Maaf sgt2 sebab lama biarkan blog ni terbiar sepi. Jom sama-sama ke dunia baru, MiraHakimDaniel.
p/s: Dalam proses nak siapkan mss untuk JAC ni. Mohon dipermudahkan segalanya. Aaminnn
JANGAN
ADA CINTA
Bab
1
“Mira, aku balik dulu.” Suara Hani membuatkan Mira
sedikit terkejut. Apa tidaknya, dia sedang khusyuk menyemak akaun syarikat
sebelum dihantar pada ketua pengurus.
“Okey. Jumpa esok.” Langsung tak pandang pun wajah Hani
yang sedang berdiri di sebelahnya. Pandangan Mira masih tertumpu pada skrin
komputer.
“Jangan balik lambat sangat. Tak siap, sambung jelah
esok.” Hani, kawan sepejabat merangkap kawan baiknya sering kali memberi
nasihat. Risau juga Hani bila Mira selalu balik lewat malam. Balik seorang
diri. Bukannya selamat sangat zaman sekarang ni.
“Mana boleh. Encik Fuad tu nak by today. Takpalah, sikit
je lagi ni. Actually dah siap pun, cuma nak semak balik.” Geleng kepala si Hani
dengan perangai Mira. Memang dari dulu dia macam ni. Selalu akan pastikan kerja
yang diberi, siap dengan betul. Lagipun Mira ni tak suka kalau kerja sambil
lewa. Ada salah sana sini. Itu sebabnya dia jadi salah seorang pekerja contoh
di syarikat tersebut.
“Ikut kau lah. Take care. Apa-apa call tau.” Hani tepuk
bahu Mira perlahan sebelum berlalu dari situ. Tinggallah Mira dan beberapa staf
lain yang masih sibuk menyiapkan kerja masing-masing. Encik Fuad pun masih ada
lagi dalam pejabatnya.
“Siap!” Lega Mira rasa. Dokumen yang baru dicetak tadi disusun
mengikut susunan. Tidak menunggu lama, dia berlalu menuju ke bilik Encik Fuad
sambil membawa dokumen yang disiapkannya tadi.
“Bagus. Rasanya semua okey ni. Takpa, nanti saya semak
balik.” Encik Fuad masih meneliti hasil kerja Mira. Satu persatu diperhatikan.
“Kalau takda apa-apa, saya balik dulu Encik Fuad. Jumpa
esok ye.”
“Okey Mira. Jumpa esok.” Terukir senyuman di bibir Mira
bila kerjanya tidak dipertikaikan. Dari raut wajah Encik Fuad, jelas
menunjukkan yang dia amat berpuas hati. Kaki melangkah keluar dengan hati yang
gembira.
Begitulah rutin harian Mira Sofea binti Haji Mokhtar
sebagai seorang akauntan yang baru dua tahun bekerja di syarikat D&N
Holdings. Mira tidak pernah memilih tempat bekerja. Baginya dia perlu menimba
pengalaman berbekalkan ijazah yang dipegang dalam bidang perakaunan. Moga suatu
hari nanti dia dapat bekerja di syarikat besar di ibu kota dan memegang jawatan
besar.
“Assalamualaikum.” Mira memberi salam sebaik kaki
melangkah masuk ke dalam rumah.
“Waalaikumussalam. Anak ibu dah makan?” Puan Faridah yang
sedang menonton tv mengalihkan pandangan ke arah anak perempuannya.
“Belum lagi. Ibu dah makan?” Mira mendekati ibunya dan
mencium pipi seperti kebiasaan yang dibuat setiap kali pulang ke rumah.
Sambil mengusap lembut pipi anaknya, Puan Faridah sekadar
menggeleng. Jam baru menganjak ke angka sembilan. Memang selalunya mereka akan
makan bersama melainkan bila si Mira ada temujanji.
“Mira mandi kejap ye ibu. Lepas tu kita makan sama.”
Sekali lagi pipi ibunya menjadi sasaran. Segera dia bangun dan berlalu masuk ke
dalam bilik.
Mira cuma ada seorang adik lelaki yang masih belajar di asrama penuh di
Seremban. Hanya pada hujung minggu atau pun cuti sekolah sahaja mereka
berjumpa. Tinggallah Mira dan ibunya sahaja di rumah dua tingkat yang
ditinggalkan oleh arwah Haji Mokhtar.
Sudah lima tahun arwah meninggalkan mereka
semua selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kereta Honda yang dipandu
Haji Mokhtar bertembung dengan sebuah kereta Proton Perdana dari arah bertentangan.
Kedua-dua pemandu meninggal dunia di tempat kejadian. Hanya seorang mangsa
terselamat. Anak kepada pemandu tersebut. Nasibnya memang baik. Dia hanya
cedera ringan di tangan dan kepala. Mengikut laporan polis, kereta Proton
Perdana tersebut yang salah. Memotong di tempat yang tidak sepatutnya.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang
memikul. Hendak atau tidak, mereka sekeluarga terpaksa redha dengan takdir yang
menimpa mereka. Kehilangan Haji Mokhtar dengan tiba-tiba membuatkan kehidupan
mereka berubah terus. Puan Faridah selalu termenung teringatkan arwah. Faris
pula yang dulunya seorang yang periang, kini menjadi pendiam. Tidak banyak
bercakap selepas kejadian tersebut. Mira yang banyak memberi kekuatan dan
semangat kepada adik dan ibunya. Dan kini mereka berdua sudah dapat menerima
hakikat sebenarnya. Semua yang hidup di dunia ini pasti akan mati suatu hari
nanti. Puan Faridah juga semakin hari semakin sibuk dengan perniagaannya. Sibuk
menyiapkan tempahan kek dan biskut pelanggan yang menempah darinya.
