My corner's visitor

Tuesday, December 10, 2013

E-Novel : Kau Tetap Milikku - Bab 24

To all followers.. Ni ada satu bab KTM ye. Pengubat rindu... Harap semua suka ye dengan sambungan ni...TQ guys...


KAU TETAP MILIKKU

BAB 24

                Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, Arina diam seribu bahasa. Sepatah yang ditanya, sepatahlah yang dijawab. Dia masih tidak dapat menerima yang Haris tidak membenarkannya pergi bercuti bersama-sama dengan kawan-kawannya nanti. Macam mana dia hendak memberitahu pada Mimi dan Linda. Seronoknya mereka dapat ke sana.

                “Arina… take this.” Arina memalingkan mukanya pada Haris. Yang membuatkan Arina lebih terkejut bila melihat kad ATM yang dipegang Haris.

                “Kad bank?. Untuk apa?” Arina masih tertanya-tanya kenapa Haris memberikan kad ATM padanya.

                “This is for you. Untuk kegunaan Arina. I dah masukkan six thousand semalam. Every month I akan masukkan lagi. Kalau ada benda yang Arina nak bayar atau nak beli, just pakai duit ni. Kalau tak cukup let me know. I will give you more.” Tercengang Arina mendengar segala yang diterangkan Haris. Tidak pernah  terfikir Arina untuk mendapat duit belanja sebanyak itu dari seseorang.

                “Haris…..” Arina tahu dia memang isteri Haris. Tetapi isteri yang bukan isteri sebenar. Dia tidak layak untuk mendapat simpati Haris. Dia tidak layak untuk mendapat perhatian Haris. Dia tidak layak untuk menggunakan duit Haris.

                “No Arina. Just take it. You are my wife!. Berapa kali I nak ingatkan you Arina?. You deserve for all this.” Haris memperlahankan suaranya  yang tadi sedikit kuat. Arina takut jika Haris bertindak ganas. Perlahan-lahan dia mengambil kad tersebut dari tangan Haris. Lima ribu bukan sikit tu. Berapa bulan punya gaji tu.

                “And pasal cuti tu… I izinkan. But remember Arina…. Jangan buat benda yang I tak suka belakang I. You tahukan akibatnya kalau I marah.” Apa lagi… tersangat suka Arina sehingga dia hampir memeluk Haris. Senyum lebar Arina bila mendapat keizinan dari suaminya.

                “Terima kasih Haris. Arina janji yang Arina takkan buat benda-benda yang Haris tak suka.” Arina masih memandang Haris dengan wajah yang ceria. Tidak seperti tadi.

                “Peluk I dulu.” Haris sudah tersenyum memandang Arina. Aduh…. Nak kena peluk pulak ke …..Takpalah…cuti punya pasal.

                Arina merapatkan dirinya pada Haris dengan niat untuk memeluknya. Namun Haris lagi cepat menangkap bibir merah Arina. Terus Arina menjarakkan dirinya dari Haris.

                “Haris…….kata nak peluk je. Kenapa ni?” Arina menunjukkan bibirnya yang dipagut Haris tadi.

                “Nak lepaskan rindu.” Haris cuba mendekatkan dirinya lagi pada Arina. Cepat-cepat Arina keluar dari kereta. Ketawa kecil Haris melihat Arina yang tergopoh gapah keluar. Entah kenapa Haris berasa sangat gembira bila setiap kali bersama Arina. Hidupnya akan lebih lengkap sekiranya Arina tinggal bersamanya. Langkah seterusnya yang perlu diambil Haris. Tinggal bersama. Dia perlu mencari jalan untuk membawa Arina tinggal bersama-samanya.

                Selepas menutup pintu bilik, Arina mengeluarkan kembali kad ATM yang diberikan Haris. Dia masih tidak percaya yang Haris sanggup memberikan dia wang sebanyak itu padanya. Tiap-tiap bulan pulak tu. Kata-kata Haris tadi masih terngiang-ngiang di telinganya.

                “Anggap ini sebagai nafkah zahir seorang suami pada isterinya. Nafkah batin je dah lama tak beri.”

                Itulah kata-kata Haris selepas dia memberikan nombor pin untuk kad tersebut pada Arina.  Arina tidak tahu apa yang patut dia buat. Kenapa pula Haris perlu memberitahunya tentang nafkah suami isteri. Salahkah dia kerana tidak menjalankan tugas sebagai isteri yang sebenarnya. Dia nekad. Selepas pulang dari bercuti nanti, dia perlu berbincang dengan Haris mengenai hubungan mereka. Sampai bila mereka harus begini.


