My corner's visitor

Wednesday, December 31, 2014

Sedikit coretan dariku.......

Kau Tetap Milikku

Alhamdulillah dan bersyukur sangat-sangat. Akhirnya manuskrip KTM sudah lulus penilaian. Semoga segalanya berjalan lancar selepas ini. Menunggu untuk proses seterusnya.

Dikesempatan ini saya merendah diri mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang menyokong saya selama ini. Tanpa anda semua tiadalah saya di dunia penulisan ini.

Terima kasih dan berharap akan terus mendapat sokongan dari anda semua.


Luv u all... muah........


ikhlas dari,

Hairynn Salehuddin......

Tuesday, December 23, 2014

E-Novel : Cinta Hati Sayang - Bab 29

CINTA HATI SAYANG

BAB 29

            Telefon berdering. Memainkan lagu Jodoh Pasti Bertemu nyanyian Afgan. Dari dulu dia memang meminati suara Afgan. Bagi Lara lagu-lagunya semua menyentuh jiwanya. Memang Lara suka menghayati setiap bibit-bibit kata pada lirik lagu yang dinyanyikan.

            Sofea sudah tertidur di ruang tamu. Lara memasang cerita kartun dari tadi. Biar Sofea cepat sikit lelap. Lagipun siang tadi langsung dia tidak mahu tidur. Penat bermain baru terasa di malam hari. Begitulah Sofea. Kalau siang dia sibuk bermain dan tidak tidur langsung, pasti malam dia akan tidur lebih awal.

            “Wei…. Kau kena tolong aku ni.” Angkat sahaja telefon terus Wati menjerit padanya. Salam apa pun tidak.  Nasiblah Lara sempat melihat siapa yang menelefonnya. Kalau tidak, mahu dia terus letak telefon. Perempuan gila mana nak cakap jerit-jerit ni.

            “Apa dia? Cuba beri salam dulu. Ini tidak.” Lara sedikit memarahi kawannya itu. Tangannya yang sedang mengusap rambut Sofea dialih. Hendak direhatkan sekejap.

            Wati menarik nafas panjang. Dihembusnya. Kini barulah dia rasa tenang sedikit. Lara pula yang tidak sabar-sabar menunggu Wati menceritakan masalahnya. Seperti besar sangat pula masalahnya.

            “Eh, Sofea mana. Dia dah tidur ke?” Selalunya dia pasti mendengar suara Sofea di belakang. Kali ini tiada langsung.

            “Dia dah tidur ni. Penat sangat siang tadi. Hah, ceritalah. Aku dah sedia nak dengar ni.” Suara TV diperlahankan sedikit. Tidak mahu Sofea terjaga nanti. Telinganya masih bersabar menunggu cerita Wati.

            “Macam ni…… Khairul, lelaki yang pernah aku cerita dekat kau dulu. Ingat tak?” Lara cepat-cepat mengingati semula nama tersebut. Dia memang pernah mendengar nama tersebut sebelum ini.

            “Khairul mana ni?” Puas Lara cuba ingat namun masih tidak berjaya.

            “Ala, kau ni. Khairul Azrin. Senior kita dulu tu. Itulah kau, makan semut banyak sangat. Kan dah lupa.” Marah Wati bila Lara masih tidak dapat ingat siapa Khairul yang dimaksudkan.

            “Owhhhhh… Okey. Aku dah ingat dah sekarang. Khairul Azrin. Ketua pengawas sekolah kita tu kan. Orangnya tinggi, kulit sawo matang, aktif sukan bola sepak,……” Panjang lebar Lara menggambarkan lelaki bernama Khairul.

            “Dah… sudah…. Itu aku pun tahu. Kau tak payah beritahu aku. Ni yang aku nak beritahu kau ni jangan kau terperanjat lak.” Wati sudah merebahkan badannya di atas katil. Tidak pernah dia berasa gembira begini. Ikutkan hati hendak sahaja dia ke rumah Lara tadi, tetapi memandang hari sudah lewat, terpaksalah Wati sekadar bercakap dengan Lara di telefon sahaja. Yang penting dia dapat berkongsi kegembiraan tersebut dengan Lara.

            “Aku jumpa dia tadi masa aku nak beli barang dekat kedai.”  Lara sedikit menegakkan badannya yang tadi lemah tersandar di sofa. Patutlah kawan aku ni gembira sangat. Dapat jumpa dengan lelaki yang dia minat sejak di bangku sekolah lagi.

            “Okey, kau tegur dia tak?” Lara dapat membayangkan perasaan Wati ketika itu. Kalau dia di tempat Wati, mesti seronoklah. Nasiblah dia tidak meminati sesiapa pun di sekolah dulu. Tidak berminat Lara pada benda ni semua.

            “Tak, tapi……. Dia yang tegur aku dulu. Lara…. Kau tahu tak macam mana perasaan aku masa tu. Aku rasa nak pengsan tahu tak.” Lara hampir menjerit gembira. Nasiblah dia sempat menekup mulutnya sendiri. Kalau tidak, mahu bangun si kecil Sofea dari tidurnya nanti. Terlompat riang Lara dapat berkongsi kegembiraan kawannya itu.

            “Dan…. Kau tahu tak….. dia….. mintak nombor telefon aku.” Dari suara Wati sudah jelas membayangkan betapa gembiranya dia. Hendak sahaja Lara memeluk Wati waktu itu juga. Sudah lama sebenarnya Wati menunggu saat ini. Kalau dulu manalah pernah si Khairul ni berbual dengan Wati. Kalau bertembung pun sekadar melemparkan senyuman sahaja. Tidak lebih dari itu pun.

            “Kau jangan kata kau tak bagi nombor telefon kau dekat dia.” Lara akan menjerit kuat sekiranya Wati tidak memberikan nombor telefonnya pada Khairul. Inilah saat yang ditunggu selama ini. Peluang sudah ada di depan mata.

            “Kau gila. Mestilah bagi.” Ketawa  Lara mendengarnya. Begitu juga Wati. Nasiblah keadaan tidak mengizinkan mereka untuk ketawa sekuat hati. Kalaulah mereka berada di luar sekarang ini, mahu orang sekeliling sakit telinga mendengar mereka menjerit.

            “Dia ada call tak?” Lara terus bertanya.

            “Takda pun.” Nada suara Wati semakin lemah. Tidak ceria seperti tadi. Salah tanyalah aku ni. Marah Lara pada diri sendiri.

            “Takpalah. Mungkin esok lusa dia telefon. Yang pasti, esok kau kena cerita dekat aku dari A hingga Z macam mana kau jumpa dia.” Lara cuba memujuk. Dia tidak mahu Wati tertunggu-tunggu. Mungkin betul katanya. Mungkin esok atau lusa sahaja Khairul akan menghubungi Wati.