Selepas makan malam bersama tadi, mereka masuk ke dalam
bilik tidur masing-masing. Puan Faridah memang begitu. Selepas menunaikan
sembahyang Isyak, memang katillah tempat yang akan dituju. Mira pula selalunya
akan menonton tv, tetapi malam ni badannya agak letih. Mungkin terlalu kuat
bekerja beberapa hari ni. Kurang rehat.
Sambil berbaring di atas katil, telefon bimbit
kesayangannya dicapai. Dibuka satu persatu whatsapp yang belum dibaca. Salah
satunya sudah tentu dari orang tersayang. Whatsapp yang memang ditunggu-tunggu
setiap malam.
My baby, dah
makan?
Laju sahaja jari
jemari Mira membalasnya.
Baru lepas makan
dengan ibu. You dah makan? Macam mana dekat sana?
Mohd Daniel Imran…..
Orang pertama yang berjaya mengetuk pintu hati Mira untuk menerima cinta dari
seorang lelaki. Pertemuan yang tak disangka antara mereka dulu membuatkan hati
dan perasaan mereka tertarik antara satu sama lain. Dari hari ke hari, hubungan
mereka semakin akrab dan akhirnya luahan perasaan terhambur juga dari mulut Daniel.
Dan dia tidak bertepuk sebelah tangan. Begitu juga Mira. Perasaannya terhadap
Daniel semakin hari semakin mendalam. Hatinya semakin berbunga-bunga semenjak
berkenalan rapat dengan Daniel.
I dah makan tadi.
Semuanya okey. Cuma I rindu dengan orang tu. Lama tak jumpa.
Datanglah mengada-ngada si Daniel pada buah hatinya ni.
Apa tidaknya, sudah tiga hari dia ke Osaka, Jepun. Menghadiri kursus dan
mesyuarat bersama orang-orang di sana. Ini semua ada kaitan dengan hal syarikat
milik keluarganya. Teguh Maju Holdings Berhad.
Mengada-ngada.
Sambil menaipnya, sambil tersenyum seorang diri. Siapa
yang tak suka kalau diri dirindui seseorang. Lebih-lebih lagi dengan orang yang
kita sayang.
Lagi dua hari sahaja Daniel berada di sana. Dia akan
pulang ke Malaysia lusa hari. Semakin tidak sabar dia hendak berjumpa dengan
Mira. Memang begitulah kebiasaannya. Kerap kali juga Daniel ke sana sini untuk
beberapa hari. Lagipun mereka jarang juga berjumpa. Masing-masing sibuk dengan
kerja di pejabat. Kalau berjumpa pun sekadar makan malam sahaja.
See you in two
days sayang. Love you. Muahhhhhh
Berulang kali whatsapp terakhir dari Daniel dibaca. Dan
kini Mira pula yang menanggung rindu. Siapa yang terlebih mengada-ngada ni……..
“Ibu, malam ni Mira makan dekat luar ye.” Sambil menyuap
mi goreng yang dimasak Puan Faridah tadi.
“Makan dengan Daniel ke?” Mira sudah tersenyum dengan
pertanyaan ibunya itu. Anggukan kepala mengiringi senyuman.
“Dia dah balik dari Jepun ke? Hari tu kata dia takda
sini.” Mi goreng di pinggan dikuis sedikit sebelum menyuap ke mulut sendiri.
“Tengahari ni sampailah. Lima hari je dia dekat sana.
Hari ni balik, esok dah mula kerja balik. Mesti penat tu.” Simpati pula si Mira
pada Daniel. Kalau outstation ni memang memenatkan. Lebih-lebih lagi kalau ke
tempat jauh.
“Terpaksalah Mira. Kerja. Lagipun bukan syarikat orang
lain. Syarikat ayah Daniel juga kan. Nak taknak dia kena kerja kuatlah sikit.
Risau lebihlah anak ibu ni. Daniel dah biasa kan outstation ni semua. Dah
sebati tu.”
Kata-kata Puan Faridah menenangkan sedikit perasaan
gelisah Mira terhadap Daniel. Mira risau jika Daniel tak cukup rehat nanti.
Kesihatan juga perlu dijaga. Itu yang selalu Mira tekankan pada Daniel. Tapi
pada diri sendiri, Mira terlupa tentang itu. Kesihatan sendiri diabaikan.
“Ibu, Mira pergi dulu. Nanti lambat pulak sampai office.”
Laju sahaja Mira hirup air Nescafe di dalam cawan sehingga habis. Beg laptop
dan beg tangan di tepi kerusi dicapai. Selepas bersalaman dan mencium pipi Puan
Faridah, segera Mira berlalu pergi. Biasalah, kalau lambat sikit, sah-sah kena
hadap kesesakan lalu lintas. Mahu terlambat masuk office nanti.
“Baik-baik Mira.” Sempat Puan Faridah menjerit pada
anaknya. Entah dengar entah tidak si Mira tu.
Mulalah rutin harian Puan Faridah di rumah seorang diri.
Mengemas rumah dan membersihkan apa yang patut. Dia memang sudah berhenti kerja
beberapa tahun yang lepas. Duduk di rumah sambil menjalankan bisnes membuat kek
dan biskut secara online. Ramai juga yang menempah darinya. Ada juga tempahan
yang terpaksa ditolak dek kesuntukan masa untuk menyiapkannya. Sesekali ada
juga si Mira hulurkan bantuan untuk
menyiapkannya. Tapi boleh dikira berapa kali. Yelah, dia sendiri pun sibuk
dengan kerjayanya sendiri. Balik rumah pun dah pukul berapa.
(Jom LIKE kalau suka ye......)