My corner's visitor

Wednesday, June 10, 2015

Dia...Penjaga Hatiku - Bab 1

DIA… PENJAGA HATIKU.
Bab 1

(Maaf sebab lambat update. Sibuk sangat semenjak dua menjak ni......Ni saya up bab 1 dari Dia...Penjaga Hatiku. Semoga terhibur.


            Bupp!

            “Maaf Encik. Saya tak perasan.” Nur Zaira binti Musa, gadis yang baru berusia 24 tahun itu meminta maaf kepada seorang lelaki muda. Dia baru sahaja melanggar belakang badan lelaki itu. Dan sempat pula Zaira mencium bau wangian yang dipakai lelaki tersebut. Wangi sangat. Entah perfume apalah yang disemburnya.

            “Its okay.” Itu sahaja yang keluar dari mulut lelaki itu. Tiada langsung nada marah kedengaran dari suaranya. Boleh pula dia lempar senyuman dekat aku lagi. Tergugat iman aku kalau hari-hari tengok senyuman dia ni. Wajah…tak payah cakaplah. Hensem tahan dewa. Bisik Lara sendiri.

            “Excuse me... nak masuk tak?” Baru Zaira tersedar dari lamunan. Dia yang masih berdiri tegak diluar pintu lif tersenyum malu. Kakinya melangkah masuk sambil matanya terarah ke lantai lif. Tidak betah memandang wajah lelaki tadi.

            Hanya mereka berdua sahaja yang berada dalam lif. Tiada sesiapa pun.

            “Nak pergi tingkat berapa?” Lembut sahaja suara lelaki itu bertanya pada Zaira. Wajahnya terus diangkat lantas tepat memandang ke butang lif.

             “Aaa, tingkat dua belas.” Hampir tidak terkeluar kata-kata dari mulut Zaira bila dilihatnya butang 12 sudah pun ditekan. Dikerling lelaki tersebut yang masih setia memandangnya.

            “Okey.” Sepatah sahaja kata yang keluar dari mulut lelaki itu. Ingin sahaja Zaira bertanya jika dia bekerja di syarikat sama dengannya. Setahu Zaira, hanya ada pejabat syarikat yang dia bekerja sekarang sahaja di tingkat dua belas. Mana ada pejabat lain.

            Kalau dia bukan pekerja di situ, besar kemungkinan dia hendak berjumpa dengan orang sana. Tidak pernah pula dia melihat lelaki tersebut selama dia bekerja di situ. Lagipun baru tiga hari sahaja dia mula berkhidmat di syarikat tersebut. Mungkin dia pergi bercuti waktu kau masuk kot. Bisik hati Zaira.

            “Awak kerja dekat sini ke?” serta merta terhenti lamunan Zaira. Macam tahu-tahu je aku sedang fikirkan apa yang dia tanya ni. Ada keserasian sikit tu. Ketawa riang Zaira dalam hati.

            “Saya baru tiga hari kerja dekat sini. Encik…pun kerja dekat sini ke?” Pintu lif sudah terbuka sebaik sahaja Zaira habis bertanya. Hanya senyuman terukir di bibir lelaki tersebut. Dibiarkan pertanyaan tersebut tergantung.

            Biarlah Zaira. Takkan nak tarik tangan dia suruh jawab pertanyaan kau tadi. Hanya senyuman terukir di bibir mungilnya.

            Rasanya betul sangkaan Zaira saat dia melihat lelaki tersebut menarik pintu utama Syarikat Kenanga Holdings. Kerja dekat sini, tapi malu nak beritahu pulak. Ngomel Zaira sendiri.
           
            “Good morning Azlin.” Zaira terus meletakkan beg tangannya di dalam laci dan segera dihidupkan komputer. Matanya masih tercari-cari lelaki tadi. Cepatnya dia berjalan. Langsung tidak nampak kelibatnya di ruang pejabat.

            Jangan-jangan……. Terus rasa seram sejuk pulak.,

            “Zaira, tolong aku ye. Tolong aku buatkan air Nescafe. Untuk bos kita. Kak Siti tu cuti pulak hari ni. Dia pergi check up. Selalunya dia yang buatkan air untuk bos.” Muka penuh berharap si Alin tunjuk.