            Selepas mereka mengucapkan selamat malam semua, panggilan mereka diputuskan. Lara masih memegang telefonnya. Dia berharap sangat yang Khairul akan menghubungi Wati. Bukan sahaja Wati akan berasa gembira tetapi Lara juga. Hubungan rapat antara mereka berdua  yang membuatkan Lara dapat rasakan apa yang Wati rasakan sekarang ini. Perasaan gembira dengan diselangi perasaan penuh harapan. Berharap akan menerima panggilan dari seseorang.

            Wajah tenang Sofea yang sedang tidur diamati. Tenang sungguh hatinya bila melihat wajah Sofea. Jam di dinding dikerling. Jarum sudah hampir ke angka sebelas. Badannya pun sudah terasa letih. Hendak berehat di dalam bilik. Di atas katil empuknya.

            Lara mendukung Sofea dan merebahkannya di atas katil di biliknya. Malam ini Lara mahu tidur bersama dengan Sofea. Rasa lagi tenang tidurnya bila Sofea ada di sebelah.


            Semenjak Wati terserempak dengan Khairul tempoh hari, boleh dikatakan setiap hari mereka akan bersembang pasal lelaki tersebut. Kesian juga Lara melihat Wati. Asyik menunggu panggilan dari Khairul. Dari hari ke hari, masih tiada lagi panggilan yang diharap-harapkan.

            “Dia takda call lagi ke?” Hanya gelengan kepala dari Wati menjawab pertanyaan Lara itu. Walaupun wajahnya muram, tetapi Lara tahu Wati masih berharap ada sinar cahaya menyinari hidupnya nanti.

            Selama tiga hari ini juga Lara tidak langsung nampak kelibat Zarif. Keretanya masih elok terparkir setiap kali dia ke rumah Tan Sri untuk menghantar dan mengambil Sofea. Mungkin dia pandu kereta lain. Mana kau tahu Lara. Orang kaya macam dia mana puas dengan sebuah kereta sahaja. Paling kurang pun dua buah.

            “Hai Lara, cari Zarif ke?” Tiba-tiba Mak Jah menyergah Lara dari belakang bila dilihatnya Lara seperti sedang mencari-cari.

            “Iskh Mak Jah ni. Buat terkejut Lara je. Nak buat apa cari dia tu. Bukan ada faedah pun. Pandai je Mak Jah ni.” Lara memeluk bahu Mak Jah. Tiada langsung Lara menganggap Mak Jah seperti orang gaji di rumah tersebut. Dia lebih menganggap Mak Jah sebagai emak angkatnya. Lara tidak pernah merasai kasih sayang seorang emak sejak kecil lagi. Dia berharap suatu hari nanti dia dapat menumpang kasih pada seseorang yang boleh dianggap emak.

            “Lara, jangan cakap macam tu. Sekarang ni benci, nanti lama-lama suka. Sayang.” Ketawa kecil Lara mendengarnya. Tetapi ada betulnya juga cakap Mak Jah tu. Banyak kali juga dia mendengar orang berkata begitu. Mula-mula benci, lama-lama bertukar sayang. Tapi dengan Zarif. Oh tidak dapat Lara bayangkan.

            “Yelah Mak Jah. Saya tak benci dia. Okey. Maknanya saya takkan suka dialah kan.” Lara mengenakan balik Mak Jah. Dicubit perlahan pipi Mak Jah. Lara ni…….

            “Suka siapa ni?” Terdiam mereka berdua. Lara berpusing dan melihat Puan Sri sedang berjalan ke arahnya bersama-sama Sofea. Budak kecil itu kalau nampak Lara, terus diterkamnya. Dipeluk pinggang Lara. Erat seperti sudah lama tidak berjumpa. Rindu pada ibunya.

            “Lara ni Puan Sri. Tanya mana Zarif.”

            “Mak Jah! Buat cerita je kan.” Terus terjerit Lara. Mak Jah pula terus berjalan masuk ke dapur sambil membawa barang-barang yang baru dibeli Pak Mat tadi. Tersenyum lebar Mak Jah dapat mengenakan Lara.

            “Oh, Zarif. Dia takda seminggu. Dia pergi Singapore. Ada urusan kerja dekat sana. Lusa dia baliklah.” Lara hanya mengangguk. Barulah dia tahu mamat tu tidak ada di Malaysia rupanya. Patutlah langsung tidak nampak batang hidung dia pun akhir-akhir ni. Lega hatinya. Tapi betulkah perasaan lega yang dirasakan. Atau ada perasaan lain yang bermain di dalam hatinya. Rindu ke?....

            Bila sahaja Lara tahu Zarif tiada di rumah, langsung tidak dia menolak bila Tan Sri mengajak dia makan malam bersama. Baru aman rasanya bila dia dapat makan di meja tersebut tanpa Zarif duduk di hadapannya.  Kosong. Tiada sesiapa pun yang duduk bertentangan dengannya. Tiada sesiapa yang akan merenung dan memerhatikan gerak gerinya.

            “Lara, syarikat Kalam Holdings memerlukan seorang setiausaha. Ada satu kekosongan. Uncle ingat nak bagi jawatan tersebut pada Lara.” Rupa-rupanya Tan Sri masih ingat tentang hal ini. Sangka Lara mereka semua sudah lupa akan tawaran kerja padanya. Dia sebenarnya tidak berapa kisah pun. Lagipun dia masih bekerja di kedai kek tersebut. Setiap bulan terima gaji walaupun tidak berapa banyak. Cukup-cukup makan.

            “Kerja je Lara dengan Uncle tu. Banyak sikit gaji Lara dapat tiap-tiap bulan.” Puan Sri juga cuba memujuk Lara menerima tawaran tersebut. Memang lebih bagus untuk Lara jika bekerja di sana. Menimba pengalaman baru dalam hidupnya.

            Hati Lara masih berbelah bahagi. Bukan dia tidak mahu menerima tawaran dari Tan Sri, hatinya kuat mahu bekerja di sana. Cuma jika dia bekerja di sana, maknanya dia tidak akan bekerja lagi di kedai kek. Tidak bekerja bersama-sama Wati. Masa mereka bersama sudah berubah.

            “Lara terima ye. Nanti Uncle minta PA Uncle uruskan semuanya.” Lara tidak dapat berkata apa-apa lagi. Fikirannya buntu. Dia tidak tahu samada hendak mengangguk atau menggeleng. Peluang hanya datang sekali sahaja Lara. Jangan lepaskan. Tapi Wati macam mana……
           

            “Apa? Tan Sri offer kau kerja dekat syarikat dia?!” menjerit Wati bila Lara memberitahu tawaran Tan Sri padanya. Siap disokong Puan Sri lagi.

            “Kot ye pun janganlah over sangat. Kau ni.” Lara menampar perlahan pipi Wati. Gelihati pun ada melihat wajah Wati.

            “Habis, kau macam mana?” Lara memandang Wati. Dia tidak mahu berpisah dengan kawan baiknya itu. Sudah lama juga mereka berkerja sama.