                “Kau dah bawak semua barang-barang penting ke?” Mimi menjerit pada Arina yang sedang menuruni tangga rumah dengan beg yang hendak dibawa bercuti.

                “Alamak!. Telefon aku.” Selepas meletakkan begnya di tepi pintu, dia berlari semula ke atas mengambil telefon bimbitnya yang diletakkan di tepi tempat menggosok baju.

                Ada sepuluh panggilan yang tidak dijawab. Semuanya dari Haris. Cepat-cepat dia mendail semula nombor Haris. Dia tahu Haris memang tidak suka jika panggilannya tidak dijawab.

                “You kat mana Arina? Kenapa tak angkat phone?” Suara Haris kedengaran sedikit tegas. Apa tidaknya sudah berapa kali Haris menghubunginya, satu pun tidak diangkat.

                “Arina mandi tadi. Phone dekat luar.” Memang betul apa yang diberitahu Arina.

                “Gerak kul bapa ni Arina?” Haris cuba melembutkan sedikit nada suaranya. Dia tidak mahu Arina berasa takut lagi dengannya seperti dulu. Dia mahu mewujudkan kemesraan antara mereka.

                “Kejap lagi nak gerak ni. Tengah siap-siap. Haris ke Singapore pukul berapa?” Giliran Arina pula yang bertanya. Dia cuma tahu yang Haris juga akan ke Singapura hari ini tetapi tidak pula dia tahu pukul berapa.

                “I gerak esok pagi sayang dalam pukul 7. So, semua barang-barang penting dah bawa? Jangan lupa your handphone and charger. Nanti susah I nak call.” Handphone yang dia ingat. Rasanya kalau lupa bawa beg duit yang lagi bahaya. Iskh Haris ni.

                “Dah bawa dah semua. Arina nak kena pergi ni. Nanti dah sampai Arina bagitahu ye.” Arina ingin segera turun. Dia tahu kawan-kawannya mesti sedang menunggunya.

                 “Okey Arina. Guna duit semalam I bagi tu untuk beli barang-barang. Apa-apa call I cepat. Take care sayang.” Arina juga mengucapkan selamat jalan pada Haris. Masing-masing ke destinasi berlainan. Berat rasa hati Haris untuk membenarkan Arina pergi. Tetapi dia kesian dengan Arina. Beria-ia ingin bercuti bersama kawan-kawannya. Ya….Haris juga sudah bercadang membawa Arina bercuti ke luar negara. Rasanya sudah sampai masanya dia perlu memberitahu kepada semua orang. Yang dia khuatir cuma mamanya sahaja. Risau jika dia tidak boleh menerima yang menantunya hanyalah seorang kerani biasa. Bukan anak Dato’ atau Tan Sri.

                Memang benar sangkaan Arina. Kawan-kawannya sudah menunggunya di dalam kereta. Semangat benar mereka ni. Arina juga seperti mereka. Entah kenapa terasa sangat teruja untuk pergi bercuti. Mungkin kerana sudah lama mereka tidak ke mana-mana bersama.

                Abang Mimi yang menghantar mereka menaiki bas untuk ke Kuala Besut. Di sana baru mereka akan menaiki bot untuk ke Pulau Perhentian. Bas dari Kuala Lumpur bertolak pukul sepuluh malam. Dijangka sampai ke Kuala Besut pukul enam pagi esok. Banyak kali Haris mempelawa diri untuk menghantar mereka ke stesen bas namun ditolak lembut oleh Arina. Katanya mereka sudah meminta abang Mimi untuk menghantar mereka ke sana.

                Arina dah naik bas. Kejap lagi jalan.

                Butang SEND ditekan. Berulang kali Haris mengingatkannya supaya menghantar mesej bila sahaja dia menaiki bas. Macam budak-budak pun ada. Dituruti sahajalah arahan tuan besar seorang ni.

                Take care sayang. Anything call me. Enjoy your holiday.

                Selepas membaca mesej yang dibalas oleh Haris, Arina melelapkan mata. Kesibukan di tempat kerja siang tadi membuatkan Arina bertambah letih.

