DALAM BENCI ADA RINDU
#FariqueDahlia
Bab 1
“Dah
selesai.” Beritahu Nur Fatin pada kawan baiknya yang baru sahaja sampai. Fatin
pula baru sahaja keluar dari bilik Mahkamah Syariah untuk selesaikan kes
perceraiannya.
“Habis tu, kau okey tak ni?” Tanya
Dahlia Afreena sambil mengusap lembut bahu Fatin. Dari rumah dia bergegas ke
sini. Kebetulan pula ada kemalangan jalanraya tadi yang membuatkan dia
terlambat sampai.
Sudah
lama juga mereka berkawan semenjak dari zaman persekolahan. Cuma bila
masing-masing melanjutkan pelajaran selepas habis sekolah menengah dulu
membuatkan mereka berjauhan. Hubungan baik mereka menjadi renggang. Mana
tidaknya, Fatin berjaya mendapatkan biasiswa untuk belajar di United Kingdom.
Walhal Dahlia sekadar berjaya menempah nama di Universiti Teknologi Malaysia,
Johor. Tapi itu langsung tak patahkan semangat Dahlia untuk belajar. Semangat
itulah yang membuatkan dia berjaya menerima anugerah Dekan dalam jurusan
Kejuruteraan Elektrik.
Dan
kini bila masing-masing sudah balik ke Malaysia, barulah hubungan mereka kembali
akrab. Cuma yang membuatkan Dahlia terkejut bila dia baru dapat tahu yang Fatin
sudah pun berkahwin. Dan tambah terkejut lagi bila diberitahu yang mereka dalam
proses perceraian. Kahwin baru berapa bulan sahaja pun.
“Okey
tak okeylah beb. Benda dah jadi.” Wajah suram Fatin membuatkan Dahlia turut
sama merasai apa yang dia rasa sekarang ni. Siapa yang suka dengan perceraian?
Mahligai yang dibina bersama kini hancur.
“Sabar
Fatin. Sanggup dia buat anak ayah macam ni.” Marah Encik Johar pada bekas
menantunya itu. Kalau dulu semua janji manis ditaburkan, tapi kini hilang entah
kemana. Ikutkan hati dan panas barannya, hendak sahaja dia tumbuk muka lelaki
yang sudah menghancurkan hidup anaknya itu.
“Sabarlah
bang. Benda dah jadi. Nak buat macam mana. Dah jodoh mereka tak panjang.” Pujuk
Puan Intan, isterinya. Tangan cuba mengurut dada si suami. Biar kurang sedikit
rasa marahnya itu.
Abang
kandung Fatin sekadar memerhatikan sahaja. Dia tidaklah terlalu masuk campur
hal rumahtangga adik bongsunya itu. Walau apa pun, Fatin tetap adiknya. Nak
taknak, terpaksa jugalah dia turut sama pertahankan hak Fatin. Salah tak salah
dia tetap bersama Fatin.
“Hah!
Itu dia. Orang yang dah buat hidup anak aku hancur.” Sambil tangan menuding ke
arah seorang lelaki yang baru sahaja keluar dari bilik yang sama dengan Fatin
keluar tadi.
Dahlia
turut sama menoleh bersama-sama yang lain.
Hensem!
Itu yang terlintas di fikiran Dahlia saat mata bertentangan dengan lelaki
tersebut. Jantung terus berdegup kencang.
Tapi
hanya untuk sementara sahaja bila Fatin menepuk lengannya dan menyedarkan
dirinya dari terus mengelamun.
“Itulah
bekas suami aku. Yang buat aku macam ni.” Kini marah Encik Johar sudah beralih
kepada Fatin. Dahlia yang tak tahu apa-apa sekadar mengangguk. Pandangannya
masih terhala pada lelaki tadi.
Dahlia
perasan yang lelaki tadi bersama dengan seorang wanita berumur datang
menghampiri mereka.
“Buat
apa nak datang dekat ni?” Marah Encik Johar masih seperti tadi. Tidak surut
walau sedikit pun. Wajah dua orang di hadapannya itu dipandang dengan penuh
kebencian.
Dahlia
yang berdiri di sebelah Fatin diam sambil turut sama memerhatikan mereka
berdua. Diam seribu bahasa seperti yang lain.
“Saya
cuma nak minta maaf sebab semua benda ni terjadi.” Ujar wanita tersebut dengan
nada suara yang sekata. Langsung tidak ditinggikan suara walau sedikit pun.