            “Tak tahulah Wati. Payah aku nak buat keputusan ni.” Lara tersepit. Dia tidak tahu mana satu yang dia perlu pilih. Terus bekerja di kedai kek ini atau mulakan kehidupan baru bekerja di syarikat ternama. Menjadi salah seorang pekerja di syarikat terkenal di Malaysia.

            “Lara… Kau terima je tawaran mereka tu. Peluang kau Lara. Peluang untuk kau ubah kehidupan kau. Untuk kau dan Sofea.” Wati menyentuh bahu kawannya itu.

            “Habis tu kau macam mana?” ketawa Wati mendengarnya. Lara pula sedikit hairan. Apa yang lawaknya soalan aku tadi.

            “Lara…. Aku dah besarlah. Kau nak risau pasal aku kenapa. Ala Lara, kita masih boleh jumpa kan. Aku boleh datang rumah kau tidur sana. Tak pun habis kerja kan kau boleh datang sini. Kita keluar minum. Suatu hari nanti kita kena berpisah juga. Masing-masing kan nak berkeluarga. Takkan nak kongsi suami pulak.” Wati sendiri ketawa dengan kata-katanya. Lara lagilah. Hampir tersembur air yang ada dalam mulutnya. Milo ais yang dibelinya tadi.

            “Aku sayang kau Wati.” Lara memeluk Wati erat.

            “Aku pun sayang kau Lara.” Semakin erat pelukan mereka.


            Petang itu sedang mereka mengemas kedai  sebelum pulang, telefon Wati berbunyi. Dengan lemah gemalai Wati mencapai telefonnya. Dia memang tiada mood hendak menjawab panggilan sesiapa pun. Penat sehari suntuk di kedai. Ikutkan hati dia memang malas hendak menjawab tetapi disebabkan didesak Lara. Takut jika ada hal penting dari sesiapa.

            “Hello?” Bertambah malas Wati hendak menjawab bila tertera di skrin telefon nombor yang tidak dia kenali. Tidak pernah dia melihat nombor tersebut sebelum ini.

            “Assalamualaikum. Ini Wati ke?” Suara orang lelaki di talian. Wati terdiam sekejap. Cuba meneka suara siapa.

            “Waalaikumussalam. Siapa ni?” Suara Wati tidak seperti tadi. Dilembutkan sedikit nadanya. Otaknya masih ligat memikirkan milik siapa suara tersebut,

            “Ini Khairul. Wati ke ni?” Terhenti nafas Wati ketika itu bila mendengar nama tersebut. Otaknya terus tidak dapat berfungsi dengan baik. Wajah Lara dipandang.

            Ini dah kenapa dengan si Wati ni. Tiba-tiba pula berubah air mukanya. Ada apa-apa berita buruk ke. Lara mendekati Wati dengan wajah sedikit risau. Janganlah ada apa-apa yang buruk berlaku pada keluarga Wati. Keluarga Wati keluarganya juga.

            “Khairul.” Mulut Wati menyebut nama tersebut tanpa langsung suara yang keluar. Dia tidak mahu Khairul di talian mendengarnya. Ini antara dia dan Lara sahaja. Nasiblah Lara faham maksud Wati. Khairul yang telefon rupa-rupanya.

            “Hello? Wati?” Khairul menyedarkan Wati. Jika tidak tadi masing-masing diam membisu. Wati sedang cuba menenangkan hatinya. Menghilangkan rasa gemuruh dalam dirinya. Lara masih setia menemaninya di sebelah. Tidak tahu bagaimana hendak menenangkan diri Wati kerana dirinya juga tidak ada pengalaman lagi. Jika Lara ditempat Wati sekali pun mesti dia juga begitu. Entah-entah lagi teruk.

            “Aaa ye saya. Khairul… kat mana ni?” Wati tidak tahu hendak bertanya apa lagi pada Khairul. Lara mengusap-usap belakang Wati supaya kurang rasa gemuruhnya. Baru kini kelihatan senyuman di bibir Wati.

            “Saya dekat pejabat lagi ni. Ada kerja nak buat sikit lagi. Wati dekat mana ni?” Wati mengangguk kepalanya walaupun dia tahu bukannya Khairul nampak pun. Spontan sahaja perlakuan tersebut.

            “Saya…saya dekat tempat kerja ni. Berdua dengan kawan.” Wati tidak menyebut langsung nama Lara. Memang itu juga yang Lara mahukan. Dia tahu Khairul bukannya kenal dengannya. Lara tidak sepopular Khairul di sekolah. Siapa yang tidak kenal dengan Khairul Azrin di sekolah itu.

            “Okeylah Wati. Nanti saya call lagi. Ada kerja nak kena buat ni.” Khairul mahu menyambung kerjanya. Ikutkan hati Wati memang dia tidak mahu memutuskan panggilan tersebut. Tetapi dia sudah bersyukur sangat yang Khairul sanggup menelefonnya. Dia sendiri tidak menyangka dia dapat berbual dengan lelaki paling popular di sekolah dulu.


            Putus sahaja panggilan tersebut, Wati terus menerkam pada Lara. Ingin berkongsi kegembiraannya dengan seseorang. Gembira sungguh rasa hati seperti berada di atas awang-awangan. 

Monday, December 15, 2014

E-Novel : Cinta Hati Sayang - Bab 28

CINTA HATI SAYANG

BAB 28

            “Assalamualaikum.” Kedengaran suara Lara memecah kesunyian. Sofea terus bangun menerkam pada Lara. Tarik nafas lega Puan Sri dan Zarif. Jika tidak entah apalah yang hendak diberitahu pada budak kecil ini.

            “Ibu pergi mana?” Sibuk si kecil bertanya sambil menarik Lara mendekati Puan Sri dan Zarif. Dicium lembut pipi Sofea dengan penuh kasih sayang.

            “Ibu pergi pasar dengan Tok Mat.” Lara melemparkan senyuman pada Puan Sri. Dia memang tidak memberitahu pada sesiapa pun kecuali Mak Jah. Takut jika dia memberitahu Puan Sri nanti, si Sofea pula mahu mengikut. Dengan keadaan pasar yang licin, merisaukan lagi Lara untuk membawa Sofea.

            “Lara pergi pasar ke tadi? Auntie ingat Lara dengan Mak Jah dekat dapur.” Puan Sri pula yang tidak percaya. Memang seingat dia Lara berada di dapur bersama-sama Mak Jah. Rupa-rupanya dia keluar ke pasar.

            “Pergi kejap je. Alang-alang Pak Mat nak ke sana, Lara tumpang sekali. Beli ikan ayam untuk simpan dekat peti ais rumah. Bolehlah masak nanti.” Puan Sri sekadar mengangguk tanda sokongan. Wajah Zarif dipandang.

            “Betul juga tu Lara. Kena simpan stok bahan mentah ni. Takut tiba-tiba ada tetamu tak diundang datang rumah. Sibuk nak makan dekat sana.” Pada mulanya Lara tidak mengerti maksud Puan Sri tetapi bila dilihatnya Puan Sri mengerling pada Zarif, tahulah Lara. Zarif yang dimaksudkan. Patutlah dari tadi Zarif diam membisu di tepi. Tidak menyampuk langsung.