                “Arina pergi dengan siapa ni?” tanya Dato’ Mahizan dengan tiba-tiba bila sahaja Arina dipanggil masuk.

                “Saya pergi dengan teman-teman serumah saya Dato’.” Pelik juga Arina bila Dato’ Mahizan sibuk bertanya padanya. Risau juga di dalam hati Arina kalau-kalau Dato’ Mahizan tahu tentang hubungannya dengan Haris.

                “Semua perempuan ke? takda pergi dengan lelaki?” bertambah pelik Arina dengan soalan yang diajukan padanya. Apa kena dengan bosnya ni. Jangan-jangan dia ingat aku pergi dengan anaknya. Aduh….

                “Eh tak Dato’. Saya pergi dengan dua orang kawan perempuan saya sahaja. Takda kaum adam yang ikut.” Dato’ Mahizan cuma mengangguk perlahan. Ada senyuman terukir dibibirnya. Apa tanda senyuman tersebut. Arina sendiri tidak mengerti.

                “Baiklah. Jaga diri baik-baik.” Arina cuma mengangguk sebelum keluar dari bilik tersebut. Mungkin Dato’ mengambil berat tentang pekerja-pekerjanya. Arina membuat andaiannya sendiri.

                Bas yang mereka naiki masih meneruskan perjalanan ke Kuala Besut. Arina terjaga bila telefonnya berbunyi. Nasiblah Arina terfikir untuk memperlahankan bunyi tadi semasa menunggu bas.

                “Arina dah dekat mana ni?” Haris yang menelefonnya. Hairan Arina. Sudah hampir pukul empat pagi takkanlah Haris tidak tidur lagi.

                “Gelap kat luar. Arina pun tak tahu kat mana ni. Haris tak tidur lagi ke. Esok kan nak bangun pagi.” Tanya Arina lembut. Suaranya memang diperlahankan sedikit. Takut jika mengganggu penumpang lain yang sedang tidur.

                “Tiba-tiba I teringatkan you, Arina.” Memang Haris sudah melelapkan matanya tadi. Tetapi entah kenapa dia terbangun dan wajah Arina yang terbayang. Terus Haris mencapai telefonnya dan menghubungi Arina. Arina hanya berbual sekejap sahaja dengan Haris.  Puas Arina memaksa Haris untuk menyambung tidur. Dia tidak mahu Haris mengantuk keesokkan pagi.

                Ikutkan hati Haris, hendak sahaja dia mengikut Arina ke sana. Mesti seronok pergi bercuti bersama-sama Arina. Dia sudah terfikir untuk membawa Arina berbulan madu di negara orang. Kebanyakkan negara-negara popular sudah Haris jejakkan kaki. Kali ini dia mahu Arina yang memilih tempat. Pasti Arina ada tempat yang ingin dilawatinya.

                Dalam pukul enam pagi, bas berhenti di Kuala Besut. Arina mengejutkan Linda dan Mimi. Selepas Haris menelefonnya tadi, mata Arina tidak mahu lelap. Dia teringat saat mereka di Langkawi tempoh hari. Ada terselit perasaan gembira bila bersama Haris. Arina dapat rasakan yang dia selamat setiap kali bersama Haris. Ada seseorang yang akan melindunginya jika berlaku apa-apa. Cara layanan Haris pada Arina serba sedikit sudah mencairkan hati Arina. Siapa yang tidak suka dilayan seperti bidadari lebih-lebih lagi dengan jejaka kacak dan kaya seperti Haris.

                Mungkin sudah masanya Arina menjadi isteri sebenar pada Haris….. Itu yang akan Arina bincangkan dengan Haris sebaik sahaja dia pulang dari Pulau Perhentian.

                

Thursday, December 5, 2013

E-Novel : Majikanku Sayangku - Bab 9

MAJIKANKU SAYANGKU

BAB 9

                Janganlah cerita yang sama….Doa Zaira di dalam hati semasa mereka berjalan masuk. Haikal dan Kirana berjalan di hadapan mereka. Zaira masih memerhatikan Haikal dari belakang. Dia berharap sangat yang Haikal dan Kirana tidak menonton cerita yang sama dengan mereka. Entah kenapa hatinya sedikit tersentuh bila melihat pasangan tersebut. Dia sendiri tidak tahu kenapa. Sepatutnya dia turut gembira melihat kemesraan antara bos dan tunangnya.

