bab 2

“Mira, Encik Fuad panggil.” Kedengaran suara Kak Mimi dari tempat duduknya.

“Okey.” Balas Mira pula. Fail-fail yang baru sahaja diambil dari kabinet diletakkan di tepi meja. Kaki segera melangkah menuju ke bilik Encik Fuad.

            Tuk Tuk….

            “Masuk.” Suara Encik Fuad dari dalam memberi kebenaran pada Mira.

            Pintu dibuka dari luar. Mira melangkah perlahan menghampiri meja Encik Fuad. Dilihatnya dia sedang meneliti kertas kerja yang Mira berikan padanya semalam.

            “Duduk Mira.” Tanpa tunggu lama, Mira segera menarik kerusi dihadapan meja Encik Fuad. Matanya masih sibuk memerhatikan kertas-kertas yang berada di atas meja.

            “Okey, saya dah semak kerja Mira ni. Macam biasa, semua seperti yang saya nak.”

            Tarik nafas lega Mira sekali lagi. Kerjanya sekali lagi memuaskan hati Encik Fuad.

            “Oh ye Mira. Ambil fail ni. Kemaskinikan. Sebab minggu depan saya nak kena update pada mereka.” Mira angguk tanda mengerti. Fail di tangan Encik Fuad diambil.

            Teguh Maju Holdings.

            Syarikat milik seseorang yang Mira cukup kenal. Milik Tan Sri Mohamed. Daddy kepada Daniel Imran, buah hati tersayang.

            “Kenapa tersenyum lak ni? Ada apa-apa yang melucukan ke?” Pertanyaan Encik Fuad menyedarkan lamunan Mira.

            “Aaa, takda apa-apa Encik Fuad. Kalau takda apa-apa, saya keluar dulu.” Malu pula Mira pada Encik Fuad. Yelah, apa tidaknya. Boleh pulak dia tersenyum sorang-sorang bila dapat fail tebal macam tu. Tersenyum bila kerja bertambah. Pelik.

            Fail tadi dipeluk erat. Dah macam peluk teddy bear yang baru dihadiahkan oleh buah hati. Mira….. Mira…..


            “Tan Sri, okey ke ni?” Diana, pembantu peribadi Tan Sri Mohamed menghampirinya. Wajah pucat majikannya yang sudah berumur diperhatikan.

            “Rasa letih sikit. Diana, petang ni saya ada meeting dekat Putrajaya kan?” Tan Sri sesekali memegang dadanya sambil dahinya berkerut. Menahan sakit. Sejak akhir-akhir ni kesihatannya tidak berapa baik. Dadanya kerap kali terasa sakit.

            “Ya Tan Sri. Meeting dengan LNE Engineering tentang projek dekat Pahang. Tapi… Tan Sri nampak tak sihat ni. Apa kata kita tunda meeting ni ke hari lain?” Diana cuba memberi pendapat. Dia juga risau dengan kesihatan Tan Sri. Kuat sangat bekerja di usia begini.

            Sudah lama juga Diana ni  hendak menyuarakan pendapatnya. Tapi takut Tan Sri tak bersetuju. Sepatutnya sudah masanya Tan Sri menyerahkan kebanyakkan kerja-kerjanya kepada anak lelakinya. Dia sepatutnya perlu banyak berehat dengan faktor usianya yang sudah meningkat tua.

            “Diana, awak tahukan betapa pentingnya mesyuarat kali ni. Banyak benda yang kita kena bincangkan dengan mereka. Jangan lupa suruh Zarif, Hamid dan Michael pergi sekali nanti.” Apa lagi yang Diana boleh buat selain mengangguk. Arahan dari bos besar perlu dituruti. Kalau ingkar, faham-faham ajelah. Memang Tan Sri tidak suka sesiapa pun mengingkari arahannya. Itu sudah pasti.

            “Diana, Daniel balik bila?” Kaki yang tadi melangkah terhenti bila suara Tan Sri kedengaran. Berpaling semula memandang Tan Sri.

            “Kalau ikutkan flight dia hari ni. Esok baru dia masuk kerja semula. Kenapa Tan Sri?”

            “Nothing.” Sekali lagi Diana angguk kepala sebelum berlalu keluar. Pintu ditutup rapat dari luar.

           
            “Zarif, aku risaulah.” Sebaik sahaja Diana menghampiri meja Zarif, terus diluahkan perasaan gelisahnya.

            “Risau pasal ape pulak ni? Ada orang nak tackle kau ke?” Zarif sengaja mengusik Diana, kawan yang dikenali sejak 5 tahun lalu.

            “Iskh kau ni. Ke situ pulak dia. Aku risau pasal Tan Sri ni.” Ditamparnya sedikit bahu Zarif.

            “Oooo Tan Sri. Yelah, aku pun tengok dua tiga hari ni Tan Sri nampak tak berapa sihat. Kau tak suruh Tan Sri pergi jumpa Dr. Alif ke?”

            “Macamlah kau tak kenal Tan Sri. Dia mana nak dengar nasihat orang. Aku suruh dia postpone meeting petang ni, tapi dia taknak. Nak teruskan juga meeting tu. Nanti kau, Hamid dengan Michael kena ke Putrajaya. Meeting start at 2.30. Don’t be late. Macam biasa, jumpa Tan Sri dekat sana terus.” Sememangnya Zarif sudah dari semalam tahu yang dia antara orang yang kena hadiri mesyuarat petang nanti. Jadi memang dia sudah bersedia pun.