            Ketawa juga akhirnya Lara. Tidak dapat ditahan lagi. Begitu juga Puan Sri. Hanya Zarif yang buat-buat tidak faham. Membiarkan mereka ketawa berdua. Wajah Lara dipandang tajam.

            Ala…. Ada aku kisah dengan pandangan tajam kau tu. Boleh jalan daaaa…. Lara terus menyambung ketawanya.

            Seronok juga mereka bersembang bersama-sama sehinggalah Lara meminta diri untuk membantu Mak Jah di dapur.

            “Seronok ketawakan orang ye.” Terkejut Lara dibuatnya. Dia tidak perasan yang Zarif ada di belakangnya. Setahu dia tadi hanya dia sahaja yang meminta diri untuk ke dapur. Zarif masih duduk tidak berganjak dari tempatnya.

            “Mestilah. Seronok sangat.” Laju sahaja mulut Lara berbicara. Kakinya masih melangkah menuju ke dapur. Wajah sedikit berlagak ditunjukkan.

            “Ini lagi seronok.” Aduh! Menjerit Lara bila hidungnya ditarik kuat oleh Zarif. Ini bukan seronok, ini sakit namanya. Tidak sempat Lara hendak membalasnya, Zarif terlebih dahulu membesarkan langkahnya menaiki tangga ke atas.  Ada terdengar suara ketawa Zarif mengejek. Geram sungguh rasa hati. Cermin di tepi tangga dipandang. Lara membelek hidungnya yang baru sahaja menjadi mangsa tarikan tangan Zarif. Jadi merah terus hidung Lara. Dia ni kan………

            “Hah Lara, kenapa dengan hidung tu?” Mak Jah  orang pertama yang perasan bila Lara duduk di sebelahnya. Disentuh perlahan hidungnya yang masih kemerahan. Ini semua Zarif punya pasal.

            “Ada orang gila tarik tadi. Geram Lara Mak Jah. Ikutkan hati, hendak je Lara piat telinga dia pulak. Baru adil.” Kini giliran Mak Jah pula yang ketawa. Sakit hidungnya masih belum hilang, sekarang ini sakit telinganya pula mendengar Mak Jah ketawa.

            “Mak Jah ni….. Lara tengah geram ni, dia boleh ketawa pulak.” Lara menarik muka masam. Ingatkan Mak Jah akan bersimpati dengannya. Rupa-rupanya tidak. Lucu sangat ke aku cerita tadi? Fikir Lara sendiri.

            “Ala Lara, maaflah. Mak Jah tak tahan tengok wajah Lara tu. Macam budak-budak. Sorang tarik hidung, sorang nak tarik telinga.” Ada sisa ketawa di bibir Mak Jah. Lara memuncungkan mulutnya. Tanda masih merajuk.

            “Zarif buat ye sampai merah macam ni?” Mak Jah dapat mengagak. Siapa lagi kalau bukan Zarif yang kuat mengusik Lara sejak akhir-akhir ni.

            “Siapa lagi Mak Jah kalau bukan dia. Dia ingat hidung Lara ni boleh pegang suka-suka hati. Nak..bayarlah.” Menggeleng sambil tersenyum Mak Jah dibuatnya. Macam-macam perangailah budak-budak sekarang ni. Si Zarif pun satu. Makin hari makin kuat mengusik si Lara ni. Yang si Lara pun satu. Tak mahu mengalah.

           
            Zarif menutup pintu biliknya. Perbuatannya tadi tidak disangka-sangka. Dia tidak merancang semua itu. Tiada langsung dia terfikir hendak berbuat begitu pada Lara. Dia tidak tahu pun bagaimana tangannya laju dibawa ke hidung Lara dan menariknya.  Spontan semuanya berlaku. Mana pernah sebelum ini dia bergurau senda dengan perempuan lain selain mama dan adiknya.

            Apa yang dah berlaku pada kau Zarif?
           

            “Mak Jah kata asam pedas ni Lara yang masak. Betul ke?” Tan Sri bertanya sambil menyeduk ikan pari masak asam pedas ke dalam pinggannya. Lara pula terpinga-pinga di situ. Memanglah dia yang masak. Tapi rasanya dia sudah memberitahu pada Mak Jah supaya tidak memberitahu pada sesiapa pun. Malu kalau rasanya tidak sedap nanti. Sedap atau tidak biarlah Mak Jah yang tanggung. Kalau dapat pujian biarlah Mak Jah sahaja yang terima.

            “Aaaa… aah Uncle. Kalau tak sedap maaflah ye.” Seperti biasa rasa rendah diri selalu wujud dalam diri Lara Alina. Tidak pernah dia membangga diri walaupun mendapat pujian dari sesiapa.

            “Kena rasa ni bang.” Kini giliran Puan Sri pula yang menyeduk asam pedas tadi. Dikerlingnya pada Lara yang nampak gelisah. Mak Jah ni…. Tak boleh simpan rahsia langsung. Berulang kali dia menyuruh Mak Jah jangan memberitahu pada sesiapa pun. Tengok ni. Apa yang Mak Jah dah buat.

            Lara hanya melihat Tan Sri dan Puan Sri merasai asam pedas masakannya. Harap-harap mereka suka. Kalau Zarif, biarlah dia. Suka ke tidak suka ke, Lara tidak kisah langsung. Yang dia kisah sekarang ialah Tan Sri dan Puan Sri.

            “Abang?” Puan Sri tersenyum memandang suaminya dan kemudian beralih arah pada Lara. Tan Sri masih mengunyah nasi yang baru disuapnya tadi.

            “Auntie suka. Sedap.”

            “Uncle pun. Sedap ni. Pandai Lara masak.”

            Leganya hati Lara mendengar. Tidak sia-sialah dia berpeluh-peluh masak tadi. Hendak cepat masak takut ada yang nampak nanti. Habis bocorlah rahsia dia nanti. Tup-tup, Mak Jah yang bocorkan rahsia pada Tan Sri. Buat penat je.

            “Taknak tanya pendapat I ke?” Suara Zarif membuatkan hatinya gelisah. Kenapa pula dia perlu berasa sebegitu. Kata tadi tak kisah dengan dia. Iskh hati ni. Main-main pulak dia.

            “Yelah Lara. Kena tanya Zarif kalau bab asam pedas ni. Salah satu masakan kegemaran dia. Ikan pari masak asam pedas memang favourite dia..” Lara hanya mampu tersenyum pada Puan Sri. Dalam hati tiada siapa yang tahu. Kalau dia tahu ini lauk kegemaran Zarif memang tidak dimasaknya. Lebih bagus kalau dia tahu apa masakan yang paling dia tidak suka. Lauk itulah yang akan Lara masak. Biar Zarif tidak makan langsung. Tidak jamah langsung masakannya.