                 Sebelum Haikal melangkah masuk, sempat lagi dia mengerling ke belakang untuk melihat Zaira. Berlainan dengan Zaira, Haikal pula memang berharap yang Zaira akan menonton dalam bilik yang sama dengannya. Haikal sengaja memperlahankan langkahnya untuk melihat Zaira. Nasibnya baik kerana dalam masa yang sama Kirana menarik tangannya untuk ke tepi pintu. Katanya ada panggilan penting yang perlu dijawab.

                Yes….

                Mereka akan menonton wayang dalam bilik yang sama. Cinema 2.

                 Lega Zaira bila dia tidak nampak kelibat Haikal. Maknanya mereka tidak menonton cerita yang sama. Tapi dia tonton cerita apa. Mesti dia gembira dapat menonton wayang dengan buah hati. Eh Zaira…. Kenapa pulak kau nak sibuk fikir pasal dia. Keluar dengan tunang. Mestilah gembira.

                Zaira duduk di baris ke empat dari hadapan. Dia tidak perasan yang Haikal juga menonton cerita yang sama dengannya. Sebenarnya Haikal duduk dekat dengannya. Selang dua baris sahaja dari tempat duduk Zaira.

                “You kenapa ni?. Dari tadi I tengok macam ada yang tak kena je. You tak sihat ke sayang?” Kirana perasan dengan perubahan Haikal sejak tadi. Semenjak melangkah masuk ke dalam wayang perangai Haikal lain. Seperti ada yang tidak kena.

                “Nothing. Cuma letih je.” Haikal malas hendak melayan Kirana. Tadi dia cuba juga memujuk hatinya untuk berlembut dengan Kirana, tetapi selepas melihat Zaira dan teman lelakinya, hatinya seperti terasa sakit sangat. Tidak pernah pula dia merasa sebegini dengan mana-mana perempuan sebelum ini. Zaira bukan teman wanitanya. Kenapa dia perlu terasa sebegini.

                Wayang sudah bermula. Kirana seperti biasa akan memeluk lengan Haikal sambil melentokkan kepalanya di bahu Haikal. Persis wanita manja. Malas Haikal hendak melayan Kirana. Dibiarkan sahaja Kirana memeluknya. Walaupun wayang sudah bermula, tetapi mata Haikal lebih kerap ditumpukan ke arah Zaira.

                Walaupun masing-masing bersama dengan pasangan masing-masing, tetapi hati mereka seperti tiada di situ. Zaira masih memikirkan tentang Haikal. Nampak gembira sahaja dia dengan tunangnya. Mesti seronok mereka keluar bersama. Sama-sama cantik. Memang sepadan bila dilihat. Yang Zaira tidak tahu, Haikal juga sedang memikirkan tentangnya. Gembirakah Zaira dengan teman lelakinya itu. Seronokkah mereka keluar bersama. Arghhhhh… Kenapa boleh jadi macam ni…….. Pening Zaira… Pening juga Haikal.

                Akhirnya wayang tamat.  Zaira yang bangun terlebih dahulu. Entah kenapa hatinya seperti hendak melihat ke belakang. Baru sahaja dia menoleh, wajah Haikal yang terpamer. Tergamam sebentar Zaira ketika itu. Selama ini dia duduk di belakang aku. Dia nampak ke apa yang aku buat tadi. Eh kejap. Takkanlah Encik Haikal nak memerhatikan aku. Dah…. Dah….. jangan nak perasan Zaira oi. Dia tak kisahlah kau nak buat apa pun. Dia dah ada cik Kirana yang cantik tu. Zaira memujuk hatinya.

                Haikal masih memandangnya sambil bangun untuk turut serta keluar. Hanya senyuman yang diberikan oleh Zaira pada Haikal sebelum dia mengikut Azri keluar. Haikal sempat membalas senyuman Zaira tadi. Akhirnya mereka berpisah. Haikal masih cuba mencari-cari Zaira di celah-celah orang ramai namun tidak berjaya. Zaira pula seperti mahu mengelak dari Haikal. Laju sahaja dia mengikut Azri berjalan keluar.