            “Aku?!” Zaira rasa pelik. Kenapa pula si Azlin tak boleh buatkan. Kenapa nak aku pula.

            “Aku buat tak sedaplah. Dulu aku pernah buat. Tapi bos macam tak suka sangat. Tak habis pun dia minum. Malas aku nak buat lagi. Kaulah pulak cuba nasib. Kalau habis air Nescafe tu maknanya sedaplah kau buat.” Panjang betul penjelasann Azlin.
\
            “Ye ke….” Zaira ada sedikit tidak percaya. Entah-entah dia malas nak pergi pantri tu. Tu sebab dia reka cerita macam ni.

            “Dah, kau jangan fikir aku reka cerita lak. Betul, aku tak tipu.” Beria-ia Azlin cuba meyakinkan si Zaira untuk percaya dengan kata-katanya.

            “Yelah.” Sempat Zaira menarik hidung Azlin sebelum berlalu ke pantri. Apa lagi, dengarlah juga Azlin menjerit kecil. Takpalah, air je pun. Bukannya kena buat kuih ke apa.

            Zaira membawa secawan Nescafe menuju ke meja Azlin. Baru beberapa langkah, terdengar suara Azlin memanggilnya. Sibuk si Azlin menuding jari ke bilik bos sambil tersengih.

            Pemalas punya budak. Sempat Zaira mengutuk kawannya itu. Terus rasa kecut perut. Inilah kali pertama dia akan masuk ke dalam pejabat bos besar. Sudahlah tak pernah bersua muka pun. Macam manalah agaknya wajah bos. Tapi kalau dari kata-kata Azlin, bos mereka ni kacak orangnya. Wajah perfect orang kata.

            Lagi lama Zaira tunggu, lagi kecut perutnya. Dia tidak menunggu lama, terus sahaja dia mengetuk pintu bilik. Bila dengar sahaja suara seseorang memberi kebenaran masuk, segera dibuka pintu dan berjalan masuk.

            Dilihatnya seorang lelaki sedang khusyuk meneliti dokumen di atas meja. Ada banyak fail-fail yang bersepah di tepi.

            Aduh, macam kenal je dia ni. Bukan ke…. Dia lelaki tadi. Satu lif dengan aku. Rasa jantungnya berdegup kencang. Semakin lama semakin laju. Boleh kena serangan jantung si Zaira ni nanti.

            Rupa-rupanya lelaki yang dia langgar tadi tu adalah bos besar dekat syarikat ni. Barulah Zaira teringat kata-kata Kak Siti pada hari pertama dia mula bekerja. Bos mereka itu masih bujang lagi. Hensem. Bergaya. Memang boleh buat seorang wanita tergugat kalau tengok dia lama-lama. Cukup sempurna di mata ramai wanita.

            “Terima kasih.” Tersentak Zaira bila mendengar suara bosnya itu. Itulah Zaira. Berangan je kau tahu. Zaira sekadar mengangguk dan berlalu keluar. Kalau dia boleh berlari tadi, memang dia buat. Tetapi memandangkan bos sedang memerhatikannya, terpaksa dia mengawal setiap langkahnya. Jangan tersilap. Kalau jatuh lagi malu dibuatnya. Mulutnya pula sudah terkunci awal-awal lagi. Kalau diajukan soalan, mahu isyarat orang bisu ditunjukkan.

           
            “Macam mana? Okey semua?” Tanya Azlin sebaik sahaja Zaira melintasi mejanya.

            “Entah, okey kot. Ni hah, aku nak beritahu. Tadi… Aku terlanggar dengan bos kat bawah masa kitorang nak masuk lif. Nasib dia tak maha. Cuma aku malulah. Bos sendiri pun aku tak kenal. Boleh pulak aku tanya dia tadi, kerja dekat sini ke. Malunya.,….” Dihirupnya air Nescafe yang dibuat tadi. Rasa panas air pun sudah tidak terasa di lidah. Rasa kebas semuanya.

            “Kenapa kau? Bukan aku? Aku ni.. nak sangat langgar dengan dia.” Pelik pula Azlin ni. Terus Zaira menampar lengannya. Bagi sedar sikit.

            “Iskh kau ni. Eh apa nama bos? Aku lupa lah.” Menggeleng kepala Zaira melihat perubahan wajah  Azlin. Nampaknya dia benar-benar nak berlanggar dengan bos ni. Ada juga spesis macam ni.