“Senanglah
kau cakap. Anak kau ni dah hancurkan hidup anak aku tahu tak?” Semakin kuat
suara Encik Johar kedengaran. Puan Intan disebelah cuba menenangkan suaminya.
Lengan suaminya diusap lembut. Bukan dia tak perasan mata-mata orang sekeliling
sibuk memberi tumpuan pada mereka.
“Jomlah
Ma.” Lelaki tadi cuba memujuk mamanya untuk beredar dari situ. Masing-masing
dapat rasakan ketegangan di antara mereka.
“Aida
balik dulu ya.” Suara Puan Intan sayup-sayup kedengaran. Mungkin tak mahu menambahkan
lagi api kemarahan si suami. Wajah wanita tersebut dipandang tepat. Bukan apa,
Puan Intan tak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Masing-masing tengah panas
sekarang ni. Biarlah api kemarahan tu reda sedikit.
“Farique
bawa mama balik dulu.” Puan Intan sekali lagi memujuk mereka berdua untuk
beredar dari situ. Sesekali dia mengerling ke arah suaminya di sebelah.
Sempat
Farique Daniel mencapai tangan Puan Intan untuk diciumnya. Lembut. Tangan
seorang wanita yang dari dulu sudah dianggap seperti ibunya sendiri. Puan Intan
pun tidak menolak. Ditepuk perlahan bahu bekas menantunya itu.
Sebelum
berpaling untuk berlalu dari situ, anak mata Farique sibuk mengerling pada
wajah wanita yang berdiri di sebelah Fatin. Wajah yang pernah dia lihat sebelum
ni. Tapi langsung dia tak dapat ingat siapa dan di mana. Fikirannya kini pun
tengah berserabut. Banyak benda yang sedang difikirkan.
Anak
mata Dahlia masih mengekori langkah mereka berdua. Rasa simpati tiba-tiba
menerpa dalam hatinya. Tapi hanya sementara sahaja. Sebaik sahaja Fatin
berbisik sesuatu padanya, perasaan tersebut terus hilang. Lenyap sekelip mata.
“Aku
dapat tangkap Farique dengan perempuan lain dalam bilik. Hanya mereka berdua.”
Terus berpaling si Dahlia memandang Fatin. Masih tak percaya dengan kata-katanya
itu.
“Aku
tak tipu. Itu sebab aku mintak cerai dari dia. Dan sebab itu jugak ayah marah
sangat dekat dia.” Sambung Fatin lagi.
Dahlia
tak tahu nak kata apa. Dia masih terkejut sebenarnya dengan apa yang berlaku
pada kawannya itu. Ingatkan mereka bercerai disebabkan tiada persefahaman.
Rupa-rupanya disebabkan perempuan lain.
“Yang
kamu pergi hulur tangan kat budak tak guna tu kenapa?” Encik Johar masih tak
puas hati dengan isterinya. Ikutkan hati dia nak tarik sahaja tangan isterinya
dari disentuh Farique tadi.
“Sudahlah
tu bang. Jomlah kita balik. Malu kat orang.” Puan Intan cuba memujuk suaminya
untuk beredar dari situ. Nak lepaskan marah pun biarlah di rumah. Janganlah di
hadapan orang ramai.
“Aku
naik kereta kau.” Sekali lagi Fatin berbisik pada Dahlia. Memang dia pun nak
ajak Fatin naik keretanya. Dia nak tahu apa yang berlaku sebenar-benarnya. Dia
nak Fatin ceritakan segalanya pada dia.
“Apa
yang berlaku sebenarnya ni?” Tekan pedal minyak sahaja terus Dahlia tanya pada
Fatin yang sibuk belek telefon bimbitnya dari sebelum masuk kereta lagi.
“Kan
tadi aku dah bisik dekat kau.” Fatin masih tak angkat wajahnya. Mata sibuk
memerhatikan skrin telefon. Entah apa yang dipandangnya.
“Aku
nak tahu dari A hingga Z. Cerita sepenuhnya. Kita singgah Starbucks depan tu
sambil dengar kau cerita.” Dahlia muncungkan sedikit bibirnya ke depan. Ke arah
Starbucks sana.
“Okeylah.”
Dah macam kena paksa pun ada. Tapi Dahlia tak kira. Dia sudah tak sabar nak
tahu. Nak dengar cerita Fatin.
***bersambung**