                Dalam perjalanan pulang dari menghantar Kirana balik, Haikal masih terfikir-fikir samada hendak menghantar mesej pada Zaira. Entah kenapa hatinya berasa risau dan gelisah selagi tidak mengetahui di mana Zaira sekarang. Apa kena dengan aku ni. Arghhhhhh………

                “Zaira….. kita kahwin tahun depan. Abang akan hantar orang masuk meminang.” Selama ini memang Zaira menunggu saat Azri melamarnya.Sentiasa ditunggu saat Azri membuka mulut untuk melamarnya. Tetapi entah kenapa ketika itu hati Zaira seperti kosong. Tiada rasa gembira langsung bila Azri menyuarakan hasratnya itu. Kenapa perasaan yang berbeza timbul. Sepatutnya aku gembira mendengarnya. Tapi sebaliknya pula.

                “Zaira tak suka ke?” Zaira menggelengkan kepalanya bila tangannya disentuh Azri.

                “Tak, suka…….kenapa tiba-tiba abang….” Zaira rasa seperti ada sesuatu yang disembunyikan Azri. Entahlah…mungkin perasaannya sahaja.

                “Kenapa tiba-tiba abang nak masuk meminang? Itu yang Zaira nak tanya kan?. Okey, abang rasa dah lama kita berkawan. Dah tiba masanya kita berumahtangga.” Zaira  dapat rasakan sedikit pelik dengan perubahan Azri. Dulu punyalah payah sampai nak marah-marah kalau ajak berbincang tentang kahwin. Jangan fikir negatif Zaira.

                Zaira terpaksa berpura-pura suka dengan keputusannya padahal dia masih berasa was-was dengan Azri. Tiba-tiba membuat keputusan sebegini. Zaira cuba bersikap positif. Dia harap keputusan mengahwini Azri adalah keputusan yang betul. Memang dia sudah berkawan dengan Azri lama dan memang sudah sampai masanya mereka disatukan.

               
                “Apa!...... Kau nak kahwin awal tahun depan. Betul ke ni. Tahniah.” Azlin turut berasa gembira dengan berita tersebut. Dia ingin berkongsi kegembiraan dengan Zaira tetapi dia tidak tahu yang hati Zaira tidak segembira yang disangkakan. Zaira sendiri tiada jawapan kenapa dia bersikap sebegitu. Terlintas juga di fikirannya, mungkinkah kerana dia sudah jatuh hati pada orang lain. Itu sebabnya perasaan gembira tidak timbul dalam hatinya.

                “ So, tinggal berapa bulan je lagi kan. Barang-barang hantaran kau dah beli ke?. Persiapan lain macam mana?” Bahagian persiapan perkahwinan memang menjadi kesukaan Azlin. Dia memang suka dengan ini semua. BIla dilihat, Azlin yang lagi teruja dengan perkahwinan Zaira dari dirinya sendiri.

                “Kejap…. Kau ni Azlin. Okey, barang-barang hantaran nanti aku beli. Persiapan pelamin, mak andam semua nanti mak aku uruskan. Aku buat simple je la Azlin. Duit pun tak banyak. Nanti dah kahwin lagi nak pakai duit banyakkan.” Sebenarnya Zaira masih tidak berbincang pun dengan keluarganya di kampung. Malam tadi dia ada menelefon emaknya memberitahu yang pihak Azri akan datang merisik dan masuk meminang hujung minggu ni. Terkejut juga mereka bila diberitahu. Apa tidaknya, macam tergesa-gesa pula dirasakannya.

                “Nanti kalau kau nak ajak aku teman kau beli apa-apa yang patut, kau bagitahu je aku. Aku sedia menemanimu.” Ketawa Zaira bila melihat mimik muka Azlin. Azlinlah yang menjadi peneman setianya selain Nora, teman serumah Zaira.


                “Zaira, masuk office saya sekarang.” Cepat-cepat Zaira mengambil pen dan buku catatannya untuk dibawa bersama ke dalam bilik bosnya. Sempat dia mengambil beberapa dokumen yang hendak diserahkan pada Haikal untuk ditandatangani.

                “Ye, Encik Haikal.” Zaira melangkah masuk. Hatinya berdegup kencang takut jika Haikal bertanyakan dia tentang hujung minggu lepas. Nampak seperti kesalahan besar yang telah dibuat.

                “Duduk.” Haikal terus menyandarkan badannya ke kerusi empuknya itu.Pen ditangan diletak di tepi. Pandangannya dialihkan pada Zaira. Pandangan yang berbeza dirasakan Zaira.