            Oh, patutlah beria-ia Mak Jah menyuruh dia masak asam pedas bila dilihatnya Pak Mat membeli ikan pari tadi. Mesti dia tahu Zarif suka masakan ni. Sengaja Mak Jah ni.

            “Not bad. Boleh bawa jual ni.” Sekali lagi Lara terpaksa berpura-pura senyum dihadapan semua orang. Kata-kata Zarif itu entah ikhlas entah tidak. Lara tidak dapat memastikannya. Hanya dia sahaja yang tahu.

            “Sedap.” Perlahan sahaja suara Zarif dilontarkan pada Lara. Pandangan mata mereka bersatu. Ada keikhlasan dapat dilihat dari anak mata Zarif. Tetapi Lara menepis terus semuanya. Mana ikhlas kata-kata lelaki bernama Carl Zarif. Semuanya dusta. Pandai bermuka-muka. Depan mama dan papanya mestilah tunjuk baik. Cuba dekat belakang mereka. Habis dikutuknya.

            Pintu bilik dibuka. Naim menolak kerusi rodanya ke depan. Mereka yang lain sedang menjamu selera di bawah. Dia pula berseorangan di dalam bilik. Itu yang sebenarnya Naim mahukan. Bukan kehendak orang lain tetapi dirinya sendiri. Sudah berapa lama dia begitu, tiba-tiba pula hatinya seperti mahu berkumpul beramai-ramai dengan mereka yang lain. Mahu merasai makan bersama, duduk bersama, berbual bersama dan lain-lainlah. Aktiviti yang sudah lama dia tidak rasai.

            Ada suara seorang wanita di sebalik suara-suara yang didengarinya. Suara perempuan yang dilihat pagi tadi besar kemungkinannya. Dan suara budak kecil. Suara siapa pula tu. Naim mahu tahu milik siapa suara tersebut. Dia mahu tahu segala-galanya.

            Petang itu Lara membawa Sofea balik ke rumahnya. Esok pagi seperti biasa dia akan menghantar semula Sofea untuk menemani Puan Sri dan selepas itu dia akan ke tempat kerja. Puan Sri sudah menyuruh Mak Jah membekalkan mereka asam pedas tadi dan sedikit lauk lain. Tidak payahlah Lara hendak memasak lagi malam nanti. Ada juga Tan Sri menyuruh Lara balik lewat sikit, tetapi Lara tetap mahu balik petang itu. Katanya dia ada kerja yang hendak disiapkan malam nanti.

            Sedang Lara bersalaman dengan Tan Sri dan Puan Sri, kereta milik Zira masuk ke perkarangan rumah. Diparkir betul-betul di belakang kereta milik Zarif.

            “Zira ke tu?” Tan Sri bertanya pada Puan Sri. Mereka yang lain juga turut mendengar.

            “Dialah tu. Siapa lagi.” Ringkas sahaja jawapan Puan Sri.

            “Bakal menantu kesayangan awaklah tu.” Kali ini wajah Puan Sri sedikit berubah. Tan Sri selalu berkata begitu pada isterinya. Memang dia suka memerli Puan Sri.

            Lara mendengar setiap kata-kata yang keluar dari mulut Tan Sri tadi. Bakal menantu? Maknanya betullah perempuan ni ada hubungan istimewa dengan mamat ni. Sengajakan nak sembunyi dari mata orang. Pandai kau Zarif.

            Sebenarnya Zarif juga mendengarnya. Cuma dia malas hendak menyampuk. Biarlah apa pun mama dan papanya nak kata. Yang dia tahu dia tidak akan berkahwin dengan perempuan bernama Zira. Hatinya bukan untuk Zira.

            Ingatannya masih jelas teringat akan rancangannya. Rancangan untuk membalas dendam. Rancangan yang melibatkan seseorang yang Zarif tidak tahu sebenarnya sudah mendapat tempat di hatinya.

            “Lara balik dululah Uncle, Auntie.” Lara terus berjalan ke keretanya. Semasa dia berselisih dengan Zira, ada sesuatu yang dikatakan membuat langkah Lara terhenti.

            “Baliklah. Tak payah nak berlakon baik okey. Dulu kakak kau, sekarang kau pulak.” Dengan wajah penuh angkuh, Zira berjalan terus. Lara pula tidak puas hati langsung. Dia ingat aku senang-senang boleh buat tak tahu je. Ini Lara Alina okey.

            Lara berpusing terus dan mengejar Zira. Sofea ditinggalkan sekejap di tepi. Dia tidak akan berpuas hati selagi tidak membalasnya. Dengan wajah yang manis, Lara membalas “Baguslah kalau kau tahu. Lebih baik kau jaga baik-baik Zarif kau tu sebelum aku rampas dia dari kau.”

            Lara kemudiannya melambai kepada Tan Sri dan Puan Sri. Dia tahu mesti mereka tertanya-tanya sebab Lara berpatah balik mendapatkan Zira. Dengan cara itu, mereka tidak dapat mengesyaki apa-apa. Lara tidak mahu mereka tahu apa yang mereka sedang gaduhkan. Lagipun ini antara Lara dan Zira sahaja.

            Zarif memerhatikan mereka dari tadi. Dia tahu ada sesuatu yang berlaku antara mereka. Ada benda yang Lara tidak puas hati. Walaupun dia tidak berapa kenal dengan Lara, tetapi dia tahu perempuan itu tidak akan mendiamkan diri jika dikutuk. Dia ingin tahu apa yang Zira katakan pada Lara. Hatinya lebih memihak pada Lara kalau diikutkan. Mesti Zira yang mulakan dulu.

            Kini Zira pula terpaksa berlakon di hadapan Tan Sri dan Puan Sri. Begitu juga dihadapan Zarif. Dalam senyuman yang dilemparkan ada perasaan geram terbuku di hatinya. Semakin sakit hatinya melihat Lara. Berani betul perempuan tu cabar aku. Dia ingat aku ni siapa? Kawan dia?

            “Arghhhhhhh!” Lara menjerit selepas keretanya sudah memasuki jalan besar. Sofea di sebelah sedikit terkejut. Wajah ibunya dipandang tepat.

            “Ibu okey ke?” suara Sofea menyedarkan Lara bahawa dia bukan keseorangan. Sofea ada bersama-samanya. Nasiblah dia tidak menjerit sekuat hatinya tadi. Kalau tidak, mahu menangis Sofea dibuatnya.

            “Ibu okey sayang. Geram sikit je.” Pipi Sofea dicubit lembut. Barulah ada senyuman sebenar dari wajah Lara. Hanya Sofea yang dapat menggembirakan hatinya. Wajah tenang Sofea membuatkan hatinya sejuk kembali. Semakin hilang rasa geramnya pada kata-kata Zira tadi. Berani betul perempuan tu kutuk aku. Dia ingat dia siapa?

            Are you okay?

            Keluar sahaja dari kereta, mesej dari Zarif diterima. Lara tiada langsung perasaan mahu membalasnya. Dibiarkan sahaja mesej tersebut. Telefon terus dimasukkan semula ke dalam beg.