            “Nama dia Haikal Qarleef bin Zainal. Nama sedap, orang hensem. Kenalah tu. Oh ye, dia belum kahwin lagi tau. Tapi tulah, dia dah bertunang. Melepas aku wei.” Sekali lagi wajah sedih yang dipamerkan. Tergelak Zaira melihatnya. Sedihlah sangat.

            “Ala, kalau dia tak bertunang sekali pun, belum tentu kita ni dia pandanglah. Sebelah mata pun dia tak tengok. Jangan nak berharap nama kita masuk dalam senarai top 10, tahu tak. Dah lah, aku nak buat kerja ni. Nanti sambung lagi pasal jejaka idaman Malaya kau tu.” Sedikit ditolak badan Azlin supaya dia balik semula ke mejanya.

            Staf-staf lain termasuk Zaira sibuk menyiapkan kerja masing-masing. Walaupun baru tiga hari bekerja di situ, namun sudah banyak kerja yang dicampak di atas mejanya. Lagi-lagi si Zaira ni jenis yang cepat tangkap bila orang ajar, bertambah senanglah si pengajar. Ditambah pula staf di sini semuanya tidak sombong. Sentiasa membantu jika ada yang memerlukan. Itulah yang sentiasa diamalkan di dalam syarikat Kenanga Holdings.

            Haikal pula sibuk dengan projek-projek yang semakin bertambah. Banyak mesyuarat yang perlu dihadiri. Merata tempat dia perlu pergi.

            Begitulah rutin harian mereka beberapa hari ni. Banyak projek yang masuk, banyaklah kerja yang perlu disiapkan. Zaira pun jarang berjumpa dengan Haikal walaupun mereka di tempat kerja yang sama. Hanya Kak Siti yang tahu jadual harian Haikal. Memanjang dia tiada di pejabat. Kalau ada pun bukannya dia keluar dari pejabat pun. Semuanya orang yang bawa masuk ke biliknya.

            Walaupun begitu, ada juga beberapa kali Zaira dan Haikal bertembung. Hanya senyuman dilemparkan. Nak borak pun tak sempat. Lagipun nak tanya apa dekat bos. Lebih baik begini. Tak payah nak fikir nak cakap apa.

            Azlin dan Kak Siti yang banyak bercerita tentang Haikal. Kata mereka Haikal memang pemurah dengan senyuman. Itu sebab dia ramai peminat. Senyuman menggoda orang kata. Tapi Haikal tidak pernah melebihi batas. Hanya setakat senyuman sahaja. Belum pernah mereka dengar Haikal keluar dengan mana-mana perempuan kecuali tunangnya.

            Ya, tunang Haikal Qarleff. Alia Kirana binti Tan Sri Ahmad. Wow, anak Tan Sri. Sah-sahlah anak orang kaya. Cantik paras rupa. Kulit putih melepak. Tinggi pula tu. Itu sebabnya dia antara model yang terkenal di Malaysia. Sentiasa sibuk ke sana sini memperagakan pakaian.

            Haikal tidak ambil kisah sangat. Lagipun jika tunangnya itu tidak ada, dia akan menumpukan sepenuh perhatian pada kerja di pejabat. Kalau tidak asyik nak menempel 24 jam dengannya. Sekali sekala rasa rimas juga.

            Tan Sri Ahmad. Pemilik Syarikat Kenanga Holdings. Salah satu anak syarikat miliknya. Tan Sri Ahmad yang melantik Haikal menerajui syarikat tersebut. Ramai yang berfikir sebabkan dia bakal menjadi menantu Tan Sri, itu sebabnya dia dapat jawatan tersebut. Tetapi sebenarnya tidak. Tan Sri tidak langsung melihat itu semua. Memang Haikal layak memegang jawatan tersebut. Semua ciri-ciri ketua ada dalam dirinya.

            Sudah hampir setahun Haikal menjawat jawatan tersebut. Syarikat Kenanga Holdings juga menjadi semakin kuat. Banyak projek yang jatuh ke tangan mereka. Semuanya sebab Haikal. Dia tidak pernah mengsia-siakan peluang yang ada. Akan dia rebut sampai dapat.