                “Jumaat malam ni saya nak Zaira temankan saya ke majlis perkahwinan anak Dato’ Ghani. Nanti RSVP pada mereka ye.” Memang Zaira ada menerima jemputan perkahwinan dari Dato’ Ghani, salah seorang pemegang saham di syarikat tersebut yang ditujukan pada Haikal.

                “Tapi…tunang Encik Haikal…..” Zaira masih takut-takut untuk bertanyakan tentang tunang bosnya.

                “Tapi kenapa saya tak pergi dengan tunang saya? Sebab….. saya tak rasa saya nak pergi dengan dia. Saya rasa takda masalah kan tentang tu.” Tergamam Zaira. Dia tidak tahu hendak menjawab apa. Pelik pun ada dengan jawapan bosnya itu. Dah ada tunang, tapi taknak gi dengan tunang. Aku juga yang jadi mangsa keadaan. Sabar jelah Zaira.

                Zaira meminta diri selepas memberi Haikal dokumen-dokumen yang perlu ditandatangani. Rungsing Zaira dengan arahan bosnya tadi. Nasiblah Zaira tiket bas untuk Jumaat malam sudah habis. JIka tidak memang tidak dapatlah dia menemani bosnya ke majlis tersebut.

                “Kenapa berkerut je ni? Bos marah kau ke?” Azlin terus mendapatkan Zaira bila dia keluar dari bilik dengan muka berkerut.

                “Bos tak marah tapi arahan dia tu…. Alasan macam tak logik.” Zaira meletakkan dokumen yang dibawanya tadi di tepi komputer. Kejap lagi dia perlu membuat salinan untuk disimpan di dalam fail.
               
                “Arahan apa dia bagi?. Tak logik?... Cuba cerita kat aku.” Zaira kemudian menceritakan arahan yang diberikan padanya tadi. Azlin terusan mendengar tanpa menyampuk sekali pun.

                “Apa?!... Bos kata taknak pergi dengan tunang dia. Biar betul bos ni. Tunang punya cantik pun taknak tunjuk kat orang ke. Tapi kan….. kenapa pulak dia nak bawak kau. Pelik aku.” Azlin pula yang pelik dengan perangai bosnya itu.
               
“Entahlah Azlin. Aku ni lagi rasa pelik dengan perangai bos. Mungkin sebab aku yang terima kad tu atau mungkin dulu Encik Haikal selalu bawak Kak Siti ke majlis-majlis macam ni. Jadi sekarang ni dia bawak aku lah pulak kan. Agaknyalah.” Zaira persis mengiyakan sendiri kata-katanya tadi. Diangguk-angguk kepalanya.

                “Mana ada Zaira. Dulu aku tak pernah pulak dengar Encik Haikal bawak Kak Siti ke majlis-majlis macam ni. Kalau dia bawak Kak Siti pun, selalunya ke mesyuarat je. Tak pernahlah aku dengar. Dengan kau je Encik Haikal rajin bawak ke sana sini.” Biar betul Azlin ni. Buat takut Zaira je bila mendengar kata-kata Azlin itu.

                “Habis tu kau ikut dia ke nanti?” Azlin masih tidak cukup bertanya. Zaira sekadar menganggukkan kepalanya sahaja. Dia memang tiada mood untuk bercakap mengenai ini. Yang lebih memeningkan Zaira ialah tentang hubungannya dengan Azri. Jika benar, Azri akan menjadi suaminya tidak lama lagi. Tinggal lagi berapa bulan sahaja.

                Zaira tahu di dalam hatinya ada sedikit rasa suka pada bosnya sendiri. Tetapi dia tahu, perasaan itu tidak akan kemana-mana. Haikal sudah menjadi tunangan orang. Dia juga bakal menjadi tunangan orang tidak lama lagi. Zaira memang harus membuang perasaan yang ada terhadap Haikal. Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Itu yang dirasakan Zaira ketika itu. Dia harus membuang perasaan tersebut sebelum terlambat.

                Zaira akan menjadi tunangan orang tidak lama lagi. Dan selepas itu akan menjadi milik orang lain. Kenapa aku perlu bersedih. Kenapa aku tidak boleh berkongsi kegembiraan dengannya. Zaira cuma pekerja di syarikat aku. Dia cuma pengganti tempat Siti. Kenapa ada perasaan begini terhadapnya. Sepatutnya perasaan sebegini ditujukan pada Kirana, tunang aku.


                Kirana…. Bukan Zaira……