            “Jom sayang.” Lara memimpin tangan Sofea menuju ke lif. Sedang mereka menunggu lif, dirasakan ada seseorang menghampirinya.

            “Kenapa tak balas mesej I?” Apa pula yang dia buat dekat sini ni. Tadi elok je ada dekat rumah. Kembali semula perasaan geram Lara tadi. Zarif masih berdiri hampir dengan Lara sambil tangan sebelahnya memegang helmet. Naik motor. Patutlah cepat benar sampai. Sempat pula tu Lara memerhatikan Zarif.

            “Eh, boleh tak jangan kacau saya. Eeee, tak payahlah sibuk pasal saya. Awak dengan Zira sama je.” Bertambah geram Lara. Tadi Zira, ni pula Zarif. Memang patut pun mereka dijodohkan berdua ni. Sama sibuk.

            “Lara!”

            “Apa?!” Sofea di tepi Lara hanya melihat mereka berdua yang seperti mahu bergaduh. Semakin takut perasaannya.

            “Jangan samakan I dengan perempuan tu.” Wajah Zarif semakin tegang. Dia memang tidak suka dikaitkan dengan Zira.

            “Eh dah lah. Saya penat. Saya nak naik atas.” Kebetulan pintu lif terbuka. Lara menarik Sofea masuk ke dalam. Butang untuk pintu tutup ditekan. Zarif dilihatnya masih berdiri di situ memandang Lara. Tiada langsung senyuman dari wajahnya. Begitu juga Lara. Masing-masing cuba menenangkan perasaan sendiri.

            “Kenapa uncle ikut kita ibu?” Pertanyaan Sofea membuatkan Lara juga tertanya-tanya.

            “Uncle…. Dia nak jumpa kawan kejap.” Lara tidak tahu alasan apa yang patut diberikan.

            “Kawan uncle dekat sini ye. Lain kali bolehlah uncle datang rumah kita. Ibu masak lauk uncle suka makan tu.” Wajah comel Sofea dipandang. Lara hanya mampu tersenyum. Sofea tidak mengerti apa-apa lagi.

            Zarif ikut aku ke? Kenapa pula dia nak risau pasal aku? Dia patut risau pasal buah hati dia tu. Dia marah aku samakan dia dengan perempuan tu? Mereka tengah bergaduh kot. Tu sebab Zarif marah dekat dia. Ala, sama jelah mereka berdua tu. Dua kali lima, lima kali dua. Jawapannya sepuluh……
           

            

Tuesday, December 9, 2014

E-Novel : Cinta Hati Sayang - Bab 27

CINTA HATI SAYANG

BAB 27

            Good morning semua.” Zarif orang terakhir turun untuk bersarapan. Tan Sri, Puan Sri , Lara dan Sofea, masing-masing sudah berada di meja makan. Semuanya masih belum makan lagi kecuali Sofea. Katanya dia lapar sangat. Puan Sri yang menyeduk mi goreng untuk Sofea.

            “Good morning Zarif. Jom, kita sarapan.” Tan Sri melipat suratkhabar yang sedang dibaca dan diletakkan di tepi meja. Selepas apa yang terjadi malam tadi, Lara tidak berani melihat wajah Zarif. Dia tahu dari turun tangga tadi, pandangan Zarif banyak dihala kepadanya.

            “Lara, tolong hulur roti tu.” Zarif meminta Lara menghulurkan roti padanya. Diangkat pinggan yang berisi roti itu dan diberikan pada Zarif. Seperti malam tadi, tangan mereka bersentuhan. Zarif tahu Lara akan terus menarik tangannya. Itu sebab Zarif sudah bersedia. Dia sudah meletakkan sebelah tangan lagi pada pinggan tersebut.

            Berdegup kencang jantung Lara. Geramlah dengan Zarif ni. Sengaja buat aku rasa macam ni. Tak suka…. Tak suka…. Raungan Lara hanya di dalam hati. Lagi bertambah geram Lara bila dilihatnya Zarif sedang tersenyum lebar, Mesti dia nampak aku gelisah. Okey, tenang Lara.

            “Mama dah buka hadiah dari kamu semua malam tadi.” Wajah Tan Sri dipandang. Dilemparkan senyuman pada suami tersayang.

            “Thank you Zarif for the beautiful clutch. Terima kasih Lara untuk shawl yang cantik tu. And…. Terima kasih banyak-banyak untuk Sofea sayang. Nenek suka sangat hadiah yang Sofea bagi tu.” Puan Sri mengusap lembut rambut Sofea dan menciumnya. Semakin dalam sayangnya pada Sofea.

            “Auntie suka ke? Risau Lara, takut Auntie tak suka hadiah tu. Tak mahal pun Auntie. Itu je yang Lara mampu.” Gembira Lara mendengarnya. Disangka Puan Sri tidak suka akan hadiah darinya. Yelah, hadiahnya tidaklah semahal hadiah dari Zarif tu. Mesti berjenama tu. Mana mungkin si Zarif hendak belikan mamanya barang-barang murah dan tiada berjenama.

            “Eh, apa tak sukanya. Auntie suka sangat. Cantik. Pandai Lara pilih ye.” Puan Sri ikhlas dengan kata-katanya. Dia memang sukakan warna dan corak yang dipilih Lara. Sesuai sangat dengan penampilan Puan Sri.

            “Lara, macam mana offer Uncle tempoh hari? Lara dah fikirkan ke?” Tiba-tiba Tan Sri bertanya pada Lara. Offer apa? Lara sendiri sudah tidak ingat apa yang Tan Sri tawarkan padanya.

            “Offer? Offer apa Uncle?” Lara betul-betul tidak ingat tentang apa-apa tawaran padanya. Rumah? Dah ada. Kereta? Pun dah ada. Apa lagi.

            “Lara lupa ye. Uncle ada offer kerja untuk Lara kan. Kerja dekat syarikat uncle.” Kali ini bukan sahaja Lara yang sedikit terkejut tetapi Zarif juga. Dia sendiri pun lupa yang papa ada menawarkan Lara kerja di syarikat tempat dia bekerja sekarang ini. Syarikat Kalam Holdings. Cuma Lara yang masih tidak memberi sebarang jawapan sehingga sekarang.

            “Aah.. Lara lupa. Tak ingat langsung. Maaflah uncle.” Dia sebenarnya tidak ambil kisah pun tentang kerja yang ditawarkan. Baginya dia sudah cukup selesa bekerja di kedai kek bersama kawan-kawannya. Dia pun bukannya biasa sangat bekerja di pejabat semua ni. Lagi-lagi syarikat besar macam Kalam Holdings.  

            “Macam mana? Setuju tak kerja dekat syarikat uncle?” Tan Sri masih bertanya. Lara tidak tahu apa yang perlu dijawab. Kalau cakap tak mahu nanti, kecil pula hati Tan Sri.