           
            “Mira, aku balik dulu ye.” Hani capai beg tangannya. Dia memang jarang balik lambat. Sharp on time punya. Boleh dibilang dengan jari berapa kali sahaja dia balik lewat dalam sebulan. Itu pun selalunya akhir bulan. Sebab nak siapkan repot hujung bulan.

            “Eh jap-jap. Aku pun nak balik cepat hari ni. Sharp on time macam kau jugak.” Dan kali ini  giliran Mira pula mencapai beg tangannya sambil jari laju menekan butang off di skrin komputer.

            “Waaaaa ini mesti ada date ni kan. Oh yelah, aku lupa. Hari ni si buah hati pengerang jantung kau dah balik Malaysia kan. Patutlah dari pagi asyik tersenyum aje.” Hani betul-betul terlupa yang Mira ada beritahu padanya semalam.

            Senyuman di bibir Mira semakin melebar. Siapa yang tak suka kalau dapat bertemu dengan orang tersayang. Lepaskan rindu bilamana hampir seminggu tidak berjumpa.

            Hani memaut lengan Mira sementara menunggu lif tiba untuk ke tingkat bawah. “Kau nak pergi mana ni?”

            “Penyibukkkkk.” Pandangan tepat dituju pada Hani. Apa lagi, tersemburlah ketawa kuat dari mulut Hani, begitu juga Mira. Nasiblah tiada siapa yang peduli dengan mereka. Masing-masing sibuk dengan telefon sendiri.

           
            “Sayang kat mana?” Suara romantik Daniel memenuhi ruang telinga Mira.

            “Kejap lagi sampai. Lagi 5 minit. You dah sampai ke?”

            “Dah, I ada depan rumah you ni. Your mom macam takda dekat rumah. Kereta takda ni.”

            “Ibu keluar. Pergi hantar tempahan kek. Okey, nak sampai. I dah nampak kereta you.” Sebaik sahaja kereta membelok menghampiri kawasan rumah, kereta Porsche hitam milik Daniel yang kelihatan di penglihatannya.

           
            “Assalamualaikum.” Daniel beri salam sebaik sahaja Mira turun dari kereta. Sebenar-benarnya dia juga rasa rindu pada wanita yang berada di hadapannya sekarang ini.

            “Waalaikumussalam. Lama ke you tunggu? Sorry, tadi traffic light kat depan tu lambat.” Sambil menutup semula pintu pagar dan berjalan menghampiri Daniel yang sedang bersandar di tepi keretanya. Cantik punya posing. Ala model terkenal.

            “Demi sayang. Lama pun takpa. I sanggup.” Kenyit mata si Daniel pada Mira.

            “Mengada-ngada. Jomlah sayang. Lapar ni.” Memang perutnya sudah keroncong. Tadi tengahari mana dia turun makan pun. Sekadar alas perut dengan roti marjerin. Itu pun si Hani yang paksa dia makan.

            “Ala sayang lapar. Okey, jom.” Mereka memasuki kereta dan beredar dari situ.

            Restoran yang menyajikan makanan barat menjadi pilihan mereka berdua. Selalunya Daniel yang akan memilih tempat makan. Mira sekadar mengikut sahaja. Lagipun jarang si Mira ni makan di luar. Manalah dia arif sangat tentang tempat-tempat makan yang sedap. Berbeza dengan Daniel. Selalu keluar makan dengan Tan Sri lah, kawan-kawan rapatnya lah, dan sekali sekala dengan klien syarikat mereka.

            Sedang mereka menikmati makan malam bersama, kelibat seseorang membuatkan masing-masing terdiam. Padahal tadi sibuk si Daniel bercerita tentang Osaka, Jepun.

            Macam kenal aje perempuan tu.

            Bisik hati kecil Mira. Puas dia cuba ingat semula di mana dia pernah nampak wajah perempuan tersebut. Daniel pun tiba-tiba diam pulak. Mira semakin yakin bahawa perempuan tersebut mesti ada kaitan dengan Daniel.

            “You kenal dia?” Mira beranikan diri bertanya. Selagi dia tak tanya, selagi itulah persoalannya tidak terjawab. Naik pening dia cuba ingat.

            “She is my ex wife. You lupa ye sayang.” Perlahan sahaja suara Daniel menjawab tapi cukup jelas di telinga Mira.

            Yes. Baru sekarang Mira ingat. Daniel pernah tunjuk gambar dia bersama bekas isterinya bercuti di Switzerland. Berbulan madu di sana.

            “Are you okay?” Daniel segera capai tangan Mira. Dipegang erat. Pandangannya tepat memandang wajah Mira. Dia tidak mahu Mira rasa cemburu dengan bekas isterinya itu.

            “Yes, I am. Don’t worry about me.” Mira cuba tenangkan hati sendiri. Siapa yang tak cemburu. Bekas isteri kemain cantik persis model. Tinggi pulak tu. Kulit putih melepak. Lagipun Daniel pernah cerita serba sedikit tentangnya. Anak kacukan. Mummy melayu, daddy Mat Saleh.

            “Okay sayang. Mana tadi, pasal Osaka kan.” Daniel kembali bercerita. Sesekali matanya masih sibuk menjeling ke arah pintu. Risau jika bekas isterinya masuk semula ke dalam restoran. Dia tidak mahu mood Mira berubah.

            Tapi…. Adakah benar dia risaukan tentang mood Mira atau sebenarnya mood dirinya sendiri.