            “Lara kena fikir masa depan Lara. Kalau kerja dengan uncle, insyaallah masa depan Lara cerah. Banyak yang Lara boleh belajar nanti. Gaji pun uncle beri lebih dari apa yang Lara dapat sekarang ni. Boleh Lara simpan lebih sikit.” Kata-kata Tan Sri ada benarnya. Dia memang perlu memikirkan masa depannya. Sampai bila dia hendak bekerja di sana dengan gaji begitu. Memang gaji yang dia dapat tidaklah banyak mana. Cukup-cukup makan dia dan Sofea sahaja.

            Peluang dah ada depan mata kau Lara. Syarikat besar yang tawarkan kerja lagi. Jangan disia-siakan apa yang diberikan pada kita.

            “Nanti Lara beritahu keputusan Lara ye uncle.” Tan Sri sekadar mengangguk. Ada senyuman terukir di bibirnya. Lara kena fikir masak-masak. Bekerja satu bumbung dengan mamat ni macam menempa bala. Tapi kalau tak satu bahagian, okey je. Entahlah. Bingung Lara dibuatnya.

            Zarif masih menyuap mi goreng ke dalam mulutnya. Dia nampak seperti tidak kisah langsung akan hal Lara tetapi hakikatnya dia mahu tahu samada Lara mahu bekerja dengan mereka atau tidak. Kalau Lara setuju, maknanya dia akan bekerja di tempat sama dengan Zarif. Cuma dia tidak tahu di mana Tan Sri hendak meletakkannya. Bahagian Zarif sudah penuh. Tiada kekosongan.

            Selepas bersarapan, Lara membantu Mak Jah menyiram pokok bunga di halaman rumah  Tan Sri. Sofea pula ditemani Puan Sri menonton rancangan kartun kegemarannya.

            “Mak Jah, yang ni pun nak siram ke?” Lara menjerit pada Mak Jah yang berdiri jauh sedikit darinya. Dia sedang memeriksa pokok bunga lain. Takut kalau ada ulat.

            “ Ye Lara. Yang tu pun nak siram. Semua nak siram tau.” Pelbagai jenis bunga yang ditanam oleh Puan Sri. Dia memang suka melihat bunga yang sedang berkembang. Rasa tenang bila melihatnya.

            Sedang Lara menyiram pokok-pokok bunga tersebut, dia terasa seperti ada benda yang merayap di tengkuknya. Fikirannya terus terfikirkan ulat bulu. Dia memang geli dengan semua jenis ulat termasuklah ulat bulu.

            Dengan pantas Lara cuba menepis. Dia tidak sedar yang hos air yang sedang dipegang masih belum ditutup. Dia menoleh ke belakang secara tidak sengaja.

            “Lara!” Tergamam Lara. Air dari hos masih terpancut pada Zarif. Dia tidak bergerak langsung. Habis basah Zarif dibuatnya.

            “Lara, air tu!” Seperti baru tersedar, Lara cepat-cepat mengalihkan paip hos tadi ke tempat lain. Dia terus mencampakkan hos tersebut ke lantai.

            “Habis basah?” Zarif memandang Lara bila mendengar pertanyaannya. Kalau tidak disebabkan dia sedang berlakon sekarang ini, mahu sahaja dia menjerit pada Lara. Tak pernah pun orang siram aku macam ini. Kau orang pertama Lara. Entah apa lagilah yang kau akan buat dekat aku nanti. Sabarlah wahai hati.

            “Takpa, I boleh tukar baju. Ke you nak I basahkan you juga. Jom.” Lara tidak menunggu lama. Dia terus masuk ke dalam. Mak Jah dari jauh hanya memandang. Terhibur sebenarnya dia melihat gelagat anak-anak muda ni. Asyik nak mengusik sahaja. Digeleng-geleng kepalanya. Tidak pernah sebenarnya dia melihat Zarif mengusik orang lain selain keluarganya sendiri. Laralah perempuan pertama yang dilihatnya diusik anak muda ini.

            Zarif yang tidak segan langsung terus membuka tshirt yang dipakainya itu. Dia kemudian masuk ke dalam rumah untuk mengambil baju lain. Dia bukan kisah sangat dengan orang lain pun terutamanya Mak Jah yang sudah lama menjaganya. Sudah seperti ahli keluarganya sendiri.

            Lara yang tidak keruan bila diusik Zarif tadi mundar-mandir di tepi pintu. Dia baru teringat yang dia belum menutup air tadi. Nanti habis basah pula semua tempat. Tapi hendak keluar dia masih rasa segan dengan Zarif.

            Dan tiba-tiba dia terlanggar seseorang. “Aduh!”

            Diurut dahinya yang terkena badan seseorang. Alamak. Dia lagi. Tadi dekat luar dia, ni dekat dalam pun dia. Dan kini baru dia terperasan sesuatu yang tidak sepatutnya dilihat. Susuk tubuh sasa Zarif. Mata yang tadi besar, kini sudah dikecilkan. Dia pula yang rasa segan.

            “Iskh dia ni. Sakit matalah tengok.” Lara cuba menyembunyikan perasaan gemuruhnya. Mana pernahlah dia melihat tubuh badan lelaki yang bukan muhrimnya seperti sekarang ini. Janggal yang amat dirasakan. Pandangannya terus diarahkan ke tempat lain.

            “Ala, kalau suka cakap je. Tak payah nak sorok-sorok.” Zarif sengaja menyakat Lara lagi. Dia mendekatkan dirinya lagi pada Lara. Biar Lara bertambah gelisah.

            “Gila apa. Suka apanya. Perasan.” Cepat sahaja disusun langkahnya menjauhi Zarif. Boleh gila Lara kalau masih berlawan cakap dengan Zarif. Dia mana mahu mengalah. Asyik nak menang je mamat ni.

            Zarif tersenyum lebar bila dapat mengusik Lara. Tanpa disedari dia sebenarnya suka melihat wajah kemerahan Lara bila diusik sebegitu. Nampak seperti pipinya memakai pemerah pipi.

            “Mak Jah dah tutupkan air ni ke?” Lara bertanya pada Mak Jah bila dilihatnya sudah tidak keluar langsung air dari hos.

            “Yelah, Mak Jah dah tolong tutup. Orang yang patut siram bunga-bunga ni  entah hilang ke mana tadi. Kena kejar dengan orang kot.” Bertambah merah pipi Lara bila diusik Mak Jah. Kalau boleh memang Mak Jah hendak melihat Zarif dan Lara bersama. Tidak mahu si Zira gedik tu. Tidak sesuai dari pandangan matanya.

            “Mak Jah ni…. Suka usik Lara. Takpalah, Lara sambung siram ni. Mak Jah tolong bukak air je.” Lara sudah bersedia memegang hos. Matanya masih melilau melihat sekeliling. Takut jika Zarif tiba-tiba menyergahnya lagi.

            Lara tidak perasan ada seseorang memerhatikannya dari tingkap atas. Dari salah satu bilik yang ada di tingkat atas. Gelak ketawa Lara bergurau senda dengan Mak Jah menarik perhatiannya. Wajah cantik mulus Lara membuatkan hatinya tertanya-tanya siapa wanita cantik ini. Wajahnya mengingatkan dia pada seseorang. Pada seseorang yang sudah lama meninggalkannya. Membuatkan hidupnya berubah dengan sekelip mata.

            “Naim, boleh abang masuk?” Zarif mengetuk pintu dan terus membukanya. Dilihatnya Naim sedang memandang keluar melalui tingkap bilik.

            Zarif melangkah menghampiri Naim. Dia juga mahu melihat apa yang khusyuk sangat dipandang Naim dari tadi. “Tengok apa?”

            “Aaa, takda apa-apa. You kenapa abang? Basah ni.” Kali ini Naim dalam keadaan normal. Kadang-kadang sahaja perangai dia berubah. Marah-marah dan mengamuk pada semua orang.

            Zarif masih tidak berpuas hati. Dia tahu mesti ada benda yang mencuri hati Naim untuk memandang lama. Dia berjalan ke tepi tingkap dan berpura-pura memperbetulkan langsir. Sambil tangannya memegang langsir, matanya sempat lagi melihat ke luar.

            Lara Alina. Dari bilik Naim jelas dapat melihat Lara sedang menyiram pokok bunga bersama-sama Mak Jah. Bergurau senda sesama mereka. Nampak jelas kegembiraan dari wajah Lara.

            “Abang nak apa?” Naim sebenarnya mahu menyambung melihat Lara tetapi diganggu dengan kehadiran Zarif.

            “Abang…. Saja je abang nak tengok adik abang ni. Okey ke tidak hari ni.” Zarif rasa tidak sedap hati. Biar betul Naim sedang tengok Lara tadi. Tapi takkanlah Mak Jah pula. Lagi pelik tu.

            “I okey. Hari ni rasa segar sikit.” Memang Naim kembali ceria bila melihat senyuman Lara tadi. Nampak seronok sangat. Gelak ketawanya tidak dibuat-buat.

            “Okey, ada apa-apa yang abang tak tahu ke ni?” Zarif tidak dapat menerima jika Lara yang membuat hari Naim segar sedikit. Dia mahu Naim memberitahunya.

            “Oh, nothing. I nak baring kejap. Excuse me.” Naim dengan lembut meminta Zarif meninggalkannya seorang diri. Dia mahu berehat. Sebenarnya hatinya masih mahu melihat Lara dari jauh. Berbunga-bunga pula hatinya dirasakan.

            Zarif yang berdiri di tepi katil perlahan-lahan berjalan keluar. Dia tahu Naim hendak menyambung melihat ke luar. Melihat Lara dan Mak Jah.

            Hatinya semakin resah saat dia menutup rapat pintu bilik Naim. Meninggalkan Naim seorang diri di dalam. Dia dapat rasakan Naim kembali memerhatikan Lara. Kenapa Lara? Habislah rancangan aku nanti kalau dia suka pada Lara.

            Selepas Zarif menukar baju, dia terus turun ke bawah. Hatinya tidak tenteram selagi tidak melihat Lara. Dia tidak mahu Lara berada di luar lagi. Membiarkan dirinya diperhatikan orang lain.

            “Mak Jah, mana Lara?” Puas Zarif mencari di setiap sudut. Tiada kelibat Lara pun kelihatan. Yang ada cuma Sofea dan Puan Sri. Tan Sri pula selepas bersarapan dia masuk ke bilik. Ada kerja yang perlu disemak dahulu sebelum dia meluluskannya.

            “Eh, Encik Zarif. Tak perasan Mak Jah. Lara ikut Pak Mat ke pasar. Dia nak beli ikan, ayam semua untuk simpan dekat rumah dia tu. Senang sikit kalau ada orang datang.”  Mak Jah yang sedang memotong bawang di dapur  ditanyanya.

            “Ikut Pak Mat pergi pasar? Pergi berdua je ke?” Dua kali Mak Jah mengangguk. Menjawab kedua-dua soalan yang diberikan padanya. Sejak bila pulak si Zarif ni sibuk bertanya pasal Lara. Bukankah mereka tidak sehaluan sebelum ini.

            “Kenapa Mak Jah tak ikut sekali?” Terhenti terus tangan Mak Jah yang sedang memotong. Sedikit pelik dengan soalan Zarif kali ini. Berkerut juga dahi Mak Jah memandangnya.

            “Mana pernahlah Mak Jah ikut Pak Mat ke pasar sebelum ni. Lara tu tiba-tiba pula rasa bosan. Tu sebab dia nak ikut ke pasar. Takkanlah cemburu kot.” Mak Jah sengaja mahu melihat reaksi Zarif.

            “Apalah Mak Jah ni. Cemburu apanya. Tanya je tadi. Okeylah Mak Jah, saya naik atas jap.” Zarif sudah tidak keruan. Kata-kata Mak Jah tadi membuatkan hatinya terdetik juga. Betulkah aku cemburu?. Kalau tidak masakan Mak Jah boleh perasan. Ah, aku cuma prihatin pasal dia. Tak salah rasanya.

            Ketika kakinya hendak melangkah menaiki tangga ke atas, terdengar suara Puan Sri memanggil. “Zarif, ke sini kejap sayang.”

            Zarif akur. Dia memang perasan tadi Puan Sri sedang melayan Sofea main semasa dia sibuk mencari Lara. Tidak mahu menganggu mereka sebab itulah Zarif terus bertanya pada Mak Jah sahaja.

            “Zarif, mama lupa nak beritahu malam tadi. Adik telefon. Katanya minggu depan dia akan balik Malaysia.” Puan Sri tahu Zarif memang rapat dengan adik perempuannya. Satu-satunya adik perempuan yang dia ada.

            “Betul ke ma? Takpa, nanti biar Zarif pergi ambil dia dekat airport. Mama beritahu flight details adik nanti dekat Zarif.” Zarif sudah tersenyum lebar. Rindu pada adiknya terlalu tinggi. Sudah lama juga dia tidak balik ke Malaysia. Hendak melawat dia di sana pun masing-masing sibuk dengan urusan kerja.

            “Nenek, siapa adik?” Sofea yang dari tadi hanya menjadi pendengar setia bertanya tiba-tiba. Dia mahu juga tahu siapa adik yang dimaksudkan neneknya.

            Puan Sri mengusap lembut rambut Sofea sambil memberitahunya. “Adik tu panggilan kepada anak perempuan nenek. Adik Uncle Zarif. Dia takda dekat sini. Dia belajar dekat Australia. Minggu depan baru dia balik sini kejap.”

            Zarif sekadar mendengar. Barulah Sofea faham sekarang.

            “Nenek ada berapa orang anak? Uncle Zarif dengan Adik je ke?” Pertanyaan Sofea membuatkan masing-masing terdiam. Tidak tahu apa yang perlu dijawab. Masing-masing memandang antara satu sama lain. Sofea masih menunggu jawapan dari neneknya. Wajah Puan Sri masih dipandang tepat.